Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Februari 27, 2012

Belum Ada Jodoh 20

ENTAH apa kena dengan dirinya pada hari ini. Semua yang dibuatnya serba tidak kena.

Ketika mandi, dia terguna shampu rambut pada badan.
Ketika membancuh minuman 3 dalam 1, dia tersilap membubuh perencah mi segera di dalam cawan.

Ketika hendak memasak air panas, dia terlupa hendak mengisi air di dalam kettle dan terus menekan suis.

“La, patutlah tak ada air. Aku terlupa nak letak air rupanya. Hai, apa kenalah aku ni?” omel Afia sendirian lantas melangkah ke dapur untuk mengisi air di dalam kettle itu.

Selepas betul-betul pasti yang dia sudah memasukkan air ke dalam kettle itu, dia memasak semula air itu. Nampak gayanya, terpaksalah dia menunggu beberapa minit lagi. Sambil menunggu air masak, dia termenung menopang dagu di meja.

Adakah dia sedang diserang penyakit angau? Mengapa dia asyik teringatkan wajah itu? Mengapa dia sering berasa ingin sentiasa dekat dengan lelaki itu? Adakah dia sudah jatuh cinta? Ah, mustahil dia boleh jatuh cinta dalam masa sesingkat ini! Afia menggeleng. Cuba menafikan perasaan yang sedang dialaminya.



AFIA menikmati mi segera yang sudah terlebih kembang itu sambil matanya meneliti judul-judul novel yang berada di rak bukunya. Hampir kesemuanya sudah dikhatamkan bacaannya. Tidak semua dapat dihadamnya sehingga tamat. Ada yang dibaca sekerat jalan dan ada juga yang dibaca setakat bab satu sahaja. Mungkin kerana dia sudah dapat mengagak jalan ceritanya atau penggunaan bahasanya yang terlalu bercampur aduk atau ayat yang tidak dapat menarik minatnya untuk meneruskan pembacaan.

Tiba-tiba dia teringat akan novel yang baru dibelinya semalam. Dia lantas mencapai beg sandangnya yang diletakkan di atas meja dan mengeluarkan novel yang dibelinya semalam. Ketika dia mengeluarkan novel itu, matanya tertancap pada sebuah buku nipis yang turut berada di dalam beg sandangnya itu. Tanpa dipinta, kenangan semalam terbayang-bayang di ingatannya. Ada perasaan aneh yang menjentik tangkai hatinya.
Perlahan-lahan dia mengeluarkan buku nipis itu dari dalam beg sandangnya. Dia meneliti kulit hadapan buku nipis itu seraya membaca tajuknya. “Facebookman, komik oleh Yap.”

Kemudian, tangannya mula menyelak muka surat di dalam sambil menyuap mi segera ke mulut.

Matanya terhenti pada muka surat hak cipta. Ayat-ayat pada muka surat hak cipta itu dibaca satu per satu. Daripada nama penulis dan pelukis, pengurus penerbitan, editor, pereka grafik, pencetak sehinggalah ke penerbit. Rupa-rupanya syarikat penerbitan yang menerbitkan komik itu adalah syarikat yang sama mereka kunjungi pada setiap hari Khamis demi tuntutan tugasan. Bezanya, mereka lebih tertumpu pada bahagian penerbitan buku-buku ilmiah. Jadi, mereka jarang-jarang ke bahagian penerbitan komik. Mungkin atas sebab itu, dia tidak pernah bertemu dengan Asyraf di syarikat penerbitan itu.

Dia kembali menatap buku komik di hadapannya.


Syukur alhamdulillah, komik Facebookman ini berjaya juga diterbitkan. Terima kasih daun keladi bunting diucapkan kepada para pembaca dan pembeli komik ini.
Harapan saya, semoga anda semua terhibur dan terus menyokong setiap karya saya pada masa hadapan. Jika ada sebarang komen ataupun cadangan, boleh hubungi saya melalui blog Facebookman. Sekian.



Tanpa dapat dikawal, Afia tersenyum sendiri tatkala membaca kata-kata pada muka surat penghargaan itu. Dia terus membelek muka surat yang seterusnya. Walaupun lukisannya tidaklah sehebat gaya lukisan komik-komik Jepun yang berlambak di pasaran sekarang, tetapi tetap ada nilai seninya. Ayat-ayatnya juga sangat santai dan lucu selain menggunakan bahasa Melayu yang betul. Tidak seperti kebanyakan komik yang berada di pasaran sekarang.

Menurut kata Asyraf, komik-komik yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan itu sememangnya berbeza daripada komik-komik yang sedia ada di pasaran. Ini kerana mereka menekankan penghasilan komik bercirikan Malaysia. Jadi, ia meliputi budaya, cara hidup, seni reka, agama, anutan, nilai atau apa-apa sahaja yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, para pekomik masih boleh menghasilkan komik fiksyen sains atau fantasi selagi jalan ceritanya bercirikan Malaysia. Seperti komik adiwira lakaran Asyraf di tangannya sekarang.

Sesekali Afia tergelak sendiri membaca dialog-dialog yang diucapkan oleh watak-watak dalam cerita itu.


Antara proses awal penghasilan buku komik Facebookman ini ialah sesi perbincangan dengan orang kuat Komikku. Ada banyak perkara yang aku tuntut supaya cerita ini menepati cita rasa aku, namun ada beberapa perkara yang aku terpaksa akur. Biasalah, dalam dunia ini bukan semua benda yang kita cita-citakan itu kita akan dapat.

Jika hendak bercerita mengenai cita-cita dan impian aku, memang tidak akan cukup satu muka surat ini. Impian dan cita-cita aku memang tinggi dan melampaui batas bagi dicapai. Aku hendak menjadi terkenal seperti Eiichiro Oda (pelukis komik One Piece), Masashi Kishimoto (pelukis komik Naruto), Akira Toriyama (pelukis komik Dragon Ball), Yoshito Usui (pelukis komik Shin Chan) dan ramai lagi pelukis komik yang hebat di Jepun.

Maka, besarlah harapan aku supaya anda semua terus menyokong aku. “Jika anda semua tidak menyokong komik aku ini, macam mana aku hendak menjadi terkenal dan berjaya seperti pelukis-pelukis komik yang aku sebutkan tadi?” ujarku sambil mengalirkan air mata. Huhuhu...



Setiap kali selesai satu bab, satu muka surat yang bertajuk ‘Di Sebalik Pembikinan Facebookman’ tertera sebelum masuk ke bab seterusnya. Afia semakin tertarik dengan gaya penulisan dan olahan cerita komik itu lantas dia terus membelek buku komik itu.
Jika kebiasaannya, watak hero selalu digambarkan seorang yang kacak, baik budi pekerti dan memiliki sifat-sifat yang terpuji atau pendek kata, sempurna dalam segala segi, tetapi Facebookman pula digambarkan sebagai seorang hero yang memiliki wajah berbentuk sebuah buku dan bertubuh kurus melidi.

Jika sudah namanya adiwira, pastilah tugas utamanya adalah membanteras jenayah dan melindungi keselamatan orang awam dan negara. Cerita adiwira sebegini mungkin agak klise dan stereotaip. Namun begitu, kisah Facebookman sangat berbeza lantaran ceritanya berkisahkan tentang adiwira Facebookman yang bertungkus lumus mempertahankan penerbitan buku-buku bercetak daripada pupus akibat serangan teknologi seperti Internet yang diusahakan oleh pihak lawannya.

Meskipun mesejnya kedengaran serius, namun elemen humor yang diselitkan membuatkan Afia berasa terhibur dan terus melekat hingga ke muka surat terakhir...

Tiada ulasan: