Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 6

Loceng waktu pertama telah berbunyi. Para pelajar bergegas ke kelas masing-masing. Namun tiga orang pelajar lelaki itu masih leka bersembang di kantin. Melihatkan itu, seorang pengawas perempuan menghampiri mereka bertiga.

“Azrizal, Shafik, Iqbal, kenapa tak masuk kelas lagi? Awak bertiga kena masuk kelas sekarang. Kelas dah nak mula,” pengawas perempuan itu memberi arahan. Dia mesti tegas dengan tiga orang pelajar itu. Bukan boleh bagi muka sangat dia orang ni.

“Sabarlah sayang. Kejap lagi kita orang masuklah. Sayang masuk kelas dulu ya. Kejap lagi abang datang,”

Merah padam muka pengawas perempuan itu mendengar panggilan sayang Azrizal kepadanya. Azrizal tersengih melihat reaksi pengawas perempuan itu.

“Baik awak bertiga masuk kelas sekarang. Kalau tidak…”

“Kalau tidak apa, sayang?”

“Riz!”

Dia tidak tahan mendengar panggilan itu lagi. Berbulu telinganya. Memang sejak dari dulu dia membantah keras hasrat ibunya untuk menghantarnya belajar di sekolah ini. Pernah dia menyuarakan hasrat hatinya untuk bersekolah di Sekolah Menengah Tengku Afzan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Mudah untuknya pergi dan balik sekolah. Hanya berjalan kaki. Tambahan pula, ramai kawannya yang belajar di situ. Jadi tidaklah dia berasa sunyi.

Namun ibunya tetap berkeras mahu menghantarnya belajar di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib ini. Alasannya agar mudah bagi ibunya untuk melihat dia kerana ibunya mengajar di sekolah ini. Walaupun sekolah ini merupakan antara sekolah yang terbaik di seluruh negeri Pahang namun apa yang dia lihat pelajar-pelajarnya sama sahaja dengan pelajar-pelajar sekolah lain. Kata sekolah bestari tapi kenapa pelajar yang tidak menunjukkan ciri-ciri bestari juga diterima untuk belajar di sini?

“Cikgu-cikgu tak boleh nak buat apa-apa sebab ibu bapa dia orang merupakan penyumbang terbesar dalam PIBG sekolah,” ujar ibunya apabila soalan itu diajukan.

Mentang-mentanglah ibu bapa dia orang penyumbang terbesar dalam PIBG sekolah, dia orang ingat dia orang boleh buat sesuka hati dia orang? Kalau nak buat sesuka hati, suruhlah ibu bapa dia orang bina sekolah sendiri. Peraturan tetap peraturan. Semua pelajar kena ikut.

“Baiklah, sayang. Abang masuk kelas sekarang ya,” Azrizal mengajak Shafik dan Iqbal masuk ke kelas. Laily menghantar langkah mereka bertiga dengan anak matanya. Yalah tu. Ingat aku tak tahu kegiatan kau orang? Bukan dia tidak tahu tabiat mereka bertiga yang suka ponteng sekolah terutamanya masa subjek Sejarah. Tapi ke mana dia sendiri tidak dapat menjawabnya.

“Orang dah masuk kelas ni. Jom kita cabut,” Shafik melihat sekeliling. Kawasan sekolah itu telah sunyi memandangkan para pelajar berada di kelas masing-masing pada waktu itu.

“Jom,” mereka bertiga melangkah ke pagar depan.

“Ada orang tak?”

Mereka bertiga melihat-lihat sekeliling memastikan tiada sesiapa yang nampak mereka. Line clear!

“Kau orang buat apa kat sini?” suara itu menyertakkan mereka bertiga. Serentak mereka memandang ke arah suara itu.

“Eh, kalau kau nak belajar lama kat sekolah ni lebih baik kau jaga hal kau sendiri,” Azrizal memberi amaran kepada pelajar lelaki itu. “Jangan sibuk hal kita orang. Dah, pergi masuk kelas. Belajar rajin-rajin.”

“Riz, boleh percaya ke budak baru tu?” Shafik mula tidak sedap hati.

“Yalah, Riz. Kalau dia bagi tahu pengetua macam mana?” tanya Iqbal pula.

“Dia takkan berani punya,” ujar Azrizal yakin walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh pelajar baru itu.

“Tapi kalau dia lapor kat pengetua?”

“Tahulah aku ajar dia,” Azrizal sudah pun melepasi pagar batu itu. Shafik mengikut jejak Azrizal namun Iqbal masih tidak berganjak di situ. Dia masih ragu-ragu. “Ball, kau nak ikut ke tidak?”

“Aku ikut,” Iqbal memanjat pagar itu mengikut teman-temannya ke seberang jalan.

Apalagi masalah budak bertiga ni? Setiap hari kerjanya menambah kedutan di muka orang sekeliling. Aku yang baru berusia lewat 40-an ini pun dah nampak tua daripada usia yang sebenar. Budak bertiga ni memang tak serik. Suka sangat jadi tetamu kehormat Cikgu Mohamad. Dah beratus kali keluar masuk bilik guru disiplin pun tak mendatangkan apa-apa kesan.

Dalam banyak-banyak peraturan sekolah, peraturan mana yang mereka belum langgar? Datang dan balik sekolah sesuka hati, ponteng kelas, tak buat kerja rumah, menyakat budak perempuan, buat bising, bergaduh semuanya mereka dah lalui. Cuma tinggal tak bakar sekolah aja. Ops! Kalau bakar sekolah tak dapatlah mereka nak ponteng kelas ya tak?

Puan Hajah Rubiah pening kepala mengenangkan sikap budak bertiga itu. Sebentar tadi, dia mendapat laporan daripada seorang pelajar. Katanya Azrizal dan kawan-kawannya merancang untuk ponteng sekolah. Ke mana pula dia orang nak pergi? Mana lagi? Mesti ke tempat itu!


***


“Riz, kau main dah lama. Bagilah aku pula,“ Iqbal menolak Azrizal yang sedang ralit bermain games di sebuah komputer.

“Nantilah. Aku tengah syok main ni. Kau mintalah dengan Chap,“ Azrizal masih tidak berganjak dari komputer di hadapannya.

“Bosanlah macam ni,“ Iqbal melihat sekitar kafe siber itu. Semua tempat telah berpenghuni.

Jika tidak masuk sekolah, itulah destinasi mereka. Kafe siber yang terletak di seberang jalan itu berhadapan dengan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar yakni sekolah di hadapan sekolah mereka. Kedua-dua sekolah itu memang selalu bersaing baik dari segi pelajaran mahupun ko-kurikulum.

“Seronok nampak?“

Mereka tersentak mendengar suara itu. Suara itu sudah tidak asing lagi kepada mereka. Pengetua? Perlahan-lahan mereka menoleh ke belakang. Kelihatan Puan Hajah Rubiah tersenyum memandang mereka.

Azrizal, Shafik dan Iqbal dibawa ke bilik pengetua. Teruk mereka dimarahi oleh pengetua. Namun semua itu tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap mereka. Lagipun ini bukanlah kali pertama mereka ditangkap kerana ponteng sekolah. Sudah berpuluh-puluh kali. Mereka juga sudah lali.

“Awak bertiga boleh balik ke kelas,“ arah pengetua setelah penat dia berceloteh. Entah apa nak jadi dengan mereka ni? Anak siapalah?

Sesampai di kelas mereka bertiga terus mencari pelajar baru itu. Menyibuk betul budak ni. Memang nak kena ajar!

Pelajar baru itu telah bersedia apabila melihat tiga pelajar itu melangkah ke arahnya. Tak puas hatilah tu.

“Kau apa hal?” marah Azrizal.

“Kenapa? Tak puas hati?” Pelajar baru itu menentang muka Azrizal.

“Memang aku tak puas hati!” Azrizal mula meninggi suara. “Yang kau sibuk-sibuk sangat pasal kita orang ni kenapa? Dah tak ada kerja lain?”

“Aku cuma buat apa yang aku rasa betul,” pelajar baru itu mempertahankan diri. Dah ada peluang untuk sekolah, nak ponteng pula.

“Macam baik saja,” Azrizal tidak puas hati dengan jawapan itu.

“Riz, kau kan penolong ketua kelas. Sepatutnya kau tunjukkan contoh yang baik,”

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan mendengar nasihat pelajar baru itu.

Kelas yang tadinya hingar bingar sunyi serta-merta. Semua mata tertumpu ke arah mereka.

“Kau ni siapa? Sibuk nak mengajar orang. Tak payahlah kau sibuk-sibuk nak jaga hal kita orang. Kau jagalah diri kau tu sendiri,” Azrizal menyucuk badan pelajar baru itu dengan jarinya.

“Riz…” Suara lembut itu membuatkan Azrizal tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia memandang gadis itu kemudian mengisyaratkan kepada Shafik dan Iqbal supaya pergi dari situ. Mereka berlalu ke kantin.


***


“Hish, bengang betul aku dengan budak baru tu!” Shafik menghempas gelas di meja. Melepaskan geramnya.

“Iyalah, aku pun tak berkenan dengan budak Shamsul tu. Baru seminggu kat sini, dah nak tunjuk lagak!” sokong Iqbal. Dia ingat dia dari KL, dia hebat? Boleh jalanlah!

“Apa kita nak buat dengan dia?” Shafik meminta pendapat. Mereka perlu buat sesuatu agar pelajar baru itu tidak mencampuri urusan mereka bertiga lagi.

“Kita ajar dia sikit. Biar dia tahu,” Iqbal memberikan cadangan.

“Nak ajar macam mana?” Shafik dan Iqbal memandang Azrizal. Mereka saling berpandangan. Hairan dengan sikap berdiam diri teman mereka yang seorang itu.

“Riz, kenapa kau diam?” Shafik menyiku Azrizal. Dari tadi orang sibuk berbincang, dia boleh buat tak tahu?

“Tak ada apalah. Aku tengah berfikir ni,” ujar Azrizal. Memang dia geram. Kalau Tya tak ada tadi, dah lama budak Shamsul tu makan penumbuk aku. Kenapalah dia suka menyibuk hal aku? Aku pernah sakitkan hati dia ke? Tak ada rasanya. Kenal dia pun tak. Entah apa masalah dia?

“Fikir macam mana nak ajar dia?” Shafik mengagak.

“Habis tu, kau ingat aku nak lepaskan dia macam tu aja?”

“Jadi, apa rancangan kau?”

“Nanti aku bagi tahu. Sekarang ni, kita makan dulu. Kau orang nak makan ke tak?”

“Mestilah nak! Perut aku dah nyanyi lagu rock and roll dah ni!” Shafik memegang perutnya. Pagi tadi dia hanya meminum air. Mana boleh tahan. Balik rumah pun bukan ada sesiapa yang nak masak untuknya. Semuanya harus diurus sendiri lantaran kedua-dua orang tuanya sibuk mencari rezeki.

“Chap, belikan nasi lemak dengan milo ais untuk aku,” ujar Azrizal kepada Shafik.

“Ball, belikan nasi lemak dengan milo ais untuk kita orang,” Shafik pula berkata kepada Iqbal.

“Tolong belikan nasi lemak dengan milo ais untuk kita orang,” Iqbal berpaling ke sebelahnya walaupun sebenarnya tiada sesiapa pun di sebelahnya. Dia memandang Azrizal dan Shafik.

“Kenapa pula aku yang kena beli?” Iqbal membantah.

“Sebab nama kau Iqbal,” ujar Shafik. Apa pula kena mengena? Ah, tak kisahlah!

“Apa kena mengena?”

“Pergilah. Aku dah lapar ni,” ujar Azrizal.

“Tak ada, tak ada. Kau orang kena ikut aku. Aku bukan kuli kau orang,” Iqbal bangkit menuju ke tempat menjual nasi lemak.

“Jomlah,” Azrizal dan Shafik mengikut langkah Iqbal.

Tiada ulasan: