Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 12

Mereka berdiri tanda hormat apabila Cik Mazleen melangkah masuk ke kelas itu lalu memberikan ucapan selamat.

“Selamat pagi. Duduk. Hari ini cikgu ada berita baik untuk kamu semua,” ujar Cik Mazleen gembira.

“Berita apa, cikgu?” ujar Shafik tidak sabar.

“Cikgu nak kahwin ke?” Azrizal mencelah.

“Bila?” soal Iqbal pula.

“Dengan siapa?”

“Orang tu kerja apa?”

Mereka pula yang terlebih teruja. Akhirnya cikgu mereka itu akan berkahwin! Siapalah lelaki yang malang itu? Yang pasti, lelaki itu mesti seorang yang penyabar dan mempunyai telinga yang kebal. Maklumlah Cik Mazleen kan garang. Jadi, sesiapa yang menjadi pasangannya mestilah tahan kena marah dan tahan mendengar bebelan.

“Bukan itulah. Kamu ni tak ada perkara lain ke yang nak difikirkan?” Cik Mazleen menyangkal andaian mereka. Aku nak kahwin? Lambat lagi! Masih banyak komitmen lain yang perlu aku utamakan.

Pada pandangan orang lain, sikap Cik Mazleen yang garang dan suka marah-marah itu yang membuatkannya lewat berkahwin. Namun, ramai yang masih tidak tahu sebab sebenar Cik Mazleen hidup membujang sampai sekarang.

“Habis tu, apa dia cikgu?” tanya Azrizal ingin tahu. Mereka yang lain sudah mula bercakap-cakap sesama sendiri.

“Macam mana cikgu nak bagi tahu kalau kamu semua tak diam?”

Kelas itu sunyi sepi. Masing-masing tidak sabar untuk mengetahui berita baik yang ingin disampaikan oleh Cik Mazleen.

“Cikgu nak bagi tahu yang sekolah kita akan mengadakan percutian ke De Rhu Beach Resort,” terang Cik Mazleen.

Betapa gembiranya mereka mendengar berita tu. Yahoo! Kita pergi bercuti di pantai! Mereka kembali bercakap-cakap sesama sendiri.

“Dengar dulu. Kamu ni cikgu belum habis cakap lagi,” Cik Mazleen berasa sukar menerangkan perkara itu dengan lebih lanjut jika mereka tidak berhenti bercakap.

“Entah kau ni. Dengarlah dulu apa cikgu nak cakap,” Iqbal menyalahkan Shafik.

“Entah kau ni!” Shafik pula menyalahkan Azrizal.

“Apa pula aku? Kaulah!” Azrizal menyalahkan Shafik kembali.

“Kaulah!”

“Syyyy…!!”

Azrizal dan Shafik diam apabila satu kelas menyuruh mereka diam. Kelas itu sunyi seketika. Mereka kembali menumpukan perhatian kepada Cik Mazleen.

“Dah? Dah habis cerita?” soal Cik Mazleen.

“Dah, cikgu,” jawab Iqbal mewakili yang lain. Cik Mazleen menyambung setelah mereka senyap.

“Percutian ini diadakan khas untuk pelajar-pelajar tingkatan lima sahaja. Aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara semua pelajar tingkatan lima di sekolah ini. Percutian ini akan diadakan selama tiga hari dua malam. Pihak sekolah telah merancang banyak aktiviti untuk kamu semua. Jadi, cikgu harap kamu semua dapat memberikan kerjasama yang baik. Ada apa-apa yang kamu nak tanya?”
Azrizal mengangkat tangan.

“Ya, Azrizal?”

“Semua kena pergi ke, cikgu?” tanya Azrizal. Bunyinya macam seronok tapi mesti mahal belanjanya. Macam mana aku nak minta duit daripada mak dan ayah? Nak jumpa pun payah.

“Kalau diikutkan, pihak sekolah memang mengharapkan semua pelajar tingkatan lima dapat mengikuti program ini. Tapi cikgu tak nak memaksa. Ada soalan lain?”

“Saya, cikgu,” Shafik mengangkat tangan.

“Apa dia, Shafik?”

“Kena bayar ke percuma?”

“Setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM150.”

“Tak ada diskaun ke, cikgu?” tanya Iqbal pula.

“Diskaun? Kalau kamu nak diskaun, kamu cakaplah dengan pengetua sendiri. Pihak sekolah telah sedaya upaya mengurangkan bayaran dan setakat itu saja yang dapat kami usahakan. Ada lagi yang nak tanya?”

Azrizal pura-pura ingin bertanya.

“Hmm… Tak ada.”

“Baik, kalau macam tu sesiapa yang berminat bolehlah bayar RM150 kepada bendahari. Siapa bendahari?”

“Saya, cikgu,” jawab salah seorang pelajar perempuan.

“Bayar pada Melissa sebelum hujung bulan ini ya. Melissa, ambil nama mereka dan nanti serahkan duit pada saya,” arah Cik Mazleen. “Baik, kita teruskan kelas kita hari ini. Buka buku KOMSAS. Kita bincang cerpen Tragedi,” Cik Mazleen bergerak ke mejanya dan membelek muka surat yang dimaksudkan.

“Hah? Hari ni KOMSAS ke?” Azrizal bertanya kepada Shafik.

“Yalah, hari ni kan hari Selasa.”

“Tapi…”

“Kamu tak bawa buku ke?”

“Tak, cikgu,” ujar Azrizal terus terang.

“Siapa yang nak baca buku tu kat rumah kamu?” Azrizal tersengih mendengar kata-kata Cik Mazleen.

“Yang tak ada buku, kongsi dengan kawan sebelah.”

“Tapi cikgu kawan sebelah pun tak bawa.”

“Memang padanlah kamu berdua ni. Dua kali lima saja. Pinjamlah dengan sesiapa yang ada,” Cik Mazleen sudah sedia maklum jika Azrizal dan Shafik berkawan baik. Ahmad Azrizal Hafiz Ariffin, Mohd. Shafik Nazmi dan Iqbal Hafeez Nazri. Mereka bertiga memang sepadan. Dalam kelas duduk dekat-dekat. Perangai pun lebih kurang sama. Mungkin ini yang menyebabkan mereka senang bersama. Tapi mungkin ini juga bakal mempengaruhi pelajaran mereka jika dibiarkan terus.

Azrizal berpaling ke belakang.

“Laily, pinjam buku boleh?”

Laily menghulur buku kepada Azrizal.

“Terima kasih, sayang,” ujar Azrizal separuh berbisik agar tidak didengari oleh orang lain.

Tiada ulasan: