Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 10

“Hari ini adalah hari yang malang buat saya. Dahlah saya terlupa bawa buku matematik dan didenda duduk kat koridor. Masa BM pula, saya didenda berdiri sepanjang kelas sebab tak dapat jawab soalan cikgu. Malang betul nasib saya,” Azrizal menceritakan kejadian siang tadi kepada sahabat internetnya.

“Hehe…kesian awak tapi salah awak juga. Kenapa awak tak semak jadual dan mengulangkaji pelajaran?”

Azrizal mendengus. Sangkanya sahabat internetnya itu akan bersimpati dengannya namun dia pula yang dipersalahkan.

“Awak ni bukannya nak simpati dengan saya,” Azrizal pura-pura merajuk.

“Janganlah marah. Bukankah sahabat yang baik adalah sahabat yang selalu menegur kesalahan dan kesilapan sahabatnya?”

“Yalah, awak menang,” Azrizal mengaku kalah.

“Saya tanya awak sesuatu boleh?”

“Apa dia?”

“Kenapa awak suka langgar peraturan sekolah? Awak tak takut ke?”

“Nak takut apa? Saya bukan buat jenayah.”

“Memanglah tapi bukankah sikap awak itu akan mempengaruhi tanggapan cikgu-cikgu dan kawan-kawan awak kat sekolah? Mesti dia orang fikir awak nakal.”

“Saya tak kisah. Lagipun saya tak minat dengan subjek-subjek yang diajar.”

“Maksud awak?”

“Lepas PMR dulu, saya teringin nak masuk sekolah teknik tapi ayah saya tak bagi. Dia cakap sekolah SMART adalah sekolah yang terbaik di Kuantan. Jadi, ayah saya suruh saya belajar kat situ.”

Memang ayah tak pernah nak faham kemahuan aku. Aku tak berhak menentukan jalan hidup aku. Segala-galanya diaturkan oleh ayah. Yang jadi pertaruhannya aku. Aku dipaksa menurut segala perintah ayah. Jika aku ingkar, ayah mengugut tidak mahu memberikan wang belanja.

“Jadi, awak sengaja buat perangai sebagai tanda protes?”

“Anggap sajalah begitu. Tapi ayah saya juga tak pernah ambil tahu apa yang saya buat kat sekolah.”

“Awak tak rasa ke sikap awak ini hanya akan merosakkan masa depan awak sendiri?”

“Masa depan saya dah lama hancur.”

“Jangan cakap macam itu. Awak masih ada masa untuk mencorakkan masa depan awak. Mungkin ada hikmahnya awak bersekolah kat situ. Mungkin sekarang awak tak nampak semua itu. Tapi awak kena yakin dengan perancangan Allah.”

“Awak ni macam ustazah pula.”

“Saya cuma tak nak awak mensia-siakan hidup awak.”

“Yalah, saya tahu awak kawan saya yang paling baik.”

“Baguslah kalau awak tahu.”

“Awak chat dengan saya ni, ayah awak tak marah ke?”

“Ayah saya belum balik lagi.”

“Ayah awak kerja apa?”

“Ayah saya kerja makan gaji saja. Kerja kerajaan.”

“Kat mana?”

“Wisma Sri Pahang.”

“Owh… yang depan sekolah ‘Monyet Gigi Patah Satu’ tu ya?”

“Hah?”

“M.G.P.S.”

“Awak ni tak baik tahu! Itu sekolah saya masa sekolah rendah dulu tahu.”

M.G.P.S. atau Methodist Girls Primary School atau nama melayunya SK (P) Methodist adalah sebuah sekolah rendah yang terletak di tengah-tengah bandar Kuantan dan berhadapan dengan bangunan pejabat Wisma Sri Pahang. Pelbagai gelaran yang diberi kepada sekolah itu berdasarkan singkatan namanya dan gelaran yang paling popular sekali adalah ‘Monyet Gigi Patah Satu’.

“Oh ya ke? Samalah dengan adik saya.”

“Adik awak pun sekolah situ ke?”

“Dululah. Sekarang dia tingkatan dua.”

“Owh… dia belajar kat SMART juga ke?”

“Taklah. Dia pandai sikit daripada saya. Dia masuk asrama penuh.”

“Kat mana?”

“Seri Puteri. Awak tak minta asrama penuh ke lepas PMR dulu? Awak dapat 7A kan masa PMR dulu?”

“Saya tak minat sekolah asrama.”

“Kenapa?”

“Entah. Pada saya, sekolah kat mana-mana pun sama saja. Yang penting, kesungguhan kita untuk belajar.”

“Tapi orang kata, sekolah asrama tu bagus. Kita dapat belajar berdikari. Cuci baju sendiri. Gosok baju sendiri.”

“Kalau itu kebaikannya, saya rasa saya tak payah sekolah asrama pun tak apa. Kat rumah pun saya cuci baju sendiri dan gosok baju sendiri.”

“Saya pun cuci baju sendiri.”

“Biar betul?”

“Ala…bukan susah pun. Masukkan saja baju-baju tu dalam mesin basuh.”

“Awak kenakan saya ya?”

“Terkena ke? Sorry, sengaja. Hehe…”

“Laily!” Laily tersentak dek suara itu. “Sejak Maghrib tadi, mak tengok Laily asyik mengadap internet saja. Kerja sekolah dah siap?” tanya Puan Humaira.

“Dah, mak,” jawab Laily.

“Kalau kerja sekolah dah siap, pergi baca buku. Jangan buang masa dengan benda-benda yang tak berfaedah tu. Abah pasang internet ni untuk Laily cari bahan belajar.
Bukannya main benda mengarut ni. Sudah, pergi masuk!”

Laily terkedu mendengar suara tegas ibunya lalu menamatkan perbualannya dengan Azrizal.

“Okaylah, Riz. Mak saya dah bising tu. Nanti kita sembang lagi,” Laily mematikan komputer itu tanpa menunggu jawapan daripada Azrizal. Jika dia terus di situ, dikhuatiri ibunya akan membebel panjang.

Laily segera berlalu ke biliknya. Namun, dia tidak mengulangkaji pelajaran seperti yang disuruh oleh ibunya sebaliknya dia berbaring di katil.

Adakah kehidupan seorang pelajar hanya dibebani oleh buku-buku pelajaran? Adakah kehidupan seorang pelajar hanya belajar, belajar, dan belajar? Adakah keputusan yang bagus dalam peperiksaan menjamin masa depan yang cerah?

Laily mencapai cakera padat lagu Hujan di atas meja lalu memainkan cakera padat itu di radio. Maka, kedengaranlah lagu Gundah.


Gundah gulana bagaikan penjara
Sesekali kubuka mata
Ingin kembali walaupun seketika

Biar terus ku berlari dan lari
Waktu yang sama ku mencari
Jalan keluar dari mimpi ini

Ku dikejar bayang hitam
Memberi arahan yang buta
Sesekali kubuka mata
Ingin kembali walaupun seketika

Takkan pudar jika ku lepaskan segalanya kepadamu



Pada waktu yang sama, Azrizal turut mendengar lagu yang sama. Sedang dia asyik melayari internet di bilik tidurnya, dia terdengar bunyi pintu dibuka di ruang hadapan rumah itu.

Mak dan ayah dah balik ke? Azrizal melihat jam yang tertera di skrin komputernya. Pukul 10 malam. Dalam hati, Azrizal sangat berharap ibu bapanya ataupun salah seorang daripada mereka menjenguknya di bilik namun dia hampa apabila terdengar bunyi pintu bilik ibu bapanya dibuka lalu ditutup tidak lama kemudian. Begitulah keadaannya setiap hari.

Kadang-kadang Azrizal sengaja berjaga hingga ke lewat malam semata-mata ingin berjumpa dengan kedua-dua orang tuanya Dia rindu untuk menatap kedua-dua wajah itu. Namun, ibu bapanya tidak pernah mahu mengambil tahu tentang perkara itu. Pulang dari kerja saja, mereka terus tidur.

Tiada ulasan: