Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 08, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 15

Bangunan dua tingkat itu kelihatan lengang. Persekitarannya juga sepi. Apatah lagi keadaan di dalamnya. Tidak ramai yang mengunjungi tempat yang menempatkan pelbagai sumber ilmu itu pada hari itu.

Tambah-tambah hari terakhir kelas untuk minggu itu. Masing-masing lebih gemar menghabiskan masa bersama kawan-kawan di luar daripada mengadap buku-buku dan pekerja-pekerjanya yang sudah mencapai usia separuh abad.

Di suatu rak, seorang gadis masih setia menatap buku-buku di situ. Buku-buku itu dibelek dan diselak isi kandungannya satu-persatu. Gadis itu kemudian termenung sejenak. Berfikir-fikir.

“Patutlah orang telefon tak angkat.”

Gadis itu tersentak lalu mengangkat muka.

Hee mamat ni rupanya.

“Kenapa tak angkat telefon?”

Gadis itu melihat telefon bimbitnya di dalam saku seluarnya. Di skrin itu tertera sebelas missed call. Semuanya daripada orang yang sama.

“Sorry, aku silent. Macam mana kau tahu aku ada kat sini?”

“Aku agak aja. Lagipun aku kan dah masak dengan perangai kamu,” ujar Dimas padahal dia jumpa Farra tadi. Farra yang bagi tahu Hani di situ. “Han, dah masa ni. Yuk!”

“Ke mana?”

“Kamu lupa hari ini hari apa?”

“Hari ni hari Jumaat. Kenapa?”

“Berapa hari bulan?”

“Dua puluh sembilan…” Gadis itu berkira-kira kemudian baru dia teringat.

Aah hari ni ada konsert Sheila on 7 kat Stadium Putra Bukit Jalil. Aku kan dah janji minggu lepas. Menyesal pula aku berjanji.

Gadis itu memandang lelaki di hadapannya.

“Sorry Dim. Aku tak boleh pergi. Aku kena buat semula assignment ni. Kena hantar sebelum pukul lima petang ni,” kata Hani dan berharap Dimas memahami keadaannya ketika itu.

“Macam mana kamu buat assignment sampai harus dibuat semula?”

“Tak perlulah nak hina aku. Aku tahulah aku tak pandai. Kalau kau nak pergi tengok sangat konsert tu, kau pergi ajalah!”

Hani berlalu ke mejanya dengan perasaan marah. Entah kenapa dia terasa dengan kata-kata Dimas itu. Hani membebel sendiri sambil tangannya menyelak buku. Dahlah tadi dia dimarahi oleh Puan Zetty gara-gara assignmentnya tidak sebaik orang lain.

“Awak ni macam mana, Hani? Orang lain boleh buat bagus. Kenapa awak tidak? Entah apa yang awak merepek dalam ni. Macam mana saya nak bagi awak markah?” marah Puan Zetty.

“Saya minta maaf, puan.”

“Apa guna awak minta maaf?”

Hani tunduk. Tidak berani menentang mata pensyarahnya itu. Malunya dia tatkala itu dimarahi begitu. Nasib baik waktu itu kelas itu tak ramai orang. Macam mana dia nak buat tugasan itu sebaik yang dikehendaki sedangkan soalannya pun dia tak faham.

“Orang sibuk bercinta, manalah ada masa nak buat assignment? Itulah, 24 jam asyik berkepit aja,” ujar suatu suara.

Hani memandang ke arah suara itu. Tasya menghadiahkan sebuah senyuman sinis kepadanya sebelum meninggalkan kelas itu.

“Awak buat balik semula dan hantar kat rumah saya sebelum pukul lima petang ni,” arah pensyarah muda itu.

Lima petang ni? Kat rumah Puan Zetty? Macam mana nak hantar? Kalau rumah tu aku pernah pergi tak apa. Ini tak mana-mana rumahnya. Buatnya kat Putrajaya sana tu. Satu kerja pula nak cari rumah dia.

“Tapi puan, saya tak tahu rumah puan.”

“Saya tak nak bagi tahu. Awak cari sendiri.”

Geramnya aku. Dia ingat aku ni banyak masa ke nak cari rumah dia? Apalah salahnya kalau hantar esok pagi ke? Tak pun dia tunggu aku kat pejabat dia ke. Mungkin betul apa yang Tasya cakap. Aku terlalu sibuk berseronok sampai aku leka dalam pelajaran.
Hani melepaskan keluhan. Buku-buku dihadapannya diteliti. Dia mesti buat elok-elok kali ni. Dia tak mahu dimarahi pensyarah itu lagi. Hani seolah-olah terlupa akan Dimas.

Dimas masih tercegat di situ sambil memerhatikan Hani.

Macam mana ni? Nak pergi ke tak? Kalau tak pergi nanti membazir aja beli tiket. Mahal tau tiket tu. Tapi Hani…

Dimas mengambil tempat di hadapan Hani. Hani tidak mengendahkan Dimas. Hatinya masih geram. Matanya tidak lekang daripada buku di hadapannya.

“Apalagi yang tidak siap? Ada yang bisa aku bantu?” tanya Dimas lembut.

“Tak payah. Aku boleh buat sendiri,” mendatar saja suara itu.

“Marah?”

Hani mendiamkan diri. Malas dia nak layan Dimas saat itu. Yang dia tahu dia harus menyiapkan tugasan itu dengan segera. Dimas turut mendiamkan diri memandangkan marah Hani masih belum reda.

Keadaan sunyi buat seketika. Dimas hanya memerhati Hani. Sekali lihat tiada apa yang istimewa tentang gadis ini. Berkaca mata. Rambutnya yang panjang itu selalu diikat ke belakang. Bersolek langsung tidak pernah. Tapi manis juga wajahnya apabila marah.
Dimas tersenyum sendiri. Kelakuan Dimas itu rupanya disedari oleh Hani.

“Kenapa sengih sorang-sorang?” Hani membelek dirinya. Takut-takut ada yang tidak kena dengan dirinya ketika itu.

Baju terbalik ke? Tak adalah pula. Hani memandang Dimas semula.

“Tak ada apalah,” Dimas jadi malu sendiri. Kalau Hani tahu dia memerhatikan dirinya pasti mati dia dikerjakan. “Banyak lagi ke?” Dimas mengubah topik.

“Banyaklah,” balas Hani.

10 muka surat dalam masa kurang daripada lima jam? Sempat ke tak ni? Boleh ke aku goreng?

Tiba-tiba telefon bimbit Dimas berbunyi. Bunyi itu mengejutkan mereka. Hani berasa kurang selesa apabila banyak mata yang memandang mereka.

“Kenapa tak silent?” marah Hani separuh berbisik.

“Lupa.”

Dimas melihat telefon bimbitnya. Di skrin telefon bimbit itu tertera one message received. Dimas membaca pesanan ringkas itu.

Erwin? Pergilah dulu. Nanti aku datang.

Dimas membalas S.M.S. temannya itu. Hani melihat Dimas. Dia berasa serba salah.

“Kalau kau nak balik, baliklah. Nanti terlepas tengok konsert tu mulalah kau salahkan aku.”

“Tak apa. Aku boleh tunggu.”

“Kerja aku banyak lagi ni. Tak sempat nanti.”

“Tak apa.”

“Suka hati kaulah.”

“Advertising?” Dimas membaca tugasan Hani yang dipulangkan oleh pensyarahnya tadi. “Rasanya aku pernah buat soalan ni. Siapa lecturer kamu?”

“Puan Zetty.”

“Puan Zetty yang cantik tu?”

Dia memang cantik. Walaupun dia dah kahwin tapi masih nampak macam anak dara. Bijak berfesyen pula tu. Tak heranlah budak-budak laki pun tergila-gilakan dia.

“Kau pun salah seorang peminat dia juga ke?”

“Kenapa? Kamu jeles ya?”

“Apasal pula aku nak jeles?”

“Aku pun pernah belajar dengan dia. Dia tu memang straight dan selalu mahukan yang perfect daripada pelajarnya,” ujar Dimas. “Tapi kalau soalan ini, aku tahu. Aku tolong kamu biar cepat selesai ya.”

Tanpa menunggu persetujuan Hani, Dimas mencapai buku di hadapan Hani. Mencari maklumat yang berkenaan.

Hani yang ibarat orang mengantuk disorongkan bantal hanya menurut. Untung juga ada kawan yang lebih senior.


***


Malam tu setelah bertanya kawan-kawannya Hani bergegas mencari rumah Puan Zetty yang khabarnya terletak di Kota Damansara. Berpusing-pusing dia mencari rumah pensyarah itu. Hani merungut memandang si pemandu teksi.

Nama aja pemandu teksi tapi jalan kat sini pun tak tahu. Entah-entah saja buat tak tahu. Saja nak duit lebih. Hari dah gelap ni. Jangan dia bawa aku tempat lain sudah.
Hani mengalihkan pula pandangannya kepada Dimas yang duduk di sebelah pemandu teksi itu. Dimas turut sama memerhatikan rumah-rumah di situ. Mencari rumah yang dimaksudkan.

“Kita orang berhenti kat sini ajalah, pak cik,” ujar Hani kerana tidak tahan selalu berpusing-pusing. Mereka turun di tepi jalan setelah membayar harga tambang.
“Kita naik teksi lain,” ujar Hani kepada Dimas. “Kita kena seberang.”

Hani meluru melangkah untuk ke seberang jalan apabila tiba-tiba suatu bunyi hon kereta mengejutkan mereka. Hani hampir saja dilanggar oleh sebuah kereta. Mujur Dimas bertindak pantas menarik tangannya ke tepi.

“Kamu mahu mati ya?”

Hani terdiam. Kerana ingin mengejar masa, dia lupa segala-galanya. Nasib baik umurnya masih panjang.

“Yuk,” Dimas menarik tangan Hani menyeberangi jalan itu. Takut Hani tersalah tengok lagi. Hani hanya menurut tanpa sepatah kata.

Setelah sampai ke seberang, Hani memerhatikan kereta-kereta yang lalu-lalang. Namun tak ada sebuah kereta pun yang bernama teksi yang lalu.

Mana pula teksi ni? Takkan satu pun tak ada. Orang nak cepat ni. Hani melihat jam di tangannya.

“Han, itu ada satu teksi,” Dimas menahan sebuah teksi namun sayangnya teksi itu sudah ada penumpang.

Hani bertambah gelisah. Jam di tangannya dilihat lagi.

Macam mana ni? Dah lebih pukul lima ni, mesti Puan Zetty marah, Tapi janji aku hantar hari ni juga.

“Teksi!” Suara Dimas menyentakkan Hani.

Nasib mereka baik kerana pemandu teksi yang kedua itu tahu selok-belok jalan di situ. Lima belas minit kemudian mereka sampai ke rumah yang dituju.

Hani bergegas masuk ke rumah teres dua tingkat itu. Namun ibu Puan Zetty yang menyambutnya. Kata ibu Puan Zetty, Puan Zetty tidak ada di rumah.

Hani tidak mahu menunggu di situ lantas mengirimkan saja assignmentnya kepada ibu Puan Zetty yang menyambutnya di muka pintu lalu mendapatkan Dimas yang menunggunya di luar pagar.

“Puan Zetty tak ada.”

“Lalu?”

“Aku bagi kat mak dia. Jom balik.”

Hani dan Dimas beriringan ke perhentian bas berhampiran. Mereka duduk di situ sambil memerhatikan kenderaan yang lalu. Hani memandang Dimas yang duduk di sebelahnya.
Tentu dia kecewa tak dapat tengok konsert tu. Tak pasal-pasal dia duduk sini dengan aku.

“Dim, kau marah ke tak dapat tengok konsert tu?”

“Marah tu tak adalah. Tapi kecewa tu adalah,” ujar Dimas berterus-terang. Memang dari dulu, dia ternanti-nantikan kedatangan band pujaannya itu.

“Sorry…”

“Bukan salah kamu. Aku sendiri yang mahu menemani kamu.”

Walaupun dia kecewa kerana tidak dapat menonton ke konsert itu tapi dia rasa senang apabila bersama Hani. Kalau Hani senang, dia juga senang dan kalau Hani sedih, dia juga akan sedih.

“Dim, thanks.”

“Tak apa-apalah.”

Hani melihat jam di tangannya.

“Kau masih nak tengok konsert tu ke?”

“Biarlah. Dah tak sempat.”

“Ada satu jam lagi sebelum konsert tu habis.”

“Tapi kan dah lewat malam ni? Kamu tak takut?”

“Kau kan ada.”


***


Stadium Putra Bukit Jalil yang biasanya lengang itu digegarkan dengan persembahan bertenaga kumpulan muzik nombor satu Indonesia itu. Persembahan konsert yang julung kali diadakan pada tahun itu telah menarik hampir lima ribu orang penonton yang rata-ratanya adalah remaja.

Sebilangan penonton yang membanjiri stadium itu kelihatan menari-nari dan bernyanyi mengikut rentak lagu yang didendangkan. Di celahan penonton itu, Dimas dan Hani mencari tempat yang lapang.

“Dim, kat sini dahlah,” Hani tidak selesa dengan situasi itu.

“Depanlah baru seru.”

Dimas terlalu teruja dapat melihat idolanya secara dekat. Kalau boleh dia mahu tempat di hadapan sekali. Hani hanya tersenyum melihat gelagat Dimas.

Dalam jumlah penonton yang ramai itu tiba-tiba mata Hani melekat pada suatu wajah yang amat dikenalinya.

Macam kenal aja. Puan Zetty? Patutlah dia tak ada kat rumah.

Puan Zetty yang perasan akan kehadiran Hani di situ tersenyum kepadanya. Hani membalas senyuman itu. Hani kemudian menumpukan perhatiannya pada persembahan itu.

“Dim, kita fikir elo enggak jadi datang,” Erwin, Sukry, Armand dan Andin mendapatkan Dimas dan Hani sejurus selepas konsert itu berakhir.

“Sekarang kan gue udah ada di sini.”

“Kenapa elo lambat?” tanya Armand pula.

“Ada hal tadi,” jawab Dimas seraya memandang Hani.

“Yuk kita minum,” cadang Erwin.

“Boleh juga. Yuk, Han,” ujar Dimas.

Hani melihat jam di tangannya.

Tiga pagi? Patutlah aku rasa mengantuk.

“Rasanya aku tak dapat join kau oranglah. Dah lewat ni. Aku pun dah mengantuk. Aku nak balik. Tidur…” ujar Hani. Kepalanya terasa berat gara-gara tidak cukup tidur.
“Lorh…esok kan hari minggu. Tak ada kelas,” celah Erwin.

Pukul tiga pagi lepak dengan budak-budak ni kat gerai? Nanti apa kata orang sekeliling? Seorang perempuan minum dengan lima orang lelaki pada waktu-waktu macam ni? Walaupun dia orang kawan aku, tapi aku kan perempuan, dia orang lelaki. Tak boleh, tak boleh. Aku kena balik. Aku dah tak larat.

“Sorrylah. Aku betul-betul mengantuk ni.”

“Tak apalah. Kalau gitu, biar aku hantar Hani pulang dulu. Nanti aku jumpa kalian di sana ya.”

“Eh, tak apalah Dim. Aku balik sendiri aja.”

Berani ke aku balik sendiri pagi-pagi buta macam ni? Kalau Dimas betul-betul suruh aku balik sendiri macam mana?

“Kamu berani pulang sendiri?” Dimas menyoal Hani.

Kalau ada apa-apa yang berlaku pada kamu, aku juga yang gila nanti.

“Ya Hani, biar Dim yang hantar kamu,” celah Erwin. “Bahaya kamu pulang sendiri waktu-waktu begini.”

Inilah sebabnya Hani sayang mereka. Mereka sangat mengambil berat akan keselamatan dirinya. Jadi, dia tidak perlu bimbang jika pulang lewat malam. Pasti ada orang yang akan menghantarnya ke kolej.

“K, Dim, Elo hantar Hani dulu. Nanti kita jumpa di gerai itu,” Armand pula menyampuk.

“Ok. Yuk, Han.”

“Daa… Hani,” ujar Erwin, Sukry, Armand dan Andin hampir serentak.

“Daa…” balas Hani. Dia juga sudah terikut-ikut dengan budaya mereka. Kalau budaya itu tidak mendatangkan kesan negatif, tak apakan kita ikut?


***


“Oklah, Dim. Kau pergilah dulu. Nanti lama pula dia orang tunggu,” Hani berpaling mengadap Dimas setelah mereka tiba di kolejnya.

“Hani…” panggil Dimas.

“Kenapa?”

Hani terdiam apabila mata Dimas tidak lepas merenungnya. Pandangan mereka bersatu. Lama.

Perlahan-lahan Dimas mendekatkan mukanya ke muka Hani. Hani kaget. Namun tubuhnya seakan kaku. Tanpa sedar, bibir lelaki itu mendarat di bibirnya.

Namun tak lama kemudian Hani mula tersedar lantas segera menolak tubuh Dimas dan tanpa menunggu lama, dia berlari meninggalkan Dimas.

Tiada ulasan: