Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 7

Kelas itu kelihatan lengang memandangkan semua pelajar telah pulang ke rumah masing-masing. Di sebuah meja, seorang pelajar perempuan masih di situ mengemas buku-bukunya.

Ketika waktu akhir tadi, dia diminta oleh Puan Tan, guru matematik untuk menghantar buku ke bilik guru. Ekoran itu, dia terlambat untuk pulang. Sedang dia memasukkan buku ke dalam begnya, tanpa disedari seseorang menghampirinya.

“Tya…” suara itu menyapa.

Pelajar perempuan itu tersentak lalu menoleh.

“Sham?” Athira mengeluh lega. Ingatkan siapa tadi. “Kenapa tak balik lagi?” Athira kembali menyambung kerjanya memasukkan buku-bukunya ke dalam beg.

“Saja… nak tunggu Tya,” ujar Shamsul tanpa segan silu.

“Tunggu saya? Kenapa?” Athira pelik.

Sedang Athira mengemas bukunya, tanpa sengaja satu daripada bukunya terjatuh ke lantai. Athira membongkok untuk mengambilnya. Shamsul turut berbuat demikian. Tanpa diduga, tangan mereka bersentuhan. Athira kaget. Mata mereka saling bertaut.

Pada masa yang sama, Azrizal muncul di muka pintu dan menyaksikan adegan itu. Azrizal naik darah melihat tangan Shamsul memegang tangan Athira.

“Hoi!”

Athira dan Shamsul terkejut dek suara itu. Athira cepat-cepat menarik tangannya dan memasukkan buku itu ke dalam begnya. Azrizal segera menghampiri Shamsul. Tanpa pertimbangan dia menumbuk Shamsul. Athira cemas dan terkejut dengan tindakan drastik Azrizal.

“Berani kau ambil kesempatan ya!” Azrizal menggenggam kolar baju Shamsul geram. Dia mahu membelasah Shamsul cukup-cukup. Pertama, kerana menyibuk perihal dirinya dan kawan-kawannya. Kedua, kerana mengambil kesempatan terhadap teman wanitanya.

“Riz!”

Azrizal mahu membelasah Shamsul lagi namun ditegah oleh Athira. Dia melepaskan kolar baju Shamsul lalu melangkah meninggalkan kelas itu dengan perasaan marah.

“Riz!” Athira memandang Shamsul dan membantunya berdiri. “Awak tak apa-apa?” Shamsul menggeleng. “Maafkan saya,” Athira mencapai begnya lalu mengejar Azrizal.

“Riz!” Panggilan itu tidak diendahkan. Azrizal pantas melangkah. Hatinya panas. “Riz, tunggu!” Athira menyaingi langkah Azrizal. “Kenapa dengan Riz ni? Riz tak patut tumbuk Shamsul tadi. Dia tak salah.”

“Habis tu, Rizlah yang salah?”

“Bukan macam tu. Perkara tadi bukan seperti apa yang Riz sangka. Dia tak sengaja,” Athira cuba menerangkan kedudukan yang sebenar.

“Mana Tya tahu dia sengaja ataupun tak sengaja? Riz tahu dia ada hati dengan Tya!” Azrizal ingin melangkah namun Athira pantas menarik lengannya. Langkah Azrizal terhenti.

“Riz, Riz tahu kan Tya sayangkan Riz? Riz tak percayakan Tya ke?” Athira cuba menyejukkan hati Azrizal yang tengah berapi itu. Dia tahu Azrizal cepat naik darah tapi marahnya tak lama. Azrizal memandang Athira.

“Bukan Riz tak percayakan Tya tapi Riz tak percayakan Shamsul,” Azrizal meluahkan kebimbangannya. Tambahan pula setelah mengetahui latar belakang keluarga Shamsul. Ketika dia, Shafik dan Iqbal makan di kantin tadi, Shafik membuka cerita.

“Riz, aku dengar cerita si Shamsul tu anak Tan Sri,” ujar Shafik.

“Who care? Aku kisah apa kalau dia anak raja sekalipun. Tak ada kena mengena dengan hidup aku,” balas Azrizal.

“Kalau aku kata ada kaitan dengan Tya macam mana?”

“Kau cakap apa? Apa kaitan budak tu dengan Tya pula?” Azrizal tidak mengerti.

“Zahid ada bagi tahu aku yang si Shamsul tu asyik tanya pasal Tya saja. Aku rasa dia dah syok kat awek kau agaknya,” jelas Shafik.

“Habis tu, Zahid tak bagi tahu dia yang Tya tu awek aku?”

“Dah. Tapi aku tak tahulah apa reaksi dia. Aku tengok dia tu bukanlah jenis orang yang reti bahasa. Baik kau jaga-jaga,” kata-kata Shafik itu membuatkan hatinya sedikit gusar. Selama dua tahun dia menjalin kasih dengan Athira, Athira tidak pernah menyakitkan hatinya. Bahkan kalau dia buat salah pun, Athira sedia memaafkannya.

“Riz, kalau betul pun dia ada hati dengan Tya sekalipun, itu hak dia. Tya tak boleh halang. Tapi Tya berhak pilih sesiapa saja yang Tya suka. Kan Tya dah pilih Riz?” Athira cuba memadamkan kemarahan buah hatinya itu.

“Habis kalau dia cuba pikat Tya, takkan Riz nak diam aja?”

Athira tergelak kecil.

“Kenapa Tya gelak?”

“Yalah… Dah dua tahun kita bercinta tapi baru sekarang Tya nampak Riz bersikap macam ni. Tya tak sangka rupa-rupanya Riz ni kuat cemburu juga ya.”

“Mestilah Riz cemburu.”

“Tak ada apa-apalah Riz. Rileks k? Dah, jangan cakap lagi. Petang ni kita nak keluar kan?” Athira bersuara manja. “Senyumlah sikit,” pujuk Athira.

Azrizal tersenyum kelat.

“Macam itulah. Baru nampak sweet. Jom kita jalan sama?” Mereka berjalan beriringan.

“Kita nak pergi mana petang ni?” Azrizal cuba melupakan perihal Shamsul buat seketika walaupun dia tahu Shamsul pasti berusaha untuk mendekati Athira.

“Riz nak pergi mana?”

“Riz tak kisah. Mana saja Tya nak pergi, Riz ikut saja.”

“Kita pergi Megamall nak?”

“Boleh juga. Pukul berapa?”

“Pukul empat setengahlah.”

“Empat setengah? Kenapa lambat sangat?”

“Ala…Tya nak tengok drama bersiri Indonesia kat TV3 pukul dua setengah. Cerita tu habis pukul tiga setengah. Satu jam lagi Tya nak siap-siap,” ujar Athira.

Setiap petang selepas pulang dari sekolah, pasti drama bersiri Indonesia itu yang menjadi santapan Athira. Biarlah tak makan, tak tukar baju, asalkan dia tidak terlepas menonton drama yang menjadi kegilaan di Malaysia pada waktu itu. Tambahan pula pelakon utamanya kacak dan cantik.

“Dua setengah? Sekarang dah pukul dua dua puluh dua,” Azrizal melihat jam di tangannya.

“Hah? Cepatlah Riz. Tya tak nak terlepas tengok cerita tu. Nanti tak tahu apa jadi,” Athira mempercepatkan langkahnya.

Azrizal menggeleng melihat gelagat Athira. Apalah yang menarik sangat tentang drama tu? Meleret-leret sampai beratus-ratus episod. Banyak betul idea dia orang ni nak buat skrip.

Tiada ulasan: