Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 04, 2008

Budak S.M.A.R.T. 23

“Riz! Riz!”

“Macam tak ada orang aja. Betul ke ni rumahnya?”

“Betullah. Cuba kau tengok ni,” Shafik menyua secebis kertas yang tertera alamat kampung Azrizal kepada Iqbal.

“Nombor rumah sama tapi mana Riznya?” Iqbal memerhati sekeliling kawasan rumah kayu itu.

“Dia keluar agaknya,” Shafik melabuhkan punggung di tangga. Penat di dalam bas tadi masih belum hilang.

“Kita tunggulah kejap…” Iqbal turut mengambil tempat di sebelah Shafik.

Beberapa jam kemudian, barulah Azrizal dan pak ciknya pulang dari kebun. Azrizal dan Farizul terkejut apabila melihat dua tubuh sedang nyenyak tidur di serambi rumah itu.

“Siapa tu, Riz?” tanya Farizul.

Azrizal mengamati kedua-dua wajah itu. Dia tergamam melihat dua sahabatnya itu. Chap? Ball?

“Ni kawan Riz, Ayah Su,” Azrizal segera mengejutkan Shafik dan Iqbal. Shafik dan Iqbal terjaga daripada lena. Mereka gembira melihat Azrizal lantas segera memeluknya.

“Riz, mana kau pergi? Puas kita orang cari kau.”

“Kita orang rindu gila kat kau.”

Azrizal meleraikan pelukan mereka. Apa peluk-peluk ni? Geli aku!

“Chap, Ball, ni pak cik aku. Ayah Su, ni kawan sekolah Riz kat Kuantan. Ni Shafik, ni Iqbal,” Azrizal memperkenalkan mereka. Shafik dan Iqbal bersalaman dengan Farizul.

“Owh…kau orang datang dari Kuantanlah ni? Jauhnya…”

“Kita orang datang ni nak pujuk Riz balik, pak cik,” Iqbal menerangkan maksud kedatangan mereka ke situ.

“Baguslah tu. Pak cik pun tertanya-tanya juga. Bilalah agaknya si Riz ni nak balik?” seloroh Farizul.

“Sampai hati Ayah Su nak halau Riz…” Azrizal pura-pura merajuk walaupun sebenarnya dia tahu ayah saudaranya itu cuma bergurau. Dia tahu Farizul bimbang tentang pelajarannya.

“Baguslah kalau Riz tahu…”

Farizul tahu dia tidak boleh terlalu memanjakan Azrizal sehingga memudaratkan diri Azrizal sendiri. Jika Azrizal enggan pulang ke Kuantan, dia tidak akan teragak-agak menggunakan kekerasan.

“Macam mana kau orang tahu aku kat sini?” Azrizal hairan. Seingatnya, dia tidak memberitahu sesiapa pun tentang kedatangannya ke situ.

“Merata Kuantan kita orang cari kau. Sampai hati kau menghilang macam tu aja. Kau tak anggap kita orang ni kawan kau ke?” Shafik terkilan kerana Azrizal tidak memberitahu mereka akan ‘kehilangannya’.

“Aku bukan apa. Aku cuma tak nak diganggu. Lagipun aku belum bersedia nak berhadapan dengan Tya dan Shamsul,” jelas Azrizal.

“Jadi, adakah kedatangan kita orang ni mengganggu kau?” Shafik berasa kecik hati kerana kedatangan mereka seolah-olah tidak dihargai.

“Tak adalah. Aku terharu kau orang sanggup datang sini semata-mata nak cari aku,” balas Azrizal. Dia tak sangka Shafik dan Iqbal sanggup mencarinya sampai ke Johor Bahru.

Sebenarnya Shafik dan Iqbal tak puas hati dengan Azrizal sebab tak ajak dia orang ponteng sekolah sekali!

Shafik memeluk bahu Azrizal kemudian berkata, “Kau pernah dengar tak ayat a simple friend expects you to always be there for him but a real friend expects to always be there for you?”

“Tak pernah,” balas Azrizal. “Anyway, thanks Chap, Ball…”

“Dah, dah. Kut ya pun bawalah kawan ni naik. Kesian dia orang. Mesti dah lama tunggu tadi sampai tertidur…” Farizul menggeleng kepala melihat gelagat tiga sekawan itu.

“Eh, jomlah naik!” Azrizal mempelawa Shafik dan Iqbal naik ke rumah.


***


Malam… selepas makan, Farizul mendapatkan Azrizal yang termenung di serambi sambil melihat langit.

“Riz, tak tidur lagi?”

“Eh, Ayah Su. Riz tak dapat tidurlah…”

“Shafik dan Iqbal mana?” Farizul menjenguk sekeliling. Takkan dah tidur kut? Baru pukul sembilan.

“Dia orang dah tidur. Penat sangatlah tu,” jawab Azrizal.

“Bertuah betul Riz dapat kawan macam Shafik dan Iqbal tu. Sanggup bersusah-payah untuk Riz…” Farizul terharu dengan kesanggupan Shafik dan Iqbal mencari Azrizal hingga ke situ.

“Riz pun tak sangka dia orang datang dari Kuantan semata-mata nak ajak Riz balik,” Azrizal turut terharu dengan keprihatinan kawan-kawannya itu. Rupa-rupanya masih ada yang mengambil berat perihal dirinya.

“Tuhan tu kan Maha Adil. Mungkin Riz kehilangan perempuan yang Riz sayang tapi pada waktu yang sama Riz dikurniakan oleh Allah kawan-kawan yang sangat menyayangi Riz dan mengambil berat tentang Riz. Bila kita senang, ramai yang mengaku kita kawan tapi bila kita ditimpa kesusahan, adakah dia orang masih setia bersama kita? Zaman sekarang memang payah nak cari kawan yang sanggup berkongsi susah senang dengan kita. Jangan abaikan orang yang menyayangi kita semata-mata kerana orang yang kita sayang,” tegas Farizul.

“Riz faham maksud Ayah Su. Terima kasih, Ayah Su…”

“Habis tu, bila Riz nak balik Kuantan?”

“Ayah Su ni macam tak suka aja Riz lama-lama kat sini.”

“Kalau Riz lama-lama kat sini sebab cuti memang Ayah Su suka tapi kalau Riz lama-lama kat sini sebab nak lari dari kenyataan… itu yang Ayah Su tak suka. Hari Ahad ni, Ayah Su nak Riz balik Kuantan dan hadapi kenyataan ni dengan tabah. Beranikan diri berdepan dengan kenyataan. Ayah Su juga tak nak pelajaran Riz merosot gara-gara benda remeh-temeh ni. Riz kan nak ambil SPM hujung tahun ni,” Farizul sudah memulakan khutbahnya.

“Ala…Ayah Su, apa guna Riz belajar rajin-rajin kalau mak dan ayah pun tak pernah peduli pasal Riz?”

“Riz, Riz belajar bukan untuk mak dan ayah Riz tapi untuk diri Riz sendiri. Untuk masa depan Riz sendiri… Jangan Riz jadikan mak dan ayah Riz sebagai alasan untuk Riz gagal dalam pelajaran. Bila Riz berjaya nanti, siapa juga yang senang? Riz juga kan?”

“Tapi Riz tak suka subjek yang Riz belajar sekarang.”

“Subjek apa yang Riz tak suka tu?”

“Akaun, ekonomi…”

“Kenapa Riz tak suka subjek-subjek tu?”

Azrizal menjungkit bahu.

“Entah. Mungkin sebab Riz tak faham apa yang cikgu ajar kut.”

“Kalau tak faham, kenapa Riz tak tanya cikgu? Kalau Riz malu nak tanya cikgu Riz, Riz boleh tanya kawan-kawan Riz…”

“Ala…Shafik dan Iqbal pun dua kali lima aja dengan Riz…”

“Riz tak ada kawan lain ke selain Shafik dan Iqbal? Riz tanyalah kawan Riz yang tahu.”

“Yalah, yalah,” Azrizal sudah malas hendak berdebat dengan ayah saudaranya itu. Setiap kali berdebat dengan Farizul, pasti dia yang kalah. Maklumlah selain hebat bermain gitar, Farizul juga juara pidato di zaman sekolahnya dulu.


***


Azrizal merebahkan tubuhnya ke katil. Sudah beberapa hari dia tidak tidur di atas katil itu. Tiba-tiba matanya tertancap pada komputer di sebelah katil. Azrizal bangkit melangkah ke komputer.

“Check emel dulu!”

Azrizal menyemak emelnya. Berpuluh-puluh emel memenuhi inbox emelnya. Namun, dalam banyak-banyak emel itu, yang menarik perhatiannya adalah satu emel yang bertajuk Untuk Sahabat daripada Laily.

Azrizal membaca emel itu. Rupa-rupanya Laily mengirim sebuah lagu kepadanya berserta liriknya sekali.


Biarkan saja kekasihmu pergi
Teruskan saja impian kau tunda
Kita temukan tempat yang layak
Sahabatku…

Ku percayakan langkah bersamamu
Tak ku ragukan berbagi denganmu
Kita temukan tempat yang layak
Sahabatku…

Kita mencari jati diri di lautan mimpi
Aku bernyanyi untuk sahabat
Aku berbagi untuk sahabat
Kita bisa jika bersama
Kita berbagi untuk sahabat
Kita bernyanyi untuk sahabat
Kita bisa jika bersama

Tiba waktunya kita untuk berbagi
Untuk saling memberi…



Azrizal tersenyum membacanya. Kemudian dia memuat turun lagu itu ke komputernya. Dia memainkan lagu itu sebaik-baik sahaja lagu itu selesai dimuat turun. Serta-merta suara Audy, penyanyi Indonesia itu kedengaran.

Tiada ulasan: