“Duduk sini!” Shafik dan Iqbal menahan Azrizal selepas waktu sekolah.
“Apa ni?” Azrizal bangkit namun dihalang oleh Shafik.
“Jangan banyak tanya, duduk!”
“Kau orang nak apa? Aku ada hal ni,” Azrizal melihat jam di tangannya. Sepuluh minit telah berlalu dari waktu yang dijanjikan. Nanti apa pulak kata orang yang menunggunya itu?
“Owh… ada hal?” Shafik dan Iqbal saling berpandangan. “Hal apa? Dating?”
Selepas balik dari JB, sikap Azrizal seakan berubah. Azrizal sudah jarang-jarang menghabiskan masa bersama mereka berdua. Apabila ditanya, ada-ada sahaja jawapannya. Malah yang lebih menghairankan mereka, Azrizal sering sahaja menghilang selepas waktu sekolah.
“Dating? Dating apa pula ni? Mana aku ada dating,” bantah Azrizal.
“Tengok tu, Chap. Masih nak berpura-pura. Semalam kau pergi mana?”
“Semalam?”
“Petang semalam!”
“Petang semalam? Err… aku jumpa kawan.”
“Kawan mana?”
“Laki-laki ke perempuan?”
“Kita orang kenal?”
“Siapa?”
“Kenapa dengan kau orang ni?” Azrizal bangkit.
“Duduk!” Shafik dan Iqbal menekan bahu Azrizal ke kerusi.
“Selagi kau tak berterus-terang dengan kita orang, kita orang takkan lepaskan kau…” ugut Shafik.
“Kenapa pulak aku kena berterus-terang dengan kau orang? Dahlah. Aku dah lambat ni,” Azrizal terus berlalu sebelum Shafik dan Iqbal sempat menahannya.
***
“Kenapa awak lambat?”
“Sorry… ada gangguan tadi.”
“Gangguan?”
“Tak ada apalah. Jomlah kita mula.”
“Ok. Sampai mana kita semalam?”
“Muka surat 20.”
Begitulah rutin mereka setiap petang selepas habis waktu sekolah. Mengulangkaji pelajaran bersama di perpustakaan sekolah. Pasangan itu khusyuk menelaah pelajaran apabila tiba-tiba sekumpulan guru menghampiri mereka.
“Owh…ini kerja kamu berdua ya?”
Pasangan itu tersentak lalu berpaling.
“Cikgu…”
“Ada pelajar mengadu pada saya yang kamu berdua bermadu kasih kat perpustakaan ni,” tegas Puan Hajah Rubiah.
“Tapi kita orang tak buat apa-apa, cikgu. Kita orang cuma buat ulangkaji. Itu aja,” pelajar lelaki itu membela diri. Siapa pula yang buat cerita ni?
“Siapalah yang tahu apa yang kamu berdua buat. Ikut saya ke pejabat sekarang!” tegas Puan Hajah Rubiah.
***
“Saya betul-betul kecewa dengan awak, Laily. Saya tak sangka awak macam ni.. Kamu kan pengawas. Pelajar contoh,” Puan Hajah Rubiah menegur sikap tidak senonoh dua pelajarnya itu. Mujur seorang pelajar memberitahunya tentang perkara itu. Jika tidak, pasti sampai bila-bila pun dia tidak tahu akan perbuatan dua pelajarnya itu. “Dan kamu Azrizal, awak tak serik-serik ke?”
“Cikgu, kita orang tak buat apa-apa,” tegas Azrizal. Jika betul dia bersalah, dia berani mengaku tapi kali ini dia tahu dia tak salah. Malah, dia dan Laily bukannya berdua-dua di perpustakaan itu. Masih ada pengawas perpustakaan yang menjaga perpustakaan pada waktu itu.
“Duduk berdua-duaan awak kata tak buat apa-apa? Awak patutnya rasa malu dengan perbuatan awak. Apa reaksi ibu bapa awak kalau dia orang tahu pasal perkara ni?”
***
“Kita orang tak buat apa-apa, mak. Kita orang cuma buat ulangkaji. Itu aja. Mak percayakan Laily kan?” Laily cuba menerangkan perkara yang sebenar kepada ibunya.
Dari tadi ibunya hanya membisu. Laily tahu ibunya mesti malu apabila peristiwa dia dan Azrizal ditangkap berdua-duaan di perpustakaan siang tadi disampaikan oleh pengetua.
“Apa gunanya kalau mak sorang aja yang percayakan Laily tapi orang lain tak percaya?” dia cuba menahan sebak. Siapa yang tidak malu apabila kelakuan tidak senonoh anaknya tersebar ke seluruh sekolah? Pasti orang menganggap dia tidak pandai mendidik anak. Macam mana dia hendak mendidik pelajar-pelajarnya sedangkan anaknya sendiri tidak terajar?
“Laily tak kisah orang lain percaya ke tak. Asalkan mak percaya Laily, Laily dah puas hati,” Laily mencapai tangan ibunya lalu dikucupnya.
“Mak percayakan Laily,” rambut Laily diusap. Laily memeluk ibunya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan