Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 04, 2008

Budak S.M.A.R.T. 22

“Assalamualaikum, Ayah Su!”

“Waalaikummussalam!” Lelaki yang berusia hampir 40 tahun itu menjenguk ke halaman rumahnya. Dia terkejut melihat tetamu yang datang. “Riz?”

“Apa khabar, Ayah Su?” Azrizal menyalami ayah saudaranya itu.

“Baik. Riz datang dengan siapa?” Farizul melihat ke halaman. Kosong. Bayang kereta milik Ariffin dan Farhana pun tak ada.

“Sorang aja,” balas Azrizal.

“Meh masuk,” Farizul mempersilakan Azrizal masuk ke rumahnya.

Azrizal membelek gitar di ruang hadapan tatkala ayah saudaranya muncul membawa minuman.

“Kenapa Riz datang tiba-tiba ni? Riz tak sekolah ke?” Azrizal diam. Farizul seakan dapat menangkap. “Riz ponteng sekolah ya?” Azrizal diam lagi. “Mak dan ayah tahu tak Riz datang rumah Ayah Su ni?”

Azrizal menggeleng.

“Dia orang tu kan asyik sibuk dengan kerja. Mana dia orang ada masa nak ambil tahu pasal Riz,” adu Azrizal.

Farizul mengerti. Ibu Azrizal adalah kakak sulungnya. Dahulu, hidup mereka susah. Nak makan nasi sekali sehari pun payah. Mungkin kerana kesusahan hidup pada masa silam menjadikan kakaknya itu kuat bekerja. Tapi sayangnya kakaknya itu tidak sedar ada yang lebih berharga di dalam hidupnya selain wang. Anak…

Dia juga cemburu melihat kakaknya mempunyai keluarga sedangkan dia tidak berpeluang mempunyai semua itu. Dia pernah menyukai seorang wanita namun sayangnya cinta mereka terputus di tengah jalan atas desakan keluarga wanita itu. Alasannya kerana dia tidak mempunyai kerja tetap. Kerjanya sebagai pemuzik dipandang rendah.

Lantaran itu, dia hidup membujang sampai sekarang. Kehadiran Azrizal sedikit sebanyak mengubat hatinya untuk memiliki anak. Azrizal sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia bersimpati dengan nasib Azrizal yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya sendiri.

“Ayah Su, Riz tanya sikit boleh?”

“Apa dia, Riz?”

“Macam mana perasaan Ayah Su bila orang yang Ayah Su suka tinggalkan Ayah Su dulu? Pernah tak Ayah Su rasa sedih, marah dan sakit hati?” Memandangkan hubungan mereka rapat, jadi Azrizal juga mengetahui serba sedikit mengenai kisah percintaan ayah saudaranya itu.

“Memang itulah yang Ayah Su rasa bila orang yang Ayah Su sayang meninggalkan Ayah Su. Tak ada apa yang lebih menyakitkan di dunia ini selain dikhianati oleh orang yang kita sayang. Tapi kita kena fikir positiflah. Mungkin dia bukan untuk kita dan kita harus yakin bila Tuhan ambil sesuatu dari kita bermakna Dia telah siap untuk memberikan sesuatu yang lebih baik sebagai gantinya,” ujar Farizul.

“Ayah Su buat apa untuk lupakan orang yang Ayah Su sayang tu?” tanya Azrizal lagi.

“Ayah Su tak pernah melupakan dia sebab dia pernah memperindahkani hari-hari Ayah Su dulu. Sampai sekarang pun Ayah Su masih sayangkan dia,” tiba-tiba bayangan wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu bermain di ingatan Farizul. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang dapat menggantikan tempat itu di hatinya.

“Sebab tu ke Ayah Su tak kahwin sampai sekarang?”

“Itu semua kisah lama, Riz,” Farizul tidak mahu mengenangkan peristiwa sedih itu lagi. Hidup harus diteruskan. “Yang Riz tanya pasal Ayah Su ni kenapa? Riz putus cinta ke?”

“Riz tak tahu apa salah Riz. Selama ni hubungan kita orang baik-baik aja. Tiba-tiba kelmarin dia cakap kat Riz yang dia dah ada orang lain,” Azrizal mengadu perihal Athira kepada ayah saudaranya.

“Riz tak tanya dia kenapa dia buat macam tu?”

“Riz dah tanya tapi dia tak nak cakap. Yang Riz tak puas hati, kenapa dia tak nak cakap terus-terang dengan Riz?”

“Mungkin dia tak nak Riz kecik hati.”

“Riz akan lebih kecik hati kalau Riz tak tahu perkara yang sebenarnya.”

“Riz, ada kalanya sesetengah perkara tu lebih elok dirahsiakan. Ayah Su rasa tak payahlah Riz ambil pusing sangat pasal perkara ni. Riz masih muda. Perjalanan hidup Riz masih panjang. Dalam usia Riz sekarang, Riz sepatutnya tumpukan perhatian pada pelajaran. Kalau Riz ada pelajaran, ada duit, Ayah Su jamin mesti ramai perempuan yang nak kat Riz. Yang penting sekarang, Riz belajar betul-betul sampai masuk universiti. Kat universiti nanti, lagi banyak pilihan yang boleh Riz pilih. Semua cantik-cantik dan ayu-ayu belaka,”nasihat Farizul panjang berjela.

“Tapi Riz cuma sukakan dia sorang.”

“Sekarang ni bolehlah Riz cakap macam tu. Bila dah lama-lama nanti, Ayah Su yakin Riz akan jumpa perempuan yang betul-betul sayangkan Riz. Riz jangan jadi macam Ayah Su. Membujang sampai ke tua. Bila dah tua macam ni, tak ada siapa nak teman,” ujar Farizul separuh berseloroh.

“Riz kan ada. Riz boleh temankan Ayah Su.”

“Yalah tu. Riz nak ke tinggal kat kampung ni? Rumah Ayah Su ni tak ada komputer. Internet lagilah tak ada. Lama-lama nanti mesti Riz bosan.”

“Riz takkan bosan kalau Ayah Su ada.”

“Pandailah Riz.”

“Ayah Su… Riz tidur sini dua, tiga hari lagi ya?”

“Sekolah Riz macam mana? Ada kawan Riz tahu Riz datang sini?”

“Tak ada. Riz tak bagi tahu sesiapa pun,” Azrizal memang sengaja merahsiakan kedatangannya ke situ.

“Ayah Su boleh bagi Riz tinggal kat sini tapi Riz kena bagi tahu mak dan ayah Riz dulu. Nanti risau pula dia orang.”

“Yalah. Nanti Riz telefon mak.”


***


Sudah empat hari Azrizal tidak masuk sekolah. Keadaan itu membimbangkan Shafik dan Iqbal. Guru-guru juga sudah ramai yang bertanya.

“Aku tengok si Riz tu makin parahlah. Dah empat hari dia tak datang sekolah. Bila aku telefon rumah dia, tak ada orang jawab pula,” ujar Shafik. Dia semakin gusar dengan keadaan Azrizal.

“Dia pergi tempat lainlah tu. Aku rasa kita kena buat sesuatulah,” celah Iqbal.

“Aku sokong cakap kau. Kita tak boleh biarkan dia terus-terusan macam tu,” Azleen pula bersuara.

“Betul tu. SPM pun dah dekat,” tambah Melissa.

“Teruk sangat ke putus cinta ni?” soal Iqbal. Kalau orang dah tak nak, cari ajalah yang lain!

“Kau tak rasa lagi…” ujar Azleen.

“Kau pernah putus cinta ke?” Iqbal bertanya kepada Azleen.

“Perlu ke aku jawab soalan kau tu?” Pertanyaan Iqbal dibalas dengan pertanyaan oleh Azleen.

“Yalah sebab cara kau cakap macam kau dah pernah rasa.”

“Kalau aku pernah rasa pun, apa kena-mengena dengan kau?”

“Kita ni nak bincang pasal Riz ke ataupun nak bincang pasal kau orang?” Shafik menyedarkan mereka.

“Sorry, sorry. Berbalik pada topik perbincangan kita tadi. So, apa kita nak buat dengan Riz tu? Macam mana kita nak kembalikan dirinya seperti Riz yang dulu?” Iqbal mengembalikan perbualan mereka ke akarnya. “Kau orang ada apa-apa cadangan?”

Masing-masing senyap. Berfikir.

“Hah, apa kata kita ajak dia pergi memancing?” cadang Shafik.

“Ala, bosanlah memancing! Benda lainlah,” celah Azleen.

“Kita bawa dia pergi berkelah nak?” cadang Melissa pula.

“Yang tu lebih baik,” Azleen bersetuju. “Kat mana?”

“Teluk Cempedak?” Iqbal menyebut salah satu pantai yang terkenal di Kuantan.

“Teluk Cempedak ramai oranglah. Kita pergi Balok ajalah,” suara Melissa pula.

“Batu Hitam?” cadang Azleen lagi.

“Taman Gelora,” ujar Melissa.

“Berapa banyak daa? Tak kisahlah mana-mana pun. Janji Riz nak ikut,” ujar Shafik.

“Siapa nak ajak dia?”

Serentak pandangan mereka tertumpu kepada Shafik.

“Kenapa aku pula?”

“Sebab kau yang paling rapat dengan dia,” balas Melissa.

“Kau dengan Riz kan dah kawan lama.”

“Okaylah tapi kalau dia tak nak ikut, terpaksalah kita tukar plan kita.”

“No problem.”


***


Selepas waktu sekolah, Shafik dan Iqbal terus mencari Azrizal di rumahnya. Namun rumah itu seakan tidak berpenghuni.

“Macam tak ada orang aja, Chap,” Iqbal sudah tidak larat menjerit.

“Mana dia pergi?”

“Kita cuba tengok kat Megamall. Mungkin dia ada kat sana.”

Shafik dan Iqbal mencari Azrizal di tempat-tempat yang biasa mereka kunjungi bersama. Di Megamall, Kuantan Parade, Kuantan Plaza, Teluk Cempedak, semua mereka jelajahi namun masih tidak nampak bayang Azrizal.

“Mana kita nak cari dia ni? Habis semua tempat kita dah pergi tapi tak jumpa dia,” rungut Iqbal apabila mereka berhenti minum di Mc’ Donalds, Teluk Cempedak.

“Kau ingat Riz tu barang ke? Dia ada kaki. Mestilah dia tahu berjalan,” balas Shafik. “Kalau kau putus cinta, kau pergi mana?”

“Aku balik kampung kut,” ujar Iqbal selamba.

“Ya tak ya. Riz pernah cakap kan yang dia baik dengan pak cik dia,” Shafik mula teringat perihal ayah saudara Azrizal.

“Apa kena-mengena dengan pak cik dia?”

“Aku rasa betullah. Mesti dia balik kampung.”

“Kau tahu ke kampung dia kat mana?”

“Kat JB!”

“Kita nak pergi sana ke?”

“Good idea!”

Tiada ulasan: