Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Julai 24, 2021

Kerana Dia... Kamu! (Bab 3)

 


“AWAK kena paksa kahwin dengan mak awak?” soal Aulia seraya memandang wajah Sufian tanpa berkelip. Seolah-olah dengan berbuat begitu, dia dapat membaca fikiran Sufian.

            Sufian tersengih lalu menggeleng.

            “Atau awak akan mewarisi harta tapi awak kena kahwin dulu baru harta tu akan jadi hak awak?” Aulia menebak lagi.

            Sufian menggeleng lagi.

            “Ada perempuan kejar awak dan awak terpaksa kahwin untuk buat dia putus asa dengan awak?”

            Sufian tertawa kecil.

            “Awak ni mesti banyak sangat baca novel, kan?” Sufian mengembalikan soalan kepada Aulia. “Saya tahulah awak ni penulis tapi semua tekaan awak tadi tak ada satu pun yang betul.”

            Aulia mencemik.

“Habis tu, kenapa tiba-tiba saja awak ajak saya kahwin pula?” soal Aulia tak puas hati. Kalau semua alasan yang dia utarakan tadi bukan sebabnya, habis tu sebab apa lagi?

            “Awak tak sudi ke?” Sufian menjungkit sebelah keningnya.

            “Pian, kahwin ni bukan perkara main-main tau!” Aulia mula hilang sabar. Dia tahu Sufian sengaja berkata begitu kepada Izwan tadi untuk menyelamatkannya daripada terus diganggu oleh Izwan. Dia benar-benar terhutang budi dengan Sufian tetapi tidaklah sampai sanggup mahu menggadaikan body untuk berkahwin dengan Sufian.

“Ya, dan saya pun tak main-main. Saya serius nak kahwin dengan awak,” balas Sufian penuh yakin.

“Pian, Izwan tak ada kat sini. Tak perlulah awak nak berlakon lagi,” tegur Aulia. Dia kurang selesa dengan situasi itu.

“Saya tak berlakon. Sebab itu saya tanya awak sama ada awak dah bersedia untuk berkahwin semula,” tutur Sufian serius.

Aulia membetulkan duduk. Minuman di dalam gelas dijamah sedikit untuk menenangkan hatinya yang sedang dilanda gelora.

“Kahwin ni bukan benda main-main tau, Pian. Saya tak nak kita kahwin sebab Izwan ataupun orang lain. Lagipun kita tak pernah bercinta pun,” tegas Aulia.

“Jadi, awak nak kita bercinta dulu?”

Aulia terdiam. Bukan itu maksudnya. Fikirannya mula merangka ayat yang sesuai untuk dia terangkan kepada Sufian.

“Awak tahu saya bukan anak dara lagi, kan?” Aulia mengingatkan Sufian. Manalah tahu kalau pemuda itu terlupa akan status dirinya. Mustahil ada lelaki yang sanggup menerima dirinya kerana status itu. 

“Saya tahu,” ujar Sufian selamba. Seolah-olah tidak kisah akan hal itu.

“Saya ada anak,” Aulia menekankan perkataan anak.

“Saya tak ada masalah untuk terima Anas.”

Anas? Wah, dia kagum kerana Sufian ingat akan nama anaknya! Aulia melepaskan keluhan. Benarkah Sufian serius mahu mengahwininya? Adakah Sufian benar-benar sukakan dia atau sekadar kasihan terhadap dirinya?

“Tapi, kenapa saya? Awak tahu awak boleh dapat yang lebih baik daripada saya, kan?” Walaupun Sufian nampak serius tetapi dia tidak mahu terlalu cepat mempercayai kata-kata pemuda itu. Dia sedar dia bukanlah wanita yang layak untuk menjadi isteri kepada pemuda sebaik Sufian. Sufian berhak dapat wanita yang lebih baik daripadanya. Sekurang-kurangnya, yang sama-sama bujang sepertinya.

“Saya tak nak orang lain. Saya cuma nak awak. Saya janji saya akan jaga awak dan Anas. Kahwin dengan saya, ya?” pujuk Sufian penuh berharap.

“Jawapan saya tetap sama macam yang pernah saya beritahu pada Izwan. Saya tak berminat,” tutur Aulia dengan yakin.

“Awak tak perlu berikan jawapan sekarang. Saya beri awak masa untuk fikirkannya,” tutur Sufian dengan tenang.

Aulia menghela nafas.

Ah, sudah! Hari itu Izwan ajak dia kahwin, sekarang Sufian pula? Dekat muka dia ada tulis sedang mencari calon suami ke?

  

 

 

“BYE, sayang! Mama sayang Anas.” Aulia mematikan panggilan video setelah melihat keadaan Anas yang sudah mengantuk. Serta merta hidupnya terasa sunyi kembali.

Sudah hampir setahun dia hidup begini. Berjauhan dengan satu-satunya anak lelaki yang dikandungnya. Bukan dia sengaja mahu meninggalkan Anas bersama orang tuanya di kampung tetapi desakan hidup memaksanya berbuat begitu. Dia tidak mahu Anas hidup susah bersamanya di ibu kota ini.

Seawal usia dua tahun, Anas terpaksa menjalani hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Dia sendiri belum puas bermanja dengan suami memandangkan usia perkahwinan mereka baru sahaja mencecah tiga tahun. Namun, dia reda dengan ketentuan-Nya. Tuhan lebih sayangkan papa Anas.

Masih dia ingat peristiwa hitam pagi itu. Suaminya, Idham, mengadu sesak nafas. Tiba-tiba suaminya rebah lalu pengsan. Apabila sampai di hospital, doktor mengesahkan yang suaminya sudah tiada. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika itu. Segala-galanya berlaku terlalu pantas.

Tanpa dia jangka.

Tanpa dia sangka.

Sekelip mata dia kehilangan suami. Insan yang diharap dapat menemaninya sehingga hari tua. Insan yang telah banyak berkorban untuknya. Mustahil dia akan bertemu dengan lelaki yang lebih baik daripada arwah suaminya itu. Walaupun ada suara-suara yang menyuruhnya mencari pengganti arwah kerana kasihan akan Anas yang masih kecil tetapi dia percaya semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Carilah papa baru untuk Anas tu. Kasihan dia.”

“Kau jangan pentingkan diri kau saja. Kau kena fikirkan anak kau tu. Dia masih kecil. Dia perlukan seorang ayah.”

Adakah dia pentingkan diri kerana enggan berkahwin lagi? Dia tahu Anas perlukan seorang ayah tetapi dia tidak mahu pertaruhkan hidup Anas. Bukan mudah hendak mencari lelaki yang sanggup menerima dirinya dan Anas.

Sufian?

Tiba-tiba dia teringatkan lamaran Sufian petang tadi. Kalau dikira dari segi tempoh masa, sememangnya dia dan Sufian sudah lama mengenali antara satu sama lain. Sejak dia bekerja di syarikat tempatnya bekerja sekarang lima tahun lalu. Sufian pula awal beberapa bulan daripadanya.

Namun begitu, hubungan mereka tidak lebih daripada rakan sepejabat. Bahkan Sufian juga tidak pernah menunjukkan tanda-tanda suka akan dia. Bercakap pun hanya mengenai urusan kerja. Manalah dia tidak terkejut apabila tiba-tiba sahaja Sufian mengajaknya berkahwin.

Dia menimbang baik dan buruk sekiranya dia menerima lamaran Sufian. Jika dia berkahwin dengan Sufian, pasti Izwan tidak akan mengganggunya lagi dan dia juga dapat bersama dengan Anas semula. Tapi, dia tidak mahu menduakan arwah suaminya.

“Apa yang patut mama buat, Anas? Patut ke mama kahwin lagi?” Sambil menatap gambar Anas pada skrin telefon pintar, Aulia menyoal dirinya sendiri.

Tiada ulasan: