Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Mac 20, 2012

CERPEN : Pilihan Hati (edisi kemas kini)



INAI di jari direnung. Pakaian yang tersarung pada badan dilihat. Katil yang dihias indah juga diperhati.

Semua persiapan sudah dibuat. Semua kad jemputan sudah diedarkan. Khemah di depan rumah juga sudah didirikan. Malah, sudah ada tetamu yang datang. Bunyi riuh-rendah di halaman rumah itu dapat didengari hingga ke bilik itu.

Pandangan matanya dihala ke arah jam yang tergantung pada dinding bilik itu. Kurang satu jam sahaja lagi, statusnya akan berubah. Lantaran itu juga, degupan jantungnya semakin deras.

Tiga bulan lalu, hari inilah yang paling dinanti-nantikannya. Sepanjang waktu itu, setiap hari dia berdoa mudah-mudahan majlis pada hari ini akan berjalan dengan lancar dan selamat tanpa apa-apa halangan. Dia tidak pernah meragui pilihan hatinya. Namun mengapa hatinya berasa waswas dengan tiba-tiba? Benarkah pilihan hatinya ini tepat?

Ah, ini semua Shima punya pasal! Kalau bukan disebabkan cerita teman baiknya itu, pasti dia tidak dilanda perasaan berbelah bagi begini.

Sebenarnya dia sendiri berasa terkejut apabila Shima memberitahu tentang khabar lelaki itu yang kini kembali solo. Apa yang menghairankannya ialah ini bukanlah kali pertama lelaki itu ditinggalkan oleh teman wanitanya. Sudah lebih daripada tiga kali!

Baginya, Luqman seorang lelaki yang cukup serba serbi. Kacak, tinggi, punya kerjaya yang baik, peramah… Pendek kata, Luqman mempunyai ciri-ciri teman lelaki yang diidamkan oleh setiap wanita. Tetapi dia tidak faham mengapa wanita-wanita itu meninggalkan lelaki sebaik Luqman.

Ah, mengapa pula dia perlu memikirkan tentang Luqman? Bukankah itu semua pilihan Luqman sendiri? Kalaulah Luqman memilihnya dari dulu lagi, nescaya dia tidak akan ditinggalkan.

“Astagfirullah al-Azim… Apa yang kau fikirkan ni, Alia? Ingat sikit, kau tu dah nak kahwin! Kau dah buat pilihan. Jangan nak buat hal.” Alia memarahi dirinya sendiri. Dia tidak patut goyah pada saat-saat begini. Mungkin semua ini hanya mainan perasaan ketika dia sedang berdebar meniti hari bahagia. Bak kata seorang temannya yang sudah berkahwin, pada waktu-waktu beginilah hati kita akan diuji dengan berbagai-bagai perasaan. Tetapi bagaimana jika kata-kata Shima benar?



“LIA, betul ke kau nak kahwin dengan Hairul?” tanya Shima tiba-tiba ketika malam berinai semalam.

“Betullah. Kenapa pula tak betul?” balas Alia sambil tersenyum manis. Wajahnya berseri-seri.

“Kau tak rasa terburu-buru ke?” tanya Shima lagi.

Alia cuma tersenyum. Dia tahu Shima masih tidak percaya yang dia dan Hairul akan berkahwin juga akhirnya. Ah, jangan kata Shima, dia sendiri pun masih tidak percaya. Seolah-olah dia hanya bermimpi. Masakan tidak, wanita yang tidak pernah bercinta ketika alam persekolahan hingga ke alam universiti sepertinya akan berkahwin dahulu daripada teman-temannya yang bercinta bagai nak rak ketika belajar di universiti dahulu.

“Aku rasa tak. Lagipun, dah tiga tahun kita orang bercinta, kan?” Alia tetap tersenyum. Tempoh tiga tahun sudah cukup lama baginya lantaran dia sendiri tidak suka bercinta lama-lama tetapi dia juga tidak sebegitu yakin untuk terus bernikah dalam tempoh perkenalan yang singkat.

Namun begitu, dia tetap percaya dan yakin kepada Hairul. Memang sejak dari awal perkenalan, Hairul sudah menyatakan hasrat untuk menikahinya. Cuma Hairul meminta tempoh dua hingga tiga tahun untuk mengumpul harta walaupun dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Yalah, usia Hairul enam tahun lebih tua daripadanya. Jadi, pastilah Hairul sudah bersedia untuk berumah tangga.

Ketika itu, dia tidak mengambil serius akan kata-kata Hairul. Dia tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana dia tidak mahu kecewa jika hubungan mereka terputus di pertengahan jalan. Apatah lagi dia sudah melihat kekecewaan teman-temannya akibat cinta tidak kesampaian meskipun sudah bercinta bertahun-tahun. Namun alhamdulillah, ternyata jodohnya memang dengan Hairul.

“Tapi macam mana kalau ada lelaki lain yang lebih baik untuk kau?” duga Shima.

“Maksud kau?” Alia mula tidak senang dengan kata-kata teman baiknya itu. Adakah Shima cuba menyampaikan sesuatu kepadanya?

“Kalau aku cakap, kau jangan marah tau.” Shima kelihatan teragak-agak. Bimbang perasaan si teman akan terluka. “Aku rasa Hairul tu tak sesuai dengan kaulah.”

“Sebab dia gemuk?” tebak Alia.

Shima terdiam. Dia mula berasa bersalah. “Kau marah ke, Lia?”

Alia tidak menjawab. Sememangnya Shima bukan orang pertama yang berpendapat sebegitu. Bukannya dia tidak tahu ramai yang mengatakan dia dengan Hairul tidak sepadan hanya kerana saiz fizikal mereka berbeza.

Ya, dia mengaku pada mulanya, dia juga berasa malu untuk berdampingan dengan Hairul di tempat awam. Setiap kali mereka berjalan beriringan, pasti ada mata yang memandang dengan wajah yang sukar ditafsirkannya. Walaupun mereka tidak berpegangan tangan, tetapi dia pasti orang yang melihat dapat membaca hubungan mereka. Namun lama-kelamaan, dia sudah tidak peduli dengan pandangan orang lain. Bukan pandangan orang yang beri dia kebahagiaan. Yang penting, dia dan Hairul bahagia ketika bersama.

Mungkin Hairul tidak kacak tetapi Hairul tetap comel pada pandangan matanya. Dia tidak buta kerana cinta tetapi dia percaya Tuhan pasti ada alasan mengapa perasaan itu dianugerahkan dalam hatinya untuk Hairul. Lagipun, rupa bukanlah segala-galanya dalam dunia ini.

Hairul sentiasa berada di sisinya dan sedia mendengar segala luahan hatinya apabila dia menghadapi masalah di tempat kerja. Hairul juga banyak memberi nasihat dan teguran jika dia melakukan kesalahan. Malah, Hairul langsung tidak pernah memperkecilkan atau mengungkit kekurangannya.

Dia juga berasa bersyukur kerana keluarganya sangat memahami dan tidak memandang soal rupa atau harta. Keluarganya menerima Hairul seadanya.

“Okeylah, kita tolak soal rupa. Macam mana pula dengan kerja dia? Berapa sangat gaji dia kerja kerani tu untuk sara hidup kau?” Shima masih tidak berputus asa untuk menguji pendirian Alia.

“Aku kan masih bekerja.” Alia tidak merasakan perkara itu sebagai masalah besar memandangkan dia masih bekerja dan mampu menyara hidupnya sendiri. Tambahan pula, dia bukanlah wanita yang gila membeli-belah menghabiskan duit suami seperti sesetengah wanita. Asal cukup makan dan pakai, dia sudah bersyukur.

Malah, sebelum melamarnya, Hairul sudah menyiapkan segala-galanya. Rumah, kereta dan sebagainya untuk keperluan mereka selepas berumah tangga. Walaupun bukanlah rumah mewah atau kereta besar, tetapi semua itu sudah memadai baginya memandangkan dia sendiri pun bukanlah orang yang senang. Sejak kecil lagi, dia sudah dididik untuk bersederhana dalam setiap perkara.

“Itulah yang aku nak cakap ni. Semalam Luqman jumpa aku. Dia tanya pasal kau.” Akhirnya Shima meluahkan arah sebenar topik perbualan itu.

Alia tidak bersuara. Dia menunggu Shima meneruskan ceritanya. Namun dalam hati, dia tertanya sendiri. Mengapa tiba-tiba sahaja Luqman bertanyakan mengenainya setelah tiga tahun mereka tidak berhubung?

“Dia kata dia menyesal dia tak pilih kau. Bila aku beritahu yang kau nak kahwin, macam-macam yang dia tanya. Siapa bakal suami kau, kerja apa, semualah. Aku pun ceritalah pasal Hairul. Lepas tu, dia kata kalau kau dengan dia, dia akan pastikan yang kau tak perlu bekerja. Semua keperluan kau, dia akan sediakan.” Shima menceritakan semua yang dikatakan oleh Luqman tanpa meninggalkan satu perkara pun. Dia mahu Alia menilai semula keputusannya untuk berkahwin dengan Hairul.

“Aku rasa kau dengan dia memang padanlah, Lia. Dua-dua sama cantik dan dua-dua sama padan,” Shima menambah.

“Aku dah nak kahwin esok, Shima,” tegas Alia meskipun sedikit sebanyak dia terkesan juga dengan cerita Shima itu. Akhirnya Luqman menyedari kehadirannya tetapi sayangnya semuanya sudah terlambat. Mengapa tidak dari dulu Luqman sedar akan kewujudannya sedangkan dia sentiasa ada bersama Luqman setiap kali teman wanita Luqman meninggalkannya?

Pada mulanya, dia mengaku terlalu sukar untuk melupakan Luqman. Namun lama-kelamaan, dia sendiri tidak sedar bila masa bayang Luqman pergi dari hidupnya. Kehadiran Hairul seolah-olah membuatkan dia terlupa akan Luqman. Kalau boleh, dia tidak mahu tahu langsung mengenai Luqman. Biarlah semua itu tersimpan dalam lipatan sejarah hidupnya. Sudah takdir mereka tiada jodoh. Dia reda.

“Tapi kau belum berkahwin. Masih ada masa untuk kau batalkan semua ni. Mungkin jodoh kau memang dengan Luqman,” pujuk Shima.

Alia memandang Shima. Dia bungkam. Mengapa dia perlu tahu tentang Luqman tatkala hatinya sudah terisi? Bukankah Luqman sendiri yang memilih untuk menjarakkan diri? Ya Allah, adakah dia masih diberikan kesempatan untuk memilih teman hidupnya?



“SAYANG buat apa kat luar ni?”

Tangan yang melingkar di pinggang Alia mengejutkan lamunannya yang sedang berdiri di balkoni. Jauh benar dia mengelamun sehingga mengabaikan suami yang baru seminggu dinikahinya itu. Mereka kini masih dalam suasana bulan madu.

“Apa yang sayang menungkan tadi?” soal suaminya seraya mengeratkan pelukan. Dagu suaminya mendarat pada bahunya.

Dia membalas dengan menggenggam tangan suaminya. Terasa bahagia tatkala diperlakukan sebegitu. “Tak ada apa-apalah. Saja tengok pemandangan kat luar ni. Cantik, kan?” dalihnya sambil pandangan mata masih melekat pada pemandangan di luar rumah pangsapuri itu.

“Yalah tu tak ada apa-apa. Tu mesti tengah fikirkan hal hari tu, kan? Berapa kali abang nak cakap, jangan fikir yang bukan-bukan lagi, okey?” pujuk si suami lembut.

Mendengarkan kata-kata itu, Alia meleraikan pelukan suaminya lantas berpaling mengadap suaminya itu. Mukanya masih mencerminkan perasaan tidak puas hati. Entah bagaimana suaminya itu boleh berlagak tenang sedangkan dia hampir-hampir membuat pilihan yang mungkin akan membuatkan dia menyesal seumur hidup. Bagaimana sekiranya dia meneruskan niatnya untuk berkahwin dengan pilihan yang salah?

“Ee, tengok ni!” Tiba-tiba suaminya berteriak separuh cemas sambil memegang atas kepalanya.

“Kenapa?” Dia turut berasa cemas. Automatik tubuhnya jadi statik. Kenapa dengan rambutnya? Ada sesuatu ke? Daun? Kalau daun, okey lagi. Kalau ulat? Dia mula mempamer reaksi geli.

“Dah beruban sebab banyak sangat berfikir,” usik suaminya sambil ketawa kecil. Geli hati melihat mimik muka isterinya itu.

Alia yang sedar dirinya dipermainkan memukul dada suaminya perlahan. “Jahat tau! Kalau Lia ada uban, abang dah tak nak kat Lia lah ya?” Alia berpura-pura merajuk.

“Mana ada abang cakap macam tu. Kalau Lia ada uban satu kepala pun, abang tetap sayangkan Lia. Abang nak bersama-sama Lia sampai ke akhir hayat,” janji suaminya itu sambil memegang tangannya kemas.

“Eleh, belum beruban lagi, bolehlah cakap macam tu.” Alia masih tidak mempercayai kata-kata suaminya itu. Adakalanya dia takut untuk mempercayai janji-janji manis yang dilontarkan oleh suaminya itu. Bimbang sekiranya janji-janji manis itu hanya tinggal janji. Kelak dia juga yang merana.

“Tengok tu, bila abang cakap aje, sayang tak percaya. Dah jadi isteri abang pun masih tak percaya dengan abang? Dulu sayang kata bila dah kahwin, baru sayang akan percaya seratus peratus dengan abang, kan?”

Alia berpura-pura tidak ingat. “Ya ke? Ada ke Lia cakap macam tu?”

“Pura-pura tak ingatlah tu. Kalau Lia tak nak percayakan abang, terpulanglah.” Kini giliran suaminya pula yang merajuk.

Alia mula kalut. “Abang nak pergi mana pulak tu?”

“Ke dapurlah. Masak makanan tengah hari. Takkan nak tunggu Lia masak pulak? Lia bukannya pandai masak sangat pun.” Dalam rajuk, suaminya masih sempat menyindir.

“Amboi, mengungkit nampak? Hari tu siapa yang kata tak kisah kalau Lia tak pandai masak? Memang tak boleh percaya kata-kata manis lelaki ni. Sebelum dapat, bukan main lagi tapi bila dah dapat...”

“Lia tak penat ke membebel? Mari sini cepat, tolong abang masak!” suaminya mencelah sebelum dia membebel dengan lebih panjang.

Walaupun masih ada perasaan tidak puas hati terhadap suaminya, dia menurut juga ajakan suaminya itu. Langkah kakinya diatur ke dapur.

Seketika kemudian, riuh-rendah dapur itu dengan suara mereka suami isteri. Sememangnya sesi gaduh-gaduh manja itulah yang mewarnai alam rumah tangga mereka yang masih hijau itu.

Alia semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Dia bahagia bergelar isteri kepada lelaki di hadapannya itu. Seorang lelaki yang penyabar dan penyayang. Ya, isteri kepada Hairul Abdul Rahim. Dia yakin pilihan hatinya ini tepat.

Meskipun Hairul tidak sekacak Luqman, tidak punya kerjaya sebaik Luqman, tidak digilai ramai wanita, tetapi dia yakin Hairul mampu melengkapkan hidupnya. Dia tahu Hairul serba kekurangan jika dibandingkan dengan Luqman, tetapi dia juga bukanlah sempurna sangat.

Dia tidak mahir memasak, tidak pandai bergaya, tidak mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau semua ciri yang diidamkan oleh seorang lelaki untuk mencari calon isteri, tetapi Hairul tetap memilihnya sebagai isteri. Haruskah dia meminta lebih lagi?

Dia bersyukur kerana tidak terpengaruh dengan kata-kata Shima. Apa yang terjadi kepada Luqman, dia juga tidak mahu ambil tahu lagi. Yang penting sekarang, rumah tangganya bersama suami tercinta. Pilihan hatinya adalah tepat. Dia yakin.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cerita menarik tetapi terlalu pendek la...lg satu x tau apa yg jadi ari 2, yg hairul 2 sebut kat isteri dia...harap komen saya tak terlalu teruk untuk penulis..sy bukan la pandai tulis cerpen tp saya cukup suka membaca karya2 rakan2 online ni...ape pun sy still enjoy.. :)

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

Eh, tidak mengapa. Terima kasih atas komen ini :)

Perkara yang Hairul maksudkan tu ialah tentang Alia yang tersepit untuk buat pilihan antara Hairul dan Luqman pada hari perkahwinan mereka. Lepas kahwin, Alia ada cerita kat Hairul la kononnya. Hehe~