Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

AsyrAfia 9

Afia, Adi, Julia dan Rizal tersenyum gembira apabila Cik Syazliana meluluskan proposal dan storyboard mereka. Cik Syazliana juga memuji konsep rancangan mereka yang berani mengetengahkan artis baru dan tidak bermotifkan komersial semata-mata.

Konsep program yang diberi judul ‘e-Buzz’ itu khusus untuk mengetengahkan bakat-bakat baru tempatan bagi memperkenalkan mereka kepada penonton Malaysia. Dalam kesuraman industri muzik Malaysia sekarang, dengan adanya program sebegini diharap dapat menyemarakkan kembali muzik Malaysia.

Selain memperkenalkan dan mengetengahkan bakat baru tempatan, objektif lain program ini adalah bagi membuka mata pendengar Malaysia yang kita sebenarnya masih mempunyai karya-karya yang bagus dan mampu bersaing dengan muzik luar terutamanya Indonesia yang semakin hari semakin banyak membanjiri pasaran muzik Malaysia.

Selepas mendapat green light daripada Cik Syazliana, Afia, Adi, Julia dan Rizal memulakan penggambaran program hiburan mereka mengikut jadual dan perancangan yang dipersetujui bersama dengan Ezrie dan anggota M.I.X. sendiri.

Hari pertama penggambaran mengambil tempat di Cats Presents Production, studio milik Cat Farish di Jalan Setia Wangsa.

“Sekarang Julia nak bawa anda semua mengenali sebuah kumpulan baru yang berasal dari Sarawak. Mereka ni terdiri daripada empat jejaka kacak. Nak tahu siapa mereka? Jom ikut Julia!”

Gaya Julia yang santai dan bersahaja di hadapan kamera membuatkan Afia, Adi dan Rizal sepakat memilihnya sebagai pengacara program mereka itu walaupun Norin beria-ria menawarkan diri. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu Norin menjadi pengacara kerana mereka bimbang Norin tidak dapat memberikan komitmen memandangkan dia sering tidak menghadiri perbincangan kumpulan.

Lebih teruk lagi apabila Norin langsung tidak menyumbang dalam penyediaan proposal dan storyboard. Itu pun mereka masih bertimbang rasa dan tidak mengadu perkara itu kepada Cik Syazliana. Jika mereka mengadu perkara itu kepada Cik Syazliana, alamatnya Norin terpaksa mengulangi subjek itu lagi pada semester hadapan. Nasib baiklah dia dapat ahli kumpulan yang baik macam Afia, Adi, Julia dan Rizal. Kalau tidak, tak dapet den nak tolong!

Disebabkan idea yang kreatif, Adi dilantik sebagai pengarah. Rizal pula bertindak selaku jurukamera, Afia selaku wartawan penyiaran dan Norin selaku jurumekap walaupun sebenarnya jawatan itu tak adalah diperlukan sangat. Saja mereka nak bagi Norin kerja.

Dari lokasi dalam, mereka beralih ke lokasi luar. Dari satu lokasi ke satu lokasi, akhirnya tiba hari terakhir penggambaran. Penggambaran terakhir mereka adalah konsert mini M.I.X. yang diadakan di studio Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di kampus induk UiTM di Shah Alam.

Pada hari itu, Noh, Asyraf, Ogie dan Wayne menyanyikan tiga buah lagu dari album pertama mereka yang bakal menjengah pasaran dalam waktu terdekat. Album yang berjudul Mula Dari Dulu itu menampilkan sepuluh buah lagu hasil ciptaan mereka sendiri selain sifu mereka, Cat Farish.

Antara ketiga-tiga lagu yang dipersembahkan oleh mereka, Afia tertarik mendengar lagu Puteri Santubong yang mengetengahkan loghat Sarawak itu. Afia juga kagum dengan mereka kerana mampu menyampaikan rap dengan baik secara live. Live tau! Bukan miming.

Bagus juga dia orang ni ya. Lagu pun boleh tahan. Dalam diam, Afia mengakui kehebatan empat anak muda itu.

Selama seminggu mereka menjalani penggambaran, Afia memang tak banyak cakap dengan dia orang. Dia sendiri pun tak tahu nak cakap apa. Lagu dia orang pun Afia tak pernah dengar. Lainlah Julia. Bukan main galak dia bercerita. Entah apa yang diceritakannya pun Afia tak tahu. Itulah Julia. Mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

“Alhamdulillah. Siap juga shooting kita,” Rizal mengeluh lega sebaik-baik sahaja penggambaran itu selesai. Berkat kerjasama yang baik antara mereka, akhirnya penggambaran itu dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan mengikut jadual. Afia dan Julia bersorak girang.

“Jangan seronok dulu. Banyak lagi benda nak kena buat,” Adi mengingatkan mereka. Yang siap baru penggambaran. Editingnya belum lagi.

“Betul tu. Lepas ni kita kena berkampung kat bilik editinglah pulak,” celah Rizal.

“Tapi editing tak payah pergi mana-mana. Duduk aja depan komputer tu,” balas Julia.

“Memanglah tapi nak kena duduk kat situ berhari-hari pun penat jugak.”

“Di, kita orang kena balik ni. Esok dia orang kena pergi Sarawak,” Ezrie bersalaman dengan Adi.

“Terima kasih banyak-banyak atas kerjasama kau orang,” balas Adi.

“No problem. Kalau ada apa-apa, calling-callinglah.”

“Allright!”

“Kalau ada apa-apa silap salah kita orang, kita orang minta maaflah. Kalau-kalau kau orang ada terasa hati ke sepanjang bekerja dengan kita orang. Maklumlah kita orang ni kan student lagi,” ujar Julia kepada Noh.

“Tak ada apalah.”

“Tapi serius lagu kau orang best.”

“Betul ke?”

“Betul. Bila album kau orang dah ada kat pasaran nanti, sayalah orang pertama yang beli!”

“Thanks.”

Yalah tu, Julia. Afia asyik memerhati gelagat Julia dan Noh sampai tak sedar Asyraf di hadapannya.

“Afia kan?” soal Asyraf.

Afia tersentak. Dia ingat nama aku?

“Jumpa lagi ya,” Asyraf menghulur tangan untuk bersalam dan disambut oleh Afia.

“Hope kita boleh keep in touch,”Adi bersalaman dengan Noh pula.

“Insya-Allah. Kau orang pun janganlah senyap aja. Kalau kita orang buat show kat Shah Alam, datanglah. Boleh kita lepak-lepak, minum-minum,” balas Noh.

“Insya-Allah.”

”Kalau dapat A, jangan lupa belanja kita orang makan,” Ogie menyampuk.

“Itu sudah semestinya!”

“K, jumpa lagi.”

“Bye!”

“Noh tu comel kan?” ujar Julia sebaik-baik sahaja bayang Noh dan yang lain-lain hilang. “Menyesal pulak aku tak mintak nombor telefon dia. Tapi Adi ada nombor telefon manager dia kan?

“Dah mulalah tu,” Afia menyiku Julia perlahan. Julia cuma tersengih.

“Ada apa-apa lagi lepas ni?” tanya Norin.

“Tak ada. Kita breaklah dulu sehari dua. Lepas tu kita boleh buat editing,” ujar Adi kepada Norin dan yang lain-lain.

“K, kalau macam tu aku balik dulu,” Norin menghilang.

“Kau orang nak ke mana lepas ni?” Adi memandang kawan-kawannya.

“Jom pergi makan. Aku laparlah,” cadang Rizal.

“Jom. Aku pun lapar,” Julia sependapat dengan Rizal.

“Aku nak baliklah. Dah petang ni,” Afia melihat jam di tangannya.

“Ala…kan awal lagi. Jomlah pergi makan dulu,” pujuk Julia.

“Tak apalah. Nanti mak dan ayah aku bising. Aku tak balik minggu lepas pun macam-macam dia orang syak. Kau orang ajalah yang pergi. Aku balik dulu ya.”

“K lah. Kita jumpa hari Isnin.”

“Baik-baik jalan.”

“Yalah.”


***


“Haa…tahu pun balik. Ingatkan dah tak jumpa jalan balik rumah,” sergah Afni sebaik-baik sahaja wajah Afia terpacul di muka pintu rumah itu.

“Sejak bila pulak kau ambil berat pasal aku ni?” balas Afia. Baru aja balik, dah kena bebel. Kalau tak membebel sehari, memang tak sah. Bila nampak muka aku aja, mesti nak membebel. Bila nak membebel aja, mesti tunggu nampak muka aku. Rimas betul! Ni yang buat aku malas nak balik rumah ni.

“Tolong sikit ya. Jangan nak perasan. Tak kuasa aku nak ambil tahu pasal kau. Anak kau tu haa… Dulu kau jugak yang beria-ria nak bela dia. Sekarang kau biar aja dia. Berak merata siapa nak cuci?”

“Yang pasti bukan kau kan?” Afia berlalu mencari Donna tanpa menunggu kata-kata seterusnya daripada Afni. Bergaduh dengan Afni bukan saja akan menyakitkan hatinya bahkan boleh buat dia sakit jiwa!

“Tengok tu. Bila orang cakap sikit, menjawab,” Afni geram dengan sikap Afia yang suka menjawab tu. Kalau diikutkan, mahu dicili saja mulut Afia yang suka menjawab tu!

Kadang-kadang Afni berasakan Afia tidak menghormatinya sebagai kakak. Entah sejak bila mereka jadi begitu. Pantang berjumpa, ada-ada saja yang menjadi bahan pertengkaran mereka.

Dahulu, mereka berdua sangat akrab dan boleh berkongsi cerita tentang semua perkara bahkan mereka berdua banyak menyimpan rahsia bersama. Tetapi sekarang semuanya telah berubah. Masing-masing buat hal sendiri.


***


“Donna…” Afia mencari anak kucing kesayangannya di sekitar rumah tanpa menghiraukan bebelan Afni. “Ala…kesiannya dia. Mari kat mama, sayang. Sayang rindu mama ya?” Afia tersentuh melihat anak kucingnya lena di ceruk dinding lalu membawanya ke bilik tidurnya.

Di bilik tidur, Afia membelai Donna di atas katil. Walaupun ibunya melarangnya membawa Donna tidur di atas katil, Afia tetap berdegil. Jika Afia pulang ke rumah, pasti Donna akan tidur bersamanya.

Bagi Afia, anak kucing itulah tempatnya mengadu. Segala masalah akan diluahkan pada anak kucing itu meskipun dia tahu anak kucing itu takkan mampu berkata-kata namun Afia akan berasa lega apabila bercerita kepada Donna.

Maklumlah pada siapa lagi yang Afia boleh bercerita? Nak bercerita pada mama dan abah? Mungkin tidak. Kak Afni? No way! Amri? Apalah yang budak tu tahu. Asyik tak ada di rumah aja. Nak bercerita pada boyfriend, boyfriend pun dia tak ada. Nak bercerita pada Adi ataupun Rizal, tak sesuai! Nak bercerita pada Julia, malulah pulak.

Afia bukanlah seorang yang mudah percayakan orang apabila melibatkan hal-hal peribadi walaupun orang itu adalah kawan baiknya sendiri. Baginya, hal keluarga soal keluarga dan hal kawan-kawan soal kawan-kawan. Jangan dicampur aduk. Afia jugak tidak suka orang lain mengambil tahu hal peribadinya. Disebabkan itu, Afia lebih senang mendiamkan diri walaupun ada kalanya masalah itu terlalu berat untuk ditanggungnya seorang diri.

Tiada ulasan: