Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Februari 18, 2009

Cinta Yang Aku Mahu 32

“Kita nak pergi mana ni, Syel?” soal Eisya sebaik-baik sahaja dia masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh Syella.

Seperti biasa, Eisya cuma berseluar mekanik dan berbaju T. Di mana-mana pun, cara pakaiannya memang tidak pernah berubah kecuali kalau ada majlis kahwin, kenduri doa selamat ataupun majlis-majlis yang memerlukannya berpakaian formal. Kalau majlis formal pun, dia takkan mengenakan blouse ataupun pakaian yang terlalu feminin. Dia lebih senang berbaju kurung sahaja. Ringkas dan selesa. Tak payah pening-pening kepala fikir baju apa yang hendak dipakai.

Jadi, kalau nak tengok Eisya berpakaian lain dari hari biasa, jumpalah dia di majlis kahwin ataupun kenduri doa selamat ya. Itu pun kalau dia datanglah kerana Eisya memang malas nak pergi kenduri-kenduri ni sebab sudah tentulah dia perlu memakai baju kurung.

Walaupun ramai yang menegur tentang caranya berpakaian termasuk ibu bapanya sendiri, Eisya tidak pernah ambil peduli.

“Jadi ke keluar?” soal ibunya tatkala Eisya mendapatkannya di dapur pagi tadi.

“Nak keluarlah ni,” ujar Eisya.

“Pakai macam ni?”

“Kenapa?” Eisya membelek pakaiannya.

“Pakailah elok-elok sikit, Sya. Kamu tu dah jadi pelajar universiti. Takkan nak jadi selekeh macam ni lagi?” tegur si ibu. Kalau dulu Eisya berpakaian sebegitu dia tidak kisah sangat tapi lepas masuk universiti pun cara berpakaiannya masih tetap sama, dia rasa dia perlu menegur.

“Tak elok ke pakai macam ni?”

“Memanglah tak elok. Kamu tu kan pompuan tapi pakaian macam lelaki.”

“Habis, takkan orang nak pakai baju kurung?”

“Siapa pulak yang suruh kamu pakai baju kurung? Kan banyak lagi fesyen-fesyen pakaian orang pompuan sekarang. Cuba kamu tengok kawan-kawan kamu yang lain. Ada ke yang pakai macam kamu ni? Mak ingat kamu belajar kat universiti tu adalah jugak perubahannya. Ini tidak. Sama aja. Tak berubah,” si ibu sudah mula bersyarah tentang fesyen pakaian di universiti.

“Ala…mak, orang tak minatlah. Feminin sangat.”

“Habis, kamu bukan feminin? Bukan orang pompuan? Mak suka tengok kawan kamu tu. Siapa? Syella? Mak suka cara dia berpakaian. Nampak cantik dan feminin. Cuba kamu belajar daripada dia.”

“Syella tu dah memang cantik, mak. Pakai apa pun orang kata cantik.”

“Habis anak mak ni tak cantik ke?”

Eisya tersenyum tawar. Mak ni sudah terang lagi bersuluh.

“Pada mak, anak mak tetap cantik. Cuma anak mak ni malu sangat nak tunjuk kecantikan dia kat orang.”

Eisya tersenyum sendiri apabila mengingati perbualannya dengan ibunya pagi tadi. Mak sorang saja yang kata anak mak ni cantik.

“Kita pergi East Coast Mall nak?”

Eisya mula tersedar akan kehadiran Syella di sebelahnya. Syella memang banyak kelebihan jika dibandingkan dengan dirinya. Selain cantik dan ramai peminat, Syella juga boleh dikira bertuah kerana sudah mempunyai lesen memandu ketika usianya mencecah 18 tahun dan memiliki kereta sendiri tapi sudah tentulah ibu bapanya yang menaja. Dia pulak jangan kata kereta, lesen pun dia tak ada!

“East Coast Mall? Kat mana tu?” Eisya tercengang. Setahunya, bandar palma itu cuma ada Megamall, Kuantan Parade dan Kuantan Plaza.

“Kat bandarlah. Baru aja bukak. Nampak sangat kau ni jarang-jarang keluar rumah. Ada mall baru bukak pun kau tak tahu.”

“Ya ke?”

“Nak pergi tak?”

“Boleh ja. Tak kisah.”

“Kau dah makan belum? Kalau belum, kita pergi makan dulu.”

“Aku dah makan kat rumah tadi,” jawab Eisya.

Ibunya seakan-akan memahami keinginannya memakan masakan rumah. Awal-awal pagi lagi, dia sudah dihidangkan dengan nasi lemak air tangan ibunya. Ibunya memang pakar memasak. Masak apa pun tetap sedap. Tapi tak tahulah kenapa kebolehan ibunya itu tidak diperturunkan kepadanya. Mungkin dia sendiri yang malas hendak masuk ke dapur lantaran ibunya juga tidak pernah memaksa.

Namun dia tahu dia tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada kerja-kerja dapur. Dia tahu memasak adalah satu kemestian bagi perempuan yang bergelar isteri. Takkan hari-hari nak makan kat kedai kan? Tak mustahil suami boleh cari yang lain gara-gara isteri tidak pandai memasak. Memang dia tahu hakikat itu tetapi dia belum bersedia.

Tambahan pula, kakaknya yang sulung juga tidak pandai memasak walaupun sudah menjadi isteri orang. Nasib baik abang iparnya pandai memasak. Jadi, berasap jugalah dapur rumah mereka. Kalau kakak dan abang iparnya pulang ke kampung, abang iparnya itulah yang mengambil alih tugas ibu mereka di dapur. Dapat jugalah mereka sekeluarga merasa Nasi Goreng Kampung, Nasi Paprik ataupun Tomyam Campur di rumah sendiri.

Mungkin sebab adik-beradik abang iparnya kesemuanya lelaki maka merekalah yang bertanggungjawab membantu ibu mereka di dapur dan mungkin dari situ minat abang iparnya terhadap bidang masakan bercambah. Abang iparnya memang mempunyai impian nak buka restoran sendiri suatu hari nanti dan sekarang dia sedang giat mengumpul wang.

Kan bagus kalau aku dapat suami yang pandai masak macam Abang Naz. Agak-agak ada lagi tak lelaki macam Abang Naz? Hehe …

“Sya!”

Eisya tersentak dek panggilan Syella.

“Kau tak nak turun ke?”

Eisya memandang sekeliling. Dah sampai rupanya. Pantas dia menanggalkan tali pinggang dan mengekor langkah Syella.

“Dari tadi asyik mengelamun aja. Takkan baru dua hari tak jumpa, kau dah rindu kat dia?” Syella dan Eisya beriringan melangkah ke dalam pusat beli-belah itu.

“Siapa?” soal Eisya tidak mengerti.

“Siapa lagi? Irwanlah.”

“Ceh … tak kuasa aku nak rindu kat dia!” jerit Eisya di dalam hati.


**********


Eisya memerhatikan gelagat Syella. Dari tadi temannya itu hanya membelek-belek pakaian yang terdapat di butik itu. Sudah hampir kesemua kedai baju di East Coast Mall itu mereka singgahi namun tiada satu baju pun yang dibeli oleh Syella.

Itulah salah satu sebab Eisya tidak suka menemani Syella membeli-belah. Mesti berzaman. Pulak tu kalau dia beli tak apalah jugak. Ini tidak. Ada kalanya Syella langsung tidak membeli apa-apa setelah satu hari suntuk mereka berjalan.

“Tak menariklah,” Syella memulangkan semula baju yang dicubanya tadi kepada pekerja di situ.

Eisya perasan akan perubahan air muka pekerja di butik itu. Mesti mereka geram dengan sikap Syella. Hampir sepuluh helai baju yang dicubanya namun akhirnya dia kata baju di situ tidak menarik.

“Syel, kau ni tak patutlah,” ujar Eisya sejurus mereka sudah jauh dari butik tadi.

“Kenapa?” tanya Syella tanpa rasa bersalah.

“Dalam banyak-banyak baju yang kau cuba tadi, takkan tak ada satu pun yang kau berkenan?”

“Erm…” Syella berfikir sejenak. “Tak ada.”

“Habis kau dok cuba cuba tadi?”

“Cuba aja. Tak semestinya aku nak beli.”

“Boleh pulak macam tu?”

“Kenapa pulak tak boleh?”

“Yalah, kalau kau memang tak nak beli tak payahlah cuba. Kesian akak tu tadi tau.”

“Ala…biarlah. Dah memang kerja dia kan?”

“Tapi kau tak patut …”

Syella memberi isyarat supaya Eisya diam apabila telefon bimbitnya berbunyi. Syella tersenyum melihat nama si pemanggil lantas segera menjawabnya.

“Hello, sayang …” lembut Syella menutur bicara.

Sayang? Eisya menelan air liur mendengar panggilan sayang Syella kepada orang di hujung talian sana. Siapa agaknya orang tu? Danish ke? Betul ke dia orang dah serius?

“I kat mall ni. Shopping. Dengan Eisya.”

Eisya pura-pura tidak mendengar perbualan Syella namun telinganya jelas menangkap butir bicara Syella. Sah, Danish yang telefon! Kalau tak, takkanlah Syella sebut nama aku. Ish … kenapa pulak aku nak ambil kisah? Lantak dialah nak sayang dengan siapa pun!

“Siapa?” Eisya cuba berlagak biasa. Dia tidak mahu Syella mengesyaki apa-apa namun gerak hatinya kuat mengatakan Danish yang menelefon Syella sebentar tadi.

Syella cuma tersenyum. Pertanyaan Eisya tidak dijawab.

“Sya, kita pergi makan ya? Dah tengah hari dah ni.”

“Tengah hari apa? Dah pukul 3 dah pun.”

“Ala…kita kan tak makan tengah hari lagi so kira makan tengah harilah. Kita makan KFC ya?”

“Ikutlah.”

KFC? Mahallah!

Tiada ulasan: