Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 24, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 32

Terlalu banyak peristiwa yang terjadi semester ini. Tanpa sedar, mereka telah pun berada di penghujung semester.

Peperiksaan akhir juga semakin hampir. Para pelajar bertungkus lumus memenuhkan otak dengan fakta-fakta yang diperlukan. Lantaran kesibukan itu, Hani dan Dimas jarang-jarang bertemu. Tambahan pula mereka berlainan semester. Hanya telefon yang menghubungkan mereka.

“Ya, Dim,” Hani menjawab panggilan itu dengan senang hati.

“Kamu sibuk? Makan yok?” pelawa suara di hujung talian.

“Makan?” Hani melihat jam di mejanya. “Lewat malam begini? Bukan kau ada first paper esok?”

“Habis, kalau ada paper tak boleh makan? Lagipun dah lama kita tak keluar sama. Aku kangen banget ni sama kamu,” aku Dimas tanpa segan. “Aku enggak bisa concentrate. Selalu saja fikir tentang kamu.”

Hani tersenyum sendiri. Alangkah indahnya apabila mengetahui ada orang yang merindui dirinya. Sudah hampir dua minggu mereka tidak bertentang mata. Dia turut merasakan apa yang dirasai oleh Dimas.

“Nak jumpa kat mana?” soal Hani setelah diam sejenak.

“Aku ke sana aja. Kita makan di kafeteria kolej aja ya?”

“Ok aja. Aku tunggu ya.”

Beberapa minit kemudian, Hani dan Dimas bertemu di kafeteria kolej itu. Suasana sedikit lengang memandangkan sekarang musim peperiksaan. Jadi, mungkin ramai yang sedang mengulang kaji pelajaran tatkala itu.

“Dim, tadi kau kata nak makan. Tapi datang sini hanya nak tengok aku?” Hani berasa kurang selesa apabila ditenung Dimas.

“Aku kan kangen sama kamu. Aku mahu menatap wajah kamu puas-puas,” balas Dimas sambil matanya masih melekat di wajah Hani.

“Kau buat aku malulah.”

“Malu kenapa?”

“Dim!”

“Ok, ok,” Dimas melarikan pandangannya. “Study kamu macam mana?”

“Ok. Tapi kadang-kadang rasa malas juga.”

“Jangan malas malas, Han. Kamu harus belajar bersungguh-sungguh agar bisa mendapat keputusan yang bagus. Kamu kan sudah bersusah-payah masuk sini.”

“Yalah, sayang…”

Dimas tersenyum bahagia. Bukan senang nak dengar Hani memanggilnya dengan panggilan itu.

“Pukul berapa paper esok?” tanya Hani.

“Pukul sembilan.”

“Sembilan? Sekarang dah pukul sebelas malam. Lebih baik kau balik sekarang dan tidur. Nanti lambat pula esok.”

“Kalau kamu bimbang aku lambat esok, lebih baik aku tidur di bilik kamu aja malam ini. Dekat aja dengan dewan peperiksaannya,” seloroh Dimas.

“Ah, gatal! Dah, pergi balik.”

“Kok kamu tidak suka jumpa aku?”

“Bukan aku tak suka. Malah aku gembira sangat kau sanggup datang sini semata-mata nak jumpa aku. Tapi aku cuma risau kalau ini menjejaskan prestasi kamu esok.”

“Kasi aku kesempatan sebentar lagi. Jam sebelas setengah nanti aku pulang.”

“Janji?”

“Aku janji,” Dimas memandang Hani.

“Tengok tu! Dia mula balik,” Hani memarahi Dimas yang asyik merenungnya. Dimas tersengih.

Dimas sengaja melengah-lengahkan waktu di luar asrama Hani. Entah kenapa dia berasa berat sangat untuk berpisah dengan Hani tatkala itu. Seolah-olah mereka tidak akan bertemu lagi.

Dimas menggenggam tangan Hani. Mata mereka bersatu. Hani kaget tatkala Dimas membelai lembut rambutnya. Tanpa sedar wajah Dimas mula merapati wajahnya. Semakin lama semakin dekat.

“Dim, aku rasa lebih baik kau balik sekarang,” Hani memalingkan mukanya sebelum Dimas bertindak dengan lebih jauh.

Dimas mula menyedari kelakuannya. Selagi mereka belum ada ikatan yang sah, seharusnya dia membataskan diri dalam hubungan mereka. Namun apabila berdua dengan Hani, perasaan itu seakan sukar dikawal.

“Aku balik dulu.”

“Ok, all the best untuk esok,” Hani berpura-pura seperti tidak apa-apa yang berlaku untuk menyembunyikan gelodak yang berkocak dalam hatinya. Dia melangkah ke asramanya. Mujur dirinya cepat tersedar.


***


“Wah, akhirnya selesai juga kuliah kita,” Armand memanjat kesyukuran setelah mereka selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir. “Akhirnya kita bisa pulang Jodja.”

“Iya, aku kangen banget sama orang tuaku,” ujar Erwin.

“Kamu kangen ama orang tuamu atau kamu kangen ama Nafa, Win?” celah Dimas berseloroh.

“Nafa? Siapa Nafa?” tanya Hani ingin tahu. Tak pernah pula dia mendengar Erwin menyebut tentang nama itu.

“Siapa lagi, pacarnya Erwinlah!”

Dimas, Sukry, Armand dan Andin bersorak mengenakan Erwin.

“Sudah ada pacar rupanya. Kau tak pernah cakap pun, Win! Berapa usianya?” soal Hani lagi.

“Dua belas tahun!” sampuk Sukry dan disahut dengan gelak tawa yang lain.

Hani turut tertawa mendengar gurauan mereka namun tawa itu menjadi tawar apabila mengenangkan perpisahan yang bakal mengiringi.

Tamatnya peperiksaan itu bermakna dia terpaksa berpisah dengan Dimas. Walaupun dia tahu waktu itu pasti tiba namun dia tidak menyangka secepat ini.

Apa yang akan terjadi pada hubungannya dengan Dimas? Apakah kebahagiaan itu harus berakhir di sini?

“Kenapa, Han?” tanya Dimas yang perasan akan wajah muram Hani.

“Tak ada apa-apa,” ujar Hani berselindung.

“Kamu bimbang?”

Hani memandang Dimas. Sememangnya Dimas amat memahaminya.

“Iya, aku takut kalau kau lupakan aku bila dah balik Jodja nanti,” Hani meluahkan kebimbangannya.

“Mana mungkin aku lupa sama kamu?” Dimas cuba memadamkan api kerisauan kekasihnya itu. “Meskipun kita jauh tapi kita masih bisa berhubung bukan?”

“Betul tapi…”

“Kamu tidak percaya sama aku?”

“Bukan…”

Tangan Hani dipegang dan digenggam.

“Kalau begitu tenang aja. Walaupun kamu di Malaysia dan aku di Indonesia, asalkan kita saling percaya hubungan kita pasti baik. Aku akan melawat kamu di sini sekali-sekala dan kamu juga bisa ke Indonesia.”

“Tapi selama mana kita mampu bertahan, Dim? Hubungan jarak jauh ni banyak dugaannya,” kata-kata Dimas belum dapat meyakinkan Hani. “Macam mana kalau suatu hari nanti kau bertemu perempuan lain dan aku juga bertemu lelaki lain?”

“Aku tidak mahu berjanji kerana aku sendiri tidak pasti. Tapi satu yang aku pasti aku akan sentiasa menyayangi kamu. Kita berdoa saja mudah-mudahan hubungan kita ini direstui Allah SWT dan ada jodoh antara kita.”

Hani bersandar di bahu Dimas. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada hubungan mereka. Namun dia berjanji akan tetap setia menunggu Dimas walaupun dia sendiri tidak tahu selama mana dia harus menunggu.


***


Suasana hiba melanda ruangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu menyaksikan perpisahan dua hati.

“Han…”

Rasa sedihnya sudah tidak dapat ditahan lagi. Air matanya yang bertakung sejak dari tadi pecah juga akhirnya. Dia pasti merindui wajah dan suara itu.

“Han, jangan menangis. Aku pergi bukan untuk selamanya. Aku pergi untuk kembali,” pujuk Dimas.

“Aku tahu tapi aku tak dapat menahannya. Aku tak sanggup tengok kau pergi dari aku,” tersedu sedan suara itu menahan esakan.

“Aku akan merindui kamu.”

Spontan dia memeluk Dimas. Rasa segan dan silu sudah tidak dihiraukannya lagi. Jasad itu seakan tidak mahu dilepaskan.

Dimas turut mengeratkan pelukannya. Seandainya aku dapat memilih untuk tak pergi dan tetap di sini. Tapi aku pergi untuk kembali. Aku pasti kembali, Hani…

Tiada ulasan: