ALANG-ALANG MENYELUK PEKASAM
SELEPAS mengucapkan terima kasih, Amani melangkah turun dari
kereta Kancil itu. Langkahnya longlai. Dia melihat kertas di tangannya lalu
melepaskan keluhan. Gagal lagi. Masuk kali ini sudah empat kali dia gagal dalam
ujian menaiki bukit.
Kali pertama dia
berjaya namun gagal apabila ujian parking sisi. Kali kedua dan ketiga dia gagal
mengawal keseimbangan antara pedal minyak dan pedal klac. Kali ini juga sama.
Entah mengapa nasibnya malang sungguh. Mungkin kerana dia gagal membuang perasaan
gemuruh, maka semuanya menjadi kelam-kabut.
Pada mulanya,
segala-galanya berjalan dengan lancar. Khusus teori dan ujian komputer,
kedua-duanya tiada masalah. Malah, dia lulus dengan cemerlang dalam ujian
komputer. Namun apabila tiba ujian amali, entah mengapa nasibnya berubah. Mujur
dia sudah lulus dalam ujian memandu di jalan raya setelah dua kali
mendudukinya.
“Dah empat kali,
Amani. Empat kali tau! Berapa banyak lagi duit yang kamu nak habiskan hah?”
marah Encik Daniel, ayah Amani. Ternyata dia tidak dapat membendung kemarahan
apabila mengetahui Amani gagal dalam ujian memandu lagi.
Amani hanya tunduk.
Tidak berani menentang wajah ayahnya itu. Dia tahu dia salah kerana sudah
membazirkan wang beribu-ribu ringgit gara-gara gagal dalam ujian memandu. Namun
bukan dia yang sengaja hendak gagal, sudah bukan rezekinya. Kalau boleh, dia
juga tidak mahu gagal walaupun sekali.
“Ayah rasa kamu
takkan ada harapan untuk lulus ujian memandu tu. Sebelum kamu habiskan
beribu-ribu duit lagi, ayah rasa lebih baik kamu berhenti sajalah,” saran Encik
Daniel.
“Tapi, ayah...”
Amani tidak bersetuju namun Encik Daniel pantas memotong kata-katanya.
“Melainkan kalau
kamu ada duit sendiri...” sindir Encik Daniel sebelum beredar ke biliknya.
Amani tersentak.
Manalah dia ada duit sendiri. Dia baru sahaja menamatkan persekolahan. Dia
mengambil ujian memandu ini pun kerana ingin mengisi masa sementara menunggu
keputusan SPM. Dia memandang ibunya. “Mak...”
“Amani yakin Amani
nak teruskan?” tanya Puan Aleya yang tadinya cuma mendiamkan diri. Meskipun
sudah berkali-kali Amani gagal dalam ujian memandu tetapi dia tidak pernah
marah. Sebaliknya, dia sentiasa berdoa agar Amani lulus setiap kali Amani
menduduki ujian tersebut.
Tanpa teragak-agak,
Amani mengangguk. “Mestilah Amani nak teruskan sampai Amani berjaya, mak. Tapi
masalahnya, Amani tak ada duit. Nak bayar duit kelas tambahan lagi.”
“Baguslah kalau
Amani berfikir macam tu. Mak suka dengan semangat Amani, alang-alang menyeluk
pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Pasal duit tu, Amani jangan bimbang.
Tahulah mak nak uruskan. Cuma kali ni, mak harap Amani dapat buat betul-betul.
Kasihan pada ayah. Ayah penat cari duit,” nasihat Puan Aleya.
“Amani janji, mak.
Amani akan buat betul-betul. Amani takkan kecewakan mak dan ayah lagi,” janji
Amani.
Dan kerana janji
itu, Amani bertekad akan berlatih memandu dengan bersungguh-sungguh. Dia
menumpukan sepenuh perhatian ketika guru memandunya, Cikgu Andy memberi tunjuk
ajar. Cikgu Andy juga memberi tip agar dia tidak berasa gugup ketika ujian
nanti.
Tiba hari ujian,
Amani cuba mempraktikkan segala ilmu yang diajar oleh Cikgu Andy. Wajah ibu dan
ayahnya bermain dalam fikirannya. Dengan lafaz bismillah, dia memasukkan gear,
melepaskan pedal klac sedikit demi sedikit dan pada waktu yang sama menekan
pedal minyak. Kereta Kancil itu mula bergerak menaiki bukit...
Amani tidak dapat
menahan kesedihannya lagi. Air mata yang cuba ditahan gugur juga akhirnya. Dia
mendail nombor telefon rumahnya untuk memberitahu berita itu kepada kedua-dua
ibu bapanya.
“Mak, Amani berjaya!
Amani lulus!” jerit Amani girang.
RAHSIA ZARA
MATANYA melilau ke kiri dan ke kanan. Setelah yakin tiada
sesiapa yang melihatnya, dia pantas membuka langkah menuju ke arah sebuah
kereta yang diletakkan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk para guru
dan staf sekolah.
Dari jauh dia sudah
nampak kereta Viva berwarna biru yang terparkir di bahagian tepi tempat letak
kereta itu. Langkahnya semakin hampir. Tatkala tangannya baru sahaja ingin
membuka pintu kereta di tempat duduk sebelah pemandu, tiba-tiba ada suatu suara
yang menegahnya, “Zara!”
Dia tersentak.
Kakinya terpaku ke tanah. Darahnya menyirap. Dia berkira-kira sama ada mahu
menoleh atau tidak. Kalaulah dia ada kuasa, sudah lama dia bertukar menjadi
halimunan supaya dirinya tidak dilihat oleh sesiapa.
“Zara,” panggil
suara itu lagi.
Dengan rasa
terpaksa, perlahan-lahan dia menoleh ke arah pemilik suara itu. Dia cuba
mengukir senyuman kepada temannya itu namun dapat dirasakan kehambarannya.
“Awak buat apa kat
kereta pengetua ni?” tanya Syanie hairan.
“Sa... saya...
err...” Zara mula gagap. Adakah rahsia yang cuba dijaga selama ini akan
terbongkar? Apa yang harus dia beritahu kepada Syanie? Tidak! Syanie tidak
boleh tahu. Bahkan satu sekolah tidak boleh tahu tentang hal yang satu itu.
“Tadi pengetua minta
tolong saya angkatkan buku,” Zara mencipta alasan. Mujur otaknya dapat
memikirkan alasan itu. Dia pasti Syanie tidak akan bertanya lagi.
Penjelasan Zara itu
menimbulkan perasaan sangsi dalam hati Syanie. Bilangan pelajar di sekolah itu
bukannya sedikit, mustahil pengetua akan meminta bantuan Zara jika pengetua
tidak mengenali Zara. Lagipun, agak tidak logik pengetua membiarkan Zara membuka
kereta beliau sendirian.
“Mana pengetua?”
tanya Syanie sambil melihat sekeliling tempat letak kereta itu.
“Pengetua dah balik
ke biliknya. Awak tak nak balik ke?” tanya Zara apabila melihat Syanie masih
tidak berganjak dari situ. Zara tahu yang dia harus membawa Syanie pergi dari
situ dengan segera. Bila-bila masa sahaja pengetua akan muncul. Kalau Syanie
berjumpa dengan pengetua, pasti rahsia yang cuba disimpan selama ini akan
terbongkar.
“Saya memang nak
balik tapi saya ternampak awak di sini. Sebab itu saya ke sini. Marilah kita
balik bersama-sama,” kata Syanie. Sungguhpun dia masih berasa sangsi dengan
alasan Zara, namun dia cuba untuk mempercayai kata-kata Zara.
“Eh, tak mengapalah!
Saya kena pulangkan kunci kereta pengetua, nanti awak tertinggal bas pula.”
Sekali lagi Zara mencipta alasan. Harap-harapnya Syanie akan terus pulang.
Namun ternyata sangkaannya meleset.
“Tak mengapa, saya
boleh tunggu,” balas Syanie.
Zara mula kalut.
Kedegilan Syanie benar-benar menguji benteng kesabarannya. Namun dia masih cuba
mengawal perasaannya.
“Awak baliklah
dulu,” Zara masih cuba memujuk. Namun Syanie berkeras mahu menunggunya untuk
pulang bersama-sama.
Zara tiada pilihan
lain. Demi menjaga rahsianya, dia akur dengan kehendak Syanie. Mereka mula
melangkah beriringan untuk meninggalkan tempat letak kereta itu.
“Zara, nak pergi
mana pula tu? Bukan ke mak suruh kamu tunggu di dalam kereta?” Tiba-tiba suara
pengetua menyapa gegendang telinga dua sahabat itu.
Langkah Zara
terhenti. Gulp! Dia memandang Syanie yang sedang memandangnya dengan pandangan
yang tajam. Habislah, rahsia sudah terbongkar!
“Mak? Mengapa
pengetua membahasakan dirinya mak dengan awak? Apa hubungan awak dengan
pengetua?” soal Syanie bertubi-tubi. Mungkin tidak berpuas hati kerana Zara
tidak pernah berterus terang dengannya mengenai perkara itu.
Zara menelan air
liur. Fikirannya ligat merencana ayat. Adakah dia perlu mereka cerita lagi atau
berterus terang sahaja? Dia memandang wajah pengetua, seakan-akan meminta
bantuan. Pengetua memberi isyarat agar dia menceritakan perkara yang sebenar.
“Maafkan saya,
Syanie. Sebenarnya pengetua ini adalah mak saya,” jelas Zara. Namun
penjelasannya tidak mendapat respons daripada Syanie. Melihatkan Syanie hanya
mendiamkan diri, Zara lantas bertanya, “Awak marahkan saya ke?”
Wajah Syanie yang
tadinya tegang tiba-tiba berubah. Malah, dia menguntum senyuman. “Taklah,
kenapa pula saya nak marah? Setiap orang mempunyai rahsia, bukan?”
Zara menarik nafas
lega. Mereka berdua kemudian saling berbalas senyuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan