Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 13

Azrizal, Shafik dan Iqbal makan di kantin sambil membincangkan perihal rombongan tingkatan lima yang diberitahu oleh Cik Mazleen pagi tadi.

“Macam mana? Kau orang nak pergi tak rombongan tu?” soal Iqbal sambil menjamah nasi lemaknya.

“Mestilah aku nak pergi,” balas Shafik. “Kau, Riz?” Shafik dan Iqbal menumpu kepada Azrizal.

“Mestilah aku nak! Bukan selalu ada peluang macam ni,” ujar Azrizal. Dapat mandi pantai, tidur kat hotel, ada dinner lagi. Mesti best! Lagipun tahun ni kan tahun akhir mereka akan bersama sebelum masing-masing melangkah ke alam kolej. Tapi macam mana aku nak cakap dengan mak dan ayah?

“Ala…bah, bolehlah,” rayunya walaupun dia tahu jawapannya namun dia harus berusaha mendapatkan persetujuan ayahnya.

“Tak payahlah pergi rombongan tu. Bukan ada faedah pun. Buang masa saja,” ujar si ayah apabila anaknya itu memohon kebenaran untuk mengikuti rombongan sekolahnya ke Melaka.

“Tapi semua kawan Laily pergi. Bolehlah, bah,” rayu Laily. Dari dulu lagi dia memang teringin menjejakkan kaki ke negeri bersejarah itu. Dia ingin melihat sendiri bangunan-bangunan itu dengan anak matanya. Tidak puas rasanya hanya mendengar cerita orang.

“Abah kata tak boleh, tak boleh,” tegas si ayah. “Duduk rumah, baca buku.”

Laily mengeluh apabila mengingati waktu dia bersekolah rendah dulu. Ketika dia dalam darjah enam, sekolahnya mengadakan lawatan sambil belajar ke Melaka selama tiga hari dua malam. Semua kawan sekelasnya mengikuti rombongan itu kecuali dia.

Dulu pun mak dan abah tak bagi aku ikut rombongan sekolah pergi Melaka. Sekarang nak pergi De Rhu? Tak payah tanya pun aku dah tahu jawapannya. Tapi itu kan dulu? Sekarang kan aku dah tingkatan lima. Dah pandai jaga diri. Lebih baik aku cuba tanya. Kalau tak tanya, macam mana nak tahu abah bagi ke tak kan?


***


“Bulan depan SMART ada buat trip pergi De Rhu.”

“Laily nak pergi ke?”

Langkah Laily terhenti apabila terdengar namanya disebut. Di dapur, kelihatan ibu dan ayahnya berbincang tentang sesuatu. Pasti berkenaan dirinya.

“Tak adalah pula dia menyebut nak pergi,” ujar Puan Humaira.

“Awak tak tanya dia?” tanya Encik Naziri pula.

“Saya tunggu juga dia cakap pasal perkara ni tapi sampai sekarang pun dia tak cakap apa-apa dengan saya. Kalau dia nak pergi, awak bagi ke?”

“Berapa ringgit kena bayar?”

“Dalam RM150.”

“Banyak tu. Bila kena bayar?”

“Sebelum bulan depan.”

“Saya ni bukan apa. Bukan saya tak nak bagi Laily pergi trip tu tapi awak sendiri pun tahu kan keadaan ekonomi keluarga kita sekarang. Sejak Along, Angah dan Alang masuk universiti, perbelanjaan kita semakin bertambah. Along nak pakai duit. Angah nak pakai duit. Alang pun nak pakai duit. Adik-adiknya lagi. Bulan lepas kita dah habis dekat RM3000 beli laptop untuk Alang.”

“Tapi saya kesian dengan Laily tu. Tahun ni kan tahun terakhir dia dengan kawan-kawannya. Biarlah dia enjoy puas-puas. Selama ni pun, dia tak pernah mengecewakan kita,” luah Puan Humaira.

“Memang Laily tak pernah membantah cakap kita. Tapi tengoklah. Nanti saya usahakan,” balas Encik Naziri.

Laily sudah berlalu ke biliknya. Hampir menitis air matanya mendengar perbicaraan ayah dan ibunya sebentar tadi.

Aku tak patut salahkan mak dan abah. Mak dan abah dah banyak berkorban untuk aku. Aku tak patut menyusahkan mak dan abah. Keluarga aku tak macam keluarga orang lain. Adik-beradik aku ramai.


***


“Laily tak nak ikut trip ke De Rhu tu ke?” tanya Puan Humaira ketika mereka sekeluarga menikmati makan malam.

“Tak kut,” balas Laily. Dia sudah berfikir masak-masak.

“Kenapa?” Puan Humaira agak terkejut dengan jawapan anaknya itu. Sangkanya Laily benar-benar mahu mengikuti lawatan itu.

“Tak ada apa. Cuma Laily tak rasa nak pergi aja,” bohong Laily walaupun hatinya meronta-ronta untuk berkata ya. Kali ini biarlah dia pula yang mengorbankan keinginannya sendiri. Walaupun dia tidak dapat membantu kedua-dua orang tuanya, namun sekurang-kurangnya dia tidak mahu menyusahkan mereka.

Ibu dan ayahnya saling berpandangan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka.

“Tak apalah, Laily. Nanti bila abah senang, kita sekeluarga pergi bercuti,” ujar Encik Naziri pula.

“Betul ke, bah?” Liana, adik Laily yang berusia 14 tahun menyampuk.

“Kita nak pergi mana?” tanya Nazril yang berusia 11 tahun pula.

“Nak ikut!” Nazhan yang baru berusia 9 tahun juga tidak mahu ketinggalan menyertai perbualan itu.

“InsyaAllah bila jadi nanti abah bagi tahu,” janji Encik Naziri. Tiada apa yang lebih membahagiakan daripada melihat senyuman anak-anaknya. Mungkin dia tidak dapat memberikan kemewahan kepada anak-anaknya namun dia akan memastikan tiada seorang pun daripada anak-anaknya yang kebulur.


***


“So, confirmlah Riz tak ikut kita orang pergi trip tu?” tanya Athira apabila Azrizal menelefonnya malam itu.

“Nampak gayanya macam itulah,” jawab Azrizal. Macam mana aku nak ikut kalau tak ada duit nak bayar trip tu?

“Tak syoklah kalau Riz tak ada,” ucap Athira manja.

“Hai belum pergi lagi Tya dah rindukan Riz?” usik Azrizal.

“Siapa kata Tya rindukan Riz? Tya cuma takut Riz yang tak dapat tidur nanti sebab rindukan Tya.”

“Eleh, tak nak mengaku.”


***


Esoknya selepas waktu sembahyang Jumaat, pelajar-pelajar dan guru-guru yang terlibat dengan trip ke De Rhu Beach Resort berkumpul di perkarangan sekolah.

“Tya, cepatlah!” gesa Fatin. Athira yang sedang bercakap di telefon awam berpaling. Sengaja dia menelefon Azrizal sekali lagi untuk memberi pesan-pesan akhir sebelum mereka bertolak ke De Rhu.

“Kejap!” ujar Athira lalu menyambung perbualannya. “Oklah, Riz. Fatin dah panggil tu. Tya pergi dulu tahu. Jangan nakal-nakal. Love you,” Athira meletakkan gagang lalu menyertai kawan-kawannya yang sedang sibuk memunggah barang-barang ke dalam bas.

“Kau telefon siapa?” tanya Fatin. Athira tersengih. “Telefon Rizlah tu. Macam nak pergi jauh aja,” perli Fatin lalu menggalas begnya naik ke dalam bas. Athira menyusul di belakangnya.

“Nak duduk mana ni?” soal Shafik kepada Iqbal sambil matanya mencari-cari tempat duduk yang disukainya.

“Mana-manalah,” jawab Iqbal acuh tak acuh.

“Kita duduk belakanglah,” cadang Shafik lalu menuju ke belakang bas. Iqbal mengikut langkahnya.

“Hai,” Shamsul menyapa Athira yang duduk satu baris dengannya. “Nak?” dia menghulur makanan ringan kepada gadis itu. Athira menggeleng tanda tidak mahu.

“Ball,” Shafik menyiku Iqbal yang sedang asyik mendengar mp3 di telefon bimbitnya.
“Apa?” Iqbal mencabut headphone di telinganya. Shafik memuncung menunjuk ke depan. Iqbal melihat ke arah yang dikatakan. Kelihatan Shamsul cuba berbual-bual dengan Athira.

“Biarlah dia orang,” Iqbal kembali melekapkan headphone ke telinganya dan memejamkan mata. Cuba menghayati bait lagu Tanpamu nyanyian Sixth Sense.

Bas yang dinaiki oleh mereka mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Shafik melihat Iqbal. Dah tidur ke? Shafik mengalihkan pandangannya ke bahagian hadapan bas. Ada yang sudah terlena dan ada yang masih berbual-bual. Lagu irama 60-an yang berkumandang di radio bas itu sangat membosankan baginya.

Pak cik bas ni ikut kepala dia aja. Lagu-lagu macam ni manalah kena dengan jiwa kita orang. Aku nak buat apa ni? Tiba-tiba dia mendapat suatu idea. Telefon bimbitnya dikeluarkan lalu punatnya ditekan-tekan. Setelah berpuas hati dengan ayat yang disusun, dia menekan butang ‘send’ dan memilih nama yang terdapat di dalam phone booknya.

Di bahagian hadapan bas, Melissa tersenyum sendiri apabila membaca S.M.S yang baru diterimanya.

“Apa yang kau sengih-sengih tu, Lis? Kau main S.M.S dengan siapa?” soal Azleen, teman yang duduk di sebelahnya.

“Shafik.”

“Shafik? Laa… Duduk dalam satu bas pun nak main S.M.S?” ujar Azleen hairan. Bazir kredit aja!

Melissa memandang Shafik yang duduk di bahagian belakang. Shafik hanya tersenyum.

Tiada ulasan: