“Hee…mana bebudak dua ekor ni?”
Ni aku tak suka ni. Bila aku lambat, tahu pula nak melenting. Sendiri pun lambat. Memang janji Melayu betul!
“Ju, kau dah call dia orang?”
“Dah banyak kali. Tak angkat-angkat pun. Sampai naik sakit jari aku ni ha,” Julia dah malas nak menelefon.
“Dua-dua pun tak angkat?” Julia menjungkit bahu. “Tidur mampus ke apa dia orang ni? Biar aku pula yang telefon.”
Afia mencari nama ‘Adi’ dalam phone booknya lalu menekan butang hijau di telefon bimbit Nokianya itu. Afia menanti jawapan di hujung talian.
“Woi, Adi!” Afia menengking sebaik-baik saja talian disambung. Adi yang tadinya masih mamai menjadi segar apabila mendengar sergahan Afia.
“Hish…kau ni Afia. Kalau ya pun, bagilah salam dulu. Terkejut aku.”
“Tak ada maknanya! Mana kau orang ni? Tak bangun lagi ke? Dah naik muak kita orang tunggu. Jadi ke tak ni?” marah Afia.
Kalau tak jadi, cakaplah awal-awal. Tak payahlah aku susah bangun pagi-pagi.
“Apa yang kau bising-bising ni? Hari ni kan hari minggu. Bagilah kita orang tidur lama sikit.”
“Weh, hari ni kan kita nak pergi KL. Nak jumpa kumpulan M.I.X. tu.”
“Hari ni ke?’
“Habis tu?”
“Yalah. Aku siap sekarang.”
“Cepat!”
“Adi dah bangun belum?” tanya Julia.
“Tidur lagi,” balas Afia. “Entah apa yang dibuatnya malam tadi?”
Tak faham aku. Kenapa budak laki suka tidur lambat? Apa yang dia orang buat?
Budak laki biasa buat apa ya malam-malam? Kenapa dia orang selalu bangun lambat? Ada yang kata, dia orang main games. Ada yang kata, dia orang tengok VCD. Ada yang bersembang ataupun mengumpat. Ada juga yang chatting sampai ke pagi. Maklumlah internet free.
Afia pun macam tu juga. Selalu tidur lambat sebab main internet tapi kalau esoknya kena bangun awal, dia akan tidur awal. Kepalanya terasa berat kalau tidak cukup tidur dan ini pastinya mengganggu moodnya untuk membuat kerja.
Afia melihat jam di tangannya. Memang dia tidak pernah lekang dengan jam tangan itu. Ke mana saja pasti dibawa bersama.
Jam tangan yang bercorak ala-ala askar, lengkap dengan kompas kecik di tepinya itu dibelinya di Hot Market, Plaza Alam Sentral ketika bebudak Mass Comm baru berpindah ke Puncak Perdana semasa semester tiga.
Ketika itu keadaan Puncak Perdana tidaklah semewah sekarang. Mereka seperti terasing dari dunia luar. Dahlah shopping complex tak ada, satu kedai makan pun tak ada. Kosong. Yang ada hanyalah pokok-pokok dan rumah-rumah teres yang tidak berpenghuni. Ibarat sebuah perkampungan di tengah hutan belantara. Nak dapat bas pun payah. Macam mana nak hidup?
Namun, pelajar-pelajar yang ada sekarang tidak merasai kesusahan itu memandangkan kawasan ini telah banyak berubah dan keadaannya sudah bertambah baik. Banyak kedai makan yang sudah dibuka, kedai runcit, kafe siber, kedai dobi, dan macam-macam lagi. Bas pun dah banyak untuk membawa pelajar-pelajar keluar ke bandar walaupun kadang-kadang terpaksa menunggu berjam-jam. Lebih-lebih lagi hari minggu macam ni.
“Mana kau orang ni?” Afia menelefon Adi kembali.
“On the way.”
“Yalah tu, on the way. Entah-entah atas katil lagi. Bangunlah cepat! Bas dah nak jalan ni. Hari minggu ni bukannya senang nak dapat bas.”
“Yalah, Cik Afia.”
“Siap macam perempuan,” bebel Afia.
Patutnya lelaki yang tunggu perempuan. Bukan perempuan yang tunggu lelaki. Benda dia buat agaknya? Bukannya kena gosok tudung pun.
“Cepatlah….” Afia sudah tidak tahan menunggu. Matanya sudah mahu tertutup apabila Julia berteriak nama Adi dan Rizal.
“Tu dia orang.”
Afia melihat ke arah yang dikatakan oleh Julia. Dari jauh, kelihatan Adi dan Rizal menuju ke arah mereka.
“Cepatlah! Bas dah nak jalan ni,” Afia dan Julia segera naik ke dalam bas.
Dah tahu lambat, lagi nak terkedek-kedek. Ingat model agaknya?
Adi dan Rizal berlari sekuat tenaga apabila bas itu sudah mula bergerak. Pak cik yang bawa bas tu pun dah malas nak menunggu bebudak ni agaknya.
“Jaga tangan tu,” pak cik bas itu memberi peringatan kepada pelajar yang berdiri dekat dengan pintu bas.
Beginilah keadaannya pada hari minggu. Memandangkan bas tak banyak pada hari minggu dibandingkan dengan jumlah pelajar yang nak keluar ke bandar, makanya mereka terpaksa berhimpit di dalam bas.
“Chup! Chup! Norin mana?” Julia mula teringat tentang Norin. Norin kan ahli kumpulan mereka juga. Takkan dia tak ikut sekali kan?
“Di, Norin mana? Dia pergi sekali dengan kita tak?” tanya Afia.
“Semalam dia message aku. Dia cakap dia tak dapat ikut kita hari ni. Dia ada hal lain,” balas Adi.
“Hal apa? Entah-entah saja tak nak buat kerja,” ujar Afia.
“Ala…biarlah dia. Kalau dia ada pun, kau juga yang tak senang duduk.”
Bagus juga dia tak ada. Tak adalah dia mengganggu mood semua orang.
Bas dinaiki mereka meluncur melalui TTDI dan kemudian membelok ke Giant, Seksyen 13. Mujur ramai pelajar yang turun di situ. Dapatlah Afia dan Julia duduk.
“Nikmatnya dapat duduk,” Afia sempat melelapkan mata sehinggalah Julia mengejutkannya apabila bas itu berhenti di Seksyen 2.
Seksyen 2 adalah tempat persinggahan bagi bas-bas menunggu waktu perjalanan seterusnya ataupun berhenti rehat untuk seketika. Bas Rapid KL yang bernombor 603 adalah bas untuk masuk ke dalam UiTM induk. Bas bernombor 601 dan 602 untuk ke Kompleks PKNS manakala bas bernombor 604 untuk ke Seksyen 7 dan Klang. Bas ke KL pula bernombor U80.
Afia, Julia, Adi dan Rizal melintas ke seberang untuk menaiki bas U80.
“Ramainya orang. Kena berdiri lagilah nampak gayanya,” rungut Rizal. Dahlah dalam bas dari Puncak Perdana ke Seksyen 2 dia berdiri setengah jam. Sekarang, nak pergi KL pun dia kena berdiri untuk satu jam lagi.
“Nasiblah. Pagi-pagi macam ni kan memang ramai orang,” ujar Afia.
“Kita makan dululah,” cadang Adi.
“Nak makan apanya? Kita kan dah lambat ni,” Afia membantah cadangan Adi.
Kalau janji dengan orang, kenalah datang awal. Takkan nak biar orang tu menunggu? First impression is important!
“Ala…kita kan tak janji nak datang pukul berapa. Dia orang pun tak kisah kita nak datang pukul berapa,” balas Adi.
“Habis tu, takkan kita nak datang malam pula?”
Memanglah dia orang tak cakap pukul berapa kena datang tapi pandai-pandai sendirilah.
“Tapi aku laparlah. Nanti aku pengsan, siapa nak angkat aku?” seloroh Adi.
“Kita makan kat KL Sentral nantilah,” celah Julia.
Sekurang-kurangnya LRT tetap ada. Tak payah tunggu lama macam tunggu bas. Kalau terlepas bas ni, kenalah tunggu setengah jam lagi.
“Aku ada Twiggies,” Julia menghulur sebungkus Twiggies berperisa vanila kepada Adi.
“Makan ni mana kenyang,” ujar Adi namun huluran Julia disambut juga.
Rezeki jangan ditolak!
“Makanlah buat alas perut. Sampai KL Sentral nanti, kita makanlah makanan berat sikit.”
Afia, Julia, Adi dan Rizal naik ke dalam bas. Sebaik-baik mereka naik, bas itu bergerak menuju ke Komples P.K.N.S, mengambil penumpang dan kemudian bergerak menuju ke KL melalui Tesco.
Setelah hampir satu jam, akhirnya mereka tiba di KL Sentral.
“Kau nak makan apa?” Afia bertanya kepada Adi.
“Kita makan Mc’ D nak?”
“Kau nak belanja ke?”
“Apa hal pula aku nak belanja?”
“Dah, kau yang ajak.”
“Tak ada, tak ada. Sendiri makan, sendiri bayar.”
Afia, Julia dan Rizal mengikut Adi menuju ke Mc’ Donalds.
“Siapa nak beratur ni?” tanya Julia.
“Hai, sendiri nak makan, sendiri beraturlah. Kau orang ingat kau orang anak raja ke? Nak kena layan,” ujar Adi.
Adi memang begitu. Adi bukan jenis lelaki yang suka memberi layanan istimewa kepada perempuan. Baginya, lelaki dan perempuan sama saja. Kenapa lelaki perlu bersusah payah untuk perempuan?
Kenapa bila lelaki dan perempuan keluar bersama, lelaki yang perlu bukakan pintu kereta untuk perempuan? Kenapa bila lelaki dan perempuan keluar bersama, lelaki yang perlu membayar bilnya? Kenapa lelaki yang perlu bagi bunga dan coklat pada perempuan? Perempuan bagi apa pula pada lelaki?
“Teruklah kau ni. Tak gentleman langsung,” marah Julia.
“Peduli apa aku? Tak kuasa aku nak layan kau orang. Kau orang bukannya girlfriend aku pun,” balas Adi.
“Dahlah, Ju. Kita beli sendiri aja,” celah Afia.
Minta tolong sikit pun tak boleh. Berkira betul!
Akhirnya mereka berempat beratur bagi membeli makanan masing-masing.
“Siapa nak kentang goreng ni? Aku tak laratlah nak habiskan,” Afia menolak kentang goreng di hadapannya. Walaupun hanya memesan Happy Meals, namun perutnya sudah tidak dapat diisi lagi.
“Kau ni Afia, selalu makan tak habis. Patutlah badan kau tak besar-besar,” ujar Adi.
“Kalau kau nak, kau ambil ajalah. Malu-malu pula,” celah Julia. Mereka semua sudah sedia maklum dengan sikap Adi yang kuat makan itu.
“Betul ni? Aku ambil ni?” Adi mengambil kentang goreng Afia.
“Jangan, Adi. Jangan,” seloroh Afia. Orang dah bagi tu, tanya lagi!
“Kita nak naik apa pergi Setiawangsa?” tanya Julia sambil mengunyah ayam goreng kegemarannya.
“Lepas ni, kita kena ambil LRT Putra,” balas Adi.
“Jauh tak?” tanya Afia pula.
“Dari sini nak ke Setiawangsa adalah dalam setengah jam,” jawab Adi.
Antara mereka berempat, Adi paling pakar dalam bab-bab jalan kat Kuala Lumpur ni memandangkan dia ‘kaki jalan’.
Setiap kali cuti semester, Adi akan bekerja bagi menampung perbelanjaan kolejnya. Bermacam-macam kerja dia pernah buat. Daripada pekerja kafe siber, pusat tuisyen hinggalah kedai buku. Dari Gombak hinggalah Kelana Jaya. Adi memang tidak memilih pekerjaan asalkan kerja itu dapat memberinya duit dengan cara yang halal.
Berkat pengalaman itu, Adi mempelajari selok-belok di Kuala Lumpur ini
“Setiawangsa tu dekat dengan Gombak tak?”
“Dekatlah juga. Tiga, empat stesen macam tu.”
Selepas makan, mereka berempat menaiki LRT Putra menuju ke Setiawangsa. Dari stesen LRT Setiawangsa, mereka menaiki teksi ke pejabat milik Cat Farish, Cat Presents Production yang terletak di Jalan Setia Wangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan