Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Januari 18, 2011

Belum Ada Jodoh 18

JAM di tangan kirinya dilihat lagi. Hampir ke pukul 10.40 pagi. Sudah 40 minit dari waktu yang dijanjikan.

‘Isy, manalah dia ni?’ Afia merungut sendiri. Perutnya sudah mendendangkan pelbagai rentak dan irama, minta diisi. Salahnya sendiri yang liat hendak bersarapan sebelum bertolak dari kolej tadi. Mungkin kerana perasaan berdebar-debarnya mengatasi rasa laparnya.

Seingat Afia, degupan jantungnya tidak adalah sekuat ini ketika mereka mengatur pertemuan pertama dahulu. Sepanjang tempoh hampir sebulan tidak bersua, hanya telefon bimbit yang menjadi penghubung mereka. Entah mengapa hatinya berasa berbunga-bunga. Tidak seperti pertemuan pertama mereka dahulu. Adakah dia sudah dilamun cinta?

Ah, mustahil aku jatuh cinta dengan orang yang aku tak kenal! Afia cuba menidakkan perasaan aneh yang mula singgah di hatinya. Pandangannya ditala ke setiap orang yang lalu-lalang di situ. Mencari-cari wajah yang dinanti. Macam manalah agaknya rupa dia sekarang, ya? Isy, takkanlah boleh berubah kut? Lagipun, baru saja sebulan lebih kita orang tak jumpa. Bukannya setahun. Ah, kenapa hati aku semakin berdebar-debar ni?

Afia membelek penampilannya pada hari itu. Tiada apa yang berbeza. Dia tetap mengenakan baju-T lengan panjang seperti kebiasaannya. Jika gadis lain, pasti sudah bermekap dan berhias sakan untuk menghadiri janji temu pertama. Tetapi bukan dia. Dia cuma akan berhias hanya untuk suaminya yang sah. Tatkala Afia sibuk membetulkan tudungnya, suatu suara menyapa gegendang telinganya.

“Hai, lama tunggu?”

Afia sedikit tersentak. Tiba-tiba sahaja suara yang dahulunya dianggap biasa kedengaran merdu di telinganya. Segera dia menoleh ke arah suara itu. Spontan bibirnya mengukir senyuman tatkala wajah pemuda itu menghiasi pandangan matanya. Bukan sahaja suara, malah wajah yang dahulunya kelihatan biasa-biasa sahaja padanya kini tampak kacak. Hatinya mula bergetar.

“Hai, lamalah juga,” balas Afia.

Walaupun selalunya dia tidak suka menunggu tetapi kali ini entah mengapa dia tidak marah. Kalau Ezlyn, Noni dan Yusri, pasti ringan sahaja mulutnya membebel memarahi mereka. Namun mungkin juga kerana dia sudah diberitahu lebih awal tentang kelewatan itu. Dia sendiri sudah sedia maklum akan perkhidmatan komuter yang sering tertunda itu.

“Maaflah, saya lambat. Awak dah sarapan?” soal pemuda itu lagi.

“Belum. Lapar,” ujar Afia sedikit manja. Ah, entah mengapa tiba-tiba sahaja dia diserang penyakit manja padahal dengan ibu bapanya sendiri pun dia tidak pernah bermanja!

“La, kenapa tak sarapan lagi? Masuk angin nanti baru tau,” ujar pemuda itu, prihatin.

“Awak dah makan ke?” tanya Afia kembali tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya. Takkan dia hendak kata yang dia tidak makan kerana gemuruh dan berdebar-debar dengan janji temu pertama mereka itu?

“Belum. Awak nak makan kat sini ke?” Pemuda itu melilau ke arah kedai-kedai makan yang terdapat di situ. Di mana-mana sahaja penuh dengan pengunjung. Mungkin ramai yang sudah mula mencari tempat untuk makan tengah hari.

“Kita makan kat KLCClah,” saran Afia.

“Awak boleh tahan ke?”

“Boleh.”

“Jom.”

Mereka beriringan ke kaunter tiket LRT.



SUASANA di situ agak sesak dengan kebanjiran lautan manusia yang berlumba-lumba hendak ke destinasi masing-masing. Mungkin masing-masing mahu melepaskan tekanan atau berseronok-seronok selepas lima hari bekerja dari pagi hingga ke petang, malah mungkin ada yang hingga ke malam.

“Kita nak buat apa kat KLCC?” soal Afia ketika mereka berdua menapak ke dalam LRT yang akan membawa mereka ke KLCC. Memandangkan kesemua tempat duduk sudah penuh, terpaksalah mereka berdiri. Mujur dari situ ke KLCC cuma selang beberapa stesen sahaja.

“Hmm… kita tengok wayang, nak?” cadang Asyraf. Itulah antara aktiviti kegemarannya pada masa lapang. Namun, dia tidak pasti sama ada Afia juga menggemarinya ataupun tidak.

“Tengok wayang?” Afia kelihatan serba salah dengan cadangan itu.

“Kenapa? Awak tak suka, ya?” tebak Asyraf.

“Err… sebenarnya saya tak pernah masuk panggung wayang pun,” ujar Afia. Adakah Asyraf akan mentertawakannya?

“Hah, biar betul? Awak bergurau saja, kan?” Asyraf tidak percaya.

“Betullah,” tegas Afia. Dia tidak suka apabila orang meragui kejujurannya sedangkan dia tidak pernah menipu, malah dia cukup pantang dengan orang yang menipu.

“Kawan-kawan awak tak pernah ajak awak tengok wayang ke?” tanya Asyraf. Kalau sudah tinggal di bandar, mustahil panggung wayang pun Afia tidak pernah jejak.

“Memanglah dia orang pernah ajak tapi saya tak nak,” terang Afia. Apabila sesekali dia, Ezlyn dan Noni keluar ke Kuala Lumpur, ada juga mereka mengajaknya menonton wayang tetapi dia yang tidak mahu. Nasib baik juga di Shah Alam tidak ada panggung wayang, jadi tidaklah dia terasa hendak menonton wayang.

“Kenapa?” tanya Asyraf, ingin tahu.

“Sebab mak saya tak bagi kut. Mak saya kata panggung wayang tu tempat maksiat,” jawab Afia, jujur.

“Sebab gelap?” teka Asyraf.

Afia menjongket bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaannya di dalam panggung wayang yang sebenarnya. Yang dia tahu ada skrin besar dan banyak kerusi. Itu sahaja.

“Alah, kalau nak buat maksiat, kat mana-mana pun boleh. Tak kisahlah terang ke gelap. Yang penting, niat kita. Macam saya, saya masuk panggung wayang sebab nak tengok wayang saja. Nak relakskan otak selain cari idea,” terang Asyraf. Dalam hatinya terdetik, masih ada lagi anak gadis seperti Afia. Tetapi kalau sudah itu prinsip Afia, dia akan menghormatinya.

“Idea? Awak cari idea untuk apa? Awak kata awak kerja kerani saja,” ujar Afia. Jadi kerani pun kena cari idea ke?

“Nanti awak tahulah. Jom.” Asyraf pantas melangkah ke luar sebaik-baik sahaja pintu LRT itu dibuka di stesen KLCC.

Afia mengekorinya.

“Awak nak makan apa?” soal Asyraf ketika mereka menaiki eskalator untuk ke tingkat atas.

“Saya tak kisah. Ikut awaklah. Awak yang belanja, bukan?” seloroh Afia. Setelah banyak kali berbalas pesanan ringkas di telefon bimbit, Afia sudah tidak berasa kekok untuk berbual-bual dengan Asyraf. Malah dia sudah pandai bergurau.

“Kalau macam tu, kita makan kat medan selera sajalah. Boleh?” cadang Asyraf. Dia tidak kisah jika membelanja Afia kerana dia sendiri sudah sedia maklum akan keadaan kewangan seorang pelajar seperti Afia.

“Saya tak kisah. Tapi, medan selera tu kat mana?” tanya Afia selamba. Sudah memang dia tidak tahu, jadi dia tanyalah.

“Kat tingkat tiga. Awak tak pernah datang sini ke?” soal Asyraf. Hairan dengan pertanyaan Afia.

Mereka sudah melepasi mesin pemeriksaan tiket.

“Dalam sekali dua saja. Itu pun cuma pergi kedai buku saja. Jauhlah nak datang sini dari Shah Alam. Awak selalu datang sini ke?” Afia membalas pertanyaan Asyraf. Bukan semua orang tahu akan selok-belok di KLCC ini, apatah lagi orang yang jarang-jarang ke sini sepertinya.

“Selalu juga,” balas Asyraf tanpa berselindung.

“Tengok wayang?” tebak Afia.

“Haah.”

“Biasa awak tengok wayang dengan siapa?” duga Afia, ingin tahu. Bukankah biasanya menonton wayang itu sinonim dengan pasangan yang sedang bercinta? Entah-entah Asyraf sudah mempunyai teman wanita?

“Sorang-sorang saja.”

“Kenapa tak ajak kawan?”

Awek ke? Pertanyaan itu hanya terluah dalam hati.

“Malaslah. Leceh.”

“Habis, awak ajak saya ni?”

Asyraf cuma tersenyum tanpa menjawab pertanyaan itu.



“AWAK kata ada benda yang awak nak bagi pada saya. Apa dia?” tanya Afia ketika mereka berdua menikmati hidangan makanan tengah hari di medan selera KLCC.

Suasana di situ mulai sesak dengan kehadiran pengunjung yang mahu makan tengah hari. Mujur mereka berdua sempat mendapatkan meja kosong. Kalau tidak, jenuh juga hendak mencari tempat duduk di tengah kebanjiran manusia itu.

Asyraf mengeluarkan sebungkus plastik dari dalam beg galasnya lalu menghulurkannya kepada Afia.

Dahi Afia berkerut. Namun, huluran itu disambut juga. Segera bungkusan plastik itu dibuka dan dilihat isi di dalamnya.

“Komik?” Afia terpinga-pinga, tidak mengerti apa motif Asyraf memberikan komik itu kepadanya sedangkan dia bukannya peminat komik.

“Awak ingat lagi tak sampul surat saya yang awak jumpa masa pertama kali kita jumpa dulu?” tanya Asyraf.

Afia mengangguk. Namun dia masih tidak dapat menangkap makna di sebalik pertanyaan itu.

“Sebenarnya kat dalam sampul tu ada manuskrip komik saya. Inilah dia,” terang Asyraf. Di wajahnya terpancar perasaan puas dan gembira dengan kelahiran buku komik sulungnya itu.

“Awak yang lukis ni?” Afia membelek-belek buku komik di tangannya itu. Terdetik rasa kagum dalam hatinya. Tidak sangka pemuda di hadapannya itu mempunyai bakat melukis. Jika dilihat dari luaran, rupa Asyraf tidaklah seperti pelukis yang biasa dilihatnya yakni berambut panjang, bahkan rambutnya dipotong pendek dan kemas. Kemudian, Afia mula tersedar akan sesuatu. “Eh, tapi bukan ke awak kata awak kerja kerani saja?”

“Memanglah. Melukis ni sambilan saja,” terang Asyraf lagi. Pada mulanya dia memang segan hendak memberitahu Afia tentang pekerjaannya sebagai kerani, namun apabila difikirkan semula, dia tidak mahu menipu Afia. Biarlah Afia menerima dirinya apa adanya.

Afia melihat nama yang tertera pada kulit buku komik tersebut. “Kenapa guna nama Yap? Nanti orang ingat orang Cina pula yang lukis.”

“Masa kat sekolah rendah dulu saya ada seorang kawan yang berbangsa Cina. Dia tak pandai nak sebut nama saya, Asyraf. Dia selalu panggil saya Yap. Jadi, lama-kelamaan nama tu terus melekat. Tapi keluarga saya tak panggil saya Yaplah,” cerita Asyraf.

“Keluarga awak panggil awak apa?” soal Afia, ingin tahu. Masih banyak yang dia belum tahu mengenai Asyraf. Yang dia tahu, Asyraf tinggal bersama ibu saudaranya di Kajang kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia. Asyraf pula jarang-jarang menceritakan perihal keluarganya. Hanya memberitahu yang dia mempunyai dua orang abang.

“Acap.”

“Acap? Jadi, saya kena panggil awak apa pula?”

“Mana-manalah yang awak rasa selesa.”

“Panggil abang, boleh? Abang Yap…” usik Afia lantaran dia tahu yang Asyraf tidak suka dirinya dipanggil dengan panggilan abang.

“Tak naklah. Nanti saya rasa tua pula,” bantah Asyraf, berpura-pura serius.

“Dah memang awak tua pun. Tak nak mengaku pula.” Afia tertawa kecil seraya membelek komik yang diberi Asyraf dengan penuh minat.

Asyraf cuma tersenyum senang.



SELEPAS mengisi perut, mereka menapak di kedai buku Kinokuniya selepas Afia berkeras tidak mahu menonton wayang. Seperti jangkaan Asyraf, Afia akan menerpa ke rak buku novel seperti remaja perempuan yang lain.

Asyraf menghampiri Afia yang leka membelek-belek novel yang disusun di rak itu. “Mesti awak ni seorang yang jiwang, bukan?” soal Asyraf sambil tangannya mencapai salah sebuah novel di situ dan membeleknya. Kemudian, dia meletakkan kembali novel itu ke tempatnya. Matanya cepat pening apabila melihat muka surat yang penuh dengan teks itu.

“Kenapa pula?” tanya Afia, tidak mengerti. Entah bila masa pula dia jiwang.

“Yalah, dah awak suka baca novel,” balas Asyraf.

“Novel sekarang ada macam-macam genre tau. Tak semestinya bertemakan cinta. Ada fantasi, fiksyen sains, thriller, seram…” bidas Afia. Baginya, orang yang mengatakan novel itu jiwang pastinya bukan pembaca novel kerana sudah jelas mereka tidak mengetahui dunia novel yang sebenar. Dia sangat tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan novel itu jiwang dan hanya sekadar bahan bacaan picisan. Baginya, novel juga mampu mendidik pembaca walau novel cinta sekalipun. Meskipun cara penyampaiannya tidak secara direct, tetapi setiap kisah yang dicoretkan pasti mempunyai mesej atau pengajaran yang terselit.

“Ya ke? Jadi, awak suka baca novel yang macam mana?” tanya Asyraf sambil matanya memerhatikan pelbagai judul novel yang terdapat di rak itu.

“Saya kurang menumpukan pada satu-satu genre. Semua genre saya baca tapi setiap kali nak beli novel, saya akan tengok cover, tajuk dan blurb kat belakang novel tu dulu. Kalau saya rasa menarik, saya belilah,” ujar Afia sambil membelek-belek beberapa buah novel yang nampak menarik pada pandangan matanya.

“Tapi orang selalu kata jangan menilai sesuatu buku itu melalui covernya saja,” komen Asyraf.

“Betul, tapi hakikatnya pembaca kat Malaysia ni akan melihat pada covernya dulu. Bagi saya, benda tu tak salah sebab apa-apa hal pun, cover yang akan menarik perhatian pembeli dulu selain nama penulis dan tajuk. Bukan ke mata kita ni mudah tertarik pada sesuatu yang cantik?” bidas Afia.

“Tapi kenapa saya rasa cover novel-novel ni agak membosankan? Nampak cincai pun ya juga,” komen Asyraf, jujur.

“Sebab itu saya rasa blurb juga memainkan peranan yang penting dalam menarik perhatian pembeli,” jawab Afia. Pendapat Asyraf itu memang tidak dinafikannya. Itulah kenyataannya. Masih banyak syarikat penerbitan di Malaysia yang kurang menitikberatkan kulit luar sesuatu buku atau novel. Mungkin bagi mereka, apa yang penting ialah jalan cerita. Asalkan jalan ceritanya menarik, pasti pembaca akan tertarik untuk membeli.

Namun begitu, dari sudut pembaca, mereka tetap mahukan pakej lengkap apabila membeli sesebuah novel. Baik dari segi kualiti kandungan mahupun kulit luarnya. Lagipun, bagaimana pembaca hendak tertarik jika kulit luarnya tidak dapat menarik perhatian mereka? Lainlah jika penulis itu sudah mempunyai nama dan pengikutnya sendiri. Bagaimana pula dengan penulis baru yang baru sahaja menghasilkan novel sulung? Bukankah suatu kerugian apabila jalan cerita yang menarik tetapi hanya disebabkan kulit luarnya yang tidak menarik, pembaca tidak mahu membelinya.

“Pernah tak awak beli novel yang awak rasa blurbnya menarik tapi ceritanya biasa-biasa saja?” Asyraf melihat blurb yang terdapat pada kulit belakang pada salah sebuah novel di situ.

“Pernah, banyak kali. Saya pun dah lali. Sebab itu saya tidak mahu lagi tertipu dengan cover atau tajuk atau blurb yang menarik. Lagipun, kebanyakan syarikat penerbitan sekarang akan siarkan beberapa bab awal sesebuah novel di blog untuk dibaca oleh pembaca. Jadi, bila pembaca dapat baca beberapa bab awal, dia orang dapat menilai sendiri sama ada berbaloi atau tak novel itu dibeli,” jawab Afia seraya mencapai dua tiga buah novel yang berkenan di hatinya.

Sambil membelek-belek novel di tangannya, mata Asyraf tertancap pada harga yang tertera pada kulit belakang novel itu. “RM19.90? Mak aih, mahalnya. Harga sebuah buku komik pun cuma RM6.90. Patutlah penulis novel kat Malaysia ni lebih cepat kaya daripada pelukis komik,” ujarnya perlahan namun dapat didengari oleh Afia.

“Apa dia?” tanya Afia ingin tahu apa yang dibebelkan oleh Asyraf sebentar tadi.

“Tak ada apa-apa,” dalih Asyraf.

Afia juga tidak mahu bertanya lagi. “Mana satu nak beli ni, ya?” Dia menjadi rambang mata tatkala melihat judul-judul novel yang disusun di atas rak itu.

“Awak nak beli semua ni ke?” Asyraf tergamam. Mustahil Afia dapat menghabiskan ketiga-tiga novel itu dalam masa yang singkat.

“Niatnya memang macam tu tapi duit saya tak cukuplah. Boleh beli sebuah saja.” Afia membanding-bandingkan ketiga-tiga buah novel di tangannya sambil berkira-kira.

“Awak belilah yang awak paling suka,” saran Asyraf.

“Masalahnya, saya memang tak reti nak pilih.” Afia menggaru kepalanya yang ditutupi oleh tudung itu.

“Apa kata saya hadiahkan awak sebuah?” soal Asyraf bersahaja.

Afia terkesima seketika. Tidak percaya dengan telinganya sendiri. Sudahlah duit makan tadi Asyraf yang bayar sedangkan dia cuma bergurau, tetapi Asyraf sudah terlebih dahulu membayar sebelum sempat dia menghalang. Jadi, takkan novelnya juga Asyraf hendak bayar? Dia tidak mahu dilabel sebagai pisau cukur pula nanti. Baru keluar bersama kali pertama, sudah berhabis banyak duit untuk dia.
Apabila memikirkan itu, Afia pantas menghalang, “Eh, tak payahlah. Saya masih ada duit.”

“Tadi kan awak kata duit awak tak cukup?”

“Kalau nak beli tiga-tiga ni, memanglah tak cukup. Tapi kalau beli sebuah, bolehlah. Jom.” Afia meletakkan kembali dua buah novel di tangannya, kemudian melangkah ke kaunter bayaran sebelum Asyraf sempat berkata apa-apa lagi.



“KITA nak pergi mana lepas ni?” tanya Afia sebaik-baik sahaja mereka selesai membuat pembayaran di kaunter. Asyraf juga turut memborong beberapa buah buku komik yang disusun di kaunter bayaran kedai buku itu.

“Tengok wayang,” Asyraf sengaja mengusik.

“Tak nak,” laju Afia membantah sambil mengatur langkah.

“Yalah, yalah. Kita pergi Aquaria nak? Petrosains ke,” usul Asyraf. Sememangnya dia bercadang hendak menonton wayang pada hari itu. Namun memandangkan Afia tidak mahu, terpaksalah dia mengubah jadual mereka. Selain kedai buku Kinokuniya, dua tempat itu sahaja yang dirasakan menarik untuk dikunjungi di KLCC itu selepas rancangan untuk menonton wayang ditolak.

“Jauh tak?” Afia menimbang-nimbang cadangan itu. Bunyinya seperti menarik, apatah lagi kedua-dua buah tempat itu tidak pernah dijejakinya.

“Jauhlah juga,” sakat Asyraf.

Mendengarkan itu, Afia menjadi tawar hati hendak mengunjungi tempat-tempat yang disebutkan oleh Asyraf tadi. “Kalau jauh, malaslah pergi.”

“Awak ni datang dari planet mana? Aquaria dengan Petrosains pun tak tahu kat mana. Kat sini sajalah. Petrosains kat depan kita ni saja,” balas Asyraf sambil tertawa kecil. Dia berasa lucu tatkala melihat riak muka Afia.

Afia melihat ke hadapan. Perkataan PETROSAINS terpampang jelas di situ. Sah, dia sudah terkena dengan Asyraf!

“Dari planet Marikh,” balas Afia selamba sebelum meninggalkan kedai buku itu tanpa menunggu Asyraf. Terkocoh-kocoh Asyraf cuba menyaingi langkah Afia.

Tiada ulasan: