Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 11

Ketiadaan guru pada waktu itu membuatkan kelas yang terkenal dengan gelaran ‘kelas terbising’ itu riuh mengalahkan pasar borong. Masing-masing sibuk bercerita. Namun, dalam keriuhan suara-suara itu, masih ada segelintir pelajar yang memanfaatkan waktu itu dengan membaca buku. Salah seorangnya adalah Laily.

Laily sedang tekun menyiapkan latihan Sejarah yang diberikan oleh Cikgu Saravanan sebentar tadi tatkala Azrizal, Shafik, dan Iqbal yang entah dari mana datangnya menghampirinya.

“Hai, seorang saja?” Azrizal menarik kerusi di sebelah Laily. Shafik dan Iqbal pula duduk di kerusi di hadapannya.

“Boleh join?” celah Shafik pula.

Laily hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak layan mamat tiga orang ni. Baik aku siapkan latihan Sejarah ni sementara ada masa terluang ni. Di rumah nanti boleh relaks. Laily meneliti buku di depannya tanpa menghiraukan Azrizal dan kawan-kawannya.

“Diam saja. Awak tak boleh cakap ke?” Shafik mengajuk satu iklan di televisyen.
Laily masih tidak menghiraukan Azrizal, Shafik, dan Iqbal. Dia cuba memberikan sepenuh perhatian pada buku di hadapannya. Jika dilayan, pasti mereka lagi lebih-lebih nanti.

“Laily, hujung minggu ni kita keluar nak?” ujar Azrizal sambil tangannya mendarat di belakang kerusi Laily.

“Mana boleh? Aku dulu!” bantah Shafik.

“Akulah!” kata Iqbal pula.

“Tya, kau tengok si Riz tu,” Fatin mengarah ke arah Azrizal, Shafik dan Iqbal. Athira yang sedang menulis di mejanya berhenti menulis dan memandang ke arah dikatakan oleh Fatin. Hati perempuannya berasa sakit melihat tangan Azrizal di belakang Laily.

“Tak ada kerja lain betullah dia orang tu kan?” Fatin sengaja menambah bara di hati Athira.

“Hoi, kau orang ni tak ada kerja lain ke? Kacau anak dara orang,” Melissa muncul. Dia berasa kasihan melihat Laily diganggu oleh Azrizal, Shafik dan Iqbal. Laily yang pendiam itu memang tidak pandai marah. Namun, Melissa mengagumi Laily kerana Laily mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Kalau aku, dah lama bebudak tiga orang ni mendapat hadiah caci maki daripada aku!

“Kau ni, Lis menyibuk saja. Kau cemburu ke?” duga Shafik.

“Hish… tak ada masa aku nak cemburu!”

“Itulah kau. Dulu aku ajak kau keluar, kau jual mahal. Aku ajaklah orang lain.”
Melissa malas hendak melayan Shafik lalu berlalu ke belakang kelas. Memang Shafik pernah menyuarakan isi hatinya untuk menjadikan teman wanitanya namun sikap main-main Shafik itu membuatkannya ragu-ragu. Sehingga kini, ‘tawaran’ Shafik itu masih belum diberi jawapan.

“Apalah kau ni, Chap. Kan dah merajuk si Lis tu. Pergi pujuk cepat!” gesa Iqbal.

“Biarlah dia merajuk. Malas aku nak pujuk,” Shafik masih tidak berganjak dari kerusi.

“Eleh…, nanti kau juga yang melepas. Pergilah!” desak Azrizal pula. Shafik bangkit mendapatkan Melissa.

“Riz, aku laparlah,” adu Iqbal. “Pukul berapa sekarang?”

Azrizal melihat jam di tangannya.

“Sepuluh empat puluh.”

“Sepuluh minit lagi. Mesti Cik Mazleen tak masuk punya,” Iqbal membuat andaian. “Jom rehat?”

“Jom!” pantas Azrizal menyokong cadangan Iqbal. “Chap, kau nak rehat tak?”

“Haa, kau orang pergilah dulu. Nanti aku datang,” balas Shafik.

“Orang kalau dah ada awek kat sebelah, mana nak ingat kawan. Jom, Ball,” ujar Azrizal pura-pura merajuk. Azrizal dan Iqbal bangkit untuk ke kantin. “Laily tak rehat?”

Laily menggeleng.

“Ok, kita orang pergi dulu. Ingat tahu hujung minggu ni,” ucap Azrizal lalu melangkah ke kantin bersama Iqbal.

Fatin menarik nafas lega sebaik-baik saja Azrizal dan Iqbal berlalu ke kantin. Barulah tenang kelas ni.

“Tya, Fatin, tak rehat ke?” Shamsul menghampiri Fatin dan Athira.

“Kejap lagi,” jawab Fatin.

“Rehat dulu ya,” Shamsul berlalu ke kantin bersama Zahid.

“Kau tengok si Shamsul tu, Tya. Baik budaknya. Dia ingat juga kat kita. Bukan macam si Riz tu terus blah. Langsung tak ingat kau. Aku rasakan si Riz tu tak sesuailah dengan kau,” Fatin membanding-bandingkan Azrizal dengan Shamsul.

“Kenapa kau cakap macam tu?” Athira tidak suka orang lain mencampuri hubungannya dengan Azrizal termasuk Fatin. Orang lain boleh cakap apa saja tapi yang mengetahui status hubungan mereka hanya dia dan Azrizal. Orang lain tak ada hak nak masuk campur.

“Yalah, kau kan cantik, bijak, anak pengarah pendidikan pula tu. Si Riz tu apa yang dia ada? Lainlah Shamsul.”

“Apa yang kau cuba nak sampaikan ni, Fatin?”

“Tya, aku kan kawan kau. Aku tak nak kau kecewa nanti. Kau sendiri nampak macam mana Riz layan Laily tadi kan?”

“Dahlah, Fatin. Aku dah lapar ni. Kau nak rehat ke tak?” Athira malas hendak mendengar pujian Fatin tentang Shamsul. Memang Azrizal suka mengusik pelajar perempuan lain tapi dia tahu tujuan Azrizal hanya untuk berseronok. Athira bangkit menuju ke kantin tanpa menunggu Fatin.

“Mestilah nak!” Fatin menyaingi langkah Athira.

Sekelip mata kelas itu menjadi sepi ekoran penghuninya bergegas ke kantin untuk mengisi perut. Hanya seorang dua pelajar yang tinggal. Laily masih di mejanya. Dia malas hendak ke kantin.

“Laily, tak pergi kantin ke?” Melissa mendapatkan Laily apabila Shafik berlalu ke kantin untuk mencari Azrizal dan Iqbal.

“Malaslah,” Laily membalas.

“Kau tak lapar ke?”

“Aku kenyang lagi.”

“Patutlah kau ni kurus tahu.”

Laily cuma tersenyum mendengar kata-kata Melissa. Melissa sendiri pun bertubuh kurus.

“Yang kau ni pula, kenapa tak pergi kantin?”

“Aku bawa bekal. Jom kita makan sama-sama,” Melissa mengeluarkan bekal yang dibawanya dari dalam laci meja.

“Tak apalah. Kau makanlah.”

“Ala…tak apa. Banyak ni,” Melissa menghulur bekalnya kepada Laily.

Laily berasa serba salah namun huluran Melissa itu disambut juga apabila temannya itu mendesak. Kata orang, rezeki jangan ditolak kan? Laily menjamah bekal nasi goreng Melissa sesuap.

“Sedapnya,” ujar Laily. “Mak kau masak?” Melissa mengiyakannya. “Rajin mak kau masak ya.”

“Mak aku kata bawa bekal lebih jimat. Lagipun makanan yang dimasak sendiri lebih terjamin kebersihannya. Mak aku takut aku kena keracunan makanan di kantin seperti yang dilaporkan dalam berita.”

“Tapi sekolah kita belum ada lagi kes keracunan makanan.”

“Memanglah tapi mak aku kata mencegah itu lebih baik daripada mengubati.”

“Betul juga.”

“Laily, kau pergi tak kelas seni petang ini?” tanya Melissa sambil mengunyah bekal nasi gorengnya.

Memandangkan tidak ramai pelajar yang mengambil matapelajaran Pendidikan Seni, maka kelas itu diadakan pada waktu petang selain waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Pada waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, pelajar yang tidak mengambil matapelajaran Pendidikan Seni dikehendaki menyertai aktiviti riadah di padang sementara pelajar yang mengambil matapelajaran Pendidikan Seni diharuskan berada di bilik seni yang terletak di tingkat dua bangunan kelas tingkatan lima itu.

“Pergi,” jawab Laily.

“Kau dah siap ke kerja yang Puan Lailatun bagi minggu lepas?”

“Siaplah,” balas Laily. Mana boleh tak siap? Nak kena marah dengan Puan Lailatun? “Kau siap tak?”

“Siap.”

Laily dan Melissa berbual-bual tentang kelas Pendidikan Seni mereka. Apabila terlihat Puan Tan, barulah mereka sedar yang waktu rehat bagi pelajar menengah atas sudah sepuluh minit berlalu namun kelas itu masih lengang.

“Mana yang lain ni?” tanya Puan Tan apabila melihat tidak sampai separuh daripada pelajar kelas itu yang ada pada waktu itu.

“Tak masuk lagi, cikgu,” jawab seorang pelajar.

“Tak masuk lagi? Sekarang kan dah pukul 11.20. Dah sepuluh minit waktu rehat habis.”
Setiap kali selepas waktu rehat, mereka mesti masuk lambat. Tapi kalau mereka masih ada hati untuk masuk kelas, itu sudah cukup baik. Kadang-kadang ada yang hilang terus sampai waktu akhir.

“Athira, pergi panggil mereka masuk. Saya nak buat kuiz,” perintah Puan Tan.

“Baik, cikgu,” Athira menurut.

Seketika kemudian, Athira kembali ke kelas dengan diikuti oleh beberapa orang pelajar.

“Cepat sikit,” Puan Tan menggesa pelajar-pelajar yang masih berlengah-lengah di koridor itu. Antara muka-muka yang masuk lambat itu termasuklah Azrizal, Shafik dan Iqbal. “Hari ni cikgu nak buat kuiz.”

“Kuiz apa, cikgu?” tanya Azrizal seraya melangkah ke tempat duduknya

“Kuiz matematiklah. Ada berapa orang dalam kelas ni?”

“Tiga puluh enam,” Laily menjawab bagi pihak kawan-kawannya.

“Tiga puluh enam? Jadi kita bahagikan kepada enam kumpulan. Satu kumpulan enam orang. Boleh pilih ahli kumpulan sendiri.”

“Kita nak kumpulan dengan siapa? Lagi tiga orang,” tanya Iqbal kepada Azrizal dan Shafik.

“Tya…” Baru saja Azrizal hendak mengajak Athira menyertai kumpulannya, Fatin memotong.

“Tak payah. Tya masuk kumpulan aku.”

Athira tersepit antara Fatin dan Azrizal. Fatin teman baiknya dan Azrizal pula teman lelakinya. Namun, Fatin telah terlebih dahulu mengajaknya.

“Masing-masing dah ada kumpulan?” Puan Tan sudah bersedia untuk memberi soalan. “Baik. Wakil kumpulan masing-masing sila ke hadapan bagi menjawab soalan pertama.

“Siapa nak pergi dulu ni?” tanya Azrizal.

“Kaulah,” ucap Shafik.

“Kalau tak betul, jangan salahkan aku pula,” Azrizal melangkah ke hadapan kelas menyertai wakil dari kumpulan yang lain.

Wakil dari setiap kumpulan dikehendaki menyelesaikan masalah matematik yang ditulis di papan hitam. Puan Tan meneliti jalan kerja dan jawapan yang ditulis oleh pelajar-pelajarnya apabila mereka selesai menjawab soalan itu.

“Untuk soalan pertama, semua kumpulan jawab dengan betul kecuali kumpulan Azrizal,” ujar Puan Tan.

Ahli kumpulan Azrizal mengeluh. Ini menandakan mereka kehilangan markah untuk soalan yang pertama. Jadi, mampukah mereka menandingi kumpulan yang lain?

“Apa kau ni, Riz? Soalan senang tu pun kau tak boleh jawab,” marah Shafik.

“Manalah aku tahu. Kalau kau pandai sangat, kenapa kau tak pergi tadi?” balas Azrizal.

“Soalan kedua, wakil seterusnya,” arah Puan Tan.

“Siapa nak pergi ni?” tanya Shafik.

“Kaulah!” ujar Azrizal.

Setiap soalan akan dijawab secara bergilir-gilir oleh setiap ahli kumpulan sehinggalah tamat waktu bagi subjek itu.

“Jadi hari ni kumpulan Athira menang,” ujar Puan Tan selepas mengira markah keseluruhan kumpulan-kumpulan itu. Ahli kumpulan Athira bersorak gembira.

“Padan muka!” Fatin tersenyum bangga kepada kumpulan Azrizal seakan mengejek

“Ala…kumpulan mereka pandai-pandai. Mana aci?” rungut Iqbal.

“Aci kat India,” ujar Azrizal dan Shafik serentak.

Kelas itu diambil alih oleh Puan Siti Hasnah, guru matapelajaran Sains sejurus Puan Tan keluar dari kelas itu. Seperti biasa, mereka berdiri dan mengucapkan selamat sebagai tanda hormat.

“Kamu berdua ni kenapa? Monyok aja,” ujar Puan Siti Hasnah apabila melihat muka Azrizal dan Shafik yang tidak bersemangat.

“Kita orang frust sebab kalah kuiz matematik tadi,” Shafik menjawab bagi pihak mereka.

“Kalah dan menang tu kan adat bertanding?” ucap Puan Siti Hasnah.

“Memanglah cikgu tapi kita orang asyik kalah aja. Asal kalah aja, kumpulan kita orang. Asal kumpulan kita orang aja, kalah. Menyampahlah macam ni,” Azrizal merungut.

“Salah kamu sendiri. Kenapa kamu tak buat latihan ulangkaji?” tegas Puan Siti Hasnah.

“Saya tak suka matematiklah, cikgu,” balas Azrizal.

“Kenapa kamu tak suka matematik? Matematik ni subjek yang menarik tahu,” Puan Siti Hasnah cuba menyelami perasaan pelajarnya itu.

“Saya tak suka mengira,” ujar Azrizal berterus-terang dan disokong oleh Shafik.

“Kenapa kamu tak suka mengira? Kamu malas nak berfikir? Sebab itulah orang kata orang Melayu ni malas. Susah sikit aja, dah putus asa. Cuba kamu tengok kawan-kawan dalam kelas kamu. Ada orang Cina? Ada orang India? Tak ada kan? Mana dia orang? Dia orang semua masuk kelas Sains.”

“Tapi kalau semua orang masuk kelas sains, siapa pula nak masuk kelas sastera, cikgu?” Iqbal menyampuk. Kalau kelas sains tu lebih bagus, kenapa diwujudkan juga kelas sastera? Kenapa tak buat kelas sains aja?

“Memanglah. Setiap manusia itu dijadikan Tuhan dengan kelebihan dan kelemahan yang berbeza-beza. Bukan semua orang boleh bawa subjek sains yang berat dan bukan semua orang juga boleh bawa subjek ekonomi.”

“Tapi dia orang cakap kelas sastera ni untuk orang yang tak pandai,” celah seorang pelajar lain pula.

“Itu tanggapan orang yang berfikiran sempit. Istilah ‘tak pandai’ itu dinilai dari segi apa? Jika kamu menilai ‘tak pandai’ itu berdasarkan bilangan A dalam peperiksaan, saya nak tanya kamu. Kenapa Athira yang dapat 8A dalam PMR dulu masuk kelas ni? Kenapa Laily yang dapat 7A masuk kelas ni? Faeiz yang dulu masuk kelas sains tukar ke kelas ni? Sebab apa, Athira?” Puan Siti Hasnah memandang tepat kepada Athira yang duduk di tepi pintu.

“Sebab saya nak jadi peguam,” jawab Athira yakin. Selepas mendapat keputusan PMR, dia juga mempunyai tanggapan bahawa pelajar yang mendapat keputusan yang bagus dalam PMR secara automatik akan diserap masuk ke kelas sains dan yang kurang bagus akan dimasukkan ke kelas sastera. Ternyata, tanggapannya itu salah.

“Kamu Laily? Sebab apa kamu masuk kelas ni?” Pandangan mata Puan Siti Hasnah beralih kepada Laily yang duduk di barisan kedua.

“Saya nak jadi akauntan,” jawab Laily.

“Berapa orang dalam kelas ni yang nak jadi akauntan?”

Beberapa orang pelajar di dalam kelas itu mengangkat tangan.

“Sebenarnya kelas sains ataupun kelas sastera, dua-duanya sama saja. Tidak wujud istilah kelas sains lebih bagus daripada kelas sastera ataupun sebaliknya. Kamu masuk kelas ni bukan kerana kamu tak pandai tapi kerana kamu sudah ada sasaran kerjaya masing-masing. Kelas sains ada subjek Biologi, Fizik dan Kimia dan kamu pula ada subjek Ekonomi dan Akaun. Ada juga di antara kamu yang ambil Pendidikan Seni. Subjek-subjek inilah yang akan menentukan khusus yang boleh kamu ambil ketika memohon UPU nanti. Siapa yang ambil Biologi masa kat sekolah tak boleh ambil khusus akaun kat universiti. Siapa yang ambil akaun sekarang pula tak boleh ambil khusus medical nanti. Kamu semua seharusnya berasa bangga kerana kamu semua adalah batch kelas sastera yang terakhir kat sekolah ni. Mulai tahun depan, sekolah ni akan menjadi seratus peratus aliran sains.”


***


Di kantin sekolah, selepas waktu persekolahan, Athira cuba memujuk Azrizal yang bersikap dingin terhadapnya gara-gara kuiz matematik tadi.

“Takkan Riz masih marah sebab Tya tak satu kumpulan dengan Riz masa kuiz matematik tadi? Janganlah macam tu, Riz. Itu kan hanya kuiz aja?” pujuk Athira.

“Bukan Riz marah. Cuma Riz tak puas hati Tya satu kumpulan dengan Shamsul,” marah Azrizal.

“Tya tak tahu pun. Fatin yang tarik dia. Ok, lain kali Tya janji Tya satu kumpulan dengan Riz. Ok?”

Melihatkan Athira beria-ria memujuknya, Azrizal tersenyum juga akhirnya.

“Kau tengok si Riz dengan Tya tu. Bukan main mesra lagi dia orang kan? Jealous aku!”
Laily melihat ke arah yang dikatakan oleh Melissa. Tidak jauh dari meja mereka, kelihatan Azrizal dan Athira berbual-bual mesra. Jelas terpancar kebahagiaan pada wajah kedua-duanya.

“Fatin tak ada ke? Kan dia berkawan baik dengan Tya?” Laily cuba menukar topik. Entah kenapa ada perasaan aneh di hatinya tatkala melihat kemesraan Azrizal dan Athira. Mungkinkah dia cemburu? Ah, tak mungkin! Buat apa aku nak cemburu? Meluat lagi adalah!

“Fatin kan tak ambil subjek seni.”

“Lupa pula aku.”

“Bertuah Tya ada Riz kan?”

“Kenapa pula?”

“Yalah, kau tak tahu ke yang Riz tu sebenarnya tak nak ambil Pendidikan Seni ni masa mula-mula dulu,” Melissa membuka cerita.

“Ya ke? Habis kenapa dia ambil pula?”

“Sebab Tyalah. Tya ambil so dia pun ikutlah Tya.”

“Boleh pula macam tu?”

“Biasalah bila orang dah sayang, buat apa pun sanggup.”

“Walaupun terpaksa buat benda yang kita tak suka?”

Melissa hanya menjungkit bahu.

“Tapi aku rasa si Riz tu ada bakat juga dalam melukis. Cuma dia M.A.L.A.S. aja. Kan hari tu Puan Lailatun suruh dia masuk pertandingan melukis anjuran Kelab Alam Sekitar tapi dia acuh tak acuh aja. Sayang tahu kalau bakat yang Tuhan kurniakan tak digunakan,” ujar Melissa.

Kata-kata Melissa itu mengingatkan Laily tentang kata-kata Puan Lailatun, guru seni mereka ketika kelas pertama subjek itu dulu.

“Kalau awak anggap subjek seni ni tak penting, awak silap. Dengan seni, macam-macam bidang awak boleh pilih masa nak masuk universiti nanti. Grafik, fesyen, seni halus, testil, architecture semua tu memerlukan subjek seni bagi melayakkan kamu diterima dalam bidang-bidang itu. Bagi saya, orang-orang yang ada bakat dalam bidang seni adalah orang yang bertuah kerana dianugerahkan bakat yang bukan semua orang ada. Jadi, kamu seharusnya berbangga dikurniakan bakat ini.”

Tiada ulasan: