Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Februari 27, 2012

Belum Ada Jodoh 21

“HEI, orang lain yang ditunggu, orang lain pula yang menelefon,” Afia membebel sendiri apabila melihat nama si pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu. Dengan rasa malas, dia melaung memanggil Noni, “Noni, pakwe kau telefon!”

Sekelip mata sahaja Noni sudah muncul di hadapannya sambil tersengih sumbing. Selepas meminta kebenaran, Noni membawa telefon bimbit Afia itu ke dalam bilik yang dihuninya bersama Ezlyn.

Afia kembali mengadap komputer ribanya. Namun, tumpuannya terganggu. Dia mula resah menantikan Noni menamatkan perbualan dengan teman lelakinya itu. Dia bimbang sekiranya Asyraf mengirimkan pesanan ringkas ke telefon bimbitnya. Dia tidak mahu membuat Asyraf tertunggu-tunggu kerana dia sendiri tidak suka menunggu. Namun, dia akan lebih bimbang jika Ezlyn dan Noni mengetahui tentang hubungannya dengan Asyraf. Dia berdoa mudah-mudahan Asyraf tidak menghubunginya tatkala telefon bimbitnya berada pada tangan Noni. Dia tidak mahu hubungan mereka diketahui oleh mereka berdua. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Semenjak pertemuan di KLCC kelmarin, mereka semakin kerap berbalas pesanan ringkas. Jika dahulu, dia sering berasa hairan apabila Ezlyn dan Noni sering bergayut di telefon bersama teman lelaki mereka pada setiap hari sampaikan dia terfikir apakah yang dibualkan oleh mereka.

Kalau setakat bertanya “Dah makan?”, “Kat mana?”, “Buat apa?”, “Saya rindu awak” atau soalan-soalan yang remeh-temeh dan klise sebegitu setiap hari, tidakkah itu hanya membazir kredit? Tidak jemukah mereka bertanya soalan yang sama hari-hari? Pada waktu itu, dia memang tidak faham. Namun, sejak akhir-akhir ini dia dapat merasakan sedikit sebanyak ‘penyakit’ itu telah menjangkiti dirinya.

Namun, mujurlah penyakitnya itu masih dapat dikawal memandangkan dia dan Asyraf cuma berhubung pada waktu malam. Ya, waktu malam sehinggalah ke subuh. Sehingga salah seorang daripada mereka berdua tertidur dahulu. Jika kedua-duanya tidak tidur, alamatnya memang tidak tidurlah mereka hingga ke pagi.

Hal itu bukan masalah besar bagi Afia kerana dia masih dapat tidur selepas subuh. Sebaliknya, Asyraf sering mengantuk di pejabat. Waktu tidurnya juga tidak menentu.



“ACAP. Acap, bangun.”

Telinganya menangkap suara yang memanggil namanya tetapi entah mengapa matanya sukar untuk dibuka. Seolah-olah digam dengan gam kapal. Tidak lama kemudian, bahunya pula digoncang kuat. Perlahan-lahan dia membuka mata.

“Lamanya Acap tidur,” tegur Salmi. Dia perasan semenjak pulang dari pejabat petang tadi, Asyraf langsung tidak keluar-keluar dari biliknya. Rupa-rupanya anak saudaranya itu sedang tidur. Kasihan pula dia melihat anak saudaranya itu. “Kalau tak larat, janganlah paksa diri. Yang penting, kesihatan kena jaga,” nasihat Salmi. Sangkanya, Asyraf tidak cukup tidur kerana melukis komik pada waktu malam.

“Tak ada apalah, Mak Mi. Acap okey saja. Dah pukul berapa ni, Mak Mi?” soalnya sambil menggosok-gosokkan matanya. Entah berapa lama dia tertidur.

“Dekat nak pukul 10.00 malam dah ni. Dah, bangun.” Salmi menepuk kaki anak saudaranya itu sebelum beredar meninggalkan Asyraf yang masih termangu di situ.
Mulut yang menguap pantas ditutup dengan tangan. Telefon bimbit yang diletakkan di sebelah bantalnya dilihat. Tiada sebarang pesanan ringkas. Mungkin Afia juga sepertinya, dilanda rasa mengantuk.

Sejurus kemudian, dia bingkas dari katil dan menuju ke bilik air.



MALAM ini dia nekad untuk menyudahkan lakarannya. Sekurang-kurangnya satu muka surat. Niatnya untuk menyambung kerja-kerja melukis di rumah petang tadi tergendala apabila matanya terkatup dengan sendiri tanpa disedari. Pensel dan kertas di atas meja dicapai lantas jari-jemarinya mula melakar sesuatu pada kertas putih bersaiz A4 itu. Namun baru sahaja beberapa garisan dilukis, hatinya berasa tidak tenteram. Seperti ada sesuatu yang kurang.

Pandangan matanya dialih ke arah telefon bimbit. Dia berkira-kira sama ada ingin menghubungi seseorang atau tidak. Adakalanya dia sudah cuba melawan kehendak hatinya itu. Tetapi… Ah, dia tidak mampu melawan keinginan hatinya! Pensel di tangannya dilepaskan dan telefon bimbit itu digenggam. Pantas jari-jemarinya menaip sebaris ayat lalu menekan punat ‘hantar’.

Sementara menunggu pesanan ringkasnya dibalas, dia termenung sendiri. Apa dah jadi pada aku ni? Tak pernah-pernah aku macam ni. Apalah yang Afia ni dah buat pada aku?



“CEPATLAH, Noni oi. Kalau nak bergayut lama-lama, suruh sajalah pakwe kau tu belikan telefon bimbit baru untuk kau. Orang lain pun nak guna telefon juga,” rungut Afia sambil melihat jam pada skrin komputer ribanya. Sudah hampir satu jam telefon bimbitnya berada pada tangan Noni. Takkan tidak habis-habis lagi bercerita?

Adakalanya Afia berdoa semoga dia dikurniakan mulut yang laser supaya dia dapat berterus terang tentang apa-apa sahaja yang dia tidak berpuas hati. Namun sayangnya, dia tidak begitu. Dia lebih memikirkan perasaan orang lain daripada perasaannya sendiri. Justeru, dia tidak sampai hati hendak berterus terang kepada Noni yang dia tidak suka telefon bimbitnya digunakan oleh Noni untuk berhubung dengan teman lelakinya.

Pernah juga dia bertanya mengapa hanya telefon bimbitnya yang dijadikan sasaran? Mengapa tidak telefon bimbit Ezlyn?

Jawab Noni, “Alah, kau kan tahu macam mana perangai pakwe Lyn tu? Jangan kata nak bercakap, kalau lelaki lain pandang Lyn pun, nahas dikerjakannya. Inikan pula kalau dia tahu pakwe aku selalu telefon Lyn untuk cakap dengan aku. Lagipun, pakwe Lyn pun kan selalu telefon dia? Lainlah kau. Kau kan tak ada siapa-siapa. Jadi, tak ada siapa-siapa yang nak marah, bukan?”

Dahulu memanglah dia tidak kisah kerana dia menyangka perkara itu hanya sementara tetapi sehingga ke hari ini, Noni masih belum membeli telefon bimbit baru. Meskipun dia tidak bersuara, tetapi dia juga berharap Noni akan menyedari tentang perkara itu sendiri. Sampai bila Noni hendak menggunakan telefon bimbitnya?



“BYE, sayang. I love you too,” ucap Noni sebelum mengakhiri perbualan dengan teman lelakinya. Ketika dia hendak menekan butang panggilan tamat, tanpa sengaja dia tertekan butang baca mesej yang mungkin sampai ketika dia sedang berbual-bual dengan teman lelakinya tadi.

Noni ingin kembali ke menu utama tatkala dia terlihat nama Asyraf sebagai pengirim pesanan ringkas itu. Serta merta rasa ingin tahunya membuak-buak. Lebih-lebih lagi apabila nama Asyraf penuh dalam peti mesej telefon bimbit Afia itu.

“Lyn…” dia memanggil Ezlyn.

“Apa?” Ezlyn yang sedang khusyuk menonton DVD yang dipasang di komputernya bertanya dengan acuh tidak acuh. Dia tidak suka konsentrasinya diganggu.

“Kau tengok ni.” Noni menunjukkan kiriman pesanan ringkas dalam telefon bimbit Afia itu kepada Ezlyn.

Ezlyn mengambilnya dengan malas. Namun seketika kemudian, matanya membulat. Dia memandang Noni. “Ni mamat yang kita jumpa kat KL Sentral hari tu ke? Sejak bila Afia berhubung dengan dia?”

Noni menjongket bahu.

Mereka berbalas pandangan.

Tiada ulasan: