Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Mei 23, 2011

Budak SMART (Bab Dua)

MOTOSIKAL yang dinaiki oleh Azrizal menapak di sebuah rumah teres bernombor A-70 yang terletak di Lorong Tok Sira 17. Selepas meninggalkan motosikalnya, Azrizal melangkah ke kamar tidurnya di belakang.

Dahulu, rumah itu hanya mempunyai tiga buah bilik. Bilik depan iaitu bilik utama dihuni oleh ibu bapa Azrizal, bilik tengah dihuni oleh kakak dan adik perempuan Azrizal dan bilik belakang dihuni oleh Azrizal bersama abangnya.

Namun sejak kakaknya berkahwin, dua bilik ditambah bagi keselesaan mereka. Oleh itu, setiap seorang daripada mereka mempunyai sebuah bilik dan mereka bebas menghias bilik itu mengikut cita rasa mereka sendiri. Namun, pengubahsuaian itu dirasakan tidak berbaloi kerana sekarang mereka semua sudah membawa haluan masing-masing.

Ibu bapa Azrizal, Encik Ariffin dan Puan Farhana hanya bekerja makan gaji. Kesibukan tugas membuatkan mereka jarang-jarang berada di rumah. Abang Azrizal, Ahmad Andrian Haris, berusia 27 tahun. Akibat kecewa atas kegagalan rumah tangganya yang hanya mampu bertahan selama dua tahun, Andrian mengambil keputusan membawa diri ke Australia dan bekerja di sana.

Kakak Azrizal, Ainul Nazian, 24 tahun baru saja mendirikan rumah tangga pada cuti sekolah yang lalu dan kini menetap di negeri kelahiran suaminya di Kota Bharu, Kelantan. Adik Azrizal, Aina Nabila pula sedang menuntut di sekolah berasrama penuh Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur. Hanya Azrizal yang tinggal di rumah itu.


Bulan di malam hari
Datang dengan anginnya yang dingin
Kutekad ‘kan teruskan
Apa yang dijuangkan
Untuk mencapai semua impian
Usah kau gentar dengan cabaran
Ker’na itulah takdir kita



Lagu ‘Lonely Soldier Boy’ nyanyian Hujan menerjah ke gegendang telinga sebaik-baik saja radio itu dipasang. Azrizal menguatkan volum radio itu ke tahap maksimum lalu dia menghilang ke bilik mandi.

Sepuluh minit kemudian, dia lengkap berbaju T dan memakai track bottom sebelum mengambil tempat di hadapan komputer. Tangannya menekan suis komputer. Serta-merta talian Internet disambungkan. Dia terus menaip laman My Space. Selepas mengisi e-mel dan kata laluan di ruang log in, dia melihat status kawan-kawannya di situ. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat sahabat baiknya online.

“Hai, Riz!” sahabat itu menyapanya.

“Hai… Lama tak dengar cerita. Macam mana cuti sekolah? Seronok?” Azrizal membalas sapaan itu.

“Bolehlah. Awak macam mana? Pergi mana cuti hari tu?”

“Tak pergi mana pun. Paling jauh pun, balik kampung saja.”

“Kampung mak atau kampung ayah?”

“Kampung mak di JB. Awak pula buat apa cuti hari tu?”

“Tak buat apa. Duduk di rumah saja.”

“Duduk rumah saja? Tak bosan ke? Tak balik kampung?”

“Bosan juga. Tapi nak buat macam mana, ayah saya tak benarkan saya keluar. Kadang-kadang bosan juga asyik terperap saja di dalam rumah ni.”

“Tak apalah. Mungkin ayah awak bimbangkan keselamatan awak.”

“Saya tahu, tapi sekali-sekala saya pun nak merasa juga melepak dengan kawan-kawan saya di luar.”

“Mungkin awak rasa agak terkongkong, tapi bagi saya, ayah awak cuma mahukan yang terbaik untuk awak. Terus terang saya cakap, saya cemburu dengan awak.”

“Awak cemburu dengan saya? Kenapa pula?”

“Yalah, ayah dan mak awak sangat mengambil berat pasal awak. Tak macam mak dan ayah saya. Dia orang tak pernah nak ambil tahu pasal saya. Saya pun jarang-jarang jumpa dia orang walaupun kita orang tinggal di bawah bumbung yang sama. Agaknya saya dah masuk tingkatan lima pun dia orang tak sedar.”

“Takkanlah sampai macam tu sekali?”

“Memang susah nak percaya, tapi itulah hakikatnya.”

“Tapi awak masih ada ramai kawan, bukan? Tak macam saya. Kalau dah selalu berkurung di dalam rumah ni, kawan-kawan pun dah malas nak ajak saya keluar sebab dia orang tahu mesti ayah saya tak benarkan saya keluar.”

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya, kurang sikit risiko awak untuk terlibat dengan benda-benda yang tak elok, bukan?”

“Mungkin. Eh, kita cakap pasal benda lainlah. Awak dah dengar ke lagu yang saya bagi tu?”

“Dah. Terima kasih.”

Best tak?”

Best! Saya tengah dengarlah ni. Boleh saya tanya?”

“Apa dia?”

“Kenapa awak minat sangat dengan Hujan?”

“Sebab lagu dia orang unik dan universal. Ada lagu untuk abang, ada lagu untuk kakak, lagu untuk ibu dan macam-macam. Bukan cinta kepada kekasih semata-mata. Saya kagum dengan dia orang sebab dia orang berani mengutuk sikap hipokrit Amerika terang-terangan dalam lagu 'Ludah Amerika'.”

“Nama kumpulan dia orang pun simple dan catchy, kan?”

“Betul tu. Pertama kali saya dengar nama Hujan, saya dah tertarik. Yalah, di Malaysia ni kan tak banyak kumpulan yang guna nama Melayu sebagai nama kumpulan dia orang.”

“Saya pun setuju dengan pendapat awak.”

“Awak pula macam mana? Dah dapat nama yang sesuai untuk kumpulan awak?”

“Belum. Mungkin ‘Ribut’ agaknya. Hehe…”

“Kenapa tak letak nama ‘Taufan’ saja?”

“Hehe… Kita orang tak berapa aktif sangatlah. Masih dalam proses belajar. Lagipun kita orang belum dapat cari vokalis lagi. Awak berminat?”

“Saya? Kalau saya jadi vokalis kumpulan awak, alamatnya hancurlah kumpulan awak tu. Lagipun mak dengan ayah saya tak berapa berkenan sangat pasal bab hiburan ni. Pantang bagi dia orang kalau anak-anak dia orang terlibat dalam bidang ni.”

“Adik-beradik awak ada yang terlibat dalam bidang hiburan ke?”

“Isy, nak mampus? Mahu kena pelangkung dengan mak dan ayah saya nanti. Kita orang nak tengok konsert pun, dia orang tak benarkan tau. Inikan pula nak terlibat dalam bidang ni.”

“Bagus betul mak dan ayah awak.”

“Riz!”

Sedang Azrizal ralit bersembang di Internet, tiba-tiba kedengaran suatu suara memanggilnya di luar rumah. Azrizal mengerling jam di sebelah kanan bawah pada skrin komputernya. Pukul 5.30 petang? Azrizal tersentak. Tidak sedar sudah lebih dua jam dia bersembang dengan sahabat Internetnya itu.

“Maaflah, saya kena pergi sekarang. Kawan saya dah datang.”

“Okeylah. Saya pun tak nak kacau awak. Kalau ada peluang, saya teringin nak tengok persembahan awak.”

“Insya-Allah. Nanti kita sembang lagi ya.” Azrizal meminta diri kepada sahabat onlinenya itu lalu meluru ke ruang hadapan.

“Chap, Ball, jom!” Azrizal mengajak teman-temannya itu ke biliknya.

“Riz, sunyi saja rumah kau. Kau tinggal seorang saja ke?” tanya Shafik. Rumah itu sunyi bagai tiada penghuni.

“Biasalah. Bukan kau tak tahu mak dan ayah aku tu.” Azrizal sudah biasa ditinggalkan sendirian. Ibu bapanya selalu pulang lewat. Kadang-kadang sudah pukul 7.00 malam pun mereka masih belum pulang. Asyik kerja saja tetapi tidak juga kaya. Mujur teman-temannya, Shafik dan Iqbal sering ke situ. Jadi, tidaklah Azrizal berasa sunyi sangat.



CAKERA padat lagu Hujan itu digantikan pula dengan cakera padat sebuah indie band Malaysia yang lain, Meet Uncle Hussain.


Lalala... Lalala... Lalala...
Ha... pening kepala memikirkan tak ada kerja
Tanam anggur...
Sijil diploma gantung di dinding saja
Ooo, megah rasanya...
Jawat kerja pegawai pemasaran
Di Pertama...
Rupa oh! rupanya kerahan saja...



Shafik terangguk-angguk menghayati rentak lagu ‘Lalala… Kerjalah!’ itu sementara Iqbal pula leka melayari Internet di komputer Azrizal.

“Nah.” Azrizal menghulurkan cakera padat yang dikeluarkan dari radio itu kepada Shafik.

Shafik mengambil cakera padat itu daripada Azrizal. “Hujan?” Shafik membaca nama band yang tertera pada cakera padat itu. “Band mana ni?”

“Malaysialah. Indie band,” jawab Azrizal.

Indie band ialah singkatan bagi independent band, istilah yang digunakan bagi sebuah kugiran yang menggunakan modal sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat rakaman. Daripada penghasilan lagu, proses rakaman, pemasaran dan lain-lain. Pendek kata, semuanya sendirilah!

“Kau dah dengar? Best ke?”

Best jugalah. Cubalah kau dengar.” Azrizal mencapai gitarnya di sisi katil lalu memainkan suatu melodi. Gitar itu adalah pemberian bapa saudaranya, yakni adik kepada ibunya. Gitar itu adalah hadiah sempena kecemerlangannya dalam peperiksaan PMR yang lepas. Hanya bapa saudaranya yang memahami minat dan cita-citanya itu.

“Tengok sini.” Iqbal mengambil cakera padat itu daripada tangan Shafik, melihat sekilas lalu dan kemudian diserahkan semula kepada Shafik.

“Aku pinjam dulu ya,” ujar Shafik.

“Pinjamlah tapi jangan lupa pulangkan balik tau,” balas Azrizal.

“Aku tahulah. Ball, kau tengok apa tu?” Shafik melihat Iqbal. Entah apa yang dilihatnya di Internet itu sampai langsung tidak menoleh ke kiri, ke kanan mahupun ke belakang.

“Aku tengah tengok idaman aku ni,” ucap Iqbal.

“Awek ke? Cun tak?”

“Cun.” Iqbal sengaja mengumpan perhatian Shafik.

“Aku nak tengok juga.” Shafik bangkit menghampiri Iqbal dengan penuh teruja. “Mana? Cis! Aku ingatkan gambar awek tadi. Rupanya dram.”

“Aku rasa aku tak sebut pun perkataan ‘awek’ tadi, kan?”

“Kau sengaja nak kenakan aku, bukan?” Shafik berasa tertipu.

“Relakslah. Cuba kau tengok dram ni. Buat aku geram saja. Oh, dram! Bilakah aku dapat memilikimu?”

“Dalam mimpi!” celah Shafik geram. “Dahlah. Bagi aku guna pula. Dah lama aku tak buka Friendster aku.”

“Kau ada Friendster ke?”

“Apa? Kau ingat aku ni kolot sangat ke?”

“Memang pun. Orang sekarang dah tak main Friendsterlah. Orang sekarang layan My Space.”

“Tak kisahlah apa-apa pun. Tepilah!” Shafik menarik lengan Iqbal agar berganjak dari komputer itu. Namun Iqbal enggan. Maka berlakulah insiden tarik-menarik antara mereka berdua.

Azrizal tidak mengendahkan teman-temannya itu. Dia memejamkan mata sambil menjiwai alunan irama petikan jari-jemarinya



Dapatkan novel ini di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Tiada ulasan: