Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Januari 05, 2009

AsyrAfia 13

Adi membuka sedikit pintu pejabat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu. Mengintai suasana di dalam. Keadaan pejabat fakulti kelihatan lengang. Tiada seorang pun kakitangan pejabat yang kelihatan.

Petang-petang begitu memang selalu pekerja di pejabat fakulti menghilang. Curi tulanglah tu. Ada kalanya sikap mereka yang macam biskut Chipmore itu menyusahkan para pelajar yang mahu berurusan.

“Macam mana, Di?” Afia, Julia dan Rizal menanti arahan Adi sebelum masuk ke dalam pejabat fakulti. Macam penyamun aja lagak mereka.

Memandangkan bilik suntingan terletak di dalam pejabat fakulti, jadi mereka perlu melalui pejabat fakulti untuk ke bilik suntingan. Mujur bilik suntingan itu dibuka sepanjang masa bagi memudahkan para pelajar melakukan kerja-kerja penyuntingan pada bila-bila masa mereka mempunyai waktu terluang.

“Line clear. Jom!”

Afia, Julia dan Rizal membuntuti Adi ke dalam pejabat fakulti.

“Cepat!”

“Haa… kau orang nak buat apa ni?” sergah suara itu.

Mereka tersentak. Pantas bungkusan di tangan disorok ke belakang badan.

“Nak buat editinglah,” jawab Adi selamba mewakili yang lain. Takkan datang sini nak tengok wayang kut?

“Tulis nama,” pembantu teknikal di situ, Rahman menghulur sebuah buku kepada Adi. Buku yang mengandungi rekod penggunaan bilik suntingan.

Adi menyambutnya lantas mengisi maklumat yang diperlukan. Nama pelajar, nombor kad matrik, semester berapa dan tujuan menggunakan bilik suntingan.

Nak buat apa lagi? Buat editinglah. Rungut Adi di dalam hati. Selesai menulis, Adi menyerahkan kembali buku rekod itu kepada Rahman.

Walaupun bergelar pembantu, namun sikap Rahman langsung tidak membantu. Kerjanya hanya sekadar tercongok di hadapan komputer sambil tersengih seorang diri. Sikapnya yang berlagak bagus juga tidak disenangi oleh para pelajar.

“Jangan bawak masuk makanan ya,” pesan Rahman namun amarannya itu hanya umpama angin lalu di telinga mereka berempat. Mereka bergegas ke bilik suntingan sebelum Rahman membebel dengan lebih panjang.

“Tutup pintu,” ujar Adi.

“Jangan bawak masuk makanan ya,” Julia mengajuk kata-kata Rahman sebentar tadi sebaik-baik sahaja mereka selamat menapak di bilik suntingan. “Dah terbawak dah pun.”

“So, apa tunggu lagi? Kita makan dulu!” Rizal mengeluarkan kuey tiow yang dipesannya tadi dari dalam beg kertas yang diberikan oleh Sukry di kafeteria tadi.

“Nasib baik ada Sukry,” Julia sengaja menaikkan saham Sukry di mata Afia.

Afia tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya namun dia cuma buat bodoh. Lagi dilayan nanti, makin menjadi-jadi pulak. Tangannya pantas menghidupkan salah satu komputer yang ada di situ.

“Di, mana videocam tu?” tanya Afia.

“Dalam beg tu,” balas Adi sambil mulutnya mengunyah mi goreng bersama Rizal.

Afia mengambil kamera video dari dalam beg yang dikatakan oleh Adi. Kemudian, disambungkan ke komputer yang telah dihidupkan tadi dengan menggunakan kabel.

Sebelum menjalankan kerja-kerja suntingan, data-data di dalam kamera video itu perlu dipindahkan ke dalam komputer. Sementara menunggu data-data itu dipindahkan, Afia menghidupkan komputer di meja sebelah. Ada enam buah komputer di situ.

“Dah kenyang ni, malaslah pulak nak buat kerja,” Rizal sendawa kekenyangan.

“Tak senonohlah kau ni,” tegur Julia.

Rizal cuma tersengih.

“Ada internet ke, Afia?” Julia berpindah ke sebelah Afia.

“Tak ada,” Afia mengeluh hampa. Kalau ada internet, boleh jugak check emel or buat benda lain sementara nak tunggu video ni transfer ke komputer.

“Kedekut betullah dia orang ni. Tempat dia orang ada pulak internetnya,” marah Julia.

“Mana kau tahu?”

“Ala… kalau dah sibuk menaip depan PC sambil sengih sorang diri tak ada lain. Mesti chattinglah tu,” ujar Julia. Selalu sangat dia nampak pekerja-pekerja di pejabat fakulti itu chatting terutamanya si Rahman tu. Chatting dengan aweklah tu.

“Dah siap transfer ni,” Afia mengubah topik. Malas dia nak mengumpat pasal orang. Buat menambah dosa aja. Dahlah amalan tak cukup.

“Jom tengok hasil kerja kita,” Adi mengambil alih tugas di hadapan komputer. “Mana storyboard hari tu?”

“Laa… bukan kau bawak ke?” tanya Julia.

“Kan aku dah pesan kat kau orang suruh bawak,” balas Adi.

“Ada ke?”

“Adalah.”

“So nampak gayanya terpaksalah salah seorang daripada kita pergi ambil kat kolej.”
Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Malaslah. Penat naik tangga tingkat lima,” rungut Afia.

“Kau oranglah pergi. Blok kau orang kan dekat aja,” ujar Julia kepada Adi dan Rizal.

“Riz, kau pergi,” pinta Adi.

“Habis, kau?” Seperti Afia, Rizal juga malas hendak naik tingkat empat blok asramanya. Baru turun takkan nak naik balik?

“Aku nak buat benda alah ni,” ujar Adi memberi alasan. Tapi antara mereka berempat, memang Adi yang paling terrer dalam bab-bab mengedit video ni.

Rizal terpaksa akur.

“Jomlah teman aku sorang.”

“Itu pun nak berteman ke?” Julia mencelah. Takut apa entah? Hantu? Siang-siang macam ni mana ada hantu!

“Ala… jomlah. Ju…” Rizal merengek persis anak kecil.

“Ish…” Julia mengalah. “Afia, kau tunggu dengan Adi,” ujarnya kemudian menghilang bersama Rizal. “Jom.”

Suasana di bilik suntingan sunyi sepi selepas Julia dan Rizal berlalu ke asrama untuk mengambil storyboard mereka. Tanpa storyboard itu, mereka tidak dapat memulakan kerja-kerja penyuntingan memandangkan panduan penyuntingan video itu adalah berdasarkan storyboard yang sudah dibuat sebulan yang lalu.

Tugasan itu sedikit sebanyak memberikan gambaran dan pengalaman kepada mereka berkenaan kerja-kerja dalam bidang penyiaran. Terdapat tiga peringkat produksi yang perlu dilalui sebelum sesuatu program dapat disiarkan kepada penonton.

Peringkat pertama iaitu peringkat yang paling penting adalah peringkat pra-produksi ataupun preproduction. Pada peringkat ini, idea asas, objektif dan haluan sesebuah program akan dikenalpasti. Bagi memastikan sesuatu program itu sukses, keperluan, minat dan latar belakang umum penonton sasaran harus dikaji terlebih dahulu. Kemudian, barulah skrip akan dihasilkan dan seterusnya pemilihan talent dan production team.

Selepas itu, peringkat production iaitu proses yang menggabungkan kesemua elemen dalam bentuk produk akhir. Dalam bahasa mudah disebut penggambaran. Penggambaran boleh dijalankan samada dalam bentuk rakaman ataupun siaran langsung. Siaran berbentuk rakaman memberi kelebihan kerana jika timbul sebarang masalah, penggambaran boleh diberhentikan dan dishoot semula ataupun membuat penambahan dan perubahan ketika proses penyuntingan.

Peringkat ketiga yang merupakan peringkat akhir adalah postproduction ataupun pascaproduksi. Postproduction sering dikaitkan dengan penyuntingan namun sebenarnya semua kerja dan tugas selepas production adalah termasuk dalam postproduction. Namun begitu, suntingan merupakan fokus utama dalam kreativiti sesebuah produksi.

Pada peringkat inilah, kelemahan-kelemahan dan kekurangan ketika proses penggambaran ditutup dengan menambah teknik kesan khas, grafik, dubbing, voice over, muzik dan bunyi. Proses suntingan diibaratkan seperti memberi nyawa kepada sesuatu produk.

Afia dan Adi masing-masing diam dan menumpukan perhatian kepada video hasil kerja mereka yang ditayangkan di skrin komputer. Sesekali mereka tergelak sendiri apabila ada adegan yang mencuit hati.

“Kelakarlah dia orang ni. Entah apa cerita dia orang sekarang ya,” ujar Adi.

“Dia orang dah keluar single ketiga kan?” balas Afia.

“Ya ke? Lagu Hantu tu?”

“Yup!”

“Mana kau tahu?”

“Dengar radiolah. Era pun dah main lagu tu,” cerita Afia. Takkan aku nak cakap aku selalu contact Noh kat My Space pulak kan?

“Aku jarang-jarang dengar radio,” ujar Adi sambil tangannya lincah menekan tetikus menyunting video yang dirakamkan oleh mereka bagi projek akhir Broadcast Production. Kerja-kerja teknikal macam tu serah saja pada Adi. Dia memang pakar dalam bab-bab video editing ni.

“Eee… mana dia orang ni? Pergi ambil storyboard ke buat storyboard?” Afia melihat jam di skrin komputer. Dah nak dekat satu jam Julia dan Rizal menghilang. Nak bagi alasan jalan sesak, mengarutlah tu! Dia orang kan jalan kaki aja. Lagipun bukannya jauh mana pun asrama tu. Patutnya setengah jam tadi dah mereka dah balik sini balik.

“Dia orang singgah mana-manalah tu agaknya. Yang kau resah gelisah semacam ni pasal apa?”

“Tak adalah. Aku biasa aja,” bohong Afia padahal bila dia dengar Rizal ajak Julia teman tadi pun dia sudah tidak senang duduk. Hati kecilnya berdoa mudah-mudahan Julia tak nak ikut Rizal. Sayangnya, doanya tidak dimakbulkan.

“Eleh… kau ingat kau pandai berlakon ke?”

Afia menarik muka. Nampak sangat ke?

“Aku tahu apa yang ada dalam kepala otak kau tu.”

“Apa?”

“Kau takut kita kena tangkap basah kan?”

“Tahu tak apa.”

“Ala… rilekslah. Nak takut apa? Kan ada Rahman kat bilik sebelah,” tenang aja Adi menutur kata.

“Yalah tapi dia kat bilik sebelah,” Afia masih bimbang. Itu kat bilik sebelah. Masalahnya aku dengan Adi dalam bilik ni. Berdua aja! Tak ke akan mendatangkan syakwasangka pada orang lain?

“Kau ni pun. Kita ni kan kawan. Macamlah aku nak buat apa-apa pada kau. Yang penting kita berdua tahu yang kita tak buat apa-apa kan?”

“Kau ingat orang yang kena tangkap basah tu semuanya ada buat apa-apa ke? Kadang-kadang dia orang tak buat apa-apa pun orang cakap dia orang buat sebab bila lelaki dan perempuan berdua-duaan, mesti orang akan fikir benda yang tak elok punyalah.”

“Kau ni kan Afia, suka fikir yang bukan-bukanlah. Tak ada siapalah yang nak buat aduan pasal kita.”

“Harap-haraplah,” doa Afia. Manalah tahu ada orang dengki ke. Masyarakat sekarang bukan kira pun. Kalau kita tak kacau hidup dia orang pun, tak semestinya dia orang tak kacau hidup kita. Pantang tengok orang lain lebih sikit, ada aja benda yang dia tak puas hati.

“Fuh, letihnya…”

Afia dan Adi memandang ke pintu sejurus terdengar suara Julia.

“Hah, balik pun kau orang! Kau orang pergi mana haa?” soal Afia sebaik-baik sahaja terlihat Julia dan Rizal.

“Pergi ambil benda alah nilah. Kan dah cakap tadi,” Rizal meletakkan mounting board yang digunakan untuk membuat storyboard projek mereka di atas meja. Kemudian dia melabuhkan punggung ke kerusi bagi melepaskan lelah.

“Ambil benda ni pun berzaman ke?”

“Ambil benda ni memanglah tak lama tapi ada orang tu tetiba aja mengadu sakit perut tadi. Tu yang berzaman tu,” celah Julia seraya menjeling Rizal.

Rizal cuma tersengih.

“Tulah makan tak ingat perut,” bebel Julia. Badan kurus kering tapi selera makan mak aih mengalahkan selera ibu mengandung yang makan untuk dua orang. Tapi badan masih kering macam tu jugak. “Tu pun ada hati lagi nak makan pisang goreng lagi tadi.”

“Dah buang, laparlah balik,” ujar Rizal membela diri.

“Hish… Dahlah tu. Mana storyboard tadi? Tak siap pulak kerja kita nanti,” Adi menyampuk. Pasal makan pun nak kecoh. Kerja yang tak siap lagi ni tak nak pulak kecoh.

“Dah sampai mana dah kau orang buat?” Julia mengambil tempat di sebelah Afia.

“Nak buat apanya? Tunggu storyboardnya pun berzaman. Nak siap hari ni memang tak dapatlah,” ujar Adi.

“Tapi tak banyak kan yang nak kena edit?” tanya Rizal pulak.

Jika hendak dibandingkan dengan tugasan kumpulan lain, tugasan mereka boleh dikira agak mudah juga. Mereka tidak perlu menyamakan lips sing seperti dalam pembikinan klip video ataupun menambah kesan khas berlebih-lebihan seperti dalam pembikinan rancangan kanak-kanak ataupun membuat dubbing suara seperti rancangan berbentuk dokumentari.

“Kalau kau orang nak yang simple aja, tak payahlah edit banyak-banyak.”

“Ala… tak naklah simple sangat. Buatlah effect sikit ke, music background,” celah Afia. Takkan nak buat simple simple aja? Tak bestlah!

“Yalah, Di. Kau buatlah macam rancangan kat 8tv tu. Funky funky. Tengok pun tak boring,” Julia menyokong idea Afia.

“Amboi, senangnya kau orang buat permintaan. Ingat aku ni apa?”

“Ala… Di, kita orang kan tak pandai sangat bab-bab editing ni so kita orang bagi cadangan ajalah ya,” balas Julia.

“Kalau tak tahu, belajarlah. Bukan susah sangat pun.”

“Lecehlah masa ni baru nak belajar. Sambil kau buat editing tu, kita orang tengoklah.”

“Alasan! Kalau aku buat sorang, alamatnya lambatlah siap.”

“Biar lambat asal selamat,” Julia tersengih.

Adi memandang Julia tajam.

“Ala… Di, kita orang bukannya biar kau buat sorang-sorang,” Afia cuba memancing hati Adi. “Lagipun mesti kau tak nak entertainment program kita ni hancur kan? Kau sanggup ke tengok hasil kerja kita ni jadi bahan ketawa masa tayangan dalam kelas nanti?”

“Betul cakap Afia tu, Di. Takkan kau nak biarkan si Fendy yang perasan bagus tu gelakkan kita? Mesti kau tak nak kalah dengan dia kan?” Julia turut mengapi-apikan semangat Adi.

Adi diam. Mestilah aku tak nak kalah pada Fendy yang perasan bagus ataupun si Shukur yang gila kuasa tu! Aku takkan biarkan dia orang perkecilkan aku. Adi memandang Afia dan Julia.

“Kau orang sengaja nak psycho aku kan?”

“Laa… ke situ pulak. Cuba kau fikir elok-elok. Ni semua bukan untuk kita orang aja tau tapi untuk kau jugak,” balas Afia. “Ok, katalah kita tak dapat persembahan terbaik pun tapi sekurang-kurangnya janganlah sampai kita dapat persembahan yang paling hampeh. Malu tau!”

“Kau jangan risaulah. Kita orang akan temankan kau buat editing sampai habis, Ni kan hasil titik peluh kita bersama,” ujar Julia pulak.

“Habis, aku?” Rizal yang tadinya hanya mendengar bersuara. Bukan main terrer lagi dia orang ni memujuk Adi.

“Kau jangan nak curi tulang ya! Kau ahli kumpulan ni jugak kan? Lainlah kalau kau nak jadi sleeping partner macam si Noryn tu?” Julia memberi amaran.

“Tak adalah. Ingat tadi kau orang dah lupakan aku.”

“Oh ya, sebut pasal Noryn, dia tahu ke kita dah start editing?” soal Adi selaku ketua kumpulan.

“Entah. Malas aku nak ambil tahu pasal dia,” jawab Julia.

“Aku pun,” sokong Afia.

“Tapi tak apa ke kita buat editing ni tak bagi tahu dia? Nanti dia mengadu pulak kat Cik Syazliana kata kita pulaukan dia,” Rizal meluahkan kebimbangannya.

“Aku rasa Cik Syazliana pun dah tak kuasa nak layan kerenah dia,” ujar Julia.

“Tak payah fikirlah pasal minah tu. Baik kita siapkan kerja ni cepat. Cepat siap, cepatlah kita dapat rest. Tak adalah kena berjaga malam lagi,” Afia masih ingat macam mana kelam-kabutnya mereka menyiapkan storyboard dulu. Sampai kena panjat pagar, tak cukup tidur.

Apabila mengingati perkara itu, mereka jadi serik untuk membuat assignment pada saat-saat akhir. Namun perkara itu seolah-olah sudah menjadi suatu penyakit yang sukar diubati kepada para pelajar yang mana mereka akan tetap menyiapkan assignment pada saat-saat akhir.

Tiada ulasan: