Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuja Rahsia 14

Sebulan selepas rombongan, pelajar-pelajar tingkatan lima mula sibuk dengan persediaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia. Krisya Norsabrina juga adalah salah seorang daripadanya.

Krisya Norsabrina bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran demi menunaikan janji kepada ayahnya bagi mendapatkan sekurang-kurangnya lima A dalam peperiksaan itu. Malah, dia juga sudah membuat jadual belajar.

Dia mahu mengulangi kejayaan seperti dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah sewaktu di tingkatan tiga dahulu. Pada waktu itu, dia sanggup mengenepikan rancangan kegemarannya di televisyen demi menumpukan perhatian pada pelajaran. Ternyata usahanya itu tidak sia-sia apabila dia berjaya mendapat 8A!

Krisya Norsabrina menjadi lebih bersemangat apabila memikirkan tentang perkara itu. Dia mahu menggunakan pendekatan yang sama dalam peperiksaan SPM tahun ini.

Dalam membantunya mengingat, Krisya Norsabrina lebih suka membuat nota berbentuk peta minda yang berwarna-warni. Setiap kali selepas membaca satu bab, dia akan melukis peta minda yang menerangkan tentang kandungan sesuatu bab dalam ayat yang paling ringkas.

Sepuluh minit yang pertama, Krisya Norsabrina masih tekun membaca bab satu dalam buku teks Sejarah itu. Lupakan TV! Fokus pada buku! Fokus! Fokus! Namun, lima minit kemudian, dia mula menguap.

“Kenapa asyik menguap saja ni?” Krisya Norsabrina cuba melawan rasa mengantuknya. Fokus! Fokus!

Tidak sampai seminit kemudian, Krisya Norsabrina terus menutup buku. Rasa mengantuknya tidak dapat ditahan.

“Check emel kejaplah. Setengah jam lagi baru sambung belajar,” Krisya Norsabrina berganjak ke atas katil bersama komputer ribanya. Broadband dicucuk ke komputer riba itu. Hujan online! Krisya Norsabrina teruja apabila melihat status online pada My Space Hujan. Pantas jari jemarinya menaip sebaris ayat menyapa Hujan.

Tidak sampai seminit, Hujan membalas komennya! Krisya Norsabrina semakin seronok berbual-bual dengan Hujan yang sudah lama tidak disapanya itu. Niatnya untuk menyambung pembacaan hanya tinggal niat ekoran dia sudah leka dengan dunia internet.


**********


Hari pertama peperiksaan percubaan. Para pelajar mengambil tempat duduk masing-masing. Semuanya berdebar-debar tatkala pengawas peperiksaan mengedarkan kertas soalan kepada mereka.

“Baiklah, kamu semua boleh mula menjawab sekarang.”

Mendengarkan itu, Krisya Norsabrina pantas membelek kertas soalan itu. Soalan apa yang keluar? Keluar ke tak bab yang aku baca semalam? Minta-minta keluar.

“Aik, soalan apa ni?” gerus hati kecilnya. Ada ke dalam buku teks? Tak ada pula aku baca semalam. Ke salah kertas soalan? Muka depan kertas soalan dibelek. Kertas soalan peperiksaan percubaan SPM pelajar tingkatan lima tahun 2008. Betullah. Tapi kenapa soalannya aku tak tahu?

Krisya Norsabrina memandang kawan-kawannya yang lain. Semuanya kelihatan tekun menjawab. Mereka semua dapat jawab ke? Entah-entah mereka pun tak dapat jawab. Sengaja pura-pura dapat jawab. Krisya Norsabrina menyedapkan hatinya sendiri.

“Soalan ni macam aku pernah baca tapi kenapa aku tak ingat? Betullah aku ada baca bab ni. Kenapalah masa ni baru kau nak nyanyuk? Tolonglah ingat,” Krisya Norsabrina mengetuk-ngetuk kepalanya dengan harapan apa yang dibacanya semalam muncul di ingatannya. “Jawab soalan lain dululah.”

Kertas soalan diselak ke muka surat kedua. Soalan ni lagi susah! Muka surat ketiga pula diselak. Soalan ni pun aku tak tahu jawapannya. Muka surat seterusnya diselak lagi dan hingga ke muka surat terakhir. Aduh, apa aku nak buat ni! Habislah aku macam ni.

“Kenapa aku tengok kau resah gelisah saja masa kertas Sejarah tadi?” tanya Karina Jasmin apabila mereka berhenti rehat untuk kertas waktu petang nanti.

“Aku tak dapat jawablah kertas Sejarah tadi. Semua yang aku baca semalam aku tak ingat,” cerita Krisya Norsabrina.

“Satu apa pun?”

Krisya Norsabrina mengangguk.

“Parah tu. Kau baca ke tak?”

“Aku baca. Siap buat peta minda lagi kau tahu.”

“Wah. bersemangat betul.”

“Mestilah. Aku kan dah janji dengan ayah aku untuk dapat sekurang-kurangnya lima A.”

“Ala…rilekslah. Petang ni kan ada satu lagi subjek. Kau buatlah betul-betul.”

“Habis tadi kau ingat aku jawab main-main ke?” Krisya Norsabrina mengeluh. “Habislah aku. Mesti aku tak dapat A untuk Sejarah. Matematik Tambahan sah-sah aku takkan dapat A. Tolak Fizik, Kimia lagi … berapalah sangat A aku? Mungkin bahasa Melayu adalah harapan nak dapat A.”

“Kau ni kita kan baru saja habis satu subjek kau dah menggelabah,” balas Karina Jasmin. Dia tidak mahu Krisya Norsabrina mengalah sebelum berjuang. Masih ada lapan subjek lagi yang perlu mereka hadapi.

“Macam mana aku tak menggelabah? Aku rasa macam mustahil saja aku nak dapat lima A. Mungkin aku patut bersedia untuk berpisah dengan broadband aku,” keluh Krisya Norsabrina.


**********


Petang itu, balik saja dari sekolah Krisya Norsabrina terus membuka buku teks Sejarah yang diletakkan di atas meja semalam. Kertas soalan turut dikeluarkan dari dalam beg. Kemudian, dia terus menyemak jawapan di dalam buku teks.

“Hah, inilah yang aku baca semalam! Ala…salahlah pula. Kenapalah aku jawab lain,” Krisya Norsabrina mula membuat kesimpulan yang dia takkan dapat A untuk Sejarah memandangkan jawapannya banyak yang bercanggah dengan jawapan dalam buku teks. Habislah A pertama aku.

Buku teks Sejarah ditutup. Baik aku ulangkaji untuk subjek Matematik esok. Kali ini aku mesti dapat A. Krisya Norsabrina menanamkan semangat belajarnya kembali. Buku latihan Matematik dicapai lantas dia segera membuat latihan.

“Rina, tak makan ke?” ibunya, Puan Nadhira menjenguk di biliknya. Sejak pulang sekolah tadi, Krisya Norsabrina langsung tidak keluar dari bilik. Sangkanya, Krisya Norsabrina dengan rutinnya melayari internet namun dia sedikit terkejut apabila melihat Krisya Norsabrina sedang khusyuk menelaah di meja belajar.

“Kejap lagilah, ma,” balas Krisya Norsabrina sambil mata dan tangannya tetap tekun menjawab soalan latihan Matematik di bukunya.

“Hai, takkanlah belajar sampai tak ingat makan?” Puan Nadhira berasa pelik dengan perubahan anaknya yang dirasakan agak mendadak itu. Kebiasaannya, Krisya Norsabrina tidak pernah lupa mengisi perut setiap kali selepas pulang sekolah. “Mama masak lauk kegemaran Rina hari ni.”

“Kejap lagi. Sikit saja lagi ni.”

“Kalau macam tu, tak apalah. Tapi Rina jangan lupa makan tahu. Kalau tak ada tenaga, macam mana nak belajar?”

“Ya. Kejap lagi Rina makan.”

Puan Nadhira menutup pintu bilik itu.

Tiada ulasan: