Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 08, 2008

Budak S.M.A.R.T. 27

“Bukan main gembira lagi aku tengok si Riz dengan Laily tu. Macam tak ada apa-apa yang berlaku aja.”

“A’ah kan? Pelik betul.”

Perbualan dua sahabat itu memancing perhatian Fatin. Fatin melihat ke arah Azrizal dan Laily. Bertambah sakit hatinya melihat kemesraan mereka. Hai, perkara hari tu tak ada apa-apa kesan pada dia orang ke?

Azrizal dan Laily sudah sepakat mahu melupakan perkara itu dan tidak terlalu memikirkannya bagi membuktikan mereka tidak bersalah. Berkat sokongan Shafik dan Iqbal juga, mereka dapat menangani perkara itu dengan lebih tabah.

Benarlah kata orang, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ekoran kejadian itu, hubungan Azrizal, Laily, Shafik dan Iqbal menjadi semakin akrab. Setiap petang, selepas waktu sekolah, Azrizal, Shafik dan Iqbal akan berkunjung ke rumah Laily bagi mengulangkaji pelajaran bersama.

Laily gembira kerana ibunya sendiri yang mengusulkan cadangan agar Azrizal, Shafik dan Iqbal diajak mengulangkaji di rumah mereka. Selain mengelakkan fitnah, ibu bapa Laily tidak perlu bimbang kerana anak mereka berada di bawah pengawasan mereka.

“Bosanlah!” Shafik menutup buku. Kemudian, dia membelek-belek cakera padat yang tersusun di rak di sebelah televisyen. “Ada cerita best tak?”

“Hoi, kau ni datang nak belajar ke ataupun nak tengok VCD?” Azrizal memarahi Shafik.

“Ala, boringlah! Apa yang kau orang bincangkan semua aku tak faham,” balas Shafik.

“Kau tak tanya!”

“Aku tak minatlah kira-kira ni. Kalau setakat tambah, tolak, darab, bahagi tu aku retilah. Ini bayaran tertunggaklah, sewa terakrulah! Pening kepala aku dibuatnya,” Shafik pening kepala membaca soalan-soalan latihan di buku Prinsip Akaun itu.

“Kau ingat kau tu darjah berapa nak tambah tolak lagi? Hei, kau tu tingkatan lima tahu sekarang. Bukannya darjah lima,” ujar Azrizal.

Laily cuma tersenyum melihat gelagat dua sahabat itu.

“Kalau tak faham, memanglah susah. Sebenarnya akaun ni tak susah kalau kita faham konsep dia,” terang Laily. Baginya, subjek Prinsip Akaun adalah subjek yang menyeronokkan. Jika faham konsepnya, semua soalan pun akan jadi mudah.

“Tapi aku tak minat akaun,” adu Shafik.

“Kalau tak minat tu yang susah tu. Minat tu yang penting. Kalau tak pandai tapi ada minat lama-lama mesti pandai. Tapi kalau tak minat sampai bila pun tak boleh jawab,” tambah Laily.

“Kau dengar tu, Chap?” Shafik menjeling Iqbal.

“Dah, kita sambung balik yang tadi. Soalan mana tadi?”

“Soalan 2, Kunci Kira-kira.”

Sedang mereka mengulangkaji tiba-tiba adik Laily, Nazhan muncul dari dalam lalu menghampiri Azrizal.

“Abang Riz, cantik tak lukisan Naz?” soalnya. Selepas beberapa kali Azrizal, Shafik dan Iqbal datang ke situ, Nazhan cukup mesra dengan Azrizal memandangkan Azrizal rajin melayannya melukis.

“Cantik. Pandai Naz lukis,” Azrizal memuji lukisan Nazhan.

“Cantik? Biasa aja aku tengok,” Shafik hairan apabila Azrizal memuji lukisan Nazhan padahal baginya lukisan itu hanya contengan biasa. Ala... Budak-budak punya lukisan.

Azrizal menyiku Shafik.

“Adoi!” Shafik mengosok-gosok lengannya yang disiku Azrizal. Salah ke aku?

“Naz, jangan kacau Abang Riz. Abang Riz nak belajar tu,” Laily menegur adiknya yang seakan tidak mahu berenggang dengan Azrizal. Dia takut Azrizal berasa rimas dengan kerenah Nazhan.

“Tak apa. Tak mengganggu pun,” Azrizal sudah menganggap Nazhan seperti adiknya sendiri. Maklumlah dia sendiri tidak mempunyai adik lelaki.

“Ala…Laily, biarlah dia nak bermanja dengan bakal abang ipar,” seloroh Iqbal. Laily tersipu mendengar kata-kata Iqbal. Azrizal pula berlagak selamba. Suasana hening seketika. Mujur bapa Laily muncul memecahkan kebisuan itu.

“Laily, dah sembahyang Asar?”

“Belum, bah,” jawab Laily.

“Tinggallah kerja tu dulu. Pergi sembahyang dulu,” arah bapa Laily.

“Baik, bah,” Laily akur lalu menghilang ke dalam.

“Kau orang pun tak sembahyang lagi kan? Jom berjemaah dengan pak cik,” ujar bapa Laily kepada Azrizal, Shafik dan Iqbal.

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan. Selama 17 tahun mereka hidup, hanya beberapa kali sahaja mereka mengerjakan solat. Itu pun masa kecik-kecik dulu apabila diajar oleh guru mereka ketika di sekolah rendah. Ibu bapa mereka sendiri pun tidak berapa menitikberatkan perihal solat.

“Tak apalah, pak cik. Kejap lagi kita orang sembahyanglah,” Shafik sengaja mencari alasan.

“Tak elok lambat-lambatkan waktu sembahyang. Jom lekas,” tegas bapa Laily.

“Riz, Ball… macam mana ni?” Shafik serba salah. Kantoilah macam ni!

“Jomlah. Nazhan?”

“Naz dah sembahyang tadi,” ujar Nazhan.

Azrizal, Shafik dan Iqbal terkedu dengan jawapan Nazhan. Nazhan yang baru berusia sembilan tahun itu pun sudah pandai mendirikan solat. Tiba-tiba mereka berasa malu.

“Aku tak tahulah,” mereka berbisik-bisik sesama sendiri.

“Kita ikut ajalah. Kan pak cik yang jadi imam.”

“Siapa yang nak jadi imam?”

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan kemudian memandang bapa Laily.

“Pak cik ajalah. Kita orang ni belum cukup ilmu lagi nak jadi imam,” kata Azrizal. Takkan kita orang pula yang nak jadi imam? Silap nanti, naya!

“Laaa… sembahyang macam biasa aja. Cuma niatnya aja lain. Niat sembahyang berjemaah.”

“Tak apalah, pak cik. Lebih elok rasanya kalau pak cik yang jadi imam.”

“Yalah.”

Azrizal, Shafik dan Iqbal menarik nafas lega kerana bapa Laily tidak memaksa mereka menjadi imam.

Selepas solat berjemaah, mereka bertiga dijamu dengan hidangan makan malam. Mereka tidak menyangka yang Laily juga handal memasak selain bijak dalam pelajaran.

“Bertuah betul siapa yang dapat jadi suami Laily ya,” Iqbal menambah nasi ke pinggannya. Berselera betul dia makan. Sudah lama rasanya dia tidak merasa masakan rumah. Hari-hari makan kat kedai pun muak juga apatah lagi makanan segera.

“Tak adalah. Mak yang masak. Laily cuma tolong aja,” ujar Laily merendah diri. Memandangkan dia anak sulung perempuan di rumah selepas kakaknya melanjutkan pelajaran ke universiti, maka dia bertanggungjawab membantu ibunya menguruskan kerja rumah.

“Kalau mak pandai masak, anaknya pun mesti pandai kan?” Shafik mencelah.

Laily cuma tersenyum.

“Tapi masakan mak cik mesti tak sesedap masakan mak kau orang kan?”

Azrizal, Shafik dan Iqbal terdiam. Azrizal sudah lama tidak merasa masakan ibunya semenjak ibunya sibuk bekerja. Shafik pula langsung tidak pernah merasa masakan ibunya memandangkan ibunya tidak pernah memasak untuknya. Begitu juga dengan Iqbal. Ibunya manalah tahu memasak. Segala kerja memasak diserahkan kepada pembantu rumah walaupun ibunya tidak bekerja.

“Eh, kenapa berhenti? Tambahlah nasi tu,” Laily yang sudah mengetahui ‘cara hidup’ ketiga-tiga sahabatnya itu mengubah topik. Ibunya yang tidak mengetahui apa-apa itu kelihatan terpinga-pinga namun tidak bertanya lanjut.

“Makan banyak-banyak sikit,” ibu Laily menyenduk lauk ke pinggan tiga pelajarnya itu. Mungkin kata-katanya tadi menyinggung perasaan mereka. Dia sendiri tidak begitu mengetahui latar belakang mereka memandangkan dia tidak mengajar kelas tingkatan lima.

Mungkin juga ada antara mereka bertiga yang sudah tidak mempunyai ibu. Fikirnya.

Mereka kembali menjamu selera apabila tiba-tiba telefon di rumah itu berdering. Puan Humaira bangkit untuk menjawab panggilan itu.

“Siapa?” tanya Encik Naziri kepada isterinya apabila Puan Humaira kembali menyertai mereka semua di meja makan.

“Mazleen,” jawab Puan Humaira.

Mazleen yang juga guru kelas Laily, Azrizal, Shafik dan Iqbal memang rapat dengan Puan Humaira. Mungkin kerana Puan Humaira tidak seperti cikgu-cikgu lain di sekolah itu yang suka memperkatakan perihal peribadi Mazleen.

Status Mazleen yang masih belum berkahwin walaupun umurnya sudah pun mencecah 30 tahun sering menjadi isu perbualan samada guru-guru mahupun pelajar. Ramai yang membuat andaian yang Mazleen membujang sampai sekarang kerana tidak ada lelaki yang tahan dengan sikapnya memandangkan dia seorang yang garang dan kuat berleter.

Hanya Puan Humaira yang mengetahui duduk perkara yang sebenar memandangkan Mazleen sering mengadu kepadanya malah wanita itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Walaupun mempunyai abang dan kakak namun keadaan Mazleen tetap ibarat sebatang kara kerana abang dan kakaknya masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

Mazleen kini hanya tinggal berdua dengan ibunya yang sudah tua. Wanita itu bekerja keras bagi memastikan sisa-sisa hidup ibunya dilimpahi kesenangan. Ibunya itu sudah cukup menderita atas perbuatan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu. Lelaki itu sudah menghancurkan kehidupan mereka sekeluarga. Lelaki yang sepatutnya membela hidup mereka. Lelaki yang diharapkan bagi menjaga mereka.

Mazleen hiba melihat keadaan ibunya yang terlantar di atas katil. Terbit rasa kasihan pada wajah itu. Hampir setiap hari sepak terajang menjadi makanan rujinya. Entah apalah dosa ibunya sehingga diperlakukan seperti itu oleh suaminya sendiri. Bapanya yang tidak bekerja itu hanya menghabiskan masa bermain judi dan minum arak.

Bila kalah judi, arak jadi santapannya. Lantaran itu, ibunya pula yang sering menjadi mangsa kemarahannya. Ekoran itu, Mazleen lebih rela membujang seumur hidup daripada mendapat suami seperti ayahnya.

Tiada ulasan: