Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

AsyrAfia 1

Suasana di rumah banglo dua tingkat itu kelihatan sibuk. Kehadiran tetamu yang membanjiri halamannya membuatkan tuan rumah tidak menang tangan.

“Terima kasihlah sudi datang. Jemputlah ya,” Puan Syafira ramah melayan tetamunya. Sedang Puan Syafira sibuk melayan tetamu, seorang gadis terkoco-koco mendapatkannya. Gadis itu berbisik sesuatu ke telinganya. Air muka Puan Syafira berubah setelah mendengar berita yang disampaikan oleh gadis itu.

“Budak ni memang nak kena,” Puan Syafira cuba mengawal kemarahannya di hadapan tetamu. “Jemputlah ya. Saya nak tengok pengantin sekejap.” Puan Syafira meminta diri.

“Tak nak!” Dia berkeras tidak mahu memakai pakaian itu. Biar dipujuk beribu kali, dia tetap dengan pendiriannya. Kenapa aku yang kena tanggung semua ni? Sungguh, aku tak sanggup.

“Afia, janganlah macam ni,” suara itu masih cuba memujuk.

“Aku tak nak kahwin dengan dia!”

Bukan ke Kak Afni yang sepatutnya jadi pengantin perempuan hari ni? Sanggup Kak Afni menolak ‘bala’ ini kepada aku? Sedangkan dia berbahagia bersama teman lelakinya di sana.

“Kenapa degil sangat ni?” Suara itu menggamit mata mereka yang berada di dalam bilik itu ke arah pintu. Puan Syafira kelihatan marah. “Afia, kenapa tak nak pakai baju tu?”

“Ma, Afia tak nak kahwin dengan dia. Tolonglah, ma,” Afia merayu minta dilepaskan daripada perkahwinan yang tidak dirancang itu.

“Apa yang Afia merepek ni? Afia sanggup malukan mama dan abah ke? Afia nak ikut jejak Kak Afni? Sia-sia saja mama dan abah besarkan kamu orang. Ini ke balasan kamu orang?”

“Ma, bukan Afia tak nak ikut cakap mama. Tapi perkahwinan ni berkaitan dengan hidup Afia seumur hidup. Afia tak sanggup, ma,” Afia cuba meraih simpati mamanya. Tidakkah mama mengerti perasaan aku?

“Dah, jangan cakap lagi. Mama nak Afia siap sekarang juga. Bila-bila masa saja pengantin lelaki akan sampai. Ida, siapkan Afia. Kalau dia degil juga, paksa dia!”

“Baik, puan,” Ida, pembantu rumah mereka terpaksa akur dengan arahan majikannya.
Afia kecewa dan hampa dengan sikap mamanya. Ini semua salah Kak Afni. Kalau tak suka lelaki tu, kenapa tak cakap dari dulu? Kenapa Kak Afni setuju masa mama dan abah tanya dulu? Kenapa aku yang jadi mangsanya?

Seketika kemudian kedengaran paluan kompang di luar. Itu tandanya pengantin lelaki sudah sampai! Ida mula menggelabah. Baju pengantin berwarna biru langit itu dihulur kepada Afia. Afia hanya memandang baju pengantin itu tanpa menyambutnya. Adakah hidup aku akan berakhir di sini?

“Pengantin perempuannya mana?” soal tok kadi yang diamanahkan mengendalikan upacara akad nikah pada hari itu.

“Afia mana?” Ariffin mendapatkan isterinya yang baru saja keluar dari bilik Afia. “Mereka semua dah tunggu.”

“Sekejap lagi dia keluar,” ujar Puan Syafira. Harap-harap Afia tak buat hal lagi. Bukan dia mahu memaksa tapi dia terpaksa. Antara mereka tiga beradik, Afialah yang paling tidak banyak kerenah. Dia sendiri pun tidak sanggup namun demi nama baik keluarga mereka, dia harus mengorbankan hidup Afia. Maafkan mama, Afia.

Tidak lama kemudian, Afia keluar diirngi Ida dan beberapa orang gadis lain. Afia tunduk tanpa mempedulikan mata yang memandangnya.

Minta-minta perkahwinan ni batal. Minta-minta pengantin lelaki pengsan. Tak pun, dia terlupa bawa cincin ke. Tok kadi ni tok kadi palsu ataupun apa sajalah yang dapat menghalang perkahwinan ini diteruskan.

“Boleh kita mulakan sekarang?” Tok kadi itu bersedia untuk menikahkan pasangan tersebut.

“Ya, boleh,” jawab Ariffin.

“Aku nikahkan dikau Sukri Saputra dengan Sharifah Nur Afia binti Ariffin…”

Namun belum sempat ayat itu dihabiskan, suatu suara kedengaran mengarahkan agar perkahwinan itu dihentikan. Semua yang berada di situ terkejut dengan tindakan berani lelaki itu termasuk Afia. Suara itu amat dikenalinya.

Mungkinkah itu…? Afia segera mengangkat muka. Afia gembira melihat lelaki di hadapannya itu. Duta!

Lelaki itu mendapatkan Afia.

“Afia, benarkah kamu mahu menikahi dia?”

Afia menggeleng.

“Bukankah kamu telah berjanji akan menunggu aku?”

Afia menggangguk.

Tiba-tiba lelaki itu bernyanyi.


Masih banyak yang harus kucari
‘Tuk bahagiakan hidupmu nanti
Bisa bertahankah kau di sana?
Bisa bertahankah sayang?
Cuba bertahanlah kau di sana
Cuba bertahanlah sayang…


Suara Duta yang mendendangkan lagu ‘Bertahan di Sana’ itu mengejutkannya daripada lena. Siapa pula yang kacau ni? Orang tengah syok mimpi Duta.

Dia meraba-raba di bawah bantal mencari telefon bimbitnya. Tanpa melihat nama yang tertera di skrin, dia terus menekan butang ‘answer call’.

“Woi, cik kak! Kau tak nak datang kelas ke?” suara di hujung talian menerjah di telinganya. Dia terkejut mendengar suara itu.

“Siapa ni?” tanyanya. Tetiba aja nak marah aku. Bagi salam pun tak. Dahlah kacau mimpi aku. Tapi nasib baik perkahwinan tu hanya mimpi.

“Hello! Siapa aku? Wah, baru cuti dua hari, kau dah lupa aku?” balas suara itu. Mabuk ke budak ni?

Julia! Astaga… Kalau ya pun, tak payahlah cakap kuat-kuat. Aku tak pekaklah!

“Haa, Ju. Ada apa kau telefon aku ni?” Dia mula mengecam suara teman baiknya itu.

“Ada apa kau tanya aku? Hari ni hari apa?”

“Apa pasallah kau ni? Takkan kau telefon aku semata-mata nak tanya hari ni hari apa. Kau ni buang masa aku ajalah. Aku mengantuk ni.”

“Oh, kau tidur? Kau lupa ke hari ni hari Isnin. Pagi ni ada kelas Cik Syazliana. Dah lebih tiga kali tahu kau tak masuk kelas dia. Kau tak takut dia tak bagi kau ambil periksa ke nanti?”

“Laa…pagi ni kelas dia ke?”

Kacau betul! Kenapalah dia orang suka sangat buat kelas pagi-pagi? Alangkah bagusnya kalau pagi ni tak ada kelas. Boleh aku sambung tidur dan mimpi Duta aku.

“Afia! Kau tidur ke?”

“Aku dengar,” Afia melihat jam tangannya yang diletak di atas meja di sebelah katil.
Baru tujuh lima puluh. Kelas pukul lapan setengah. Pukul lapanlah baru aku bangun. Bukannya jauh sangat kelas aku. Jadi, aku ada sepuluh minit lagi untuk sambung tidur.

“Jangan tidur! Bangun cepat,” sergah Julia. Dia masak benar dengan perangai Afia. Gara-gara tidurlah, Afia sering terlanjak masa untuk ke kelas. Kadang-kadang pula dia langsung tak pergi kelas.

“Yalah, aku siap sekarang,” Afia mematikan talian. Kecohlah minah ni. Belum pukul lapan lagi. Baik aku sambung mimpi aku tadi. Apalah kesudahan mimpi aku tadi?
Afia kembali merebahkan diri ke katil. Belum pun sampai lima saat, dia telah lena diulit mimpi.

“Biarlah kau nak kata aku kecoh ke, apa ke. Sebagai kawan, mestilah aku tak nak kau dapat susah,” Julia meletakkan telefon bimbitnya di atas katil kemudian dia mencapai tuala mandi yang tersangkut di birai katil lalu menuju ke bilik mandi yang terletak di sebelah biliknya. Hanya beberapa tapak sudah sampai.

Sememangnya kolej Puncak Perdana adalah kolej yang boleh dikatakan agak mewah berbanding dengan kolej-kolej lain di UiTM. Tambahan pula, kolej ini kolej baru. Bangunannya yang berbentuk apartment terdiri daripada enam buah blok di mana blok 1, 2 dan 3 adalah asrama perempuan manakala blok 4, 5 dan 6 adalah blok lelaki.

Setiap blok terdiri daripada lima tingkat dan mempunyai 100 rumah. Setiap rumah pula mempunyai tiga buah bilik iaitu sebuah bilik master yang dapat memuatkan empat orang pelajar, dua buah bilik yang mana setiap satunya dapat memuatkan dua orang pelajar, dua buah bilik mandi, sebuah dapur dan ruang tamu.

Namun begitu, para pelajar tidak dibenarkan membawa dapur gas ataupun televisyen ataupun sebarang perkakas elektrik yang kuasanya melebihi __ watt bagi mengurangkan penggunaan elektrik.

Tidak seperti kampus cawangan UiTM yang lain kerana kampus ini hanya mempunyai tiga fakulti iaitu Komunikasi dan Pengajian Media, Pengurusan Maklumat dan Teknologi Kreatif dan Artistik. Ketiga-tiga fakulti ini berkongsi satu bangunan yang sama yang terletak di belakang asrama pelajar.

Seperti asramanya, bangunan fakultinya yang dicat dengan warna biru dan kuning itu juga mewah dan serba baru. Setiap kelas dilengkapi dengan dua buah papan putih, sebuah meja untuk pensyarah, 30 buah meja dan kerusi, dua buah kipas dan dua buah pendingin hawa.

Seorang gadis melangkah laju menuju ke bangunan fakulti. Baju kurung yang membaluti tubuhnya membataskan pergerakannya.

Kenapalah UiTM ni suruh pakai baju kurung hari Isnin? Lecehlah! Konon nak mendisiplinkan pelajar tapi mak guard tak pula dikenakan peraturan tu. Ngomelnya di dalam hati apabila terlihat seorang pengawal keselamatan wanita yang berseragam biru di hadapannya.

“Kad matrik mana, dik?” pengawal keselamatan itu menahannya apabila dia melintasi jambatan yang menghubungkan bangunan asrama dengan bangunan fakulti.

Langkahnya terhenti. Aiseyman. Mak guard ni macam tahu-tahu aja aku ngumpat dia tadi. Dia meraba-raba di dalam begnya. Mana pula kad matrik aku ni? Biasa aku taruk dalam ni.

Selepas puas tangannya menjelajah di dalam beg selempang hitam itu, akhirnya dia dapat tersenyum apabila tangannya mencapai benda yang dikehendaki. Ada pun! Dia menarik keluar kad berwarna kuning itu lalu ditayangkan kepada pengawal keselamatan itu.

“Kenapa tak pakai? Kad matrik ni untuk dipakai, bukan buat simpan di dalam beg,” tegur pengawal keselamatan itu dengan kereknya.

Macam bagus aja! Habis tu, takkan nak pakai kad matrik ni 24 jam? Nasib baik tak kena saman. Kalau datang gila dia, silap-silap melayang dua puluh ringgit aku. Ada saja nak cari salah pelajar. Manusia mana yang tak pernah buat salah? Manusia mana yang tak pernah lupa? Dia melihat jam di tangannya. Lapan lima puluh sembilan? Habislah aku! Langkah dipercepatkan.

Dia termengah-mengah menahan penat sebaik-baik saja dia muncul di muka pintu kelas itu. Seolah-olah dia baru saja menyertai marathon. Macam tak ada guna saja dia mandi sebelum ke kelas tadi kerana kini badannya dibasahi peluh. Bazir air saja!
Dia melihat ke depan kelas lalu mengeluh lega. Fuh, nasib baik Cik Syazliana tak datang lagi.

Dia menuju ke kerusi kosong di sebelah pelajar perempuan yang berbaju kurung kosong berwarna hijau muda dan berkain kotak-kotak segiempat. Pelajar-pelajar kelas itu sudah sedia maklum tentang hubungan akrabnya dengan pelajar perempuan itu. Mereka memang selalu duduk bersebelahan di dalam kelas.

“Cik Syazliana tak datang lagi ke?” soalnya kepada pelajar perempuan itu. Biasa Cik Syazliana datang tepat pada waktunya. Pensyarah dedikasilah katakan.

“Dah datang pun tadi,” jawab pelajar perempuan itu.

“Dah datang? Habis, mana dia?”

“Dia datang kejap aja. Dia ada mesyuarat pukul sembilan.”

“Laa…buat penat aku aja terkejar-kejar.”

“Kan aku dah kejut kau tadi. Kau sambung tidur ya?” Julia sudah dapat mengagak. Nasib baiklah aku tak satu bilik dengan kau. Kalau tak, memang teruklah kau. Tiap-tiap hari kena bangun pukul enam setengah.

Afia hanya tersenyum.

“Habis ni, Cik Syazliana tak datang baliklah? Kedatangan aku macam mana?” Dahlah aku terpaksa korbankan tidur aku demi kelas dia. Takkan kedatangan aku tak diambil kira. Habislah aku macam ni. Macam mana nak ambil periksa?

Sudah menjadi peraturan UiTM, pelajar yang tidak hadir ke kelas tanpa sebab yang munasabah sebanyak tiga kali dan lebih tidak boleh menduduki peperiksaan akhir.

“Nasib kaulah. Itulah. Bila aku kejut, tak nak bangun terus. Lain kali bila dah bangun, jangan baring lagi. Terus bangkit,” Julia sudah memulakan khutbah paginya.

“Apalah kau orang. Kelas dah habislah. Balik ajalah,” suatu suara menegur dua orang pelajar lelaki yang baru saja sampai. Afia dan Julia memandang ke hadapan kelas.

Kedua-dua pelajar lelaki tadi menghampiri mereka. Seorang berkemeja putih dan seorang lagi berkemeja biru. Masing-masing lengkap bertali leher.

Setiap hari Isnin, pelajar lelaki diharuskan memakai kemeja dan bertali leher manakala pada hari lain pula, mereka dibenarkan memakai t-shirt dengan syarat baju itu berkolar. Hari Jumaat pula mereka digalakkan memakai baju Melayu. Pelajar perempuan pula diharuskan memakai baju kurung pada setiap hari Isnin dan Jumaat.

“Cik Syazliana pergi mana?” tanya pelajar lelaki yang berkemeja biru.

“Cik Syazliana ada mesyuarat pukul sembilan,” kata Julia. “Tapi dia ada bagi kerja. Tadi kita orang buat cabut undi untuk group project.”

“Kita dapat projek apa?” tanya pelajar lelaki yang berkemeja putih pula.

“Entertainment program,” ujar Julia penuh excited.

“Kita bincang di kafelah,” ujar pelajar lelaki yang berkemeja putih.

“Ala…Di, aku nak balik biliklah,” Afia menolak cadangan itu. Kan awal lagi. Bagilah aku tidur dulu.

“Jangan nak mengada-ngada. Ini kan projek kumpulan. Semua kena datang,” tegas Adi, pelajar lelaki yang berkemeja putih.

“Ala…Kita bincanglah petang-petang sikit,” cadang Afia.

“Petang nanti mengantuk. Lagipun kau nak balik buat apa? Pukul sebelas setengah nanti kan kita ada kelas lagi.”

“Sebelas setengah. Sekarang kan baru sembilan setengah,” Afia masih berdalih. Sungguh, dia masih kepenatan. Walaupun perjalanan dari pusat bandar Shah Alam ke Puncak Perdana hanya mengambil masa setengah jam, namun kepenatan itu tetap terasa apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya pada pagi itu.

“Dah, jangan membantah. Ikut saja!” Adi dan pelajar lelaki berkemeja biru itu terus melangkah ke kafe tanpa menunggu kata-kata seterusnya daripada Afia.

Afia menarik muka mendengar kata-kata Adi. Tak bertimbang rasa langsung!

“Jomlah,” Julia menarik lengan Afia. Afia menurut dalam keterpaksaan.

Tiada ulasan: