Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 1

Tangannya pantas mencari frekuensi siaran radio kegemarannya sebaik-baik sahaja dia melabuhkan punggung di dalam perut kereta Wira bernombor plat CAW9922 itu. Seketika kemudian kedengaran suara ceria si juruhebah yang bertugas pada pagi itu.

“Hiburan bergerak terus dengan rangkaian lagu-lagu popular yang telah disusun bagi menceriakan pagi anda. Sebentar sahaja lagi, anda akan dihiburkan oleh diva popular kita siapa lagi kalau bukan Datuk Siti Nurhaliza dengan lagunya Wanita. Tapi sebelum itu, kita dengarkan dulu Hujan dengan lagu yang telah melonjakkan nama mereka, Pagi Yang Gelap. Mudah-mudahan pagi ini akan terus cerah hingga ke petang ya. Teruskan bersama kami hanya di Hot fm, lebih hangat daripada biasa.”

Lebih tua dariku
Harap sabar menunggu
Kepulanganmu…


Belumpun sempat rangkap pertama lagu itu habis dinyanyikan, siaran telah beralih ke radio lain.

“Ala…Abah ni. Orang baru saja nak layan lagu tu,” rungut Krisya Norsabrina, anak gadis Encik Khalid yang duduk di sebelahnya yang sedang memandu. Pagi-pagi macam ni dengar lagu Hujan barulah ada semangat nak pergi sekolah. Abah pula potong stim.

“Tak sedaplah lagu tu,” balas Encik Khalid. Mungkin bukan jiwanya mendengar lagu-lagu sebegitu. Kebanyakan lagu-lagu sekarang kedengaran bingit di halwa telinganya. Dia sendiri tidak faham citarasa muzik anak-anak muda zaman sekarang.

“Lagu macam inilah baru sedap didengar,” Encik Khalid kelihatan terbuai dengan kemerduan lagu irama tradisional yang berkumandang di ruang udara Radio Malaysia Pahang.

“Ala… bah, zaman sekarang orang dah tak main dahlah lagu-lagu macam ni. Sekarang orang layan lagu Hujan, Bittersweet, Couple, Meet Uncle Hussain, Estranged, Bunkface, Missing Chapter, FVT…,” Krisya Norsabrina menyebut nama beberapa kumpulan muzik yang sedang popular di Malaysia pada ketika ini.

“Siapa tu?” Encik Khalid berkerut mendengar nama-nama itu. Satu pun dia tidak kenal. Sudahlah kesemuanya menggunakan nama Inggeris kecuali Hujan.

“Abah ni tak ikut perkembangan zaman betullah. Kalau abah nak tahu, band-band ni tengah panas di Malaysia sekarang tahu.”

Sebelum kemunculan drama bersiri Kami di 8TV, nama-nama ini seakan asing di telinga pendengar muzik tempatan. Jika ditanya, pasti ramai yang menggelengkan kepala tanda tidak mengenali nama-nama ini melainkan peminat muzik underground ataupun kaki gig.

Namun apabila drama bersiri itu berjaya memikat hati penonton, nama-nama ini juga mula mendapat perhatian pendengar muzik tempatan. Populariti band-band indie ini turut melonjak naik. Pendengar tempatan mula menyedari kewujudan band-band indie ini walaupun pada hakikatnya band-band ini sudah bertahun bertapak dalam industri.

Ekoran siri itu juga, pendengar tempatan mula menghargai kehebatan karya-karya tempatan. Tidak keterlaluan jika dikatakan drama bersiri itu banyak membantu mempromosikan dan memberi publisiti kepada band-band indie ini yang sekaligus mencetuskan fenomena di kalangan penggemar muzik tanahair.

Begitu jugalah dengan Krisya Norsabrina. Daripada mendengar aliran muzik band seberang, dia kini beralih ke aliran muzik band indie tempatan. Daripada tergila-gilakan Sheila on 7, dia kini menggilai Hujan.

Pertama kali dia mendengar nama Hujan adalah di internet. Ketika itu dia melihat profil Hujan di top friend My Space seorang kenalannya. Dari kenalannya itu, dia mula mengenali Hujan. Hujan adalah sebuah band indie yang dianggotai oleh empat orang anak muda berusia sekitar 21 hingga 28 tahun yang mengetengahkan konsep muzik alternatif rock.

Kali pertama mendengar lagu Hujan iaitu Ludah Amerika, hatinya sudah tertarik apatah lagi apabila mendengar lagu-lagu Hujan yang lainnya seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Gundah, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan lain-lain. Ternyata lagu Hujan mempunyai karekter dan identiti tersendiri selain liriknya yang mudah difahami.

Selain itu juga, keramahan dan kemesraan anggota Hujan terutamanya Noh (vokalis) dan Am (drummer) yang rajin melayani setiap pertanyaannya di My Space juga membuatkan hatinya semakin terpaut kepada band itu. Layanan mereka membuatkannya berasa dekat dengan ahli kumpulan itu.

Tapi itu dululah sebelum nama Hujan dikenali ramai. Sekarang, mereka pun sudah jarang-jarang membalas mesej Krisya di internet. Ada kalanya pertanyaannya langsung tidak dijawab. Sibuk sangatlah tu agaknya. Orang sudah popularlah katakan.

“Inilah sikap anak-anak muda zaman sekarang. Muzik luar kamu agung-agungkan tapi nilai seni budaya sendiri kamu lupa,” Encik Khalid seolah-olah kecewa dengan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang seolah-olah meminggirkan khazanah budaya sendiri.

“Band-band ni artis Malaysialah, bah.”

“Artis Malaysia ke? Tapi kenapa namanya macam nama orang putih?”

“Itulah trend namanya. Nanti kalau mereka nak masuk pasaran luar, tak adalah susah orang putih tu nak sebut nama mereka.”

“Pandailah kamu.”

Krisya Norsabrina cuma tersengih. Dia sendiri mengakui kebanyakan band di Malaysia lebih suka menggunakan nama Inggeris. Tak macam band Indonesia yang lebih bersifat kemelayuan seperti Air, Coklat, Dewa, Gigi, Padi, Ungu dan Ratu. Sebab itulah dia lebih menggemari Hujan berbanding kumpulan muzik yang lain.

Nama band nama Melayu. Lagu-lagunya berbahasa Melayu. Orangnya pun berbangsa Melayu. Jadi, terasa lebih dekat di hati…

“Kamu fikir mampu ke mereka tu nak bersaing dengan artis luar tu? Kalau setakat lagu rock ataupun hip hop, di luar sana pun boleh dapat sebab asal lagu-lagu sebegitu memang dari luar. Tapi lagu-lagu tradisional ni cuma dapat dengar eksklusif di Malaysia saja tahu. Inilah akar umbi muzik kita. Muzik macam inilah yang seharusnya kita ketengahkan,” ujar Encik Khalid namun kata-katanya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi kerana Krisya Norsabrina sedikit pun tidak berminat mendengar ceramah pagi ayahnya itu.

Tiap-tiap hari dia terpaksa menadah telinga mendengar lagu-lagu yang bukan sahaja judulnya yang dia tidak tahu bahkan nama penyanyinya pun entah siapa-siapa. Entah zaman bila punya lagu. Zaman Abah muda-mudalah tu agaknya sebab itu Abah minat sangat.

Krisya Norsabrina memandang ayahnya yang sedang memandu di sebelah. Senyum-senyum. Ingat kisah lamalah tu. Ish… tak best langsunglah lagu ni! Bosan! Ah, bilalah nak sampai sekolah ni?! Kenapa aku rasa macam lambat saja nak sampai sekolah pagi ni? Getus Krisya Norsabrina di dalam hati.

2 ulasan:

Orkid Edyliyne berkata...

rasa macam dah pernah baca somewhere I don't remember...
but...
ok...
keep up...
=)

bidadari cinta berkata...

so nice..x sbr nak tau heronya..!
sape erk??