Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 04, 2008

Budak S.M.A.R.T. 21

Para pelajar sedang tekun menjawab soalan yang ditulis di papan hitam. Laily melihat tempat duduk Azrizal yang tidak berpenghuni.

“Lisa, kau tahu tak kenapa Riz tak datang hari ni?” Laily bertanya Melissa di sebelahnya.

“Entah,” jawab Melissa. “Chap…. Shafik!”

“Apa?” tanya Shafik tanpa menoleh ke belakang. Dia khusyuk menulis.

“Kenapa Riz tak datang?” Pertanyaan Melissa itu membuatkan Shafik terhenti menulis lalu menoleh ke belakang.

“Kenapa tiba-tiba tanya pasal Riz ni? Kau rindu kat dia ke?”

“Bukan aku. Laily ni.”

Laily tersentak. Dia tertunduk malu.

“Owh… cakaplah awal-awal. Riz tak datang sebab…” Shafik memandang Iqbal. “Sebab apa, Ball?”

“Sebab apa lagi? Sakitlah!” sambung Iqbal.

“Sakit apa?” tanya Laily. Entah kenapa dia rasa ingin tahu.

“Sakit hati!” Iqbal sengaja menguatkan suaranya agar didengari oleh Athira dan Shamsul. Athira tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya namun dia pura-pura tidak mendengar.

“Iqbal, Shafik, sembang apa lagi tu?” tegur Cik Mazleen.

“Tak ada, cikgu. Si Melissa ni sibuk tanya pasal Azrizal,” ujar Shafik.

“Hish! Aku pula,” Melissa memukul Shafik dari belakang.

“Aduh!” Shafik memegang lengannya. “Cikgu tengok Melissa ni. Eee…Apa usik usik orang ni? Haram tahu! Nanti tak ada orang nak kahwin dengan kau baru tahu.”

“Kalau tak ada orang nak kahwin dengan Melissa, kamu ajalah yang kahwin dengan dia,” kata-kata Cik Mazleen disahut dengan sorakan pelajar-pelajar di kelas itu. Melissa tertunduk malu.


***


Azrizal masih berbaring di katil walaupun hari sudah meninggi. Dia tidak ada mood untuk berbuat apa-apa pun. Suara radio sengaja dikuatkan. Dia tidak peduli jika jiran-jirannya berasa terganggu dengan bunyi itu. Yang penting, hatinya puas!

Dia masih tidak dapat menerima hakikat perpisahannya dengan Athira. Masih terbayang lagi wajah Athira ketika itu. Apa salah aku? Kenapa Tya sanggup buat aku macam ni?

Sementara itu di rumah Laily, Laily termenung di hadapan komputer. Berita yang disampaikan oleh Melissa ketika di sekolah tadi bermain di fikirannya.

“Riz dengan Tya dah putus?” Laily terkejut apabila Melissa memberitahunya tentang perkara itu. “Macam mana kau tahu?”

“Chap yang bagi tahu aku tadi,” balas Melissa

“Tapi apa sebabnya?” tanya Laily lagi.

“Tya dah ada orang lain,” jawab Melissa.

“Boleh pula macam tu?” Laily sukar mempercayainya. Setelah dua tahun bercinta, tak sangka Tya tinggalkan Riz sebab orang lain. Kasihan Riz. Mesti hatinya terluka. Patutlah dia tak datang sekolah hari ni.

“Tapi bukan ke selama ni dia orang baik-baik aja?” ujar Laily. Bahkan Azrizal dan Athira adalah pasangan paling romantik di sekolah ini hingga mendapat gelaran pasangan contoh kerana hubungan mereka yang paling lama bertahan.

“Soal hati ni tak boleh dijangka. Hari ni mungkin kita suka kat orang lain. Mana tahu esok lusa hati kita sangkut kat orang lain pula,” ujar Melissa. Tak boleh nak salahkan Tya juga. Mungkin dia dah jumpa orang yang lebih baik daripada Riz.

“Tapi dia orang kan dah lama bercinta?”

Melissa menjungkit bahu.

“Aku tengok kau asyik tanya pasal Riz aja. Kau ada hati dengan dia ya?” Melissa serkap jarang.

“Mana ada?” Laily cuba berlagak tenang walaupun sebenarnya hatinya sudah dilanda keresahan. Betul ke aku suka pada dia? “Dia kan classmate kita. Tak salah kan kalau aku ambil berat pasal dia?”

“Ya ke?” Melissa sengaja mengorek rahsia hati Laily. Selama ini dia tidak pernah nampak Laily dan Azrizal berbual-bual apatah lagi bermesra walaupun mereka duduk berdekatan di dalam kelas. Tegur pun jarang-jarang. Tetapi siapa yang dapat mengawal takdir?

“Yalah. Dahlah, malas aku nak layan kau. Cepatlah makan. Waktu rehat dah nak habis ni,” Laily menghabiskan sisa nasi lemaknya. Melissa cuma tersengih melihat reaksi Laily.

Laily merenung skrin komputernya. Agak-agak dia online tak sekarang? Laily menekan kekunci komputer menaip laman web my space. Selepas memasukkan emel dan kata laluan, dia menunggu seketika. Hatinya terasa berdebar-debar. Minta-mintalah dia online.

Namun Laily kecewa apabila status ‘online’ tidak kelihatan pada nama Lonely Soldier Boy. Dia mengeluh hampa. Kenapa aku risaukan dia? Kenapa aku nak ambil tahu pasal dia? Kenapa aku rasa tak tenteram bila sehari tak chat dengan dia? Betul ke aku suka kat dia?

Tiada ulasan: