Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, November 29, 2008

Budak S.M.A.R.T. 5

“Sham, macam mana hari pertama kat sekolah baru?” soal Puan Kamariah tatkala anaknya itu muncul di muka pintu rumah mereka petang itu.

“Bosan,” rungut Shamsul sambil menanggalkan kasutnya kemudian diletakkan di rak yang tersedia di tepi pintu.

“Mula-mula memanglah Sham rasa macam tu. Sham cubalah berkawan dengan budak-budak kat sini. Bila Sham dah ada kawan nanti, mama yakin Sham mesti seronok duduk kat sini,” Puan Kamariah tahu Shamsul masih berasa asing di situ. Bukan mudah anaknya itu hendak menyesuaikan diri di tempat baru dengan sekelip mata. Tambahan pula, banyak yang sudah berubah dalam kehidupannya.

Maklumlah selepas hampir 17 tahun dia melalui kehidupan di Kuala Lumpur, tiba-tiba dia terpaksa meninggalkan semuanya. Di Kuala Lumpur, Shamsul mempunyai ramai kawan. Setiap petang selepas waktu sekolah, ada-ada sahaja aktiviti yang dilakukan oleh Shamsul bersama kawan-kawannya. Main bola dan jamming adalah dua aktiviti rutin Shamsul ketika di Kuala Lumpur tetapi di sini dia tidak mempunyai kawan untuk melakukan aktiviti itu lagi. Pastilah Shamsul berasa kekurangan sesuatu.

“Mama harap Sham dapat menyesuaikan diri dengan bandar ni,” ujar Puan Kamariah sambil tangannya ligat menyusun perkakas di ruang itu. “Sham dah habis berkemas?”

“Belum,” jawab Shamsul. Memang sejak hari pertama mereka tiba di situ, tidak ada satu pun barangnya yang dikemasnya kerana Shamsul sendiri tidak pernah rela untuk berpindah ke situ.

“Tak apalah. Sham pergi mandi dulu. Lepas tu turun makan. Kita makan sama-sama. Mama dah masak nasi,” Puan Kamariah cuba berlembut dengan Shamsul. Dia tahu Shamsul sebenarnya berat hati meninggalkan kehidupannya di Kuala Lumpur.

“Yalah, ma,” Shamsul menurut kata ibunya lalu melangkah ke biliknya yang terletak di tingkat atas banglo dua tingkat itu.

Di biliknya, Shamsul merebahkan tubuh ke katil. Dia tidak ada semangat untuk berbuat apa-apa. Seakan baru semalam dia diberitahu tentang pertukaran kerja papanya.

Pada mulanya dia tidak mahu mengikut mama dan papanya berpindah ke Kuantan. Dia lebih rela menetap di asrama sekolah lamanya daripada berpisah dengan kawan-kawannya dan meninggalkan kehidupannya di sana. Namun, papanya tetap berkeras mahu dia ikut sekali. Alasannya kerana tidak ada sesiapa yang dapat menjaganya di Kuala Lumpur.

“Sham dah besarlah, pa. Sham boleh jaga diri Sham sendiri,” Shamsul enggan mengikut mama dan papanya pindah.

“Sham, Sham tu anak papa dan mama. Papa dan mama takkan tinggalkan Sham kat KL ni sorang-sorang. Kalau jadi apa-apa nanti macam mana?” tegas Tengku Baharin.

“Papa dan mama tak payahlah risau. Cikgu dan kawan-kawan Sham kan ada,” Shamsul masih cuba memujuk papanya agar membenarkan dia terus tinggal di situ.

“Walau apa pun alasan Sham, papa tetap dengan keputusan papa. Sham akan ikut papa dan mama berpindah ke Kuantan. Sham faham?”

Shamsul mengeluh apabila mengenangkan pertelingkahan dengan papanya ketika papanya memberitahu yang mereka sekeluarga akan berpindah ke Kuantan.

Kuantan? Apa yang best? Midvalley tak ada. Sungai Wang tak ada. KLCC lagilah tak ada!

Tiada ulasan: