Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Mac 01, 2012

Kugiran SMART (Bab 17)

AZRIZAL mundar-mandir sambil mulutnya riuh membebel. “Aduh, macam mana ni? Nak terima ke tak ni?” Selepas berkata begitu, dia mengeluh lagi.

Langkahnya terhenti seketika. Namun apabila teringatkan tawaran ayah saudaranya di warung mamak tadi, dia kembali mundar-mandir. Rambutnya sudah kelihatan tidak terurus akibat sering diusik.

“Idea, idea, idea...” omelnya lagi.

Shafik, Iqbal dan Shamsul yang tidak tahu apa-apa saling berpandangan. Masing-masing tidak tahu apa yang sedang dirungutkan oleh Azrizal. Datang-datang sahaja, Azrizal sudah mempamerkan wajah kusut.

“Kau ni kenapa, Riz?” tanya Shafik. Dia berasa rimas apabila melihat Azrizal mundar-mandir begitu.

Langkah Azrizal terhenti. Dia memandang kawan-kawannya. Entah bagaimana dia hendak memberitahu tentang perkara itu kepada mereka. Namun, lebih baik dia berbincang dengan mereka dahulu. Mungkin mereka bertiga mempunyai idea dan cadangan yang bernas.

Azrizal mengambil tempat di atas kerusi yang berhadapan dengan katil dan mengadap kawan-kawannya yang sedang duduk di atas katil.

“Ayah su aku nak kahwin,” ujar Azrizal. Langsung tidak menunjukkan perasaan gembira atau teruja.

“La, baguslah. Kita orang ingatkan apa bendalah tadi,” balas Iqbal. Bukankah berita itu berita gembira? Sangka mereka tadi, masalah besar apalah yang melanda temannya yang seorang itu.

“Bukan itu yang menjadi masalahnya,” bantah Azrizal.

“Habis tu?”

“Ayah su aku tawarkan kita main muzik masa majlis kenduri kahwin dia,” Azrizal membuka cerita.

Shafik, Iqbal dan Shamsul saling berpandangan. Kemudian, mereka memandang Azrizal semula. Tiba-tiba Shafik dan Iqbal bersorak keriangan dan berpelukan.

“Akhirnya kita dapat tawaran buat persembahan!” teriak mereka gembira.

Azrizal berasa hairan melihat reaksi kawan-kawannya itu. Sangkanya, mereka tidak akan bersetuju. Yalah, setakat majlis kenduri kahwin, siapalah yang hendak menyaksikan persembahan mereka?

“Kenapa kau orang macam gembira saja?” tanya Azrizal. Hairan dengan reaksi kedua-dua teman baiknya itu.

“Habis tu, takkan nak sedih pula?” soal Shafik.

“Betul tu, dah ada orang beri tawaran, mestilah kita orang gembira. Bukan senang tau nak dapat peluang macam ni,” sokong Iqbal.

“Tapi majlis kenduri kahwin saja. Kau orang tak kisah ke?” Azrizal meminta kepastian. Sebenarnya dia agak bimbang dengan penerimaan kawan-kawannya itu.

“Tak kisahlah kenduri kahwin atau gig kecil-kecilan saja. Yang pentingnya, peluang untuk kugiran kita dikenali,” Shafik menambah.

“Betul!” Iqbal menyokong kata-kata Shafik.

“Sham, kau rasa macam mana? Dari tadi, kau diam saja. Kau tak setuju ke?” Pandangan Azrizal, Shafik dan Iqbal beralih kepada Shamsul yang tidak bersuara dari tadi.

“Aku pun tak kisah. Tapi kita nak nyanyi lagu apa di kenduri kahwin tu? Kau orang kena ingat, kenduri kahwin tak sama dengan persembahan pentas. Aku takut rosak majlis orang saja,” Shamsul meluahkan kebimbangannya.

Kenduri kahwin orang Melayu biasanya dikaitkan dengan adat dan adab. Jadi, pastinya lagu-lagu yang dipilih perlu disesuaikan dengan majlis. Tidak boleh ikut suka hati sahaja. Takut nanti menimbulkan perasaan kurang senang kepada tuan rumah mahupun tetamu yang hadir.

“Itulah yang aku risaukan sebenarnya,” kata Azrizal. Akhirnya, ada juga orang yang memahami apa yang digusarkannya.

Suasana di bilik itu tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Shafik dan Iqbal mula memikirkan isu yang dibangkitkan oleh Azrizal dan Shamsul. Mereka saling berpandangan. Sudahnya, kedua-duanya mundar-mandir mencari idea.

Azrizal pula yang pening kepala melihat mereka berdua mundar-mandir di hadapannya. Tidak lama kemudian, dia bersuara, “Ha, aku dapat idea!”

“Apa?” soal Shafik, Iqbal dan Shamsul hampir serentak. Pandangan ketiga-tiganya tertumpu kepada Azrizal.



“APA kata kalau lagu-lagu kahwin yang biasa kita dengar di kenduri kahwin tu kita ubah ikut genre muzik kita?” cadang Azrizal.

“Okey juga tu. Sambil tu, bolehlah kita selitkan juga lagu-lagu kita yang bersesuaian dengan majlis,” Shamsul menambah.

‘Tapi lagu apa yang kita nak main?” tanya Shafik.

“Nanti kita fikirkan sama-sama. Ada banyak masa lagi. Tapi mungkin kita dah boleh mula buat research,” tambah Azrizal.

“Macam mana?”

“Tu.” Azrizal mengerling ke arah komputer riba Shamsul yang sememangnya sudah sedia terbuka itu.

“Jom kita mulakan sekarang!” ujar Iqbal bersemangat.

Lantas mereka berempat mula berkerumun di hadapan komputer riba Shamsul.

“Nak cari dalam Google atau YouTube?” tanya Shamsul sambil menekan-nekan papan kekunci komputer ribanya.

“Cari dalam YouTubelah senang,” cadang Azrizal.

“Nak taip lagu apa?” tanya Shamsul sejurus laman sosial YouTube memenuhi skrin komputer riba itu.

“Biasa yang popular, Selamat Pengantin Baru,” balas Shafik.

Shamsul menurut. Dia menaip ‘Selamat Pengantin Baru’ pada ruangan yang disediakan dan menekan ‘enter’.

“Banyak pula lagu Selamat Pengantin Baru ni,” ujar Shamsul apabila berpuluh-puluh lagu dengan tajuk yang sama tertera pada skrin komputer riba itu. Cuma nama penyanyi sahaja yang berbeza.

“Lagu yang sama ke lain ni?” Iqbal mencelah.

“Aku rasa ada yang sama, ada yang tak kut,” jawab Azrizal. “Cuba kau buka salah satu. Kita dengar dulu.”

Sepanjang petang itu, mereka menghabiskan masa untuk mencari lagu-lagu kahwin yang popular dalam Internet. Mana-mana lagu yang dirasakan sesuai disenaraikan dan dicatat di atas kertas.

Keesokannya, mereka menyambung dengan proses seterusnya. Perbincangan diadakan bagi memilih lagu-lagu yang dapat disesuaikan dengan genre muzik mereka. Selain itu, mereka turut berbincang tentang susunan muzik dan gubahan lagu. Mereka juga merancang untuk menyelitkan beberapa buah lagu ciptaan mereka sendiri yang dirasakan sesuai dengan tema perkahwinan.

Masing-masing memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama mencurahkan idea bagi memastikan muzik mereka sesuai dengan majlis perkahwinan tersebut. Mereka bekerja keras untuk memberikan yang terbaik untuk majlis perkahwinan itu nanti. Sungguhpun bukan konsert besar atau gig, mereka tetap mahu memberikan yang terbaik.



NOVEL cinta setebal 500 muka surat itu ditutup. Akhirnya, selesai juga dia membaca cerita itu. Sememangnya sejak peperiksaan SPM tamat, dia lebih banyak menghabiskan masanya dengan membaca buku memandangkan ibu bapanya tidak membenarkan dia bekerja.

Jam pada dinding biliknya dilihat. Baru pukul 9.00 malam. Masih terlalu awal untuk dia masuk tidur. Sedang dia berkira-kira mahu berbuat apa, pandangan matanya tertancap pada komputer riba di sebelah katil.

“Main Facebook sekejaplah,” omelnya sendirian lantas menghidupkan suis komputer riba itu.

Sememangnya dia bukanlah orang yang gilakan Internet tetapi sejak habis sekolah ini, dia tidak tahu mahu berbuat apa di rumah. Justeru, dia meminjam komputer riba ayahnya untuk mengisi masa terluang. Kemudian, ada pula kawannya yang mengajaknya membuat akaun Facebook. Demi menghilangkan rasa bosan, maka dia turutkan sahaja.

Matanya tekun memandang skrin komputer riba sebaik-baik sahaja nama pengguna dan kata laluan dimasukkan. Dia melihat ada beberapa notifications di bahagian atas profil Facebooknya itu. Maka, dia mengklik pada notifications itu. Salah satunya merupakan jemputan daripada Shafik untuk like page Kugiran SMART.

“Kugiran SMART? Page apa ni?” Dia tertanya sendiri lantas menekan tetikus pada nama page itu.

Jumlah like di sebelah kiri hanya ada 23. Dia menekan pada perkataan info bagi mengetahui tentang page itu.

“Kugiran SMART ialah sebuah kumpulan muzik yang dianggotai oleh empat orang anak muda iaitu Sham (vokalis), Riz (gitaris), Chap (bassist) dan Ball (drammer)...” Dia tersentap membaca maklumat itu. Pasti kumpulan muzik itu adalah kumpulan muzik Azrizal, Shafik dan Iqbal. Tetapi Sham?

“Siapa pula Sham ni? Jangan-jangan...”

Tiada ulasan: