Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 08, 2008

Budak S.M.A.R.T. 28

Lelaki itu menarik si gadis ke suatu tempat tersorok di belakang sekolah ketika waktu rehat menengah atas.

“Lepaslah!” Si gadis menepis tangan si lelaki. “Kenapa kau nak jumpa aku ni? Kan aku dah cakap, jangan jumpa aku masa kat sekolah,” marah gadis itu. Kalau orang lain nampak, habislah!

“Kau sengaja nak mengelak daripada aku kan?”

“Mana ada?” si gadis membela diri.

“Habis tu, kenapa kau tak jawab telefon aku?”

“Aku sibuklah,” gadis itu memberi alasan. Malas dia hendak melayan lelaki itu. Rimas betul!

“Sibuk apa? Sibuk merancang sesuatu?”

“Apa yang kau cakap ni? Sudahlah, Sham. Malas aku nak layan kau,” gadis itu beredar untuk pergi namun dihalang.

“Nanti dulu Fatin. Aku tak habis cakap lagi ni.”

“Apa lagi?”

“Macam mana dengan janji kita dulu?”

“Janji? Janji apa?” Fatin buat-buat lupa.

“Kau kan dah janji yang kau akan terima aku kalau aku ikut apa yang kau nak,” Shamsul mengingatkan Fatin tentang janji yang pernah dipersetujui antara mereka berdua suatu ketika dahulu.

“Owh… jadi kau nak tuntut janjilah ni?”

“Kau dah setuju kan?”

Fatin tergelak kecil.

“Sham, Sham. Janji tu tak boleh dipakai sebab kita tak pernah berjanji pun,” kata-kata Fatin membuatkan Shamsul geram.

“Kau…” ayat Shamsul tergantung.

“Kau apa?”

“Kau jangan cabar aku, Fatin. Semua rahsia kau dalam tangan aku. Pasal kes Riz dengan Laily tu, kau juga yang rancang kan? Kau bayangkan apa akan jadi kalau aku bocorkan rahsia kau pada orang lain.”

Fatin yang berang bertambah geram mengenangkan rancangannya yang tidak menjadi itu. Perihal Azrizal dan Laily sudah mula dilupakan oleh orang sekeliling. Macam mana dia orang boleh lupakan perkara ni macam tu aja?

“Kau nak ugut aku?”

“Kau yang paksa aku.”

“Kalau kau berani, cubalah! Kau ingat dia orang nak percaya cakap kau?”

“Okey, jangan kata aku tak bagi amaran pulak,” pesan Shamsul sebelum berlalu. Fatin menghantar langkah Shamsul dengan anak matanya. Betapa terkejutnya Fatin apabila terpandangkan empat susuk tubuh di hadapannya sebaik-baik sahaja dia berpaling..


***


“Kenapa kau sanggup buat macam ni?” Azrizal tidak menyangka kejadian yang menimpanya dan Laily adalah perbuatan Fatin.

“Riz, aku buat semua ni sebab aku sukakan kau,” luah Fatin. Dari dulu sampai sekarang, hatinya tidak pernah berubah.

“Fatin, kan aku dah cakap kat kau, aku tak sukakan kau. Aku cuma anggap kau sebagai kawan. Kau tak faham bahasa Melayu ke?” balas Azrizal. Sangkanya Fatin sudah melupakan perkara itu.

“Riz, tolong jangan layan aku macam ni. Aku betul-betul sukakan kau. Aku sayangkan kau,” Fatin merintih meminta simpati Azrizal.

Suasana sepi seketika.

“Susah payah aku pisahkan kau dengan Tya!” Fatin geram melihat kebisuan Azrizal lantas membongkarkan perbuatannya agar Azrizal tahu yang dia sangat menyayanginya.

Azrizal tersentak.

“Kau…” Azrizal kehilangan kata-kata. Sanggup Fatin melakukan perkara itu sedangkan Athira adalah kawan baiknya sendiri.

“Aku ingat lepas kau berpisah dengan Tya, aku boleh rapat balik dengan kau macam dulu. Tapi Laily tu pula mengacau!” marah Fatin.

“Kau tak ada hak nak kutuk dia!” Azrizal berang apabila nama Laily dikaitkan sama.

“Kenapa? Kau sukakan dia?”

“Kalau aku sukakan dia pun, itu bukan urusan kau! Lagipun, aku rasa dia jauh lebih baik daripada kau. Kau ni harap muka aja lawa tapi hati berkarat! Sudahlah! Buang masa aku aja layan orang macam kau ni!” Azrizal beredar meninggalkan Fatin.

Waktu rehat telah tamat. Para pelajar kembali semula ke kelas masing-masing bagi meneruskan sesi pembelajaran pada hari itu.

“Mana Fatin ni?” Athira melihat tempat duduk Fatin yang masih kosong.

Seketika kemudian, Fatin muncul. Wajahnya sembab seperti baru lepas menangis. Athira mendapatkan Fatin.

“Fatin, kenapa ni? Fatin…” Athira memeluk bahu Fatin.

“Ah!” Fatin menolak tangan Athira. “Tak payahlah kau nak berpura-pura baik dengan aku!”

“Fatin, kenapa ni?” Athira terkejut dengan sikap Fatin.

“Hei, Tya aku tak tahulah apa yang istimewa sangat kau ni sampai Azrizal tu tergila-gilakan kau! Kau tahu tak sebelum kau datang kat sekolah ni, hubungan aku dengan Riz sangat rapat. Tapi kau telah menghancurkan segala harapan aku,” luah Fatin.

Memang dahulu Fatin berkawan baik dengan Azrizal namun selepas Fatin meluahkan perasaannya, hubungan mereka menjadi regang kerana Azrizal hanya menganggapnya sebagai kawan. Kehadiran Athira pula membuatkan hubungannya dan Azrizal semakin jauh. Lantas Fatin cuba berbaik-baik dengan Athira agar dia berada dekat dengan Azrizal.

“Fatin, apa yang kau cakap ni? Aku tak faham. Aku kan kawan baik kau?” Athira terpinga-pinga.

Fatin tertawa.

“Kawan baik? Kau tak layak jadi kawan aku tahu tak!”

“Fatin,” Shamsul yang tadinya hanya melihat pertelingkahan dua sahabat itu cuba memujuk.

“Kau diam!” Tatkala itu Azrizal, Shafik dan Iqbal muncul. “Hei Tya, kau ingat si Shamsul ni betul-betul sukakan kau ke? Kalau kau fikir si Shamsul ni betul-betul sukakan kau, kau silap Tya. Kau silap! Sebab Shamsul sukakan aku.”

Athira terkedu. Shamsul suka Fatin?

“Apa semua ni Fatin? Apa yang kau cakap ni? Shamsul sukakan kau? Aku tak percaya. Kalau dia sukakan kau, kenapa dia pikat aku?”

“Sebab aku! Aku yang suruh dia pikat kau.”

“Betul ke apa yang Fatin cakap tu?” pandangan mata Athira kini tertumpu kepada Shamsul.

Shamsul diam. Kali pertama dia melihat Fatin, hatinya sudah terpaut. Dia mengambil langkah berani dengan mendekati Fatin namun Fatin mengenakan syarat jika dia mahu bersamanya. Syaratnya, dia harus merebut Athira daripada Azrizal dengan alasan dia tidak mahu Athira dipermainkan oleh Azrizal. Tapi ternyata Fatin punya agenda lain di sebalik rancangannya itu.

Athira masih menunggu kata-kata daripada mulut Shamsul namun kebisuan Shamsul sudah memberi jawapan kepada soalan Athira. Athira memandang Fatin semula.

“Tapi… Tapi kenapa, Fatin? Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku?” Athira mula sebak. Sanggup Fatin melakukan semua ini kepadanya? Kawan baik konon!

“Sebab aku tak suka kau rapat dengan Riz. Sakit mata aku tahu!”

Bukan sahaja matanya yang sakit melihat kemesraan Azrizal dan Athira malah hatinya juga sakit setiap kali melihat mereka bersama. Apa lebihnya Athira daripada dirinya? Kenapa Azrizal memilih Athira sedangkan dia yang terlebih dahulu mengenali Azrizal?

“Fatin… sampai hati kau…”

“Tya, Sham boleh jelaskan perkara ni,” Shamsul cuba menjelaskan perkara yang sebenar namun tanpa sempat dia bersuara, tangan Athira telah lebih dulu naik ke mukanya. Pang! Tanpa berlengah, Athira berlari dari situ.

“Tya!” Azrizal mengejar Athira. Laily yang turut menyaksikan kejadian itu sedikit iri melihat Azrizal masih mengambil berat akan Athira.

“Tya…” Azrizal menarik tangan Athira.

“Ris, biarkan Tya sendiri,” Athira belum bersedia untuk berdepan dengan Azrizal selepas peristiwa tadi.

“Tya, Riz masih di sini untuk Tya.”

“Riz, Tya malu dengan Riz. Tya tak sangka perkara ni boleh terjadi. Riz sendiri tahu kan hubungan Tya dengan Fatin macam mana. Kita orang dah macam adik-beradik. Tya tak sangka dia sanggup buat macam ni pada Tya. Tya betul-betul kecewa,” Athira menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

“Tya…”

“Mungkin inilah balasan Tuhan pada Tya sebab tak tahu menghargai hubungan kita. Riz, Riz masuklah kelas. Tya nak tenangkan fikiran kejap,” pinta Athira.

Azrizal akur dengan permintaan Athira walaupun dia masih teragak-agak untuk berbuat demikian.

Setibanya di kelas, Azrizal meluru ke arah Shamsul lalu menumbuknya. Semua yang berada di situ terkejut namun tidak pula cuba meleraikan pergaduhan itu.

“Riz!” Shafik dan Iqbal menarik Azrizal. Azrizal meronta-ronta minta dilepaskan.

“Kau ni memang tak ada perasaan! Tak berhati perut! Lepaskan aku! Biar aku ajar budak ni!”

“Riz, sabar Riz,” Iqbal cuba menenangkan Azrizal yang sudah naik hantu itu.

Seketika kemudian, Cik Mazleen muncul di muka pintu. Dia terkejut melihat apa yang berlaku.

“Apa halnya ni?”

Semua mata tertumpu kepada Cik Mazleen.


***


Azrizal dan Shamsul dibawa ke bilik pengetua.

“Kenapa dengan kamu berdua ni haa? Nak jadi samseng pula? Ini sekolah. Tempat menimba ilmu bukan gelanggang gusti. Saya tak kisah kalau kamu nak bergaduh ke, bergusti ke, suka hati kamulah. Tapi bukan di sekolah. Biar apa pun punca pergaduhan antara kamu, saya tak nak perkara ni berulang lagi. Kamu faham?” Puan Hajah Rubiah memberi amaran kepada mereka.

“Faham, puan,” jawab Azrizal dan Shamsul hampir serentak.

“Sudah, balik kelas sekarang.”

Di luar bilik pengetua, Shamsul cuba menerangkan keadaan sebenar kepada Azrizal.

“Riz, aku tak berniat nak buat Tya macam tu.”

“Sama ada kau berniat ataupun tidak, itu bukan persoalannya. Yang pasti, kau dah lukakan hati Tya.”

“Iya, aku tahu. Tapi aku betul-betul dah suka kat Tya.”

Langkah Azrizal terhenti. Matanya memandang tepat ke mata Shamsul.

“Kau ingat aku percaya?”

“Betul, Riz. Memang pada mulanya aku cuma ikut kata Fatin. Tapi lama-kelamaan bila aku makin rapat dengan dia, hati aku dah mula terpaut pada dia. Aku sedar yang dia istimewa.”

“Apa guna kau cakap semua ni kat aku?”

“Aku tak nak kau salah faham dengan aku.”

“Aku harap apa yang kau bagi tahu aku ni betul sebab Tya dah betul-betul sukakan kau.”

“Tapi kali ni aku pasti dia betul-betul bencikan aku.”


***


“Tya, please… Sham mintak maaf,” Shamsul berusaha memujuk Athira selepas waktu sekolah.

“Get lost from my life!” Athira masih marah. Dia tidak mahu berjumpa dengan Shamsul lagi.

Shamsul mengeluh hampa melihat Athira berlalu meninggalkannya.


Ku ingin bercinta
Tapi bukan kamu
Go… go away



Bait lirik lagu Yang Sudah Tu Sudah dendangan Famous Virginia Tobacco seakan-akan mewakili perasaannya ketika itu. Athira menangis semahu-mahunya di biliknya. Betapa bodohnya dia dikhianati oleh teman baik sendiri tanpa disedari.

Kini dia berasa menyesal kerana memutuskan hubungannya dengan Azrizal gara-gara hasutan Fatin. Baru dia tahu bagaimana rasanya apabila disakiti. Apakah ini balasan kepadanya kerana mensia-siakan orang yang sudah dimilikinya?

2 ulasan:

keSENGALan teserlah.. berkata...

llorrhh..
so,ape kesudahn riz ngn tya??
downg sme blek x??
hope sme la ek...
heheehehee...

Ilmar Imia berkata...

rasa2nya? hehe.. tunggu! =)