Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, April 08, 2012

Kugiran SMART (Bab 19)

“JEMPUT minum, pak cik.” Azrizal menghulurkan segelas minuman kepada Encik Ahmad yang sedang duduk di sofa ruang tamu rumahnya.

“Ya, terima kasih.” Encik Ahmad menyambut gelas yang dihulurkan oleh Azrizal. Dijamah sedikit lalu diletakkan di atas meja.

Azrizal mengambil tempat di sofa. Dia masih berada dalam keadaan terkejut. Pasti ada sesuatu yang berlaku sehingga ayah Athira mencarinya di rumah. Ada apa-apa yang berlaku kepada Athira ke?

“Begini, Azrizal. Pak cik tahu Athira ada beritahu pada Aztizal yang dia dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Australia, bukan?” Encik Ahmad memulakan bicara.

“Ada, pak cik.”

“Ada tak dia cakap pada Azrizal kenapa dia tak nak pergi?”

“Tya betul-betul tak nak pergi ke, pak cik?” Azrizal menyoal kembali.

Encik Ahmad mengangguk. “Tadi Athira beritahu pak cik yang dia tak nak pergi. Dia ubah fikiran.”

Azrizal terkedu. Dia tidak sangka yang Athira benar-benar serius dengan kata-katanya siang tadi.

“Saya minta maaf, pak cik. Saya tak sangka Tya serius dengan kata-katanya. Saya ingatkan dia cuma main-main.”

“Itulah. Pak cik datang ni sebab pak cik nak minta tolong Azrizal. Tolong pujuk dan nasihatkan dia. Pak cik betul-betul harap dia akan terima tawaran tu,” pinta Encik Ahmad.

“InsyaAllah, pak cik. Nanti saya cakap dengan Tya,” janji Azrizal.

Sememangnya tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menghalang cita-cita Athira itu. Dia tahu Athira sudah lama menyimpan keinginan untuk belajar di luar negara. Sebagai teman lelaki, dia akan sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada Athira meskipun Athira tidak pernah menyokong minatnya dalam muzik.



“DAH lama ke Riz tunggu?” Pertanyaan Athira menyedarkan Azrizal daripada lamunan.

Sempat pula dia mengelamun ketika menunggu Athira di Taman Gelora itu. Azrizal membetulkan posisi duduknya.

“Tak adalah lama sangat,” jawab Azrizal. “Erm... Tya nak minum?” tanya Azrizal apabila seorang pekerja gerai di situ menghampiri mereka.

“Air tembikai satu,” Athira berkata kepada pekerja gerai itu.

Tidak berapa lama kemudian, minuman yang dipesan oleh Athira sampai. Athira menjamah minuman itu sebelum menumpukan perhatian kepada Azrizal yang duduk bertentangan dengannya.

“Apa perkara penting yang Riz nak cakapkan dengan Tya sampaikan tak boleh cakap dalam telefon?” soal Athira, tidak sabar.

Azrizal menarik nafas. Sudah semalaman dia berfikir. Dia tahu dia perlu bertegas dengan Athira. Perkara ini melibatkan masa depan Athira. Dia tidak boleh membiarkan Athira membuat keputusan yang salah. Kalau tidak, dia sendiri yang akan menyesal.

“Betul ke Tya nak tolak tawaran belajar ke Australia tu?” Azrizal meminta kepastian. Dia benar-benar berharap yang kata-kata Athira kelmarin hanya gurauan dan apabila Athira sedar yang dia terlalu mengikut emosi, dia akan kembali berfikir dengan rasional.

“Emm...” jawab Athira pendek.

“Tya yakin Tya takkan menyesal?” Azrizal sengaja ingin menduga Athira.

“Tak,” ujar Athira yakin.

“Kalau macam tu, apa kata kita kahwin?” soal Azrizal, serius.

Athira memandang Azrizal seperti tidak percaya. Kemudian, dia tertawa kecil. “Riz bergurau ke ni? Tya masih mudalah. Masih belum terfikir pasal kahwin.”

Azrizal mempamer wajah hampa. “Kenapa pula? Tua atau muda, tak penting. Yang penting, kita berdua saling menyayangi, kan?”

“Tya belum bersedia. Tya nak sambung belajar dulu,” balas Athira.

“Alah, buat apa nak belajar lagi? Bukan ke Tya kata tak nak berjauhan dengan Riz?” Azrizal menyangkal kata-kata Athira. Baginya, belajar di universiti hanya akan membazirkan wang dan waktu. Selepas tamat belajar pun, belum tentu lagi akan mendapat pekerjaan yang bagus.

“Memanglah tapi tak adalah sampai kena kahwin.” Athira cuba membuat Azrizal faham.

“Kalau Riz nak juga?” desak Azrizal.

“Tya lebih rela sambung belajar di Australia daripada kena kahwin,” Athira membantah.

“Jadi, Tya pergilah.”

Athira merenung Azrizal seperti tidak percaya akan apa yang baru didengarinya sebentar tadi.

“Riz betul-betul nak Tya pergi?” duga Athira.

Azrizal diam. Sungguhpun dia mahu Athira berada di sisinya, namun dia tahu itu tidak mungkin. Dia tidak harus terlalu mementingkan diri sendiri. Athira milik orang tuanya, jadi dia harus memikirkan akan perasaan orang tua Athira. Apatah lagi, Athira anak tunggal. Jadi, Athiralah harapan orang tuanya.

“Kalau Tya pergi, hubungan kita putus,” ugut Athira.

“Tya pergilah. Jangan fikirkan pasal Riz.” Azrizal sudah membuat keputusan tidak akan termakan dengan ugutan atau mainan kata Athira. Bukannya setahun dua dia mengenali Athira. Dia sudah masak benar dengan sikap Athira itu.

Athira termangu. Tidak menyangka kata-kata itu yang keluar daripada mulut Azrizal.

“Baik, kalau itu yang Riz nak. Tya akan pergi. Tapi jangan harap Tya nak datang pada Riz lagi!” Athira terus bangkit dan melangkah meninggalkan Azrizal.

Azrizal meraup mukanya. Mudah-mudahan keputusannya ini tepat. Maafkan Riz, Tya...



ATHIRA mempercepatkan langkah kakinya. Air mata yang mengalir di pipinya disapu dengan kasar. Dia benar-benar bodoh kerana menyangka Azrizal akan termakan dengan ugutannya dan menghalangnya pergi.

Jika dia tidak pergi ke Australia sekalipun, dia pasti dia masih dapat menyambung pelajaran di universiti tempatan. Dia sudah memikirkan perkara itu. Namun, Azrizal seolah-olah beria-ia mahu dia pergi. Seolah-olah tidak kisah langsung jika mereka tinggal berjauhan.

Kalau lelaki lain, mesti dari awal lagi mereka sudah menghalang teman wanita mereka pergi. Agaknya benarlah telahannya selama ini. Azrizal sudah tidak menyayanginya.

Tetapi jika Azrizal tidak sayangkannya, mengapa Azrizal mengajaknya berkahwin? Sejujurnya, Athira keliru. Entah apa mimpi Azrizal tiba-tiba mengajaknya berkahwin.

Bukankah umur mereka baru sahaja hendak masuk 18 tahun? Mampukah mereka memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dalam usia yang masih mentah ini? Lagipun, Azrizal sendiri tidak bekerja. Hendak beri dia makan apa?



AZRIZAL merebahkan dirinya di atas katil. Sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di bawah kepala, dia merenung siling biliknya. Ingatannya terimbau pada kata-kata ayah Athira semalam.

“Athira satu-satunya anak pak cik. Pak cik tak nak dia leka dengan dunia remajanya. Pak cik tak kisah kalau dia nak berkawan dengan Azrizal tapi bila melibatkan masa depan dia, pak cik harap dia lebih rasional dalam membuat keputusan. Mungkin Azrizal dah tak minat nak belajar, itu pak cik tak nak masuk campur. Tapi pak cik harap Azrizal tak pengaruh Athira. Pak cik nak dia belajar tinggi-tinggi dan dapat kerja yang bagus kelak. Lagipun, pak cik tak tahu sama ada hubungan Azrizal dengan Athira akan kekal selama-lamanya, bukan?”

Kata-kata ayah Athira itulah yang memaksa dia membuat keputusan begini. Ya, dia sendiri tidak dapat menjamin yang hubungannya dengan Athira akan kekal sehingga ke jinjang pelamin. Sejujurnya, dia sendiri pun tidak terlintas langsung mengenai perkara itu. Perjalanan hidupnya masih jauh.

Mungkin betul kata ayah Athira, dia harus memberikan peluang kepada Athira untuk mengejar cita-citanya. Sekurang-kurangnya, jika hubungan mereka berdua terputus di pertengahan jalan, tidak adalah Athira kecewa sangat. Justeru, dia sengaja menduga Athira dengan mengajaknya berkahwin kerana dia tahu gadis itu tidak akan bersetuju. Athira seorang gadis yang bercita-cita besar. Dia tahu Athira pasti ingin mencapai cita-citanya sebelum berkahwin.

Tanpa diduga, tiba-tiba sahaja dia mendapat idea untuk menggubah lagu. Azrizal segera bangkit daripada pembaringan. Dia mencapai gitar kayunya di sebelah katil lalu mula memainkan irama.

Seperti air yang mengalir, tangannya lancar memetik suatu irama yang dia tidak rancang. Sememangnya ideanya mudah datang apabila dia berada dalam keadaan tertekan.

Selepas mendapat irama yang lengkap, dia mencapai pen dan kertas lalu mula mencoretkan bait lirik yang terlintas dalam minda.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Smpai disini jea ending citer nie ?? Or ade bab laen lgy ?? Kalo x nk bli bku kugiran smart nie ,

Tanpa Nama berkata...

Salam,boleh saya tahu mana bab 20? Terima kasih :)

Atiqah98 berkata...

Salam, ending penuh kat novel ke?