Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 20

Athira menunggu kedatangan Azrizal di hadapan bangunan berwarna hijau itu. Sesekali dia melihat jam di tangannya.

“Tya!” Athira menoleh. Azrizal menghampirinya. “Sorry lambat. Lama tunggu?”

“Hai,” Shafik dan Iqbal tersengih memandang Athira. Athira memaksa diri mengukir senyuman.

“Kenapa Riz ajak dia orang?” ujar Athira separuh berbisik. Athira kurang senang dengan kehadiran Shafik dan Iqbal. Dia perlukan privacy dengan Azrizal.

“Kebetulan dia orang datang rumah Riz tadi jadi Riz ajaklah dia orang sekali. Tya tak kisah kan?”

“Riz, sebenarnya Tya ada benda nak cakap dengan Riz… alone.”

“Boleh. Chap, Ball, kau orang pergilah merayau mana-mana dulu. Aku ada hal sikit dengan Tya.”

“No problem. Kita orang tunggu kau kat food court,” ujar Shafik.

“Okay, nanti aku datang.”

Shafik dan Iqbal menghilang ke dalam bangunan itu. Azrizal berpaling mengadap Athira.

“Kita pergi minum?” cadang Azrizal. Betapa dia gembira apabila Athira menelefonnya pagi tadi dan mengajaknya ke Megamall.

“Tak apalah. Kat sini sajalah. Tya sekejap aja ni.”

“Apa yang Tya nak cakap sampaikan Shafik dengan Iqbal pun tak boleh dengar?”

“Tya nak cakap pasal kita.”

“Pasal kita?” Azrizal berkerut. “Kenapa dengan kita?”

“Riz…” Athira serba salah. “Tya rasa sampai sini saja hubungan kita. Mulai hari ini, hubungan kita tak lebih daripada kawan biasa.”

Azrizal terkejut.

“Apa yang Tya cakap ni? Riz ada buat salah ke? Kalau Riz ada buat salah, Riz minta maaf, okay?”

“Riz tak buat salah. Tya yang salah.”

“Tya, Azleen dengan Liana tu cuma kawan biasa saja, percayalah. Kita orang tak ada apa-apa.”

Azleen dengan Liana? Habis, Laily?

“Sudahlah, Riz. Tya dah ada orang lain.”

“Siapa?” Azrizal terdiam seketika kemudian bersuara. “Shamsul?”

“Itu saja Tya nak cakap. Tya minta maaf,” Athira meninggalkan Azrizal tanpa menoleh lagi.

Azrizal seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Dia tersandar di dinding.

Sementara itu di food court, Shafik dan Iqbal menikmati makan tengah hari tatkala menunggu Azrizal.

“Mana si Riz ni?” Shafik mengunyah Nasi Goreng Pattaya.

“Biarlah dia nak dating lama sikit,” ujar Iqbal. “Minta-minta masalah dia dengan Tya selesai.”

“Harap-harap macam tulah,” Shafik turut berharap agar hubungan Azrizal dan Athira pulih seperti sediakala.

“Haa, panjang pun umur dia,” doa Iqbal tatkala Azrizal menghampiri mereka. Azrizal melabuhkan punggung ke kerusi. Wajahnya sugul.

“Macam mana, Riz? Dah beres?” soal Shafik.

“Dia minta maaf ke?” soal Iqbal pula.

Azrizal diam. Soalan Shafik dan Iqbal dibiarkan tergantung. Shafik dan Iqbal saling berpandangan kehairanan.

“Riz, are you okey?”

“Semuanya dah hancur.”

“Maksud kau?”

“Tya minta putus.”

Shafik dan Iqbal terkejut. Sangka mereka, Athira hendak berjumpa Azrizal bagi memulihkan hubungan mereka berdua namun sebaliknya pula yang berlaku.

“Ada dia cakap kenapa?”

“Dia dah ada orang lain. Tentu kau orang boleh agak siapa orang tu kan?”

“Shamsul?”

Azrizal menggangguk lemah.

“Ala, Riz rilekslah! Bunga bukan sekuntum,” ujar Iqbal memberi semangat.

“Entah! Banyak lagi perempuan lain yang lebih baik malah lebih cantik daripada Tya tu. Aku yakin kau boleh dapat yang lebih baik daripada dia. Kan, Iqbal?” Shafik turut memberikan kata-kata semangat.

“Betul tu, Riz,” Iqbal menyokong kata-kata Shafik. “Kau cakap saja nak yang macam mana. Yang seksi, yang ayu, yang cun? Kita orang boleh carikan.”

“Kau orang tak payahlah nak tenangkan hati aku. Kau orang baliklah dulu. Aku nak bersendirian,” Azrizal bangkit dari kerusi tanpa sempat Shafik dan Iqbal menahan.

“Riz…” Iqbal memanggil Azrizal namun dihalang oleh Shafik.

“Biarlah dia.”

“Tapi…” Iqbal teragak-agak untuk membiarkan Azrizal sendirian.

“Dia takkan bunuh diri punya.”

“Mudah-mudahan.”


***


Kan ku berikan semua
Agar kau gembira sentiasa
Engkau tetap pergi
Pergi meninggalkan ku sendiri

Jangan disimpan tiada rahsia
Katakan saja ku terima
Engkau tetap pergi
Pergi meninggalkan ku sendiri

Waktu duka dulu kita lalui bersama
Bahgia bagaikan malam ditemani bintang terang
Hancur hati bila kau undurkan diri
Meninggalkan daku meninggalkan daku sendiri

Senyuman manis dibawa angin
Kutunggu dikau terasa dingin
Engkau tetap pergi
Pergi meninggalkan ku sendiri



Malam itu, Azrizal tidak dapat melelapkan mata. Bait lirik lagu Aku Skandal nyanyian Hujan seakan-akan bermain-main di fikirannya. Dia masih tidak dapat menerima keputusan Athira pada siang tadi.

Kenapa Shamsul? Apa kurangnya aku dengan Shamsul? Banyak kurangnya! Kau tu malas belajar. Markah ujian selalu rendah. Tak macam Shamsul. Selalu dapat markah paling tinggi dalam kelas. Aktif bersukan pula tu!

Azrizal mengeluh. Terlalu banyak perbezaan antara dia dan Shamsul. Tak hairanlah Tya pilih Shamsul. Tapi kalau dia nak aku berubah, kenapa dia tak cakap aja? Aku pun boleh berubah.

Adakah percintaan yang disemai dua tahun ini tidak ada apa-apa erti buat dia? Kenapa ada derita jika bahagia sudah terbentang?

Tiada ulasan: