Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Jun 27, 2012

Cinta Gantung (Bab 2)

MINGGU ulang kaji yang sudah bermula membuatkan perpustakaan universiti itu tidak putus-putus menerima kunjungan para pelajar yang datang untuk mengulang kaji pelajaran. Kurang seminggu sahaja lagi peperiksaan akhir semester akan dijalankan selama sebulan sebelum cuti akhir semester bermula. 
            Bagi pelajar yang tiada peperiksaan akhir seperti Afia dan kawan-kawannya pula, mereka juga tidak terlepas daripada merasai bahang genting itu lantaran mereka perlu menyiapkan laporan dan membuat persediaan untuk sesi pembentangan projek akhir semester mereka pada semester akhir itu. Projek yang bakal menentukan sama ada mereka layak menerima diploma atau tidak setelah enam semester menimba ilmu di situ.
            “Afia!” Ezlyn sedikit menjerit. Nasib baik dia masih sedar yang mereka sekarang berada di perpustakaan. Kalau tak, tak pasal-pasal mereka kena halau nanti.
            “Apa?” Afia terpinga-pinga.
            “Ee, berapa kali aku nak cakap? Kau ni kenapa? Asyik salah taip aje,” leter Ezlyn apabila Afia seperti tidak fokus pada kerja mereka.
Semenjak dari tadi, Afia selalu sahaja silap menaip. Lain yang disebut, lain yang ditaip oleh Afia. Entah apa kena dengan Afia hari itu. Seolah-olah hanya jasadnya yang berada di situ sedangkan rohnya sudah merayau entah ke mana.
            “Ya ke?” Afia memadam ayat yang telah ditaip tadi dan menanti kata-kata Ezlyn seterusnya.
            Ezlyn mengulang ayatnya semula. Namun seperti tadi, Afia tetap melakukan kesalahan menaip.
            Ezlyn mula panas hati.
“Isy, kalau asyik taip padam, taip padam, bila kerja nak siap? Tepilah, biar aku yang taip.” Ezlyn mengadapkan komputer riba itu kepadanya. “Noni, bacakan untuk aku.”
            Noni menurut. Dia juga perasan akan perubahan tingkah laku Afia tetapi tidak berani untuk bertanya.
            Afia menopang dagu. Pandangannya dihala ke luar tingkap. Fikirannya masih memikirkan tentang Asyraf. Dia dapat merasakan yang hubungan mereka semakin renggang. Selepas pesanan ringkas terakhir malam tadi, Asyraf langsung tidak menghubunginya lagi.
            Tanpa Afia sedari, tingkah lakunya menjadi perhatian Ezlyn dan Noni. Mereka saling berbalas pandangan.
            “Kau ni kenapa, Afia? Monyok aje dari tadi,” tanya Ezlyn, cuba mengetahui masalah temannya itu. Namun matanya masih terarah pada skrin komputer riba sambil tangannya laju menekan-nekan kekunci komputer riba itu.
            “Aku tak ada moodlah,” balas Afia.
Dia tidak pasti sama ada dia perlu berkongsi masalah itu dengan mereka atau tidak. Malu pun ada juga sebenarnya. Sememangnya dia jarang berkongsi masalah yang berkaitan dengan perasaan dengan orang lain. Semuanya dia pendam sendiri.
            “Pasal Asyraf ke?”
            Afia agak tersentap mendengar soalan Ezlyn. Ternyata tebakan Ezlyn mengena. Hendak menafikan, dia tiada alasan lain.
Nak menipu kata keluarganya ada masalah, tak baik pulak. Nanti kalau betul-betul terjadi?
Nak menipu kata ada masalah pasal pelajaran pun tak ada juga.
Masalah duit?
Tapi kalau setakat masalah-masalah begitu, pasti dia tidak akan menunjukkan sikap begini.
Akhirnya, perlahan dia mengangguk.
            “Kau bergaduh dengan dia ke?” soal Ezlyn lagi.
“Tak. Tapi beberapa hari ni dia dah jarang mesej aku.” Akhirnya Afia meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya. Mungkin Ezlyn dan Noni dapat memberi cadangan untuk meredakan perasaannya. Bukankah mereka banyak pengalaman dalam hal-hal sebegitu? Dia amat memerlukan kata-kata positif bagi menyingkirkan perasaan negatif dalam hatinya.
“Kau tak mesej dia?”
            “Dah, tapi dia tak balas. Aku rasa dia macam dah berubahlah,” adu Afia. Sedikit sebanyak dia berasa lega kerana dapat berkongsi perasaannya ketika itu.
            “Sebenarnya, Afia, aku ada perkara nak beritahu kau,” ujar Ezlyn sambil memandang Noni yang duduk di depannya.
Noni mengangguk. Seperti memberi suatu isyarat.
            “Kau nak cakap apa?” Afia hairan melihat gelagat kedua-dua teman baiknya itu. Macam ada rahsia besar sahaja.
Ezlyn masih teragak-agak. “Tapi kalau aku cakap, kau janji kau takkan buat perkara yang bukan-bukan tau.”
“Perkara bukan-bukan apa pulak ni?” Afia semakin tidak mengerti.
Lambat-lambat Ezlyn mengatur kata-kata. “Sebenarnya semalam masa aku dengan pakwe aku makan kat Kajang, aku nampak…” Ezlyn menggantung ayatnya. Dia serba salah untuk berterus terang.
“Kau nampak apa?” tanya Afia, tidak sabar. Geram pula dia apabila Ezlyn bercerita sekerat-kerat. Sengaja nak buat dia saspen.
“Aku nampak Asyraf dengan seorang perempuan.” Selepas menuturkan ayat itu, Ezlyn memandang wajah Afia, cuba mencari reaksi temannya itu.
Afia terdiam. Tidak tahu mahu berkata apa. Adakah sebab itu Asyraf tidak menghubunginya sepanjang hari?
Tapi mana tahu, perempuan tu kawan sekerja dia ke, sepupu dia ke, kakak dia ke, atau siapa-siapalah. Afia cuba membuang segala tanggapan negatifnya.
Tapi Asyraf mana ada adik-beradik perempuan. Dia cuma ada dua orang abang. Fikirnya lagi.
Afia mula buntu. Separuh hatinya cuba menidakkan andaian-andaian negatif, namun separuh lagi seperti membenarkan andaian itu. Namun, perubahan sikap Asyraf sehari dua ini seolah-olah perkara itu ada kemungkinan juga.
Semalam pun apabila dia bertanya, Asyraf seolah-olah cuba mengelak daripada menjawab soalannya. Adakah benar apa yang difikirkannya sekarang?


NOMBOR telefon bimbit itu didail lagi. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Dia perlu mendapatkan penjelasan daripada Asyraf waktu itu juga. Kalau betul Asyraf sudah ada perempuan lain, kenapa Asyraf tidak berterus terang sahaja dengannya? Kenapa perlu menyiksanya sebegini?
Tiba-tiba dia berasa menyesal pula kerana menerima Asyraf terlalu awal. Jangan kata setahun, enam bulan pun tidak sampai tempoh mereka berkenalan. Menyesal pula dia tidak mengikut nasihat Ezlyn dan Noni supaya dia jual mahal dulu. Kata mereka, waktu itulah mereka dapat melihat kesungguhan si lelaki untuk mendapatkan hati mereka.
Tapi waktu itu dia langsung tidak memikirkan akan perkara tersebut. Baginya, apabila hati kedua-duanya sudah suka, buat apa nak main tarik-tarik tali lagi?
Dia sendiri pun cukup tidak berkenan apabila menonton drama yang mempaparkan adegan-adegan sebegitu. Suka sama suka tetapi dua-dua tidak mahu mengaku. Apabila sudah ada pesaing, barulah terkial-kial hendak merebut semula.
Dia tidak mahu perkara itu terjadi kepadanya. Disebabkan itulah apabila Asyraf mengaku suka kepadanya, dia tidak teragak-agak untuk menerima Asyraf kerana dia juga merasakan perasaan yang sama.  
Mengimbau detik awal perkenalan mereka, sebenarnya dia pun tidak menyangka yang dia akan jatuh cinta dengan Asyraf. Waktu mula-mula dulu, dia malas nak layan Asyraf. Setiap malam Asyraf mengirimkan pesanan ringkas selamat malam kepadanya. Lama-kelamaan, tergerak juga hatinya untuk membalas pesanan ringkas Asyraf walaupun sebelum itu dia amat berkira dengan kredit telefon bimbitnya.
Sejak itu, mereka semakin kerap berhubungan menerusi khidmat pesanan ringkas memandangkan dia di Shah Alam manakala Asyraf di Kajang. Hanya apabila hujung minggu, barulah mereka bertemu. Itu pun kalau masing-masing tidak sibuk.
Namun bagi Afia, dia masih dapat menerima sekiranya mereka jarang bertemu tetapi dia berasa terpinggir sekiranya Asyraf tidak menghubunginya untuk suatu tempoh yang lama. Jangan kata sehari, sejam pun dia sudah rasa lama benar.
Afia mula berputus asa untuk menghubungi Asyraf. Dari tadi panggilannya tidak berjawab.
Entah-entah Asyraf memang sengaja tidak mahu menjawab panggilannya. Kalau pesanan ringkasnya pun tidak berjawab, telefon apatah lagi. Buat apa ada telefon bimbit kalau sekadar nak buat perhiasan? Lebih baik campak sahaja telefon bimbit itu ke laut!
Telefon bimbitnya dicampak ke atas katil. Namun tidak lama kemudian, telefon bimbit itu berbunyi. Afia melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin. Namun tidak pula dijawabnya. Dia membiarkan telefon bimbit itu menjerit sehingga talian mati dengan sendiri.
Selang seminit kemudian, telefon bimbit itu berbunyi lagi. Akhirnya, dia menjawab juga panggilan itu. Namun, dia sengaja tidak bersuara.
            “Assalamualaikum,” ucap suara itu.
            “Waalaikummussalam,” jawab Afia, agak keras. Sengaja mahu biar orang itu tahu yang dia sedang marah.
            Namun suara itu masih berlembut. “Hai, macam marah aje bunyinya.”
Baiknya suara itu. Seolah-olah mereka tidak pernah bergaduh semalam. Namun kali ini dia nekad, dia tidak akan termakan dengan kata-kata lembut Asyraf lagi.
“Kenapa awak tak jawab saya telefon tadi?” tanya Afia. Marahnya masih bersisa.
            Sorry, saya pergi kedai tadi. Telefon pulak saya tinggalkan kat rumah. Tengah charge,” terang Asyraf.
            Dah tahu telefon tu merupakan alat penghubung mereka, bolehlah pulak dia tinggalkan kat rumah? Getus hati kecil Afia. Nampak sangat dia tidak penting kepada Asyraf. Kalau jadi apa-apa, macam mana dia nak hubungi Asyraf?
            “Dah makan?” tanya Asyraf, masih berlembut.
            Ee, tak ada soalan lain ke yang nak ditanya?
            “Dah,” jawab Afia, acuh tak acuh.
            “Makan apa?”
            “Makan orang!”
            Afia terdengar Asyraf tergelak kecil di hujung talian. Apa yang lucunya? Tahu tak yang dia sedang marah ni?
            “Afia, saya rindu kat awaklah. Kita jumpa nak?” ujar Asyraf setelah tawanya reda.
            Afia tersenyum senang. Tiba-tiba sahaja hatinya menjadi sejuk apabila mendengar pengakuan Asyraf itu. Sememangnya dia juga berasa rindu dengan Asyraf walaupun baru sahaja minggu lepas mereka berjumpa. Tetapi dia tidak mahu Asyraf tahu. Jadi, dia hanya berlagak selamba.
“Bila?” tanya Afia, acuh tak acuh. Cuba menyembunyikan perasaan terujanya. Dalam soal perasaan, dia lebih tertutup berbanding Asyraf.
            “Sabtu depanlah. Isnin sampai Jumaat kan saya kerja.”
            “Nak jumpa kat mana?” tanya Afia. Manalah tahu kalau-kalau Asyraf hendak datang ke Shah Alam, jadi tidak payahlah dia turun ke Kuala Lumpur. Biasanya dia memang malas hendak keluar jauh-jauh. Sudahlah hendak keluar ke bandar pun kena naik bas 30 minit, selepas itu perlu naik bas lain pula untuk ke stesen komuter. Dari stesen komuter Shah Alam ke KL Sentral pun bukannya dekat.
            “Kat tempat biasalah,” jawab Asyraf.
            Afia tidak membantah walaupun dia sedikit hampa dengan jawapan Asyraf itu. “Pukul berapa?”
            “Dalam pukul 11.00 pagi ke, boleh?”
            “Hmm…” Afia masih berlagak selamba.
            “Okey, kita jumpa Sabtu depan ya. Awak ada nak cakap apa-apa lagi tak?” tanya Asyraf.
            “Tak ada,” balas Afia yakin padahal tadi dia yang beria-ia menghubungi Asyraf. Dia sudah tiada hati mahu berbual-bual. Justeru, dia sengaja bersikap dingin terhadap Asyraf. Namun, Asyraf seolah-olah tidak terkesan pun dengan sikapnya itu.
“Kalau tak ada apa-apa, saya nak buat kerja dulu. Nanti saya mesej awak ya.”
            “Kerja apa? Hari ni kan hari Ahad.” Afia enggan percaya. Orang kata selagi belum berkahwin, jangan percayakan teman lelaki kita seratus peratus.
            “Habis, takkan kat ofis aje ada kerja? Kat kawasan perumahan saya ni ada kenduri esok. Jadi, saya kena tolong-tolong apa yang patut,” terang Asyraf.
            “Ya ke? Ke awak ada date dengan perempuan lain?” Afia sengaja menduga. Dia yakin Ezlyn tidak mereka cerita tentang Asyraf. Apa faedahnya jika Ezlyn buat begitu?
Tapi Ezlyn kata dia cuma nampak Asyraf dengan seorang perempuan makan kat kedai makan. Dengan seorang perempuan kat kedai makan. Jadi? Bukannya Ezlyn nampak Asyraf sedang berpelukan dengan seorang perempuan atau berpegangan tangan dengan seorang perempuan. Jadi, macam tidak patut pula jika dia terus menghukum Asyraf.  
            “Isy, mana ada. Saya ada awak seorang ajelah,” nafi Asyraf.
            “Eleh, yalah tu.”
            “Betullah. Tak percaya pulak dia. Saya letak telefon dulu ya. Mak cik saya dah panggil tu.”
            “Sa…”
            Tut…
            Belum sempat Afia menghabiskan ayatnya, talian telefon telah dimatikan. Afia mendengus geram. Sanggup Asyraf letak telefon sebelum dia sempat berkata apa-apa?
Entah apa yang dikejarkannya. Macam tergesa-gesa sahaja bunyinya. Betul ke ada kenduri? Andaian negatifnya terhadap Asyraf semakin merebak.

Tiada ulasan: