Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 3

“Nah,” Eisya menghulur dua keping duit lima puluh kepada Syella.

“Thanks, Sya. Kaulah kawan aku,” Syella berlalu ke biliknya yang terletak di tingkat tiga.

“Kau bagi Syella pinjam duit?” soal Fauziah, teman sebilik Eisya sejurus bayang Syella menghilang.

“Dia ada hal nak pakai duit,” balas Eisya.

“Tapi bukan ke PTPTN Syella tu lebih banyak daripada kau? Kenapa pula dia pinjam daripada kau?” soal Fauziah lagi.

“Kau ni banyak tanyalah, Gee. Bukannya aku bagi terus. Pinjam aja,” Eisya melangkah ke koridor untuk menjemur baju-baju yang baru dibasuhnya tadi di ampaian di hadapan bilikya.

“Memanglah kau tak bagi terus tapi kau tu pun bukannya ada duit sangat kan? PTPTN pun dapat separuh aja. Dahlah adik-beradik ramai,” Fauziah tidak berpuas hati dengan jawapan Eisya.

“Aku ada simpanan lagi. Lagipun siapa lagi yang nak tolong kawan kan?”

“Kau ni baik sangatlah, Sya.”

“Aku memang baik. Kau baru tahu ke?”

“Tengok tu. Pantang dipuji mulalah meninggi diri.”

Eisya hanya tersengih. Baldi yang telah kosong diletak di tepi pintu. Eisya menghampiri Fauziah yang sedang leka membaca sebuah majalah hiburan di atas katil di tepi tingkap.

“Kau baca majalah apa ni?” tanya Eisya.

“Majalah EH. Sya, kau tengok ni. Cantikkan model-model ni?” Fauziah menayang salah satu muka surat yang memaparkan beberapa gambar model wanita yang sedang menggayakan fesyen-fesyen pakaian terkini.

“Hm…cantik. Apalah yang dia orang pakai kan? Mesti banyak belanja,” Eisya kagum melihat wajah-wajah cantik itu.

“Orang banyak duit bolehlah. Kau pun boleh buat kalau kau nak.”

“Aku mana ada duit,” Eisya menyerahkan kembali majalah tu kepada Fauziah.

“PTPTN kau kan ada,” ujar Fauziah.

“Hish…tak kuasa aku nak guna duit PTPTN beli benda-benda tu,” bantah Eisya.

“Apalah kau ni. Bukannya aku suruh kau pakai botox ke apa. Orang kata kalau nak cantik kenalah berkorban sikit. Kau pun boleh kalau kau nak. Yang penting disiplin diri,” ujar Fauziah persis seorang pakar kecantikan yang sedang ditemu bual.

“Maksud kau?” Eisya tidak mengerti.

“Kita kalau nak cantik kenalah berusaha. Bukan setakat dua tiga hari aja berkobar-kobar lepas tu dah malas nak jaga.”

“Kau perli aku ke?”

Aku tahulah aku jarang-jarang cuci muka. Lecehlah. Nak pakai penyegar mukalah. Lepas tu nak pakai pelembap muka pula. Masa banyak habis kat benda alah tu. Tapi muka macam tu jugak.

“Tak adalah. Kalau kau rajin aku yakin kau boleh jadi cantik macam model majalah ni. Manalah tahu ada yang sangkut dengan kau nanti,” usik Fauziah.

“Siapalah yang nak kat aku ni? Aku ni tak cantik macam Syella. Kulit cerah, putih, rambut lurus,” Eisya berasa rendah diri.

“Siapa kata kau tak cantik? Cantik tu tak semestinya kena putih. Orang kulit gelap pun cantik apa. Tapi aku tengok kau pun tak adalah gelap sangat. Muka okay. Ada mata, hidung. Mulut pun tak senget. Kau sepatutnya bersyukur sebab sempurna pancaindera. Ada mata yang boleh melihat, hidung untuk menghidu, mulut untuk berkata-kata. Semuanya cukup. Apalagi yang kau tak puas hati?”

“Entahlah. Aku selalu rasa rendah diri. Masa sekolah dulu pun budak lelaki semua pandang Syella aja. Aku ni macam tak wujud aja walaupun aku duduk sebelah dia,” luah Eisya.

Eisya dan Syella berkawan baik sejak di bangku sekolah menengah lagi dan sekarang pula mereka belajar di tempat yang sama malah dalam kelas yang sama.

“Ala…itu zaman sekolah. Budak laki yang masih sekolah memang macam tu. Dia orang cuma tengok luaran aja sebab tu dia orang suka awek yang cantik aja. Dia orang pun bukannya handsome sangat pun. Sebab tu mak aku kata kalau nak cari boyfriend, cari masa kat universiti. Baru ada taste. Budak-budak laki kat universiti berbeza dengan budak-budak laki kat sekolah. Budak-budak laki kat sekolah suka main-main tapi budak-budak laki kat universiti lebih matang dan lebih memikirkan soal cinta secara serius,” terang Fauziah panjang lebar.

“Ewah, ewah pandainya dia berkata-kata. Habis selama hampir tiga semester kau belajar kat sini, kau dah jumpa ke lelaki idaman kau?” Eisya cuba memerangkap Fauziah dengan soalan itu.

“Adalah,” Fauziah berselindung.

“Siapa?” soal Eisya ingin tahu. Memang Fauziah jarang-jarang mahu berkongsi perkara yang berkaitan dengan hati dan perasaannya.

“Nantilah aku cerita. Kita tengah cakap pasal kau kan sekarang? Jangan nak ubah topik. Aku rasa kan, kau kena ubah cara kau berpakaian,” Fauziah cuba mengelak daripada terus disoal tentang lelaki idamannya.

“Kenapa? Tak elok ke aku pakai macam ni?” Eisya melihat dirinya yang hanya berbaju T dan berseluar track bottom. Sekarang kan aku duduk kat bilik. Buat apa nak pakai lawa-lawa? “Aku tahulah aku tak pandai bergaya tapi sekurang-kurangnya aku tak tayang body aku kat siapa-siapa tau.”

“Bukannya aku suruh kau pakai tiub ataupun spageti. Sekali-sekala kau pakailah jubah ke, baju punjabi ke ataupun blaus. Kan cantik? Baru nampak feminin!” cadang Fauziah.

“Aku? Pakai jubah? Blaus? Hish…tak kuasa!”

Tiada ulasan: