“Oit… apasal monyok aja ni?”
Lamunan Nazili tersentak dek sapaan itu. Pemilik suara itu mengambil tempat di sebelah Nazili.
“Ada masalah ke?” soalnya lagi. Muka macam orang mati laki aja.
“Tak adalah,” Nazili melepaskan keluhan kecil.
“Tak ada konon. Yang kau mengeluh tu apa kes?”
Nazili menarik nafas. Semalaman dia tidak dapat tidur gara-gara wajah yang dilihat di perpustakaan petang semalam. Itu pun dikira masalah ke?
“Kau percaya tak kalau aku cakap aku dah jumpa dia?” ujar Nazili setelah membisu seketika. Antara mereka berdua memang sudah tidak ada rahsia. Segala pahit manis masam masin kelat semuanya dikongsi bersama.
“Ya ke? Bila?” Ternyata berita itu mengejutkannya.
“Petang semalam, kat library.”
“Dia tegur kau tak?”
“Actually, aku cuma nampak dia. Tak sempat nak tegur pun,” Nazili agak terkilan apabila mengingati perkara semalam. Kenapalah aku lambat sangat bertindak? Haish!
“Tapi kau pasti ke orang tu dia?”
“Itu aku tak berani nak jamin tapi muka dan cara orang tu memang sejibik macam dia.”
“Kalau betullah orang yang kau nampak kat library semalam tu dia, maknanya dia pun belajar kat UiTM ni jugaklah.”
Takkan pulak pelajar kolej lain nak datang sini semata-mata nak masuk perpustakaan kan?
“Kalau memang betul tu dialah,” Nazili tidak mahu terlalu menaruh harapan. Bimbang hatinya kecewa jika andaiannya itu salah.
“Yalah, kalau …”
“Aku tak dapat bayangkan macam mana kalau aku jumpa dia lagi. Kalau orang yang aku nampak tu memang betul dia macam mana?”
“Kalau betul orang yang kau nampak tu memang dia, baguslah. Bukan ke kau yang nak sangat jumpa dia semula?”
“Memanglah tapi aku takut dia tak ingat aku lagi. Apa aku nak cakap bila jumpa dia? Mana tahu dia dah ada girlfriend lain ke?”
“Sebab tu kau kena jumpa dia. Tanya dia apa yang dah berlaku kat dia selama tiga tahun ni dan kenapa dia tak contact kau.”
Nazili terdiam mendengar kata-kata temannya itu.
Betul jugak cakap Iznul tu. Mungkin dia ada alasan yang tersendiri. Entah-entah dia sakit ke. Dia accident lepas tu koma ke. Mana tahu kan? Ish … apa aku melalut ni? Tapi harap-harap dia ada alasan yang kukuh. Kalau tak, sia-sia aja penantian dan kesetiaan aku selama tiga tahun ni.
***
Petang itu selepas menonton Muzik Muzik di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Azam mengidam nak makan KFC. Terpaksalah Iznul mengikut ragam sepupunya itu.
“Iz, kenapa kau tak ajak si Nazili tu join dengan kita?” tanya Azam sejurus mereka mengambil tempat di sebuah meja selepas membeli makanan di kaunter. Azam memesan Mc’ Nugget manakala Iznul pula memesan Mc’ Chicken.
“Aku dah ajak dah. Dia tak nak. Tak ada mood katanya,” jawab Iznul sambil mengunyah kentang goreng kegemarannya.
“Haa…kau orang gaduh ya? Ala…biasalah pakwe makwe bergaduh. Tapi kau kan lelaki. Kau pujuklah dia. Perempuan ni kan suka lelaki pujuk,” ujar Azam persis kaunselor cinta.
“Apa yang kau melalut ni?” marah Iznul. Pandai-pandai aja buat cerita. Orang dah kata kita orang bukan couple, tak habis-habis lagi nak buat gosip.
“Apasal pulak? Salah ke apa yang aku cakap?” Azam membela diri.
“Seratus peratus salah! Pertama, aku tak gaduh dengan dia. Kedua, buat apa aku nak pujuk dia kalau kita orang tak gaduh? Lagipun Nazili tu bukannya makan pujuk. Dan yang ketiga, dia bukan makwe aku okey?” Iznul berharap Azam mengerti dengan penjelasannya.
“Ala… Iz, takkan dengan aku pun kau nak berahsia? Kau kan dah lama berkawan dengan Nazili tu. Sejak sekolah menengah lagi. Aku tengok Nazili tu memenuhi ciri-ciri seorang perempuan idaman lelaki apa. Baik, lemah lembut, hormat orang tua. Takkanlah kau tak terpikat langsung kat dia? Ataupun…” Azam diam sejenak kemudian menyambung. “…dia yang tak nak kat kau!”
“Kau ni memang pandai buat cerita. Kenapa kau tak ambil course Penerbitan aja? Boleh buat novel!” sindir Iznul.
“Aku cuma bagi pendapat aja.”
“Pendapat apa?”
“Yalah. Kau kan single. Nazili tu pun single. Apa salahnya kalau kau orang ‘gitu-gitu’?” Azam meniru gaya Saiful Apek dalam rancangan Senario.
“Mana kau tahu Nazili tu single?”
“Dia dah berpunya ke?”
“Hee… malas aku nak layan kau,” Iznul bangkit dari kerusi.
“Kau nak pergi mana pulak tu?”
“Aku nak pergi tandas! Nak ikut?” Iznul hampir melanggar satu pasangan apabila dia berpaling secara mengejut.
“Sorry,” ucap Iznul.
“Iznul?” tanya lelaki itu. Iznul memandang lelaki itu. Cuba mengingati siapa lelaki itu.
“Hazami?” Dia mula mengecam lelaki itu.
“Yalah, aku,” Hazami berjabat tangan dengan Iznul.
“Sayang, Iznul ni kawan sekolah menengah I dulu,” ujar Hazami. Hazami memperkenalkan teman wanitanya itu kepada Iznul.
“Oh ya ke? What a small world? Baru aja hari tu I jumpa kawan sekolah rendah I. Sekarang, you pula jumpa kawan sekolah menengah you,” teman wanita Hazami turut gembira dengan perjumpaan itu. Macam jejak kasih pulak.
“Kau macam mana sekarang?” Hazami melihat Iznul dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sudah tiga tahun mereka tidak berjumpa.
“Aku macam nilah,” ujar Iznul.
“Ehem… ehem…” Azam mendengus apabila berasa dirinya tidak dipedulikan. Dia orang ni tak nampak ke aku yang terpacak kat sini?
“Oh ya… Terlupa pulak aku. Ni Azam, sepupu aku,” Iznul memperkenalkan Azam kepada Hazami dan teman wanitanya.
“Hai,” Azam menyapa mesra pasangan itu namun teman wanita Hazami hanya bersikap acuh tak acuh.
Mamat ni lagi. Dahlah kat kolej aku nampak muka dia. Kat luar pun aku kena tengok muka dia jugak? Hish… Tak ada muka lain ke? Menyampah betul aku!
“Azam ni sepupu kau?” tanya Hazami.
“A’ah. Kenapa? Kau orang dah kenal ke?”
“Of courselah kita orang kenal. Azam ni senior kita orang,” terang Hazami.
“Owh… jadi kau orang pun ambil Journalismlah?”
Hazami pun study kat UiTM? Jadi tak mustahillah orang yang Nazili nampak kat perpustakaan hari itu Hazami.
“A’ah. Kau study kat UiTM jugak ke? Ambil course apa?”
“Aku Graphic. Sama dengan Nazili.”
Nazili? Tiba-tiba Hazami teringat akan pemilik nama itu. Seseorang yang ditinggalkannya bersama sebuah janji. Apakah janji itu masih terpahat kukuh ataupun sudah hilang ditelan waktu?
“Err… Sayang, can you excuse us for a minute? Iz, aku nak cakap sikit dengan kau,” ujar Hazami.
“Okey, kita cakap kat sana. Kau orang dah kenalkan? Kau orang boraklah dulu ya,” ujar Iznul kepada Azam dan teman wanita Hazami sebelum dia dan Hazami berlalu ke meja lain.
“Kenapa tercegat aja? Duduklah,” Azam mempelawa teman wanita Hazami duduk.
“Saya lebih suka berdiri,” balasnya selamba. Tak ingin aku nak duduk satu meja dengan kau!
“Dia orang tu dah lama tak jumpa. Saya rasa mesti banyak benda yang dia orang nak sembang. Sanggup ke awak berdiri berjam-jam?” Azam sengaja mengumpan gadis itu. Akhirnya dia dapat duduk satu meja dengan si pujaan hati. Berdua-duaan pulak tu. Bukan senang nak dapat peluang macam ni.
Gadis itu terkedu. Betul juga cakap mamat ni. Kalau banyak benda yang dia orang sembang mesti lama dia orang kat sana. Tapi kenapa dia orang tak cakap kat sini aja?
Akhirnya dengan berat hati, gadis itu melabuhkan punggung ke kerusi di hadapan Azam.
“Nak minum?” soal Azam.
“No, thanks,” gadis itu menolak.
“Kentang goreng?”
Menggeleng.
“Tak nak sudah,” Azam mengunyah kentang gorengnya. Gadis itu mencebik melihat Azam kemudian mengalihkan pandangan ke arah teman lelakinya dan Iznul.
Di meja berhampiran, Iznul dan Hazami bertukar cerita.
“Kau masih contact dengan Nazili? Dia macam mana sekarang?” Hazami bertanya perihal Nazili kepada Iznul. Adakah gadis itu masih ingat kepadanya?
“Dia sihat. Dia masih satu kelas dengan aku sekarang. Mi, pompuan tu girlfriend kau ke?” tanya Iznul.
Hazami serba salah untuk mengakuinya namun akhirnya dia mengangguk.
“Macam mana dengan Nazili? Kau tahu tak dia masih tunggu kau? Iznul mengingatkan Hazami tentang Nazili. Mesti Nazili kecewa kalau dia tahu Hazami dah ada girlfriend lain.
“Dia masih tunggu aku?” Hazami terkejut. Sudah lebih tiga tahun peristiwa itu berlalu. Takkan dia masih menaruh harapan pada aku?
“Yalah. Bukan ke dulu kau yang suruh dia tunggu kau? Macam-macam kau janji dengan dia. Tapi last-last kau couple dengan perempuan lain pulak!” Iznul terkilan kerana Hazami telah melupakan janjinya dulu sedangkan Nazili masih setia menantinya.
“Iz, boleh tak kau tolong aku?”
“Tolong apa?”
“Tolong rahsiakan perkara ni daripada Nazili. Kau anggaplah kau tak pernah jumpa aku hari ni.”
“Kau nak aku tipu Nazili?”
“Iz, tolonglah. Aku janji bila aku dah bersedia nanti, aku sendiri yang akan jumpa dengan dia,” janji Hazami. Dia perlukan masa.
“Betul?”
“Betul.”
Iznul terdiam sejenak.
“Okey, aku boleh tolong kau tapi kau kena ingat janji kau.”
“Ya, aku tahu. Thanks, Iz.”
Teman wanita Hazami mula berasa tidak selesa berdua-duaan dengan Azam lama-lama. Apa yang lama sangat tu? Mi, tolonglah jangan biar aku berdua dengan mamat ni lama-lama. Teman wanita Hazami mengeluh lega apabila melihat Iznul dan Hazami kembali ke arah mereka lantas dia segera memaut lengan Hazami.
“Haa…macam mana? Seronok cerita?” ujar Azam.
“Okeylah, aku pergi dulu. Kalau ada masa nanti, kita borak lagi,” Hazami dan teman wanitanya meminta diri.
“Bye!” Azam sempat melambai ke arah teman wanita Hazami.
“Amboi, lebih-lebih nampak?” Iznul kembali duduk di hadapan Azam. Azam tersengih.
“Benda apa yang kau orang sembangkan tadi? Serius aja aku tengok,” tanya Azam ingin tahu.
“Tak ada apalah. Hal peribadi. Dahlah. Dah petang ni. Jom balik.”
“Bukan kau kata nak pergi tandas tadi?”
“Kat rumah ajalah.”
“Ala, lepaklah dulu.”
“Aku penatlah. Aku nak balik tidur. Kalau kau nak duduk sini, ikut kaulah. Aku nak balik,” Iznul bangkit tanpa menunggu Azam.
“Ish...budak ni,” Azam menyedut minumannya lalu menyaingi langkah Iznul.
***
Malam semakin larut. Namun dia masih berjaga. Entah kenapa matanya sukar hendak lelap.
Kenapa dengan aku ni? Kenapa susah sangat nak tidur ni? Baru pukul dua belas suku.
Telefon bimbit di sebelah bantal dicapai. Pantas jemarinya menaip S.M.S. Mintak-mintak dia tak tidur lagi.
Suara dari telefon bimbit itu mengganggu lenanya. Bunyi apa tu? Oh ya… telefon aku. Siapa pulak yang message aku tengah-tengah malam ni? Nama pengirim dilihat. Nazili?
‘Iz, dah tidur ke?’
Dengan senang hati, Iznul membalas kiriman S.M.S. Nazili itu. Rasa mengantuknya tiba-tiba hilang.
‘Kau tak nampak ke? =p’
‘Kalau aku nampak, tak adalah aku tanya. Kalau kau dah tidur, tak apalah.’
‘Alalala… merajuk pulak. Aku belum tidurlah. Kenapa?’
Iznul berbohong padahal dia baru sahaja terjaga daripada tidur gara-gara message Nazili.
Iznul memang mudah terjaga jika terdengar bunyi telefon ataupun S.M.S. Sebab itu kalau ada orang yang menelefon ataupun mengirim S.M.S. kepadanya pukul tiga, empat pagi sekalipun dia akan segera membalasnya. Jadi, mereka akan ingat Iznul tak tidur lagi padahal S.M.S. mereka itulah yang buat dia terjaga!
‘Aku tak boleh tidurlah.’
Adu Nazili. Pada siapa lagi dia hendak mengadu kalau bukan kepada Iznul, satu-satunya teman rapat yang dipercayainya.
‘Tak boleh tidur? Haa…aku tahu kau rindukan aku kan?’
‘Buat apa aku nak rindu kat kau? Buang masa aja.’
‘Habis tu, kenapa kau message aku malam-malam ni? Tak boleh tunggu esok pagi kat kelas?’
‘Tak boleh sebab aku tak boleh tidur sekarang. Bukannya esok.’
‘So kau sengaja tak nak bagi aku tidur jugaklah?’
‘:D’
‘So, how can I help you?’
‘Kau tahu tak, sejak aku nampak orang yang macam dia tu aku asyik teringat kat dia aja. Macam mana kalau orang yang aku nampak tu memang betul dia?’
‘Kalau betul orang yang kau nampak tu memang dia, maknanya impian kau nak jumpa dengan dia dah dimakbul Tuhan.’
‘Memanglah tapi aku takut dia tak ingat aku lagi. Apa aku nak cakap bila jumpa dia?’
‘Hish… takkanlah? Aku rasa mesti dia ingat kau lagi. Aku pun dia kenal. Takkan kau dia tak kenal.’
‘Dia kenal kau? Kau jumpa dia ke?’
Alamak, terlepas cakaplah pulak! Apa aku nak jawab ni? Jari Iznul terhenti di ‘create new message’.
Mana Iz ni? Kenapa tak jawab? Dah tidur ke? Nazili sudah malas hendak menunggu balasan S.M.S. Iznul. Telefon bimbitnya diletakkan semula di sebelah bantal. Matanya dipejam.
Sementara Iznul masih menyusun ayat bagi membalas S.M.S. Nazili, Nazili akhirnya tertidur juga. S.M.S. Iznul hanya menjengah di telefon bimbit Nazili hanya selepas dua puluh minit berlalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan