Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

AsyrAfia 8

Minggu ini adalah minggu yang paling sibuk buat Afia dan kawan-kawannya. Mereka bekerja keras bagi menyiapkan kertas kerja dan storyboard program hiburan mereka. Memandangkan tiada seorang pun antara mereka yang pandai melukis, maka mereka terpaksa melakonkan sendiri adegan-adegan yang hendak dimuatkan dalam program mereka itu untuk diambil gambar dan dijadikan gambar storyboard itu.

Suatu malam, Afia, Julia, Adi dan Rizal berkumpul di dewan makan bagi memberikan sentuhan terakhir pada storyboard itu. Berbeza dengan kolej-kolej lain, pelajar lelaki dan pelajar perempuan di Puncak Perdana berkongsi dewan makan yang sama memandangkan ruang yang ada adalah terhad. Justeru, tidak hairanlah banyak pasangan yang mengambil peluang untuk makan bersama apabila tiba waktu makan.

Setiap hari, pihak dewan makan akan menyediakan tiga menu berbeza bagi sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Waktu sarapan dibuka seawal jam tujuh pagi hingga pukul sembilan pagi manakala waktu makan tengah hari pada pukul 12 tengah hari hingga pukul 2.30 petang dan waktu makan malam pula pada pukul enam petang hingga pukul sembilan malam.

“Ramainya orang! Macam mana kita nak buat storyboard ni kat sini?” Rizal memegang beberapa keping cardboard yang berukuran A2 itu. Tangannya sudah lenguh membawa benda itu dari tingkat lima biliknya hingga ke dewan makan.

“Terpaksalah kita cari tempat lain,” ujar Adi.

“Ha? Aku tak laratlah bawa laptop ni ke hulu ke hilir. Dahlah bilik aku tingkat empat,” Julia merungut. Beg yang berisi laptop itu diletakkan ke atas kerusi.

“Kau ingat kau sorang aja yang tahu penat?” celah Rizal.

“Dah, tak payahlah nak gaduh. Sekarang ni, kau orang nak makan kat sini ataupun nak makan kat gerai?” tanya Adi.

“Sini ajalah,” Afia pantas menjawab. Dia tidak mahu makan di gerai. Dia tidak mahu berjumpa mamat itu. Dia perlu mencari jalan agar mereka mahu makan di dewan makan itu. “Takkan kita nak angkut barang-barang ni pergi gerai?”

“Lauk apa malam ni?” Adi melihat ke pinggan beberapa orang pelajar yang sedang makan tidak jauh daripada mereka.

“Lauk daging. Bosanlah. Kita makan kat gerai ajalah,” kata Julia.

“Ala…kita makan sini ajalah,” Afia cuba memujuk kawan-kawannya.

“Siapa nak makan kat sini?” tanya Adi. Hanya Afia yang mengangkat tangan. “So kita makan kat gerai.”

Afia menarik muka dengan keputusan itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia mengikut suara majoriti. Maka berjalanlah mereka ke gerai di belakang kolej sambil memikul cardboard dan laptop.

Di gerai seperti yang dijangka, Sukry pekerja Indonesia yang meminati Afia yang mengambil pesanan mereka. Adi, Julia dan Rizal pula sengaja membiarkan Sukry mengambil pesanan Afia dahulu sambil mata masing-masing menjeling ke arah Afia dengan seribu satu makna.

“Carrot susu dan nasi goreng pattaya,” ujar Afia tanpa teragak-agak. Afia lega apabila Sukry mengalihkan perhatian kepada Adi untuk mengambil pesanannya. Dari tadi, mata Sukry tidak lepas daripada merenungnya. Naik seram dia dibuatnya.

Tak lama kemudian, minuman dan makanan mereka sampai. Namun makanan itu tidak sama dengan apa yang dipesan oleh mereka sebentar tadi.

“Aku minta nasi goreng ayam kan tadi?” Adi melihat ke pinggannya. “Ini bukan nasi goreng ayam kan?”

“Aku pun minta nasi goreng cina tapi dia bagi nasi goreng biasa,” Rizal pula merungut. “Kau punya betul, Ju?”

“Salah juga.”

Adi, Julia dan Rizal melihat ke arah Afia. Afia yang menyedari dirinya diperhati memandang teman-temannya.

“Apa?”

“Betul ke kau order nasi goreng pattaya tadi?” tanya Julia.

“Betullah.”

“Tengok tu kau orang. Macam mana makanan Afia sorang aja yang betul?” Julia, Adi dan Rizal memandang Afia.

“Sukry tu memanglah. Kat Afia aja dia pay attention. Ni aku tak puas hati ni,” Adi pura-pura marah.

“Kita adu pada bos dia,” Rizal menambah.

“Bang!” Adi memanggil seorang pemuda lain yang baru saja mengambil pesanan di meja sebelah dan memberitahu masalah mereka. “Tadi kita orang order lain tapi dapat lain.”

“Kau orang order apa?” tanya pemuda itu.

“Nasi goreng ayam, nasi goreng cina dan nasi paprik,” ujar Adi. Pemuda itu mencatat pesanan itu di buku kecil di tangannya.

“Jadi yang ni bukanlah?”

“Bukan.”

“Sorry ya,” pemuda itu mengangkat dua pinggan yang tidak berkenaan itu ke dalam. Seketika kemudian, dia kembali sekali lagi untuk mengambil pinggan yang satu lagi. “Yang ni ?” pemuda itu bertanya kepada Afia.

“Yang ni betul,” jawab Afia.

“Jadi nasi goreng ayam, nasi goreng cina dan nasi paprik?” pemuda itu membaca semula pesanan mereka bagi memastikannya.

Adi menggangguk. Seketika kemudian, makanan mereka yang betul sampai. Mereka makan tanpa sepatah bicara.

“Alhamdulillah,” ucap Adi sesudah makan. “Aku rasa nak tambah lagilah.”

Afia, Julia dan Rizal memandang Adi tidak percaya.

“Kau tak kenyang lagi ke?” tanya Julia.

“Entah. Aku rasa nak makan lagi. Orderkan.”

“Ah, orderlah sendiri! Nanti dia orang ingat aku kuat makan pula,” bantah Julia.

“Afia, orderkan.”

“Order ajalah. Buat apa kau nak malu? Bukannya percuma. Kau bayar kan?” balas Afia.

“Bang, saya nak order nasi goreng USA,” Adi berkata kepada pekerja yang berada berdekatan dengan mereka.

“Nasi goreng USA? Satu?”

“Satu aja. Bukan untuk saya tahu. Untuk dia,” Adi menunjuk ke arah Julia. Pekerja itu seakan terkejut kemudian tersenyum.

“Hish…jahat betullah kau ni!” Julia memukul lengan Adi sejurus pekerja itu menghilang ke dalam.

“Aduh, sakitlah,” Adi menggosok-gosok lengannya.

“Padan muka!” marah Julia.

Selepas makan, mereka berempat duduk di meja kosong di kafe yang terletak di tingkat bawah fakulti mereka. Kafe itu hanya dibuka pada waktu siang.

“Mula kerja cepat!” gesa Julia.

“Nantilah kejap. Perut aku senak ni,” Adi memegang perutnya.

“Itulah. Siapa suruh makan banyak sangat?” Afia mencelah. “Kalau tak mula sekarang, bila nak siap kerja? Esok nak present tahu.”

Julia menghidupkan laptop manakala Rizal membentangkan cardboard di atas meja dan Afia menyusun gambar-gambar yang mereka ambil mengikut urutan.

“Di, mana ‘kawan baik’ kau?” Julia sengaja menyakat Adi.

“Siapa?” Adi tidak mengerti. Siapa pula kawan baik aku selain kau orang?

“Ala…buat-buat tak tahu pula. Si Norin itulah,” balas Julia. Lambat pick up betul budak ni.

“O… Entah. Dia kata dia lambat sikit.”

“Dia tu asyik lambat aja. Kalau dia tak ada pun, tak apa. Dia bukannya buat apa-apa pun. Kerja pun tak banyak menyumbang. Ahli nominal betul,” bebel Julia.

“Yalah. Datang pun sibuk gayut kat telefon. Macam dia sorang aja yang ada telefon,” Afia juga tidak berpuas hati dengan sikap Norin.

“Kau orang ni macam mak neneklah. Biarlah dia. Malas aku nak ambil tahu. Jangan disebabkan dia kita tak boleh buat yang terbaik,” ujar Rizal sambil tangannya ligat menampal gambar-gambar yang telah dipilih ke atas cardboard.

“Kalau diikutkan aku pun tak nak ambil tahu pasal dia tahu. Tapi kita kan kerja dalam satu kumpulan sekarang. Tak adillah kalau kita empat orang aja yang mati-matian buat kerja sedangkan dia duduk goyang kaki. Tapi nama dia ada dalam kertas kerja,” tambah Afia.

“Sekarang ni kita buat aja kerja kita. Dia nak datang ke tak itu dia punya pasal,” Adi membantu Afia memilih gambar untuk ditampal pada cardboard.

“Sempat ke nak siap malam ni?” Julia melihat jam di tangan Afia. Sekarang dah pukul sembilan suku. Bermakna mereka cuma ada masa lebih kurang dua jam saja lagi sebelum pukul sebelas.

“InsyaAllah,” Adi meyakinkan mereka.

“Hi, you all. Sorry I’m late. I ada hal sikit tadi,” ujar suara itu manja.
Afia, Adi, Julia dan Rizal meneruskan kerja mereka tanpa mengendahkan kehadiran Norin. Mereka sudah tiada kuasa hendak melayani sikap Norin.

“Banyak lagi ke yang kena buat?” Norin berlagak selamba. Dia tahu mereka marahkannya namun dia sengaja buat-buat tak faham.

“Kau tak nampak ke?” sindir Julia.

“So you all nak I buat apa?”

“Buat bodoh!” Afia geram. Sendiri mahu ingatlah! Dahlah datang lambat. Boleh pula tanya nak buat apa?

“Sorry, I ada call,” Norin begitu gembira melihat nama yang memanggil lantas segera menjawab panggilan itu dengan nada yang manja. “Hai, sayang. I tengah buat group discussionlah ni.”

“Tengok tu. Meluatnya aku!” Afia berteriak kecil apabila Norin menghilang bersama telefonnya. Rasa marahnya sudah tidak dapat dibendung lagi.

“Kau meluat sebab dia datang lambat ke ataupun sebab dia ada boyfriend?” seloroh Adi.

“Banyaklah! Aku tak hairanlah dengan boyfriend dia,” balas Afia. Dia orang ni ada aja bahan nak kenakan aku.

“Yalah, setakat boyfriend Norin tu apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan Sukry,” Adi semakin galak menyakat. Sengaja dia mengusik Afia bagi menghidupkan suasana. Tak adalah bosan sangat.

“Bila dia dah kaya nanti, mesti dia buka warung sendiri. Kalau kau jadi bini dia Afia, kau jadi bini bos,” Julia turut menambah.

“Bila kau dah jadi bini bos nanti, janganlah lupakan kita orang,” Rizal mengajuk salah sebuah iklan di televisyen. Iklan tentang dua sahabat. Sahabatnya memberi ingatan kepada sahabatnya yang mahu menjadi penulis terkenal. ‘Bila kau dah terkenal nanti, janganlah lupakan aku.’

Adi, Julia dan Rizal tertawa melihat muka masam Afia.

“Kau orang ni tak baik tahu. Buatnya dia mengadu kat Sukry nanti macam mana? Habislah peluang kita nak makan percuma,” ujar Adi lagi.

“Dahlah. Malas aku nak layan kau orang,” Afia meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan mereka. Dia malas hendak melayan usikan mereka. Dia sorang, dia orang bertiga. Mestilah dia kalah.

“Malu-malu pula dia,” usik Adi.

“Hee…diamlah!” Afia naik rimas.

“Amboi, garangnya!!” usik Adi.

Mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja-kerja mereka. Jika tidak sempat siang sebelum pagi esok, alamatnya habislah mereka. Kertas kerja dan storyboard itu mewakili 50 markah bagi keseluruhan projek itu. Baki 50 lagi hasil program hiburan mereka yang telah siap. Mereka perlu membentangkan kertas kerja dan storyboard itu kepada Cik Syazliana di hadapan kelas esok sebelum meneruskan penggambaran. Jika Cik Syazliana berpuas hati, barulah mereka boleh memulakan penggambaran. Ketika mereka sedang tekun membuat kerja, tiba-tiba…

“Mana Norin ni? Tak balik-balik pun? Takkan lama sangat jawab telefon?” Julia mula menyedari Norin belum kembali ke situ sejak dia menerima panggilan telefon tadi.

“Ala…tu mesti nak curi tulang. Telefon tu alasan aja,” ujar Afia.

“Ni buat apa ni?”

Afia, Adi, Julia dan Rizal memandang ke arah suara itu. Seorang lelaki berpakaian seragam biru menghampiri mereka.

“Kita orang buat assignment,” jawab Julia. Takkan itu pun salah?

“Assignment apa?”

“Group assignment.”

“Awak tahu tak dah pukul berapa sekarang?” tanya lelaki itu. Afia melihat jam di tangannya.

“10.45,” jawab Afia.

“Awak tahu kan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dilarang berkumpul selepas pukul lapan malam?”

“Tapi kita orang bukan buat apa-apa, pak cik. Kita orang buat assignment aja,” jawab Adi berani.

“Kenapa tak buat waktu siang?”

“Macam mana nak buat waktu siang kalau kita orang ada kelas?” Adi mula berang. Lagipun dia orang berempat, bukannya berdua. Ingat kita orang tak tahu peraturan ke?

“Saya tak nak dengar alasan. Bila saya round sekali lagi nanti, saya nak tempat ni dah kosong,” pengawal keselamatan itu memberi amaran lantas berlalu meninggalkan mereka.

“Kerek betullah pak guard ni,” getus Afia sejurus pengawal keselamatan itu berlalu.

“Biasalah. Mana ada pak guard yang tak kerek?” balas Adi.

“Pak guard di Arau baik,” puji Afia. Terbayang-bayang di kepala Afia akan kebaikan pengawal keselamatan di UiTM Arau. Ramah dan mesra! Tak macam pengawal keselamatan di sini. Perasan bagus! Nak suruh pelajar hormat dia tapi dia tak hormat pelajar.

“Arau tu lain!” celah Adi.

“So macam mana ni? Kita nak siapkan juga malam ni ke ataupun nak tunggu besok pagi aja?” tanya Julia.

“Kalau nak tunggu pagi besok takut tak sempat,” jawab Adi.

Mereka tekun menyiapkan kerja-kerja menampal gambar pada cardboard itu tanpa menyedari jam sudah melewati pukul sebelas malam.

“Pak guard tu kunci pintu pagarlah,” Rizal menunjuk ke arah pintu pagar yang memisahkan fakulti itu dengan asrama mereka.

“Dah pukul sebelas ke?” Afia melihat jam di tangannya. Sebelas dua minit?

“Tak apa. Buat aja. Kita siapkan benda ni,” ujar Adi.

“Tapi macam mana kita nak masuk hostel nanti?”

“Nanti kita cari jalan. Yang penting sekarang, kerja kita kena siap sebelum pagi besok,” Adi meyakinkan teman-temannya.

Ekoran itu, mereka bertungkus-lumus bersekang mata menyiapkan kerja itu sehingga ke lewat malam.

“Finally…” Afia mengeluh lega melihat hasil kerja mereka yang sudah siap sepenuhnya itu.

“Pukul berapa dah ni?” soal Rizal.

“Dekat pukul dua,” balas Julia.

“Patutlah aku rasa mengantuk,” Afia menutup mulutnya yang menguap dengan tangan. Badannya terasa penat.

“Kemas cepat.”

Tanpa berlengah, mereka mengutip kertas-kertas yang bertaburan di lantai. Setelah tempat itu agak bersih, mereka bergerak menuju ke pintu pagar yang memisahkan fakulti dengan asrama mereka.

“Macam mana kita nak masuk ni?” Julia melihat pagar yang berkunci itu.

“Macam mana lagi? Kena panjatlah,” balas Adi.

“Nak panjat macam mana? Tinggi ni,” Afia mencelah.

Adi memandang kawasan sekeliling. Mencari sesuatu yang dapat membantu mereka untuk memanjat pagar itu. Tiba-tiba matanya melekat pada sebuah kerusi plastik tidak jauh dari situ. Adi segera mengambil kerusi itu.

“Kau nak buat apa dengan kerusi ni, Di?” soal Rizal hairan.

“Kau orang naik atas kerusi ni. Lepas tu, cuba panjat pagar ni,” terang Adi.

“Boleh ke?” Julia ragu-ragu.

“Kerusi ni kukuh ke?” Afia mengoyang-goyangkan kerusi itu bagi memastikan kekukuhannya. Tak adalah kukuh sangat tapi bolehlah.

“Riz, kau panjat dulu,” cadang Adi.

“Ok.”

Tak sampai satu minit, Rizal telah selamat memasuki kawasan asrama.

“Ju, kau pula,” ujar Adi.

“Hah? Aku? Afia dululah,” Julia masih tidak yakin. Tengok Rizal buat macam senang tapi aku tak beranilah pulak.

“Ok, aku dulu,” Afia mempratikkan cara yang digunakan oleh Rizal tadi sambil diperhatikan oleh Adi dan Julia. Rizal pula bersedia untuk menyambut Afia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Kalau dibandingkan dengan pagar yang mengelilingi UiTM Puncak Perdana yang selalu mereka panjat, pagar ini agak susah untuk dipanjat memandangkan pagar ini diperbuat daripada kayu yang terpacak tegak dan sukar dipijak. Yalah, mana ada orang buat pagar untuk bagi orang panjat kan?

“Dah, Ju. Giliran kau!” Afia menjerit kecil dari pagar sebelah.

“Aku tak beranilah,” Julia menggeleng kemudian memandang Adi di sebelahnya. “Di, kau dululah.”

“Mana boleh. Aku kena jaga kau kat sini,” tegas Adi. Apalah yang budak ni takut sangat ni?

“Come on, Ju. Kau boleh buat,” Afia cuba memberi keyakinan kepada Julia. Julia memandang Afia, kemudian Rizal dan akhir sekali Adi. Dengan langkah yang berat, Julia berdiri di atas kerusi yang digunakan oleh mereka untuk memanjat.

Pada mulanya, pergerakan Julia lancar. Namun apabila dia hendak melompat ke tanah, tiba-tiba rasa gayat menyelubungi dirinya. Julia kaku di situ.

“Kau tunggu apa lagi? Lompatlah!” gesa Afia.

“Aku takutlah.”

“Kau nak takut apa?” Rizal mula geram melihat perangai Julia.

“Kalau aku jatuh nanti macam mana?”

“Kau takkan jatuh punyalah. Kan aku dan Afia ada. Kita orang sambutlah kau nanti,” balas Rizal.

“Betul? Kau tak tipu?”

“Buat apa pulak kita orang nak tipu kau?”

“Cepatlah Ju! Aku penat ni. Takkan kau nak tunggu sini sampai esok pagi?” marah Adi.

“Kau sambut aku tau, Afia!” Julia menutup mata kemudian melompat ke arah Afia dan Rizal. Bedebuk!

“Kau orang ok ke tak?” Adi cemas melihat mereka bertiga terbaring ke tanah.

Julia mengangkat muka. Alamak! Afia!

“Afia… Afia… bangun…” Julia menampar-nampar muka Afia. “Afia… bangunlah! Aku tak nak jadi pembunuh weh!”

“Adoi…” Afia mengadu kesakitan.

“Afia, kau hidup lagi?” Julia memeluk Afia gembira.

“Kalau kau tak bangun sekarang, mungkin aku akan mati.”

Julia baru tersedar yang dia terbaring di atas badan Afia lantas segera bangkit dan memberi ruang kepada Afia untuk bernafas.

“Afia, kau ok ke?” Adi menerpa ke arah Afia sebaik-baik sahaja dia melepasi pagar yang memisahkan fakulti dan asrama.

“Aku belum nak mati lagilah,” ujar Afia lemah.

“Sorry…” Julia diserang rasa bersalah.

“Kau boleh bangun tak?” tanya Rizal.

“Boleh kut,” Afia bangkit sambil dibantu oleh Adi.

“Kau ni Ju, Afia ni dahlah kurus. Buatnya tulang dia patah macam mana?” bebel Adi.

“Ala… aku tak sengajalah,” balas Julia.

“Dahlah, aku tak apa-apa. Tulang aku kuatlah,” celah Afia.

“Betul ke kau tak apa-apa?” tanya Adi lagi. Risau pulak dia dibuatnya.

“Betul. Jomlah balik. Aku dah mengantuk ni.”

“Jomlah. So esok pagi kita jumpa kat sini ya,” ujar Adi.

“Ok, jumpa esok,” Afia dan Julia berlalu ke asrama siswi sementara Adi dan Rizal berlalu ke asrama siswa. Setibanya di bilik, masing-masing terus terlena dibuai mimpi akibat kepenatan.

Tiada ulasan: