Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Jun 07, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 5)

KEESOKANNYA di sekolah. Pelajar Tingkatan Lima yang sudah memberikan nama bagi mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur dikehendaki berkumpul di dewan selepas waktu rehat untuk satu sesi taklimat.

“Eh, kau nak pergi mana pula tu?” Jasmin menarik tangan Krisya Norsabrina yang menonong ke kelas sebaik-baik saja mereka berdua selesai makan di kantin.

“Balik kelaslah. Kan waktu rehat dah habis,” balas Krisya Norsabrina. Tanya pula.

“Kan kita kena pergi dewan?” ujar Jasmin.

“Buat apa?”

“La, kan ada taklimat pasal rombongan ke Kuala Lumpur tu.”

“Kan aku tak pergi. Buat apa aku nak dengar taklimat tu?” Bengkak hatinya apabila perihal rombongan itu disebut-sebut.

Jasmin serba salah melihat wajah muram Krisya Norsabrina. Nampak sangat sahabat baiknya itu kecewa yang teramat. Kesian pula dia melihat keadaan Krisya Norsabrina. Lebih baik aku cakap terus terang.

“Sya, yang sebenarnya aku tipu kau.” Langkah Krisya Norsabrina terhenti. “Yang sebenarnya aku dah bagi nama kau kat ketua kelas kita untuk pergi rombongan tu sebelum balik semalam. Aku mintak maaf kalau aku buat keputusan tanpa tanya kau dulu. Aku…”

“Hah? Betul ke, Mon?” Krisya Norsabrina seakan tidak percaya.

Jasmin mengangguk.

“Terima kasih, Mon! Kaulah kawan terbaik aku!” Krisya Norsabrina terus memeluk tubuh Jasmin. Jasmin pula kaku macam batang kayu gara-gara terkejut dengan tindakan spontan Krisya Norsabrina. “Tunggu apa lagi? Jomlah kita pergi dewan.”

Krisya Norsabrina menghalakan langkah kakinya ke dewan. Jasmin menggelengkan kepala melihat gelagat Krisya Norsabrina. Sekelip mata saja emosinya boleh berubah.





“KITA nak duduk mana ni?” Jasmin dan Krisya Norsabrina mencari-cari kerusi yang masih kosong di celah-celah puluhan pelajar yang hadir untuk sesi taklimat rombongan ke Kuala Lumpur itu.

“Tu ada kerusi kosong. Jom,” Krisya Norsabrina menarik tangan Jasmin ke barisan hadapan. Bersemangat betul dia hendak mendengar taklimat.

“Isy… depan sangatlah, Sya,” Jasmin membantah.

“Habis, nak duduk kat mana lagi? Tempat belakang semua dah penuh.”

Begitulah selalu keadaannya apabila sesuatu perhimpunan diadakan. Kebiasaannya, barisan belakanglah yang akan penuh dulu. Barisan hadapan pula selalu dijadikan pilihan terakhir sekiranya tempat duduk di barisan belakang sudah penuh.

“Kita duduk kat tempat lainlah. Baris kedua ataupun ketiga pun okeylah tapi tak naklah depan sekali.”

“Alah, tak kisahlah. Bukannya dia nak tanya apa-apa pun. Jomlah.”

Mahu tidak mahu, Jasmin terpaksa mengekor langkah Krisya Norsabrina ke tempat duduk di barisan hadapan memandangkan hanya di situ yang masih kosong.

“Sya, kalau kita kena soal macam mana?” tanya Jasmin sebaik-baik saja mereka melabuhkan punggung ke kerusi.

“Takkan punyalah. Banyak lagi orang lain yang dia boleh tanya,” tutur Krisya Norsabrina yakin.

“Harap-harapnya macam tulah,” Jasmin memandang ke arah tempat duduk pelajar lelaki. Mencari kelibat seseorang. Tanpa sengaja pandangan matanya bertembung dengan seorang pelajar yang duduk di barisan kedua.

Alamak, Azan! Jasmin pantas melarikan pandangannya ke hadapan. Orang lain yang dicari, orang lain pula yang dilihat. Huh!

Keadaan di dalam dewan itu mula riuh. Masing-masing sibuk bercerita memandangkan sesi taklimat masih lagi belum bermula. Dalam keriuhan itu, pandangan mata Jasmin menangkap wajah seorang pelajar lelaki yang baru muncul dari belakang pentas.

Pelajar lelaki itu kelihatan sedang mengangkat pembesar suara ke bawah pentas bersama seorang lagi pelajar lelaki lain. Gentlenya dia. Ni yang buat aku tambah suka kat dia ni. Oh, lelaki idaman! Memang kamu tak ada yang lain. Semua gambaran idola segalanya ada padamu. Oooo…

“Oi!”

Jasmin tersentak.

“Oi, apa oi? Apa ni, Sya? Kacau aje,” marah Jasmin apabila konsentrasinya pada pujaan hati diganggu.

“Sampai meleleh air liur.”

Jasmin meraba mulutnya.

“Mana ada! Tipu!”

Krisya Norsabrina tertawa dapat mengenakan Jasmin. Jasmin sudah mencebik. Sedikit marah apabila diusik begitu.

“Okey, selamat pagi semua.” Semua pelajar memberi tumpuan kepada guru yang sedang berucap di hadapan. “Saya mintak maaf sebab terpaksa mencuri masa belajar awak semua.”

Alah, cikgu ni. Macam tak tahu pula. Pelajar-pelajar tu memang suka pun kalau dapat keluar dari kelas mereka.

“Saya selaku guru pengiring dalam rombongan ni akan bagi tahu awak semua serba sedikit pasal rombongan kita ni. Sebelum tu, saya akan memperkenalkan guru-guru yang akan mengikuti rombongan ni selain saya sendiri,” Cikgu Abdillah yang juga merupakan guru kaunselor di sekolah itu memperkenalkan enam orang guru lain yang akan turut sama dalam rombongan itu yakni guru-guru kelas Tingkatan Lima sendiri memandangkan mereka lebih mengenali pelajar-pelajar mereka. Kalau hilang pun, mereka boleh cam.

“Baiklah, seperti yang telah dibagi tahu, rombongan kita akan bertolak pada 20 hari bulan iaitu pada hari Jumaat. Awak semua dikehendaki berkumpul kat pekarangan sekolah sebelum pukul 3.00 petang. Jangan lambat, ya. Takut nanti kita lambat sampai kat Kuala Lumpur. Kalau lambat pun, pukul 3.30 petang okey? Aktiviti kita kat sana pula saya dah bagi tahu kat ketua kelas masing-masing. Rasa-rasanya semua dah tahu, kan? Ada sesiapa yang tak tahu lagi?”

Semua pelajar diam. Maknanya semua sudah tahulah itu. Ah, kalau bab berjalan tidak kisah ke mana pun mereka ikut saja!

“Tapi tak apalah. Saya akan bagi tahu sekali lagi secara ringkas. Hari Jumaat, kita bertolak dan dijangka tiba kat hotel penginapan pada pukul 8.00 malam. Malamnya kita tak buat sebarang aktiviti sebab mungkin semua penat, apa ke kan. Lepas tu, esok paginya kita akan ke Petrosains, KLCC dan hari Ahad kita akan ke Mid Valley. Kalau-kalau ada yang nak membeli-belah atau beli buah tangan untuk keluarga. Dalam pukul 5.00 kita balik ke sekolah. Okey, ada soalan? Ada yang tak jelas? Tak faham?”
Suasana sepi.

“Jadi semua jelas, ya? Baik, seterusnya saya menjemput puan pengetua untuk memberi sedikit taklimat. Silakan puan pengetua.”

Puan Hajah Rubiah, pengetua sekolah itu yang duduk di kerusi yang disediakan di hadapan kerusi pelajar-pelajar bangkit menghampiri Cikgu Abdillah yang berdiri di hadapan. Mikrofon bertukar tangan.

“Assalamualaikum dan selamat sejahtera cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar yang saya kasihi sekalian,” ujar Puan Hajah Rubiah memulakan ucapannya.

“Waalaikummussalam…” Hanya beberapa pelajar yang menyahut. Macam tidak bermaya saja.

“Perhatian!”

“Saya insan cemerlang.”

“Saya tak dengar. Perhatian!!” Puan Hajah Rubiah menguatkan nada suaranya.

“Saya insan cemerlang!!!” Suara pelajar-pelajar itu mula bersemangat melawan nada suara pengetua mereka.

Segaris senyuman terukir di wajah pengetua itu. Inilah cara SMART. Apabila disebut ‘perhatian’ maka para pelajar harus menyahut dengan ayat ‘saya insan cemerlang’. Bukankah setiap apa yang kita ucapkan ibarat suatu doa? Jadi, jika setiap hari para pelajar menyebut ‘saya insan cemerlang’, mudah-mudahan mereka benar-benar menjadi seorang insan yang bukan saja cemerlang dalam pelajaran tapi juga cemerlang akhlak.

“Lepas waktu rehat aje, semua mengantuk ya? Duduk tegak semua. Pandang depan,” tegas Puan Hajah Rubiah. Para pelajar akur. “Siapa tidur, saya suruh dia bercakap kat depan ni. Bukan senang nak bercakap kat depan ni tau.”

Mendengarkan ‘ugutan’ pengetua itu, semua pelajar mula memberi sepenuh perhatian kepada pengetua. Siapa yang berani bercakap di hadapan? Di hadapan puluhan pelajar. Di dalam kelas pun lutut sudah ketar, inikan pula di hadapan semua pelajar Tingkatan Lima. Tak sanggup!

“Baik, saya akan cakap ringkas aje. Memandangkan saya tak dapat turut serta dalam rombongan ni, saya harap awak semua dapat jaga tingkah laku masing-masing dan jaga nama baik sekolah kita. Ingat, awak semua membawa nama sekolah bersama. Jaga keselamatan diri dan kawan-kawan. Kalau nak pergi mana-mana, bagi tahu guru pengiring. Kuala Lumpur bukan macam Kuantan. Kat sana banyak orang asing dan tak kurang juga orang jahat.”

Kata-kata pengetua sudah tidak lagi didengari oleh Krisya Norsabrina. Fikirannya sudah dibawa terbang ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Petir.

Tiada ulasan: