Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 06, 2008

AsyrAfia 7

Tangannya pantas menekan suis radio tatkala kakinya menapak di kamar tidurnya. Serta-merta lagu ‘Untuk Perempuan’ daripada Sheila on 7 mengisi gegendang telinganya. Dia merebahkan diri ke katil. Namun baru sahaja dia hendak melelapkan mata, tiba-tiba pintu biliknya dikuak. Seorang gadis yang tidak jauh berbeza usia daripadanya muncul di muka pintu.

“Woi, tidur aja!” tegur gadis itu.

Dia pura-pura tidak mendengar.

“Afia!”

“Apalah?” Afia berasa terganggu.

“Tu, anak kau kat dapur tu. Pergilah tengok,” ujar gadis itu.

Afia memekakkan telinga lalu memejamkan mata. Malas nak layan!

“Afia! Dengar tak Along cakap ni?” Afni mula hilang sabar. Orang cakap, dia buat bodoh aja.

Afia rimas mendengar bebelan kakaknya itu lalu bangkit dari katil menuju ke dapur. Kacau aja! Orang nak rileks kejap pun tak boleh. Pantang tengok orang senang.

“Donna, kenapa ni? Lapar ke?” Afia menghalang anak kucing yang dipanggil Donna itu daripada terus menggeledah bakul sampah di tepi pintu dapur itu. “Jom kita duduk kat bilik,” Afia mendukung anak kucingnya itu masuk ke bilik.

“Haa…bawalah masuk bilik. Tidur dengan bulu dia,” ujar Afni. Dia memang tidak suka kucing. Semuanya gara-gara dia pernah digigit oleh seekor kucing ketika dia berusia enam tahun. Niatnya hanya untuk membelai kucing itu tetapi malangnya kucing itu tidak memahami niatnya. Tangannya pula yang menjadi mangsa gigitan kucing itu dan sampai sekarang dia fobia dengan kucing.

Afia tidak mengendahkan kata-kata Afni. Tanpa menjawab, dia melangkah ke dalam biliknya lalu menutup pintu. Jika dijawab nanti pasti tidak akan ada habisnya. Hubungan Afia dan Afni memang tidak pernah baik. Setiap kali mereka berjumpa, pasti ada sahaja perkara yang menyebabkan mereka bertengkar.

Pernah juga mereka bergaduh hanya disebabkan perkara kecil. Pada suatu petang, Afni sedang meneliti kerja-kerjanya yang bertimbun di ruang tamu apabila Afia muncul dan menonton televisyen. Tiba-tiba tanpa sebab Afni memarahinya. Afia pula bukan jenis yang berdiam diri lalu dia turut membalas kata-kata Afni. Afni yang ketika itu sedang dilanda tekanan semakin berang apabila Afia berani menjawabnya dan tanpa pertimbangan, laju aja tangannya naik ke muka Afia.

Afia tergamam. Afni rasa bersalah namun kata maaf tidak terkeluar dari mulutnya. Tiba-tiba Afia jadi benci kepada kakaknya. Takkanlah kerana dia yang tertekan, orang lain tak boleh tengok TV? Teruklah macam tu. Semua nak kena ikut mood dia.

Sejak kejadian itu, Afia dan Afni sudah jarang-jarang bercakap. Kalau jumpa di rumah pun, masing-masing seperti orang asing. Sepatah pun mereka tidak bercakap. Afia memang seorang yang pendendam. Apa sahaja yang orang lakukan kepadanya akan diingatnya sampai bila-bila. Namun begitu, dendamnya tidaklah sampai sanggup membuat khianat. Cuma dia akan ingat siapa yang berbuat baik dan siapa yang berbuat jahat kepadanya.

“Kita duduk sini ya, Donna,” Afia meletakkan Donna di atas katil. Bagaikan mengerti arahan tuannya, kucing itu duduk di atas katil Afia.

Afia kemudian melangkah ke meja belajarnya lalu menghidupkan suis komputer. Talian internet disambung sebaik-baik sahaja komputer itu terpasang. Tangannya ligat mengaktifkan laman web Yahoo. Seperti biasa jika mengadap internet, dia akan menyemak emel dan friendster.

Pertama kali Afia mendaftar di friendster ketika salah seorang teman sekelasnya berpindah ke New York kerana mengikut keluarganya yang berpindah ke sana. Kawannya itulah yang mengesyorkan agar dia mendaftar di situ agar mereka tetap bisa selalu berhubung. Tanpa disangka, Afia menemui ramai kawan lamanya di situ baik kawan-kawan sekolah rendahnya mahupun kawan-kawan sekolah menengahnya.

Mungkin pada sesetengah pihak, friendster ini tidak ada faedah dan hanya membuang waktu. Namun bagi Afia, friendster telah banyak berjasa kepadanya kerana berjaya menemukannya dengan kawan-kawan lamanya yang sudah bertahun terputus hubungan. Sehingga kini, sudah beratus teman lamanya yang ditemuinya di situ. Rata-ratanya masih belajar sepertinya tetapi ada juga yang sudah bekerjaya, ada yang sudah berkahwin dan ada yang sudah mempunyai cahaya mata.

Tuk! Tuk! Tuk! Sedang Afia ralit mengadap internet, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Seorang pemuda terpacul di muka pintu. Afia melihat wajah itu sekilas kemudian dia kembali mengadap komputer. Dia sudah dapat mengagak apa dikehendaki oleh pemuda itu.

“Angah, pinjam duit,” ujar pemuda itu sambil tersengih.

“Dah agak dah. Nak buat apa?” tanya Afia walaupun sebenarnya dia sudah tahu jawapannya. Tak ada lainlah tu. Mesti nak beli benda tu. Asyik bakar duit aja. Itu satu hal. Satu hal lagi membahayakan kesihatan. Orang cakap tak nak dengar!

“Ala…pinjamlah,” rayu pemuda itu.

“Am tu cakap aja pinjam tapi tak pernah bayar balik pun,” ujar Afia. Bukan dia nak berkira dengan adik sendiri tapi kalau dah selalu kopak juga. Dia sendiri bergantung pada duit PTPTN. Satu semester dia cuma dapat RM500. Dah tolak yuran, berapa aja yang tinggal? Nasib baik dia mempunyai simpanan sendiri. Kalau tak, payah juga dia nak hidup. Beli buku, alat tulis dan lain-lain keperluan.

Pernah juga dia terfikir untuk mencari kerja sambilan namun dia sedar dia tidak mampu melakukan dua tugas dalam waktu yang sama. Bekerja dan belajar. Belajar sahaja pun sudah cukup meletihkan. Tambahan pula, jurusan yang diambilnya mempunyai banyak tugasan luar. Duit pun banyak yang keluar. Kadang-kadang rasa bertuah juga dapat belajar di UiTM. Kurang sikit beban nak bayar yuran. Makan dan tempat tinggal pula percuma bagi pelajar diploma. Tapi kalau nak merasa makanan yang sedap, terpaksalah keluar duit makan di luar.

Kalau hendak diikutkan, keluarga Afia bukanlah susah sangat. Ayahnya mempunyai perniagaan sendiri sementara ibunya pula seorang pengetua sekolah menengah. Afni pula membantu urusan perniagaan papa mereka. Cuma Afia tidak suka meminta pada kedua-dua orang tuanya apatah lagi kakaknya. Seboleh-bolehnya dia tidak akan meminta satu sen pun daripada kakaknya.

Di luar sana, ada orang yang sebayanya sudah pandai mencari duit sendiri sedangkan dia masih bergantung kepada ibu bapanya walaupun umurnya sudah mencecah 21 tahun. Afia berasa malu apabila mengingati itu. Justeru, Afia sangat berjimat-cermat dalam perbelanjaan hariannya. Nak beli baju sehelai pun, dia berfikir lebih dua kali.

“Nak berapa?” tanya Afia. Tak sampai hati pula dia hendak menghampakan permintaan adiknya yang seorang itu. Biarlah Amri meminta kepadanya. Itu lebih baik daripada dia mencuri ataupun merompak ataupun melakukan sesuatu yang tidak elok di luar.

“RM50?”

“RM50?” Terbeliak biji mata Afia mendengar angka yang disebut. “Mana Angah ada duit banyak tu. RM20 adalah,” Afia memang tidak suka mengeluarkan duit dalam jumlah yang banyak dalam sesuatu masa. Bimbang dia akan terbelanja banyak.

“RM20 pun RM20lah,” ujar Amri. Daripada tak ada langsung.

Afia mengambil dompetnya dari dalam beg selempangnya yang diletakkan di atas katil selepas pulang dari Setiawangsa tadi. Dua keping wang kertas berwarna merah dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Amri.

“Thanks. Sayang kau,” Amri menyambut huluran Afia.

“Yalah. Ada duit baru nak sayang,” balas Afia.

Amri cuma tersengih dan terus berlalu. Afia menggeleng melihat sikap adiknya itu. Umurnya sudah lapan belas tahun tapi masih buat kerja tanam anggur. Orang suruh belajar, kata tak minat. Orang suruh kerja konon belum bersedia. Entah apa yang dia nak. Am, Am.

“Am, nak pergi mana pula tu?” Puan Shafira menegur Amri ketika anak bongsunya itu melintasi ruang dapur.

“Am nak jumpa kawan kejap ma,” jawab Amri tanpa berselindung. Selama ini pun dia tidak pernah berbohong dengan ibunya. Dia bukan buat benda yang salah.

“Buat apa? Cubalah Am duduk rumah sekali-sekala. Kalau Am kata nak pergi kerja, sedaplah sikit mama mendengarnya. Bila Am nak berubah ni?”

“Ala…Am pergi kejap aja. Am pergi dulu. Kawan Am dah tunggu tu,” Amri segera menyarung kasutnya sebelum ibunya membebel dengan lebih panjang.

“Nak ke mana pula anak kesayangan awak tu?” Encik Ariffin muncul dari dalam.

“Biasalah. Takkan awak rak tahu?” balas Puan Shafira.

“Ada pula duitnya?”

“Entah. Dia tak minta dengan saya pun. Dia minta dengan kakaknyalah tu.”

“Jangan manjakan sangat budak tu,” ujar Encik Ariffin. Mungkin kerana Amri satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga maka segala kasih sayang banyak tertumpah kepadanya.

Selepas Afni dilahirkan, dia sangat gembira apabila isterinya mengandung lagi. Memandangkan anak pertamanya adalah perempuan, maka dia berharap agar anak keduanya adalah lelaki. Namun dia kecewa apabila anak keduanya juga perempuan iaitu Afia. Disebabkan itu dia kurang memberi perhatian kepada Afia. Namun apabila Amri lahir, dia menatangnya bagaikan minyak yang penuh.

Apa yang Amri nak semua dipenuhi. Ketika di tingkatan lima, Amri mengecek hendak mengambil lesen motorsikal. Bila dah ada lesen, dia mengecek pula nakkan motorsikal. Afia yang nak basikal masa sekolah dulu pun tak dapat. Mungkin disebabkan itu, Afia membesar menjadi anak yang kurang meminta. Apa yang dikehendakinya akan diusahakannya sendiri.

Encik Ariffin mengeluh mengenangkan sikap tidak adilnya kepada ketiga-tiga anaknya. Tambahan pula, Amri mula buat perangai. Betapa dia kecewa dengan sikap Amri. Semua kehendak Amri sedaya-upaya cuba dipenuhi dengan harapan Amri dapat membantu perniagaannya suatu hari nanti. Namun ketika keputusan SPM diumumkan. Amri gagal empat subjek. Sudahlah malas belajar, kerja pun tak mahu. Setiap hari Amri hanya menghabiskan masa melepak bersama kawan-kawannya.

Entah apa nak jadi dengan budak Amri tu. Ingatkan ada anak lelaki senang. Makin menyusahkan lagi adalah!

Tiada ulasan: