Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Julai 21, 2011

Kugiran SMART (Bab 10)

“SATU, dua, tiga... mula!”

Sejurus itu bunyi petikan gitar, petikan bass dan pukulan dram berpadu membentuk rentak muzik yang satu kedengaran. Tidak lama kemudian, suara si vokalis pula melengkapkan lagu yang sedang berkumandang di studio muzik itu. Keindahan paduan suara dan muzik itu benar-benar menghasilkan sebuah lagu yang hampir sempurna.

Buat beberapa ketika, keempat-empat anak muda itu seolah-olah tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Keempat-empatnya leka menghayati irama dan lirik yang diluahkan menerusi lontaran suara dan petikan jari-jemari masing-masing.


Kita hidup sebagai orang yang tersudut
Main gitar sebagai pelarian hidup
Aku hanya anak band
Mereka bilang giatlah menuntut ilmu
Ilmu yang membuatmu jadi kaya uang
Kenapa bukan ilmu yang membuat ku bahagia?



Namun apabila tiba di bahagian korus, bunyi gitar seakan-akan lari daripada tempo dan akhirnya terhenti. Serentak dengan itu, dua yang lainnya juga turut berhenti bermain alat muzik manakala si vokalis pula terdiam. Ketiga-tiganya tertumpu ke arah si gitaris.

“La, kenapa ni, Riz?” tanya Shafik.

“Maaf, maaf. Kita mula balik semula ya.” Azrizal mengemaskan petikan jari-jemarinya dan cuba menumpukan perhatian. Namun, sekali lagi petikan jari-jemarinya tersasar apabila perbuatannya tidak selari dengan fikirannya. Azrizal mengeluh lantas meraup muka.

“Kita berehat sekejaplah,” ujar Iqbal seolah-olah memahami yang perhatian Azrizal tidak di situ.

Azrizal berasa bersalah kerana membuatkan latihan mereka terbantut. Namun jika mereka meneruskan latihan juga, nescaya perkara yang sama akan berulang. Masing-masing sedia maklum jika salah seorang daripada mereka membuat silap, secara automatik perkara itu akan mempengaruhi permainan muzik mereka.

Muzik adalah kerjasama. Dalam bermain muzik, semua pemain perlu bekerjasama bagi menghasilkan irama yang satu. Sedikit kesilapan sahaja mampu mencacatkan keseluruhan persembahan.

Azrizal tahu akan perkara itu. Namun dia benar-benar tidak dapat menumpukan perhatian. Fikirannya terganggu. Semangatnya layu.

“Kenapa ni, Riz? Kau ada masalah ke?” tanya Shafik, prihatin.

“Tak ada apalah. Cuma aku terfikir, sampai bila kita nak terperuk di dalam studio ni saja?” Azrizal meluahkan rasa hatinya. Biasanya apabila sudah memegang gitar, dia akan terlupa semua perkara lain. Namun kali ini, dia tidak dapat menyingkirkan perkara yang bermain di benaknya ketika itu.

“Kenapa? Kau nak tukar studio ke?” soal Iqbal pula.

“Ha, nak tukar studio? Apa, studio di rumah aku ni tak cukup bagus ke? Di mana lagi kau orang boleh dapat studio percuma macam ni?” Shamsul pula bertanya.

“Bukan tu maksud aku,” sangkal Azrizal. Bukan masalah studio yang mengasak fikirannya sekarang. Selama ini pun mereka bermain muzik hanya sekadar minat dan mengisi masa lapang. Baginya, hal itu lebih baik daripada mereka menghabiskan masa tidak tentu hala di luar sana.

Tetapi kini, bermain muzik bukanlah lagi sekadar hobi baginya. Dia mempunyai impian yang besar dalam bidang muzik. Jika boleh, dia mahu mengembangkan pengaruh muzik mereka ke serata dunia. Namun, dia sedar mereka tidak boleh hanya bergantung pada Internet semata-mata. Meskipun dunia sekarang lebih mudah dengan adanya Internet, namun bukan semua orang mempunyai talian Internet di kawasan mereka. Justeru, mereka harus memanfaatkan segala pendekatan yang ada.

“Habis tu?” tanya Shamsul kembali.

“Apa kata kita cuba hantar lagu kita ke stesen radio?” cadang Azrizal. Mudah-mudahan kawan-kawannya itu bersetuju dengan cadangannya.

“Nak ke DJ tu mainkan lagu kita yang bukan sesiapa ni?” Iqbal seperti tidak yakin.

“Alah, bukan ke radio X fm ada satu rancangan khas yang memainkan lagu-lagu daripada orang-orang yang bukan sesiapa macam kita ni?” balas Azrizal. Dia pernah mendengar rancangan itu di stesen radio berkenaan. Rancangan itu merupakan platform yang bagus untuk kumpulan muzik seperti mereka. Malah, ada juga kumpulan muzik yang mula mencipta nama selepas menghantar lagu mereka ke stesen radio itu. Sekurang-kurangnya, mereka dapat mengumpul pengikut dari situ.

Dalam kebanjiran karya-karya dari luar, dia memuji usaha stesen radio berkenaan yang masih mempertahankan karya-karya tempatan untuk bernafas. Malah, stesen radio tersebut turut mengambil alternatif dengan memberikan peluang kepada pemuzik yang belum ada nama untuk menghantarkan karya mereka bagi diperdengarkan kepada orang ramai. Selain mencari pemuzik pelapis, usaha ini juga diharap dapat melindungi muzik tempatan daripada pupus dan seterusnya hilang ditelan kebanjiran muzik luar.

“Rancangan apa? Aku tak pernah dengar pun,” celah Shafik.

“Alah, apa entah namanya.” Azrizal cuba mengingati nama rancangan tersebut. Dia juga tidak adalah mendengar rancangan itu selalu. Cuma kadang-kadang sahaja apabila dia sedang kebosanan. “Ha, Lagu Kita. Yang bagusnya, syarat-syarat untuk lagu yang dihantar tak terlalu ketat. Tak kisahlah lagu tu ada campur bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain sekalipun, asalkan lagu tu asli, sedap dan kreatif, mesti dia orang akan mainkan. Jadi, tak adalah kreativiti kita untuk berkarya disekat.”

“Bagus juga tu. Mungkin inilah peluang kita. Macam mana nak hantar lagu ke sana?”

Shafik berasa tertarik dengan idea itu.

“Kena hantar CD demo,” terang Azrizal.

“Tapi, boleh percaya ke? Manalah tahu kalau dia orang ambil lagu kita tu, lepas tu dia orang suruh orang lain buat balik dan cakap tu lagu dia orang,” ujar Shamsul, ragu-ragu.

Mereka semua terdiam memikirkan kata-kata Shamsul itu. Kata-kata Shamsul itu ada benarnya juga, Tetapi, ini juga peluang baik untuk lagu mereka dikenali. Adakah mereka perlu melepaskan peluang ini begitu sahaja?



TELINGANYA menangkap bunyi deringan telefon tatkala dia sedang membuka kunci pintu rumah. Namun pergerakannya masih kekal begitu. Tidak terlalu tergesa-gesa ataupun terlalu perlahan. Dia yakin panggilan telefon itu bukanlah panggilan yang penting. Kalau panggilan telefon itu bukan untuk ibu bapanya, pastinya Athira yang menelefonnya.

Selepas mengunci pintu rumah kembali, langkah kakinya diatur ke arah telefon yang masih berdering di ruang tamu. Dengan langkah yang malas, dia mencapai gagang telefon.

“Riz?” tanya suara di hujung talian.

Azrizal kenal akan suara itu. “Hmm... Riz ni,” jawabnya malas. Entah mengapa dia tiada mood hendak berbual-bual tatkala itu. Mungkin kerana mengenangkan impiannya yang masih belum terlaksana.

“Riz pergi mana? Dari semalam Tya tunggu Riz telefon,” adu Athira sebaik-baik sahaja panggilannya berjawab.

“Maaflah, Tya. Riz tak ada di rumah semalam. Riz tidur di rumah kawan,” jelas Azrizal. Dia berharap yang Athira dapat menerima jawapannya itu. Dia bukannya sengaja melupakan janjinya. Dia sendiri tidak menyangka yang dia akan tertidur di rumah Shamsul.

“Alah, takkanlah di rumah Chap atau Ball tu tak ada telefon?” Athira tidak berpuas hati dengan jawapan itu.

Azrizal diam sejenak memikirkan jawapan yang sesuai. Jika Athira tahu dia bermalam di rumah Shamsul, apakah reaksi Athira ya? “Tak eloklah kalau Riz telefon Tya guna telefon rumah dia orang, bukan? Nanti apa pula kata mak dan ayah dia orang?”

“Habis tu, pagi tadi Tya telefon pun Riz tak jawab.” Athira sudah mahu merajuk.

Dahi Azrizal berkerut. “Tya ada telefon ke pagi tadi?”

“Yalah. Dah Riz tak telefon Tya.”

“Pagi tadi Riz terus tidur lepas balik dari rumah Chap. Agaknya sebab tu Riz tak dengar kut,” Azrizal terpaksa berbohong. Tetapi memang benar sejurus pulang dari rumah Shamsul pagi tadi, dia terus tidur sehingga tengah hari. Dia langsung tidak sedar akan bunyi deringan telefon atau apa-apa bunyi. Mungkin badannya terlalu penat lantas menyebabkan dia tidur nyenyak. Dia tersedar pun apabila Shafik dan Iqbal bertandang ke rumahnya. Mentang-mentanglah waktu makan tengah hari, laju sahaja mereka mahu ke rumah Shamsul.

“Habis tu, kenapa Riz tak telefon Tya bila Riz dah bangun tidur? Tya tunggu tau Riz telefon. Tapi Riz tak telefon pun. Riz dah tak sayangkan Tya ke?” Athira seolah-olah berkecil hati dengan layanan Azrizal yang seperti acuh tidak acuh itu.

“Riz bukan sengaja. Cuma Riz sibuk sikit,” terang Azrizal. Dia tidak mahu Athira menyangka yang bukan-bukan. Bukan dia sengaja hendak mengabaikan Athira, tetapi dia juga mempunyai misi dan visi dalam hidupnya. Dahulu mungkin dia tidak dapat melaksanakan minatnya itu lantaran terikat dengan rutin persekolahan. Jadi, inilah masa yang sesuai untuk dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap minatnya ini.

“Sibuk? Sibuk buat apa? Riz bukannya kerja pun, bukan?” perli Athira.

“Memanglah, tapi Riz ada projek dengan Chap dan Ball.”

“Projek apa yang penting sangat tu sampaikan dah tak ada masa untuk Tya?”

Azrizal mengeluh. Dia tahu Athira tidak akan berhenti bertanya selagi dia tidak mendapat jawapan yang sebenarnya. “Kita orang dah tubuhkan kumpulan muzik yang lengkap. Sekarang, kita orang sedang sibuk berlatih dan buat lagu.”

Athira tersenyum sinis. “Dah dapat vokalis ke?”

“Dah,” jawab Azrizal, jujur.

“Siapa?”

“Alah, Tya tak kenal.” Sekali lagi dia terpaksa berbohong.

“Kalau macam tu, bolehlah Tya sertai kau orang berlatih, bukan? Tya bosanlah duduk di rumah saja. Teringin juga Tya nak kenal vokalis kau orang tu,” rengek Athira.

“Tak boleh!” pintas Azrizal. “Eh, maksud Riz, tak payahlah. Kita orang belum bersedia lagi nak main di depan orang lain.”

Athira tersentak dengan kata-kata Azrizal. “Orang lain? Riz anggap Tya orang lain?”

“Maksud Riz, orang lain selain kita orang berempatlah.”

“Okey, tak apa. Kalau Riz tak nak bagi Tya sertai kau orang, Riz kena ganti dengan belanja Tya makan dan tengok wayang, boleh?”

“Bila?”

“Hujung minggu nilah.”

“Tapi...” Azrizal teragak-agak. Dia sudah mempunyai rancangan lain bersama Shafik, Iqbal dan Shamsul pada hujung minggu nanti.

“Riz tak nak? Okey, kalau macam tu, Riz jangan telefon atau jumpa Tya lagi. Kita berpisah sajalah. Buat apa Riz jadi pakwe Tya kalau Riz tak ada masa langsung untuk temankan Tya?” ugut Athira.

“Okeylah, Riz temankan Tya...” Akhirnya, Azrizal mengalah. Tetapi, apa pula alasan yang dia hendak beritahu kepada Shafik, Iqbal dan Shamsul nanti?


*Lagu: Anak Band (Jagostu)

Tiada ulasan: