Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 14

“Hah, ni bilik kita!” ujarnya. Tanpa berlengah, pintu bilik itu dikuak. Mereka berempat melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

“Cepat sikit! Aku dah tak tahan ni,” Farok menolak Shafik lalu bergegas mencari bilik air. Shafik sedikit marah dengan tindakan Farok.

Iqbal merebahkan diri ke katil. Perjalanan yang mengambil masa selama hampir satu jam itu cukup membuatkannya letih. Biasalah orang tak pernah berjalan jauh.

“Boleh tahan juga tempat ni,” ujar Ashraf sambil melihat-lihat sekitar bilik tersebut. Shafik melabuhkan punggung di sebelah Iqbal.

“Ada rancangan apa hari ni?” Ashraf mencapai alat kawalan jauh lalu menekan punat televisyen itu.

“Rancangan apa, Raf?” tanya Shafik.

“Entah,” Ashraf menukar-nukar siaran mencari yang kena dengan seleranya.

“Hari ni hari apa? Jumaat kan? Pukul 6, rancangan apa?” Shafik berfikir.

“Fuh…bestlah bilik air dia,” Farok kembali menyertai Shafik, Iqbal dan Ashraf.

“Rugi Riz tak ikut sama,” ujar Shafik.

“Entah apa si Riz tu tengah buat sekarang?” fikir Iqbal.

“Buat apa lagi, mesti tengah dok mimpikan si buah hatinyalah,” ujar Shafik.

“Eh, tapi tadi aku tengok si Shamsul tu asyik mengekor si Tya aja,” kata Ashraf.

“Ala, kau bukan tak tahu yang si Shamsul tu syok kat Tya,” Shafik berasa geram apabila mengingati perbuatan Shamsul tadi. Mentang-mentanglah si Riz tak ada dia ambil kesempatan pula. Tapi aku gerenti si Tya tu masih setia dengan Riz. Maklumlah hubungan dia orang kan dah hampir dua tahun.

“Kau orang tak nak mandi ke? Pukul 8 nanti kena berkumpul pula kan?” Farok mengeluarkan tuala mandinya dari dalam beg.

“Ala…rilekslah. Sekarang baru pukul 6 lebih. Sempat lagi kalau nak tidur ni,” Shafik berpaling ke arah Iqbal. “Laa… dia dah tidur dulu?”

“Macam dia pula yang bawa bas,” celah Farok.

“Aku pun nak tidur,” Shafik merebahkan tubuhnya di sebelah Iqbal. Farok berlalu ke bilik mandi sementara Ashraf khusyuk menonton televisyen.


***


“Habislah kita! Ni semua salah kau! Kenapa kau tak kejut kita orang?” Shafik menyalahkan Farok.

“Mana aku tahu? Aku pun terlelap,” balas Farok. Selepas mandi tadi, dia juga tertidur apabila melihat kawan-kawannya lena diulit mimpi.

Empat lembaga itu bergegas menuruni tangga. Waktu sudah melewati pukul 9 malam. Satu jam lewat daripada waktu yang sepatutnya.

“Kat mana tempatnya?”

“Susah-susah sangat tak payah pergilah. Bukan ada apa-apa pun. Ceramah motivasi aja kan?” cadang Shafik. Setiap kali ceramah motivasi mesti dia tertidur. Pasti!

“Kau nak mampus? Kalau Cik Mazleen tahu kita tak pergi ceramah malam ni, teruk kita nanti!” bantah Farok. Berbanding mereka berempat, Farok memang paling baik dan dia agak penakut kalau nak buat jahat.

“Kalau kita tak cakap, tak ada siapa yang akan tahu,” balas Shafik.

“Tapi aku tak bolehlah. Aku tak berani,” Farok masih ragu-ragu dengan rancangan Shafik.

“Yalah, Chap. Kalau kita tak pergi ceramah tu, kita nak buat apa kat bilik tu? Lagipun perut aku dah lapar ni. Mesti dia orang ada sediakan makanan untuk kita,” ujar Ashraf pula.

“Aku pun lapar juga,” ucap Iqbal sambil memegang perutnya.

“Tapi macam mana kita nak pergi sedangkan tempatnya pun kita tak tahu?” soal Shafik.

“Kita carilah,” usul Ashraf.

“Kau ingat hotel ni kecik ke? Takkan kita nak geledah satu hotel ni?”

“Bila masa pula aku suruh kau geledah satu hotel ni? Kan tadi Cik Mazleen ada sebut dewan?” Ashraf cuba mengingati nama dewan yang diberitahu oleh Cik Mazleen sebelum mereka ke bilik masing-masing petang tadi.

“Haa…Chap, kau bawa handphone kan? Cuba kau S.M.S. mana-mana budak kelas kita,” ujar Iqbal.

“Ya tak ya. Lis!” Shafik segera mendail nombor telefon Melissa. Hantar mesej leceh! “Dia tak jawab pun.” Shafik mendail sekali lagi.

“Kan dia tengah dengar ceramah. Susah nak jawab call. Kau S.M.S. ajalah.”

Shafik menurut cadangan Iqbal lalu menghantar pesanan ringkas kepada Melissa. Harap-harap Melissa membalasnya. Mereka menunggu seketika.

“Mana Lis ni?” Shafik memandang telefon bimbit di tangannya.

“Jangan-jangan dia tak bawa phone tak?”

“Habis tu macam mana sekarang?”

“Nak buat macam mana? Kita tunggu ajalah kat sini. Harap-harap ada yang jumpa kita kat sini,” Shafik seakan berputus asa.

Mereka berempat duduk bersandar di dinding. Masing-masing kelihatan tidak bermaya. Maklumlah sejak petang tadi mereka belum menjamah makanan.

Seketika kemudian, pintu dewan berhampiran dengan tempat mereka duduk dikuak. Dua orang gadis muncul melintasi mereka.

“Weh, itu Lis dengan Azleen kan?” Ashraf menunjuk ke arah dua orang gadis yang baru keluar dari sebuah bilik.

“Mana?”

“Tu! Lis! Leen!”

Melissa dan Azleen menoleh.

“Kau orang buat apa kat sini? Kenapa tak masuk?” Melissa dan Azleen hairan melihat mereka berempat.

“Kita orang sesat,” Shafik menagih simpati. “Tadi Chap hantar S.M.S. Kenapa tak reply? Lis tak bawa phone ke?”

“Tak. Lis tinggal phone kat bilik.”

“Kau orang berdua ni nak pergi mana? Ceramah dah habis ke?”

“Belum. Kita orang nak pergi toilet. Sejuk sangat kat dalam tu. Tak tahan,” jawab Azleen.

“Lis, Leen, kat dalam tu ada makanan tak?” tanya Iqbal.

“Tadi ada tapi sekarang tak tahulah ada lagi ke tak.”

Ternyata Shafik, Iqbal, Ashraf dan Farok kecewa dengan jawapan itu.

“Gurau ajalah. Kalau kau orang nak makan, pergilah masuk.”

Tanpa berlengah, Shafik, Iqbal, Ashraf dan Farok segera menerpa ke dalam dewan itu. Mereka yang sedang tekun mendengar ceramah motivasi tentang Persediaan Sebelum Peperiksaan yang disampaikan oleh pengetua tersentak dengan kemunculan mereka berempat. Shafik, Iqbal, Ashraf dan Farok hanya mampu tersengih bagi menutupi rasa malu.


***


Malam itu, Athira, Fatin, Melissa dan Azleen rancak berbual apabila tiba-tiba pintu bilik mereka diketuk. Perbualan mereka terhenti. Empat pasang mata itu tertumpu ke pintu.

“Siapa pula yang datang malam-malam ni?” soal Azleen hairan.

“Pergilah tengok,” ujar Fatin.

Azleen melangkah ke pintu untuk melihat gerangan yang bertandang. Namun tiada sesiapa pun yang ada di situ sebaik-baik saja dia membukanya lalu dia menjenguk ke luar. Juga tiada sesiapa. Dia menutup kembali pintu itu.

“Siapa?” Tanya Athira.

“Entah. Tak ada orang pun,” Azleen kembali menyertai mereka.

“Entah-entah kita yang salah dengar tak?” Fatin cuba berfikir positif. Tapi keempat-empat mereka mendengar bunyi itu dengan jelas. Tak mungkin mereka tersalah dengar.

“Mungkinlah kut,” Athira turut menjernihkan keadaan. Jika ditambah cerita, takut nanti mereka akan berfikir yang bukan-bukan. Dan pasti itu akan merosakkan percutian mereka.

“Aku mengantuklah. Nak tidur,” Azleen mengambil tempat di atas katil.

“Aku pun nak tidur,” Fatin turut menarik selimut. Mereka mematikan lampu. Bersiap untuk melelapkan mata. Namun mereka tidak dapat tidur lena. Bunyi ketukan di pintu mengganggu tidur mereka. Azleen menutup telinga dengan bantal.

“Hee…siapa punya kerja tu? Orang nak tidur pun tak senang,” Azleen marah tidurnya diganggu.

“Tak nak tengok ke? Entah-entah ada kecemasan ke,” ujar Athira.

“Kecemasan apa pula?” soal Fatin. “Tidur ajalah. Mesti dia orang punya kerjalah tu.”

“Tapi…” Athira masih sangsi.

“Tidur,” arah Fatin.

Mereka cuba untuk tidak mengendahkan bunyi ketukan itu namun semakin dibiarkan, semakin kuat bunyi itu.

Fatin sudah tidak dapat menahan marah lalu dia bangkit dari katil. Ketukan itu benar-benar menguji kesabarannya.

“Fatin, kau nak pergi mana?” soal Athira.

“Aku nak tengok siapa yang punya angkara. Mengacau betul!” Fatin melangkah ke pintu.

“Fatin, tak payahlah,” Athira menahan Fatin. Hatinya mula berasa tidak sedap.

“Siapa?” Fatin menyergah apabila pintu itu dikuak namun tiada sesiapa pun yang kelihatan di situ. Fatin mula berasa seram sejuk lalu dia mengunci pintu itu dan kembali ke katil.

“Kenapa Fatin?” Athira hairan melihat muka Fatin yang pucat.

“Tak ada apalah. Aku rasa baik kita tidur sekarang,” Fatin menutup mukanya dengan selimut.

“Kenapa Fatin? Kau buat aku rasa seramlah,” suara Melissa.

“Aku pun rasa macam tu. Kita cantumkan katil nak?” cadang Azleen.

Atas persetujuan semua, mereka berempat menolak kedua-dua katil itu mendekati antara satu sama lain. Mereka kemudian naik ke atas katil dan menarik selimut menutupi muka.

Tiada ulasan: