Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Mei 23, 2013

Lelaki Seperti Dia (bab 3)


EISYA memandang Danish yang masih merenung skrin komputer riba yang memaparkan rekaan laman webnya. Eleh, kutuk akulah tu! Macamlah aku tak tahu. Detak hati kecil Eisya.

            “Buruk, kan? Dahlah, tak payahlah tengok lama-lama,” marah Eisya. Tanpa menunggu balasan Danish, dia menghalakan tetikus untuk menutup tetingkap laman web itu namun dihalang oleh Danish.

            “Mana ada buruk. Okeylah ni,” komen Danish.

            “Eleh, yalah tu. Tak payahlah awak nak jaga hati saya. Saya tak kecik hati pun kalau awak nak kutuk design saya,” sahut Eisya walaupun sebenarnya dia sudah berasa malu dengan Danish. 

            Design ni subjektif tau. Pada saya, design awak ni tak adalah teruk sangat pun.” Danish diam seketika sambil berfikir. “Apa kata kita gabungkan design saya dengan design awak ni?”

            “Macam mana?”

            Danish mengusik-usik dagunya. Berfikir. Tidak sampai lima minit, dia kembali bersuara.

            “Ha, saya dah dapat idea! Kita buat macam ni.” Danish mencapai tetikus dan mula menggabungkan rekaan mereka berdua sambil diperhati oleh Eisya.

            Mata Eisya tidak berkelip memerhatikan Danish mengubah suai rekaan mereka berdua menjadi satu. Sangat cepat dan pantas! Ternyata Danish amat mahir menggunakan software tersebut. Kalau dia yang buat, alamatnya memang terkial-kiallah jawabnya.

            Tak sangka orang yang selalu tak datang kelas seperti Danish lebih mahir menggunakan software itu. Bukan macam dia. Harap kehadiran saja penuh tapi kadang-kadang dia bukannya beri perhatian di dalam kelas sangat pun. Mungkin disebabkan itulah dia perlu mengambil masa yang lama untuk menguasai software tersebut.

            Sebenarnya dia tidak berapa menggemari kerja-kerja yang melibatkan rekaan dan software begini kerana dia tidak begitu kreatif. Namun apabila melihat Danish tekun menyiapkan rekaan itu, dia jadi bersemangat pula. Serba sedikit tanggapannya terhadap Danish sebelum ini berubah. Danish tidaklah seteruk seperti yang dikatakan oleh kawan-kawannya yang lain.

            “Sementara awak buat design ni, apa kata saya siapkan teks untuk letak dalam web kita ni nanti?” cadang Eisya. Hatinya berasa tidak sedap pula apabila membiarkan Danish membuat rekaan itu seorang diri. Walaupun Danish tak cakap apa-apa tapi manalah tahu dalam hati dia sudah menyumpah-nyumpah. Kata kerja berpasangan, kan?

            “Boleh juga. Saya pun tak pandai sangat bab karang-mengarang ayat ni,” aku Danish.

            “Okey, kalau macam tu, awak buat design, saya buat teks dia,” ujar Eisya lalu tangannya mula laju melakar teks yang akan dimasukkan dalam laman web rekaan mereka itu nanti.

             Mereka tekun membuat kerja masing-masing hingga tidak sedar hari sudah menginjak petang.

 

 

DANISH melihat digit yang tertera pada komputer riba di hadapannya. Waktu sudah menghampiri pukul 7.00 malam.

            “Dah nak maghrib ni, kita berhenti sampai sinilah dulu,” ujar Danish.

            “Okey, saya pun dah penat.” Eisya bersetuju. Perutnya juga sudah berbunyi minta diisi. Pasti Fauziah sudah menunggunya di bilik untuk pergi makan malam bersama di dewan makan. Nanti bising pula Fauziah jika dia lambat.

            “Saya bahagikan tugaslah. Awak buat slide 1 sampai 5, saya buat slide 6 sampai 10. Okey?” Eisya memberikan cadangan. Rasanya cara begini lebih mudah dan menjimatkan masa. Dia juga tidak perlu duduk bersama Danish sepanjang masa.

            “Okey.” Danish bersetuju saja.

            “Okey, jadi kita jumpa balik minggu depan untuk compile slide masing-masing,” kata Eisya sambil mengemaskan barang-barangnya.

            “Baik,” jawab Danish.

            Mereka berpisah membawa haluan masing-masing.

 

 

EISYA menggeliat seraya menutup mulutnya yang menguap. Dia tersenyum puas memandang skrin komputer ribanya. Setelah bertungkus lumus beberapa hari, akhirnya tugasannya bersama Danish siap juga.

Esok dia akan berjumpa dengan Danish untuk menggabungkan bahagian yang dibuat dengan bahagian yang dibuat oleh Danish. Kemudian, mereka akan menghantar projek ini kepada Dr. O. Dan selepas ini dia tidak perlu berjumpa dengan Danish lagi. Ah, leganya!

Tiba-tiba perutnya berasa lapar pula. Dia memandang stok makanan yang diletakkan di atas rak bersama buku-bukunya. Cuma ada biskut kering. Ah, mana kenyang kalau cuma makan biskut? Mi segera pula sudah kehabisan stok. Dia langsung tidak teringat untuk membeli stok makanan yang baru. Itulah, sibuk sangat buat kerja.

Eisya mengalihkan pandangan kepada Fauziah yang sedang khusyuk menyiapkan tugasannya di atas katil. Agak-agak Fauziah nak tak temankan dia makan ya? Fauziah ada mengajaknya makan tetapi dia menolak kerana mahu menyiapkan kerja.

“Gee, jom makan. Laparlah,” rengek Eisya dengan manja. Sengaja mahu memancing simpati Fauziah. Mudah-mudahan Fauziah sudi menemaninya keluar makan.

            Fauziah mengangkat muka. Keningnya berkerut.

“Makan? Apa tu?” katanya seakan-akan menyindir.

            Eisya mencebik.

“Jomlah temankan aku makan. Lapar...” ujar Eisya separuh merayu.

“Ooo... tahu pula lapar ya? Tadi orang ajak makan, tak nak. Ingatkan dah kenyang mengadap laptop tu,” balas Fauziah, sinis.

            “Tadi tak lapar. Ni dah lapar. Jomlah.” Eisya melembutkan suaranya dengan harapan hati Fauziah akan turut lembut. Perutnya sudah pedih. Terasa mencucuk-cucuk. Walaupun dia tidak mengalami penyakit gastrik tetapi apabila dia lapar, memang pedih juga perutnya.

            Fauziah tersenyum kecil. “Yalah. Tunggu aku siapkan kerja ni sikit dulu.”

            Eisya tersenyum. Bukan susah nak pujuk Fauziah. Buat aksi manja-manja sikit, cairlah dia.

            “Okey!”

 

 

“PERLAHANLAH sikit makan tu, macam orang tak makan beberapa hari,” tegur Fauziah apabila melihat Eisya menikmati makanannya dengan gelojoh. Tidak manis bagi seorang gadis. Kalau nampak dek bakal mak mertua, memang awal-awal dah kena reject. Sebelum bakal mak mertua reject, entah-entah bakal suami yang reject dulu!

            Eisya tidak menghiraukan teguran Fauziah. Dia terus menjamah nasi yang dimakan bersama tomyam dan telur dadar itu dengan penuh berselera. Kalau diikutkan, memang sudah satu hari dia tidak makan nasi. Selepas ini dia berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan skip waktu makan lagi. Azab betul!

Dia sedang mengunyah nasi yang dicampur dengan kuah tomyam dan telur dadar yang dipotong apabila tiba-tiba makanan itu tertelan di kerongkongnya tanpa disuruh. Dia hampir tercekik. Tangannya pantas mencapai minuman lalu meneguknya.

“Ha, itulah, gelojoh sangat,” tegur Fauziah.

Kata-kata Fauziah hanya ibarat angin yang lalu di telinganya. Sebaliknya, pasangan yang baru mengambil tempat di meja berhampiran dengan mereka lebih menarik perhatiannya.

Fauziah yang berasa pelik dengan kelakuan Eisya yang seperti disampuk itu menyoal, “Kau tengok apa, Sya?”

Dia turut memandang ke arah yang dilihat oleh Eisya dengan perasaan ingin tahu.

“Sya, kenapa?” tanyanya lagi apabila Eisya tidak menjawab pertanyaannya.

            “Tulah Danish,” balas Eisya seraya pandangannya masih melekat pada pasangan itu.

            “Mana?” Pandangan Fauziah melilau. Terlalu ramai orang di situ.

            “Tu.” Tunjuk Eisya kepada seorang pemuda yang memakai snow cap bersama seorang gadis di sebelahnya.

            “Boleh tahan juga ya. Tapi dia dengan siapa tu?” tanya Fauziah apabila terlihat Danish dengan seorang perempuan. Takkan makwe dia kut? Kesian Eisya. Tak ada peluanglah jawabnya.

            “Manalah aku tahu.” Eisya kembali menjamah makanannya. Berpura-pura tidak berminat untuk mengambil tahu. Lantak dialah nak keluar dengan siapa-siapa pun. Bukan urusan aku pun.

            “Makwe dia tak?” tebak Fauziah, sengaja mahu melihat reaksi Eisya.

            Eisya menjungkit bahu. “Mungkin.”

            “Kau tak cemburu ke?” Fauziah mengusik.

            Eisya hampir tersedak mendengar soalan Fauziah itu. Pantas dia menafikan. “Gila! Buat apa aku nak cemburu pula? Dia bukannya siapa-siapa dengan aku.”

            “Eleh, ya ke ni?” Fauziah tergelak kecil.

            Eisya memandang Fauziah dengan pandangan yang kurang senang. Dia tidak suka digosipkan dengan siapa-siapa. Apatah lagi dengan Danish yang langsung tidak ada mulut itu.

Eisya mencuri-curi pandang ke arah Danish. Tidak mahu tertangkap oleh Fauziah. Cantik juga perempuan yang bersama Danish itu. Agaknya, apa hubungan mereka ya? Betul ke perempuan itu makwe dia? Ada juga perempuan yang nak kat lelaki yang tak banyak bercakap tu ya.
 

1 ulasan:

eija berkata...

pendeknya..xtaw nk komen ap...