Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Oktober 07, 2012

Cinta Gantung (Bab 7)

SEJURUS membeli tiket LRT untuk ke Wangsa Maju, dia terus menaiki eskalator di tingkat dua bagi menunggu LRT. Seperti yang dijangka, tidak ramai orang yang menggunakan perkhidmatan LRT pada waktu itu. Maklumlah pada waktu-waktu begini biasanya kebanyakan orang masih berada di pejabat.
Sementara menunggu LRT tiba, entah mengapa dia terkenangkan pertemuannya dengan Afia dan kawan-kawannya di KFC tadi. Sebenarnya dia berasa kurang selesa. Dia dapat merasakan yang kawan-kawan Afia tidak berapa menyenanginya. Atas sebab apa, dia sendiri pun tidak tahu. Biarlah. Dia tidak mahu terlalu mengambil pusing akan hal itu. Bukannya mereka akan bertemu lagi pun selepas ini.
Kurang lima minit, LRT yang menghala ke Terminal Putra pun tiba. Apabila pintu dibuka, dia terus melangkah masuk. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang berhampiran dengan pintu supaya mudah dia hendak keluar nanti.
Sambil memerhatikan pemandangan di luar, dia berdoa mudah-mudahan kali ini usahanya membuahkan hasil. Namun pada waktu yang sama, dia tahu dia perlu bersedia jika keputusannya tetap sama seperti sebelum ini. Mungkin sahaja rezekinya bukan dalam bidang ini.
Dia masih ingat sewaktu dia memberitahu cita-citanya itu di dalam kelas ketika dia berada dalam darjah empat, satu kelas mentertawakannya. Seolah-olah dia sedang membuat lawak. Dia tidak main-main. Dia masih sedar apa yang diucapkannya tatkala itu. Dia memang memaksudkannya.
Gara-gara kejadian itu jugalah, dia nekad akan menggapai impiannya itu. Dia mahu semua orang yang mentertawakannya itu membuka mata dan tidak lagi memperlekehkan cita-citanya itu. Sekurang-kurangnya dia mempunyai cita-cita dan hala tuju dalam hidupnya. Dia juga mahu membuktikan bahawa cita-citanya itu juga merupakan suatu kerjaya yang serius dan mempunyai nilai.
Sehingga kini, dia tidak pernah patah semangat walaupun sudah berbagai-bagai dugaan yang menimpa. Diherdik, ditipu dan tidak dilayan, semuanya dia sudah lalui. Semua ini akan disimpan kemas dalam kotak pengalamannya untuk dijadikan bekalan peringatan apabila dia sudah berjaya kelak.
Dia memeluk beg galasnya dengan erat. Namun tiba-tiba dia berasa seperti kekurangan sesuatu. Tetapi dia tidak pasti apa. Saku seluar sebelah kanannya diseluk. Dompetnya ada. Kemudian, saku seluar sebelah kirinya pula diseluk. Telefon bimbitnya juga ada.
Seketika kemudian, baru dia menyedari yang beg galasnya terasa ringan. Pantas dia membuka zip beg itu bagi memastikan sampul surat bersaiz A4 warna coklat yang dibawanya tadi masih ada di dalam beg itu.
Sah, sampul surat itu tiada di dalam begnya! Dia bangkit demi memastikan yang dia tidak terduduk di atas sampul surat itu. Tiada apa-apa di atas tempat duduk itu.
“Pelik. Rasa-rasanya aku dah bawa tadi. Jangan-jangan tertinggal kat... Alamak!” Dia mengeluh hampa.
Seingatnya, dia masih memegang sampul surat itu ketika berjumpa dengan Afia dan kawan-kawannya di restoran KFC, KL Sentral tadi. Pastinya dia tertinggal sampul surat itu di sana.
Nampak gayanya, terpaksalah dia berpatah semula ke KL Sentral. Mudah-mudahan sampul surat itu masih berada di sana kerana dia tidak yakin yang Afia dan kawan-kawannya akan menyimpankan sampul surat itu memandangkan dia bukan siapa-siapa pada mereka.
Sebaik-baik sahaja LRT yang dinaikinya itu tiba di Pasar Seni, dia bergegas keluar dari LRT itu dan bingkas ke kaunter tiket. Selepas membeli tiket ke stesen KL Sentral, dia kembali ke tempat tadi untuk menanti kedatangan LRT yang menghala ke KL Sentral. Mujur dia masih belum terlanjak jauh.
Jam pada skrin telefon bimbitnya dilihat sekilas. Argh! Kenapalah dia cuai sangat? Hatinya menjerit geram.
Dia yakin yang dia akan terlewat untuk menghadiri janji temu di Wangsa Melawati. Habislah reputasinya. Nanti apa pula kata orang yang nak ditemuinya itu. Belum apa-apa lagi, sudah buat hal. Tetapi kalau sampul surat itu tiada, apa gunanya dia menemui orang itu?
“Isy, manalah LRT ni?” rungutnya sendirian.
Dalam pada itu, telefon bimbit yang disimpan di dalam saku seluarnya bergetar. Dia mengeluarkan telefon bimbit itu dari dalam saku seluar. Ada pesanan ringkas yang masuk.

Barang awak tertinggal tadi.

Kiriman pesanan ringkas daripada Afia itu sedikit sebanyak melegakan hatinya. Sekurang-kurangnya dia tahu yang sampul surat itu berada di tangan Afia. Dia yakin Afia akan menjaga sampul surat itu untuknya. Harap-harapnya begitulah.
Tanpa berlengah, dia segera mendail nombor telefon Afia.
“Helo, Afia. Awak masih ada kat KL Sentral ke?” soalnya sejurus panggilan itu bersambung. Jika Afia masih berada di KL Sentral, mungkin dia masih sempat mengejar waktu janji temunya.
“Tak. Saya dalam perjalanan nak balik kolej UiTM Puncak Perdana,” jawab Afia. Dia, Ezlyn dan Noni sudah pun menaiki komuter untuk kembali ke Shah Alam.
“UiTM Puncak Perdana? Kat mana tu, ya?” Asyraf mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nama cawangan UiTM itu kedengaran asing di telinganya. 
“Bukit Jelutong, Shah Alam,” terang Afia.
“Macam mana saya nak pergi sana? Ada bas pergi sana tak?”
“Hah? Awak nak datang sini ke? Kalau awak nak, saya boleh patah balik pergi KL Sentral. Sekarang ni pun saya baru kat stesen Seri Setia,” duga Afia padahal sebenarnya dia memang malas benar hendak berpatah semula. 
“Tak apalah. Saya jumpa awak kat sana ajelah,” ujar Asyraf. Segan pula dia hendak menyusahkan Afia. Mungkin Afia ada urusan lain.
Afia mengeluh lega. Kalau tidak, satu kerja pula dia hendak berpatah semula. Mujur Asyraf tidak dapat melihatnya.
“Tapi, tak menyusahkan awak ke?” Afia buat-buat bertanya.
“Tak apa,” balasnya.
Kalau hendak dibandingkan dengan kesusahannya selama beberapa tahun ini, perkara itu tidaklah seberapa. Kebetulan pula, dia memang bercuti pada hari itu.
Sejurus talian diputuskan, LRT yang menuju ke KL Sentral pun tiba. Asyraf bingkas bangkit. Hatinya tidak akan tenteram selagi sampul surat itu belum kembali ke tangannya. Barang di dalam sampul surat itu ibarat nyawa baginya.


SAMPUL surat bersaiz A4 warna coklat di atas meja itu direnung tanpa berkelip. Hatinya meronta-ronta ingin melihat isi di dalamnya. Apakah yang terkandung di dalamnya? Perasaan ingin tahunya semakin membuak-buak. Tapi macam mana sekiranya apa yang dikatakan oleh Ezlyn di KL Sentral tadi betul?
            “Mana tahu kat dalam tu ada dadah ke? Tak pasal-pasal nanti, kita pula yang kena tuduh. Kita bukannya tahu,” ujar Ezlyn apabila dia berdegil hendak membawa sampul surat itu pulang bersama.
Walaupun nalurinya cuba menafikan dakwaan Ezlyn itu, tetapi hatinya tetap berasa waswas. Sebenarnya boleh saja kalau dia hendak melihat isi sampul surat itu tadi tapi dia takut sekiranya tekaan Ezlyn betul. Jadi, dia rela untuk tidak melihat isi di dalamnya. Dia tidak mahu disabitkan atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Niatnya hanya ingin memulangkan sampul surat itu kepada tuannya.
Namun begitu, hatinya tetap berasa tidak tenteram selagi dia tidak mengetahui apa isi di dalam sampul surat itu. Dengan teragak-agak, tangannya membuka mulut sampul surat itu sambil membaca bismillah. Mudah-mudahan tekaan Ezlyn silap. Namun belum pun sempat dia mengintai isi di dalamnya, telefon bimbitnya berbunyi.
“Kur semangat…”
Afia mengurut-urut dadanya. Mungkin Tuhan pun melarangnya melihat benda yang bukan kepunyaannya. Afia melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. Asyraf…
“Helo. Awak dah sampai? Okey, sekejap lagi saya turun ya.”
Selepas mematikan talian, Afia mengalihkan pandangan ke arah Ezlyn dan Noni.
Ezlyn sedang leka bermain permainan komputer di komputernya manakala Noni pula berbaring di katilnya sambil menyaksikan Ezlyn bermain. Tadi beria-ia mereka berdua mengajaknya balik cepat sebab hendak sambung tidur kononnya tetapi sekarang tiada seorang pun yang tidur. Ternyata itu cuma alasan.
“Lyn, Noni, dia dah sampai. Jom!” ajak Afia.
            “Malaslah. Aku mengantuk,” Noni sengaja memberi alasan. Dia berpura-pura tidur.
            Afia memandang Ezlyn pula.
            “Kan tadi aku dah cakap aku tak nak campur. Kau yang nak sangat bawa benda tu balik tadi, bukan?” marah Ezlyn.
            Afia terdiam. Salahkah tindakannya? Bukankah Asyraf sudah membantunya mendapatkan kembali dompetnya? Jadi, takkanlah dia sanggup hendak pejam mata sahaja apabila Asyraf ditimpa musibah yang sama?
            “Alah, jomlah temankan aku,” ujar Afia separuh merayu. Cuba meraih simpati kedua-dua teman baiknya itu.
Namun, Ezlyn dan Noni tetap tidak mempedulikannya. Takkan dia hendak pergi berjumpa dengan Asyraf sorang-sorang pula?
Afia mula berasa serba salah. Kejamkah dia jika membatalkan pertemuannya dengan Asyraf sekarang?

Tiada ulasan: