Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

AsyrAfia 10

“Kau orang nak pergi tak ni?” Adi hairan melihat teman-temannya masih tidak berganjak walaupun kelas sudah lama habis.

“Pergi mana?” tanya Rizal.

“Pergi mana lagi? Plaza Alam Sentrallah,” balas Adi.

“Ada apa?” tanya Afia pula.

“Ni lagi sorang. Kan semalam aku dah cakap Muzik Muzik hari ni ada M.I.X. Dia orang jadi artis jemputan. Kau orang nak pergi ke tak?”

“Selain dia orang, ada siapa lagi?” tanya Afia lagi. Kalau ada artis best, syok jugak. Bukan selalu dapat tengok show free.

“Kalau aku tak silap, ada Nas Adila, Ramlah Ram, Jinbara…” Adi cuba mengingati nama-nama artis bagi pencalonan baru Muzik Muzik pada minggu itu yang dibacanya dalam suratkhabar.

“Semua aku tak minat. Malaslah,” ujar Afia. Kalau Sheila on 7, naklah juga aku pergi.

“Ala…kau tu. Semua artis Malaysia pun kau tak minat,” Julia menyampuk.

Julia masak benar dengan minat Afia. Gara-gara Sheila on 7, semua band Indon dia sapu sampai ada yang tak terkenal di Malaysia ni pun dia tahu. Mana tidaknya kalau dah tiap-tiap minggu dok dengar Carta Baik Banget kat Red 104.9 tu!

Apalah nak jadi dengan kawan aku sorang ni? Jangan dia buat perangai tetiba nak bermastautin di Jakarta sudah…

“Cuba kau sebut artis Malaysia mana yang best sekarang,” balas Afia.

“Siti Nurhaliza, Mawi,…” jawab Julia.

“Tengok. Balik-balik nama tu. Tak ada orang lain dah ke? Agaknya industri muzik Malaysia ni memang dah kekurangan artislah kan. Lagu pun banyak ambil lagu luar lepas tu ubah lirik ke bahasa Melayu. Macam mana muzik kita nak maju?” bebel Afia.

“Kan sekarang kita ada M.I.X.?” celah Adi. Bagi Adi, M.I.X. mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Dialek Sarawak yang ditonjolkan dalam setiap lagu mereka menunjukkan yang mereka kaya dengan jati diri dan berani mengetengahkan budaya mereka untuk dikomersialkan. Kalau kena gayanya, dia yakin M.I.X. mampu mengembalikan kegemilangan irama rap seperti yang pernah dipelopori oleh 4U2C, Nico dan Feminin sekitar tahun 90-an dulu.

“Tapi dia orang tetap tak boleh lawan Sheila on 7 di hati aku.”

“Yalah, yalah. Kau menang. Puas hati? Dah, jom!” Adi malas hendak meneruskan perdebatan itu. Afia ni kadang-kadang nampak aja pendiam tapi kalau dah masuk bab muzik, fuh… keretapi pun kalah!

“Kan aku dah cakap aku tak nak pergi!” bantah Afia. Tak faham bahasa Melayu betul! Aku cakap Jawa nanti baru tahu. Ingat aku tak tahu bahasa Jawa ke?

“Kau ni Afia, tak baik tau. Dia orang dah tolong kita. Kita kenalah bagi sokongan,” Julia mencelah.

“Entah kau ni. Jomlah. Kalau kau tak pergi, tak cukuplah team kita,” Adi sengaja mengumpan Afia. Sudah menjadi kebiasaan, ke mana-mana sahaja mereka pasti berempat. Kalau kurang seorang macam tak bestlah pulak. Macam ada sesuatu yang kurang.

“Norin macam mana? Kalau dia boleh tak pergi, kenapa pulak aku kena pergi?” Afia sengaja mencari alasan.

“Yang itu lantak dialah. Malas aku nak cara. Bukan kita yang pulaukan dia. Dia yang menyombong dengan kita,” jawab Adi.

Selepas habis penggambaran, mereka dah malas nak ambil tahu pasal ‘kakak’ mereka itu. Norin ada atau tak ada sama sahaja bagi mereka. Editing pun dia tak ambil peduli. Usah kata nak tolong, tanya pun tak!

“Eh, jomlah! Nanti tak sempat nak kejar bas,” Julia menarik tangan Afia. Mentang-mentanglah Afia tu ringan, sekali tarik aja Afia dah terbangun.

Mahu tak mahu, Afia terpaksa juga mengikut kawan-kawannya itu ke Plaza Alam Sentral yang terletak di pusat bandar Shah Alam, 30 minit dari kolej mereka.

Di Sri Pentas 2, yakni studio yang digunakan bagi siaran secara langsung program Muzik Muzik pada setiap hari Khamis, suasana agak lengang. Tidak ramai penonton yang berkunjung ke situ pada petang itu.

“Artis tak glamour, siapa nak datang?” Afia menjawab pertanyaan Julia mengenai studio yang kelihatan lengang itu walaupun siaran akan bermula tidak kurang dari lima minit sahaja lagi.

“Syyy…” Julia menyiku Afia. Bimbang sekiranya kata-kata Afia didengari oleh seorang penyanyi wanita yang sedang bersiap sedia untuk membuat persembahan di tepi pentas. Kalau artis tu dengar, kecik hati dia.

Dah memang betul pun. Kalau artis luar datang, sebelum pukul empat lagi pintu di luar tu dah sesak dengan manusia. Pulak tu, ada jugak yang tak dapat masuk sebab tempat dah penuh. Begitulah penangan artis luar. Kalau artis Malaysia?

Bosannya! Afia merungut dalam hati. Masuk kali ini, sudah lebih sepuluh kali dia menguap. Itu baru artis kedua membuat persembahan. Sedang kawan-kawannya asyik melihat gelagat Cheryl Samad, pengacara program itu berceloteh bersama artis pencalonan baru yang seterusnya, Afia pula lebih berminat menyaksikan krew-krew program itu bekerja terutamanya jurukamera.

Terdapat lima jurukamera yang ditugaskan mengendalikan kamera bagi program yang mengambil masa selama satu jam itu. Setiap seorang daripada mereka pula akan mengambil shot yang berbeza setiap satunya. Kamera pertama untuk shot zoom in dan zoom out, kamera kedua untuk dolly in dan dolly out, kamera ketiga untuk crab left dan crab right, kamera keempat untuk tilt up dan tilt down dan kamera kelima untuk elevate dan depress.

“Afia, kau tengok apa?” Julia yang duduk di sebelah Afia berasa pelik melihat Afia tidak memandang ke pentas setelah hampir satu jam berlalu. Macam ada benda lain yang menarik perhatiannya.

“Aku tengok cameraman tu haa...” ujar Afia.

“Hek eleh. Orang lain sibuk tengok orang nyanyi di pentas, kau sibuk tengok cameraman. Kau dah sangkut pada abang cameraman tu ke? Yang mana satu?” Julia melihat ke arah jurukamera yang bertugas. Hensem ke?

“Hish… kau ni tak ada benda lain yang nak difikir. Aku tengok cara dia orang bekerjalah. Nampak macam seronok aja. Lebih-lebih lagi yang duduk di atas tu,” Afia menunjuk ke arah seorang jurukamera yang ditugaskan mengambil shot dari arah atas. “Tiba-tiba aku rasa nak jadi cameramanlah pulak. Aku nak…”

“Syyy… M.I.X., M.I.X.,” belum sempat Afia menghabiskan ayatnya, pantas Julia memotong apabila terpandangkan Noh, Asyraf, Ogie dan Wayne muncul dari belakang pentas.

Afia menarik muncung. Terasa hati dengan sikap Julia. M.I.X. pun selak. Macamlah tak pernah jumpa. Best lagi Sheila on 7 aku!

“Comel kan Noh?” bisik Julia kepada Afia.

“Comelnyalah,” Afia tersenyum palsu. Duta aku lagi comel!

Kemarahan Afia terhadap Julia sedikit terubat apabila M.I.X. mula beraksi di pentas selepas sesi temubual bersama Cheryl Samad.

Nasib baik dia orang nyanyi lagu yang aku suka. Afia leka menyaksikan persembahan M.I.X. yang bergandingan dengan Dewi, bintang kelahiran program realiti Mentor mendendangkan lagu Puteri Santubong.

“Yang duduk hujung tu, kenapa senyap aja?”

Afia yang tadinya khusyuk menjamah Kueh Tiew Bandung kegemarannya tersentak dek sapaan itu. Diakah yang dimaksudkan? Afia memandang ke kiri dan kanannya. Memang dialah yang duduk di hujung sekali.

“Afia ni memang macam ni. Pendiam…” Adi mencelah. Pendiamlah sangat! Adi masak benar dengan perangai Afia. Depan orang yang tak kenal, memang Afia nampak pendiam tapi bila dah lama kenal lainlah pulak. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh soal muzik.

Bukan hipokrit tapi dah memang sikap Afia macam tu melainkan orang itu bijak memancing Afia untuk berbual. Bukan sembarangan orang yang mampu membuat Afia bersuara. Hanya orang yang terpilih aja tau!

Afia kembali menikmati makanannya ketika Adi, Julia dan Rizal rancak berbual dengan Ezrie dan anggota M.I.X.

Selepas tamat siaran langsung Muzik Muzik tadi, Adi mencadangkan agar mereka meraikan M.I.X. sempena kelahiran album pertama mereka yang telah pun menjengah pasaran tempatan. Pada mulanya, Afia ingin menolak cadangan itu memandangkan hari sudah lewat petang namun melihatkan semuanya sudah sepakat jadi terpaksalah dia menurut sahaja. Apa nak buat? Sudah nasibnya selalu sahaja menjadi golongan minoriti dalam kumpulan itu.

Namun bagi Afia, Adi, Julia dan Rizallah sahabat sejatinya walaupun banyak jugak bebudak batch mereka yang tidak berapa suka dengan mereka. Ekoran sikapnya yang suka cakap lepas, Adi dilabel sebagai seorang yang jahat mulut atau laser. Kalau ada benda yang dia tidak berkenan, Adi akan cakap terus-terang walaupun bukan niatnya menyinggung perasaan orang lain.

Julia pulak terlalu ramah dengan semua orang sehingga ada yang tidak tahan dengan sikapnya yang terlalu banyak cakap. Setiap saat mulutnya riuh bercerita. Tak penat ke dia? Rizal pulak orang yang lurus. Blur pun ada jugak. Ramai orang kata Rizal ‘kampung’.

Biar apa pun yang orang kata tentang kawan-kawannya, Afia tak kisah sebab dia tahu tak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Masing-masing ada kekurangan dan kelebihan. Walaupun Adi jahat mulut tapi Adi sangat mengambil berat perihal kawannya. Julia pulak walaupun kecoh tapi dia tidak pernah menjaja cerita buruk orang lain dan Rizal walaupun ‘kampung’ tapi dia cemerlang dalam akademik.

Agak-agak apa pulak yang mereka cakap pasal Afia ya? Mestilah tentang sikap Afia yang suka buat hal sendiri dan tidak bercampur dengan orang. Maklumlah sebelum berkawan dengan Adi, Julia dan Rizal, Afia seorang yang low ranger. Tapi Afia tak pernah ambil peduli akan kata-kata orang kerana baginya orang lain berhak berkata apa-apa sahaja dan selagi perkara itu tidak mengaibkan dirinya Afia lebih suka mengambil sikap berdiam diri.

Tiada ulasan: