Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, November 29, 2008

Budak S.M.A.R.T. 4

“Tya, aku tengok budak baru tu asyik pandang kau aja masa dalam kelas tadi. Aku rasa dia syok kat kaulah,” Fatin menjeling ke arah Shamsul yang sedang makan tidak jauh daripada mereka berdua ketika waktu rehat tengah hari itu.

“Hish…Kau ni,” Athira membantah andaian teman baiknya itu. Dia turut memandang ke arah Shamsul. Boleh tahanlah. Kemas. Tapi mana boleh lawan buah hati aku. “Handsome tapi tetap tak boleh lawan boyfriend aku.”

“Aku tak tahulah kau ni rabun ke ataupun tak nampak. Budak hantu macam tu pun kau boleh suka?” Fatin mempersoalkan perihal buah hati teman baiknya itu.

“Dia bukan sebarang hantu tahu. Sehantu-hantu dia pun, dia tak pernah buat benda tak elok kat aku tahu,” Athira membela buah hatinya. Biar apa pun kata orang dia yakin dengan pilihannya. Baginya, biarlah nampak jahat pada pandangan mata orang. Yang penting dia tahu siapa buah hatinya yang sebenar. Hubungan mereka dah hampir dua tahun. Dah saling mengenali hati budi.

“Hai, sorang saja ke?” sapanya.

Athira mendongak ke arah pemilik suara itu.

“A’ah,” jawab Athira pendek.

“Kalau macam tu jomlah kita pergi kantin sama,” pelawa suara itu lagi.

Athira masih ingat hari pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah itu. Segala-galanya terasa asing baginya. Tercongak-bangak dia melihat pelajar-pelajar berpusu-pusu ke kantin. Semua sudah ada geng sendiri. Tidak ada seorang pun yang sudi berkawan dengannya.

Di sekolah lama dulu dia mempunyai ramai teman baik. Berat hatinya untuk berpisah dengan mereka apatah lagi rata-rata temannya adalah teman sepermainannya sejak kecil. Namun kuasa bukan di tangannya. Mahu tak mahu dia terpaksa mengikut orang tuanya berpindah ke ibu negeri Darul Makmur ini. Semuanya gara-gara ayahnya yang ditukarkan oleh majikannya ke sini.

Pada masa itu Athira sangat marahkan ayahnya. Fikirnya ayahnya tidak mempedulikan perasaannya. Kemarahannya semakin membara apabila ayahnya tidak dapat menghantarnya pada hari pertama dia di sekolah baru. Namun kemarahannya mula reda sebaik-baik saja dia mendapat kawan baru di sekolah itu. Keramahan pelajar lelaki itu telah menyelamatkan dirinya daripada terus diburu rasa asing di sekolah baru. Bahkan pelajar lelaki itu banyak membantunya menyesuaikan diri di bandar kelahiran ibunya ini.

Ekoran itu, Athira amat menyenangi kehadiran pelajar lelaki itu. Pelajar lelaki itu memang pandai mengambil hatinya. Dan memandangkan pelajar lelaki itu orang pertama yang dikenalinya sejak dia berpindah ke situ, pelajar lelaki itu sering didahulukan daripada kawan-kawannya yang lain. Tanpa disedari pelajar lelaki itu mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Hubungan mereka bertambah rapat dari sehari ke sehari hingga membibitkan rasa sayang.

Athira tersenyum apabila mengingati detik awal perkenalannya dengan teman lelakinya. Pada masa itu perangai teman lelakinya tidaklah seteruk sekarang. Orangnya baik dan rajin menolong. Berbeza dengan dirinya yang sekarang. Mungkin pengaruh rakan.

Maklumlah dulu teman lelakinya berkawan baik dengan Fakhrul, anak inspektor polis. Orangnya boleh tahan. Tinggi, kurus. Olahragawan sekolah pula tu. Memandangkan Fakhrul kawan teman lelakinya, Athira juga rapat dengan Fakhrul. Namun tanpa Athira ketahui, keintimannya dengan Fakhrul mengundang cemburu di hati teman lelakinya. Hampir seminggu teman lelakinya tidak menegurnya dan Fakhrul. Bermacam-macam persoalan bermain di benaknya ketika itu. Hubungan teman lelakinya dan Fakhrul juga tidak semesra dulu. Seakan terbentang jurang yang besar antara mereka.

“Awak pergi mana? Puas saya cari.”

Dua tiga menjak ni terasa payah benar nak bercakap dengan lelaki itu memandangkan lelaki itu sering mengelakkan diri daripadanya.

“Buat apa cari saya? Fakhrul kan ada.”

“Lain macam aja bunyinya. Awak cemburu ya saya baik dengan Fakhrul?” ujar Athira sekadar mengusik.

“Memang saya cemburu.”

Athira tergamam. Dia turut terkedu. Tak sangka ayat itu boleh keluar daripada mulutnya. Suasana hening seketika. Masing-masing kehilangan kata-kata.

“Awak sukakan saya?”

Dia tunduk. Perlahan dia menggangguk.

Athira tersenyum mendengar pengakuan lelaki itu. Rupa-rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan.

“Awak....”

“Dahlah Tya. Saya ada hal ni. Lain kali ajalah kita cakap.”

“Awak tak nak dengar jawapan saya ke?”

“Tak apalah, Tya. Saya dah tahu jawapannya.”

“Macam mana awak tahu?”

“Dahlah Tya. Tak payahlah awak nak berdolak-dalih lagi. Saya tahu pasal awak dengan Fakhrul. Satu tingkatan dah heboh.”

“Awak percaya? Kenapa awak tak tanya saya sendiri?”

“Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang?”

“Sekarang biar saya pula yang berterus-terang. Sebenarnya saya dengan Fakhrul tak ada apa-apa. Kita orang kawan saja.”

Sepatutnya dia berasa lega mendengar kenyataan itu tapi dia masih berasa sangsi. Mungkin Athira hanya nak menyedapkan hatinya. Fikirnya.

“Tapi dia orang cakap awak dengan Fakhrul...”

“Itu kata dia orang. Bukan saya. Lagipun hati saya dah dicuri oleh seseorang,” ujar Athira malu-malu.

Siapa? Mahu saja dia mengajukan soalan itu namun mulutnya seakan terkunci. Takut kalau-kalau jawapan itu akan menambah luka di hatinya.

“Awak nak tahu siapa orangnya?”

Dia diam.

“Siapa?” soalnya berbasa-basi. Jantungnya berdegup kencang menantikan jawapan daripada Athira.

“Takkan awak tak tahu?” Athira cuba menduga.

Dia menggeleng.

“Ni orang kat depan saya ni. Ahmad Azrizal Hafiz Ariffin.”

Dia terkejut namun gembira mendengar pengakuan Athira.

“Nama tu macam nama saya aja,” dia berlagak tidak mengerti namun di hatinya sudah berbunga keriangan.

“Ada orang lain nama macam awak ke kat sekolah ni?”

Pengakuan Athira itu menjernihkan kembali hubungan Azrizal dan Fakhrul. Hubungan mereka bertiga kembali bertaut malah semakin tersimpul rapi. Namun ‘jodoh’ mereka tidak panjang. Beberapa minggu selepas PMR, Fakhrul terpaksa berpindah ke Ipoh lantaran bapanya ditugaskan ke sana.

Perangai Azrizal mula berubah semenjak dia berkawan dengan Shafik dan Iqbal ketika di tingkatan empat. Bukanlah nak mengata tapi itulah kenyataan. Shafik dan Iqbal banyak memberi pengaruh tidak baik kepada Azrizal. Kalaulah Fakhrul masih ada. Tiba-tiba wajah manis lelaki itu bermain di fikiran Athira.

“Hai, girls!” suara yang menyapa itu tersengih lalu menarik kerusi menyertai dua gadis itu.

Muka ni lagi. Menyibuk saja!

“Buah hati kau dah muncul,” Fatin seolah-olah tidak senang dengan kehadiran bebudak tiga orang itu.

“Tak makan ke?” soal Athira lembut. Cakap dengan buah hati, haruslah lembut!

“Riz nak tunggu Tya suapkan,” ujar Azrizal mesra. Dengan buah hatilah tempat nak bermanja.

Athira cuma tersenyum mendengar kata-kata Azrizal. Fatin hanya menjeling. Meluat aku! Menyampah!

“Hai, takkan tanya Riz saja?” Shafik mencelah. Aku yang terpacak kat sini tak ada siapa nak ambil tahu.

“Kau orang pun tak makan lagi ke?” tanya Athira lagi. Shafik dan Iqbal saling berpandangan.

“Kita orang pun nak tunggu Tya suapkan,” seloroh Shafik. Mana aci kalau Riz seorang saja yang disuap oleh awek? Aci kat Indialah. Lagi mahu tanya.

“Banyak cantik? Kau ingat Tya ni siapa? Ada hati nak suruh girlfriend aku suapkan. Kau suruhlah Fatin suapkan,” Azrizal menuding ke arah Fatin.

“Excuse me. Aku tak terlibat okay?” Fatin naik angin apabila namanya dikaitkan. Tak ingin aku! Ada tangan suaplah sendiri.

“Aku pun tak ingin kau suaplah. Daripada kau, baik aku suruh mak aku yang suapkan,” Shafik dan Fatin saling menjeling.

“Dahlah. Kau orang ni asyik bergaduh saja,” tegur Athira. “Gaduh-gaduh nanti boleh jadi suka tahu.”

“Haah. Tetiba nanti kita orang dapat kad jemputan saja. Tengok tengok nama pengantinnya, Mohd Shafik Nazmi dengan Fatin Farhana Zulkifli,” tambah Azrizal.

“Ah, tak ingin aku nak kahwin dengan dia!” bantah Fatin. Tolonglah. Bukan taste aku.

“Jangan risaulah. Aku pun tak ingin hantar rombongan meminang kat kau,” balas Shafik. Mereka saling menjeling kemudian berpaling ke arah bertentangan.

“Haa, tengok perwatakan pun sama. Kau orang ni memang ada jodohlah,” Iqbal sengaja melaga-lagakan mereka.

“Kalau kau cakap lagi, aku curah air sirap ni kat muka kau,” Fatin semakin berang.
Geramnya aku. Ya Allah, janganlah aku ada jodoh dengan mamat ni. Dahlah tak handsome, keputusan peperiksaan pun selalu dapat nombor corot.

“Amboi, garangnya!” Iqbal masih tidak puas mengusik.

“Ball, kau jangan kacau hal rumah tangga orang. Rumah tangga dia orang biar dia orang selesaikan sendiri,” Azrizal turut menambah kemarahan Fatin.

“Tya, kau marah sikit boyfriend kau ni,” marah Fatin. Azrizal, Iqbal dan Athira berpandangan lalu tertawa sesama sendiri.

“Zahid, siapa nama budak perempuan tu?”

Zahid melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Shamsul. Kelihatan Athira sedang berbual-bual mesra dengan Azrizal.

“Owh…Tu? Athira. Kenapa? Kau syok kat dia ke? Lupakan sajalah. Dia dah ada balak,” Zahid tidak mahu Shamsul menaruh harapan. Lagipun hubungan Azrizal dan Athira dah nak masuk dua tahun. Walaupun Azrizal suka main-main tapi dalam bab awek dialah yang paling setia.

“Siapa balak dia?”

“Siapa lagi? Budak yang duduk sebelah dia itulah.”

“Budak tu?” Shamsul seakan tak percaya. Athira tu dahlah cantik. Berkulit cerah.

Lembut saja. Tapi balak dia? “Selekeh saja aku tengok.”

“Hei kawan, orang kalau dah suka, yang hitam pun dikatakan putih.”

Shamsul berkerut mendengar kata-kata Zahid. Dia memandang ke arah Athira semula. Pada pandangan matanya, Athira seorang gadis yang comel. Mukanya bersih. Pakaiannya kemas. Jelas menunjukkan ciri-ciri seorang ketua kelas. Kata Zahid lagi, Athira merupakan pelajar paling cemerlang kelas sastera. Dahlah cantik, pandai pula tu. Shamsul kemudian mengalihkan pandangannya kepada Azrizal. Tali leher tak ada. Lencana tak ada. Rambut pun tak terurus Berbeza betul dengan aweknya. Macam manalah Athira boleh terpikat pada dia? Hairan aku.

Tiada ulasan: