Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Mei 01, 2010

AsyrAfia 18

PAGI itu Afia bangun awal. Yang sebenarnya dia langsung tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam tadi. Usai mandi, dia menjengukkan kepala ke luar bilik air. Setelah pasti tiada sesiapa, dia melangkah laju ke bilik lalu mengunci pintu dari dalam. Telefon bimbit di atas katil dicapai. Nombor telefon Adi segera didail namun panggilannya tidak bersambut.

Mungkin Adi masih tidur. Maklumlah semalam dia terpaksa menghantarnya ke Kelana Jaya dan berpatah semula ke Gombak. Mesti dia penat. Tunggu sekejap lagilah. Telefon bimbit diletakkan semula di atas katil. Afia membuka pintu bilik dan menjenguk ke ruang tamu. Mintak-mintak dia orang tak ada. Perlahan-lahan kakinya diatur ke ruang tamu.

Alat kawalan jauh dicapai. Serta-merta suara televisyen kedengaran. Sesekali matanya melirik ke belakang. Takut-takut lelaki semalam muncul secara tiba-tiba seperti semalam. Namun ketika dia sedang cuba memfokus pada rancangan yang disiarkan di televisyen, telinganya menangkap bunyi kunci pintu rumah dibuka dari luar.

Siapa pulak tu? Jangan lelaki tu datang balik sudah. Afia menanti dengan penuh debaran.

“Afia, awal bangun?” tegur suara itu. Afia menarik nafas lega apabila melihat kakak Adi, Asma muncul di muka pintu. “Dah makan?”

“Belum.”

“Akak beli kuih. Makanlah,” ujar Asma seraya melangkah ke dapur mengambil pinggan. Kuih-muih yang dibelinya disalin ke dalam pinggan itu. “Kalau nak buat air, buat aje. Ada Nescafe. Jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri.”

“Terima kasih,” Afia mengambil tempat di meja makan. “Kak As tak makan sekali ke?”

“Akak dah makan tadi. Akak nak mandi sekejap ya. Panas,” Asma berlalu ke bilik tidurnya. Seketika kemudian, dia keluar dengan hanya berkemban menuju ke bilik air. Tatkala itu teman serumah Asma keluar dari biliknya. Dia tersenyum apabila terlihat Afia. Afia cuma tersenyum tawar. Kejadian semalam kembali tertayang di mindanya.

Pagi ini wanita itu muncul sambil tersenyum kepadanya. Tanpa rasa bersalah. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Jika Afia seorang lelaki, pasti senyuman itu akan mencairkan hatinya namun mujur dia seorang perempuan. Dan jika kejadian semalam tidak terjadi di hadapan matanya, mungkin dia tidak akan percaya yang wanita ayu di hadapannya ini sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia tak rasa berdosa ke?

Wanita itu membuka peti ais di dapur, mengambil sebotol air mineral dan menyertai Afia di meja makan. Dengan selamba dia mencapai seketul kuih di dalam pinggan.

“Adi mana?” soalnya.

“Kat rumah abang dia.”

Kenapa tiba-tiba tanya pasal Adi pulak ni? Ingat aku ni makwe dia ke?

“Dia tak tidur sini?” soalnya lagi.

“Tak.”

Gila ke? Ni kan rumah perempuan. Kalau betul pun aku ni makwe dia, ingat aku nak benarkan dia duduk satu bumbung dengan aku selagi belum kahwin? Makwe tak sama dengan isteri. Walaupun makwe lebih istimewa daripada kawan biasa tapi tetap tak boleh lawan taraf seorang isteri.

Suasana hening. Masing-masing tidak tahu mahu berbual apa lagi. Afia masih terkejut dengan kejadian yang dilihatnya semalam. Itulah pertama kali dia berdepan dengan kejadian seumpama itu. Sangkanya, Malaysia masih ‘bersih’ daripada budaya seperti itu. Agak-agaknya Kak As tahu tak ya? Patut ke aku bagi tahu dia? Jangan jadi penyibuk, Afia!

“Ha, Ros, ada rupanya kau,” suara Asma yang baru keluar dari bilik air memecah kebisuan antara mereka. “Kau tak kerja ke?”

“Kerja. Petang nanti,” jawab temannya yang dipanggil Ros itu. “Aku mengantuklah. Nak sambung tidur,” ujar Emma lantas melangkah ke biliknya. Asma pula menghilang ke biliknya. Tinggallah Afia sendirian di ruang tamu.

Tidak lama kemudian, Asma keluar dari biliknya dengan hanya memakai spageti dan seluar pendek lalu mengambil tempat di hadapan televisyen. Afia jadi segan memandangkan dia tidak pernah memakai seksi sebegitu. Paling tidak pun, dia hanya memakai baju T dan seluar track. Mana Adi ni? Cepatlah. Aku tak selesa betul duduk kat rumah ni. Afia mengeluh di dalam hati.

“Pukul berapa Adi nak datang?” soal Asma sambil tangannya menekan-nekan alat kawalan jauh mencari siaran yang kena dengan seleranya.

“Entah. Dia tak mesej pun lagi.”

“Kau orang nak keluar ke?”

“Haah.”

“Pergi mana?”

“Entah. Dia yang kata nak keluar.”

“Dah lama ke Afia dengan Adi?”

“Sejak semester satu.”

“Adi okey ke dengan Afia?”

“Okey aje.”

Asma tersenyum penuh makna. Afia kehairanan.

“Kak As, saya nak tanya sikit boleh?” soal Afia setelah berdiam diri sejenak. Dia diasak rasa serba salah.

“Pasal Adi ke? Tanya ajelah.”

Adi? Buat apa pulak aku nak tanya pasal dia?

“Kak As kerja apa?”

“Kerja biasa aje.”

“Ow…” Afia tidak bertanya lagi. Mungkin Asma tidak mahu dia tahu tentang pekerjaannya tapi kenapa? Melainkan dia buat kerja tak elok. Astaghfirullah. Tak baik betul aku ni. Tapi kenapa dia nak rahsiakan pekerjaan dia pulak?

Belum sempat Afia memikirkan jawapan, suara Duta bernyanyi kedengaran dari telefon bimbitnya yang diletakkan di atas katil di bilik. Afia dapat mengagak gerangan yang menelefon memandangkan lagu itu telah diset untuk Adi, Julia dan Rizal. Lantaran itu, dia bingkas mendapatkan telefon bimbitnya.

“Hmm… Haa… Yalah,” Afia mematikan talian lantas segera bersiap. “Kak As, Adi dah sampai. Saya turun dulu ya.”

“La, dia tak naik dulu ke?”

“Tak katanya. Dia tunggu kat komuter.”

“His, apa punya lelakilah,” rungut Asma. Sangkanya perangai adiknya itu sudah berubah tetapi sama saja. Malang betul Afia yang jadi makwenya. Kalau dia tak jaga elok-elok, mesti Afia akan dikebas oleh lelaki lain nanti.

“Saya balik dulu ya, kak,” Afia menyalami Asma.

“Ah? Ya,” Asma sedikit tersentak.

“Terima kasih bagi saya tumpang bermalam kat sini.”

“Tak ada apalah. Senang, senang, datanglah lagi ya.”

“Insya-Allah,” Afia sedaya mungkin cuba memaniskan muka. Kalaulah Kak Asma tahu apa yang ada dalam fikiran aku… “Saya pergi dulu.”

“Baik-baik jalan.”

Sebaik-baik saja pintu lif dibuka, Afia terus melangkah ke dalam. Sementara menunggu lif itu tiba di tingkat satu, otaknya masih sempat berfkir. Kata-kata Asma kembali menerjah ingatannya. Ya Allah, kenapalah aku yang dipilih untuk berdepan dengan semua ini? Mintak-mintaklah aku tak perlu datang sini lagi. Amin…





DARI jauh lagi, dia sudah nampak kelibat Adi. Memang betullah mamat ni tak boleh dibuat pakwe. Ada ke patut suruh aku datang komuter sendiri? Aku kan baru aje sampai kat tempat ni, manalah aku ingat jalan sangat. Nyaris-nyaris dia tersilap jalan tadi.

Belum pun sempat dia melabuhkan punggung bagi melepaskan penat, pantas Adi bersuara.

“Kenapa lambat? Tren dah lepas.”

“Dah tu, kenapa kau tak tahan?” balas Afia geram. Sudahlah penatnya pun tak habis lagi, tiba-tiba pula dia dipersalahkan gara-gara mereka terlepas tren. “Bukannya tak ada tren lain.”

Afia melabuhkan punggung ke bangku. Melepaskan penat. Keadaan sepi seketika.

“Kakak aku ada cakap apa-apa tak?” tanya Adi.

“Tak ada pun,” Afia memandang Adi. Nak tanya ke tak ek? “Di, kakak kau kerja apa?” Afia tidak dapat menahan rasa ingin tahunya. Selagi tidak tahu, selagi itulah hatinya tidak tenteram.

“Kenapa?”

“Saja nak tahu.”

“Kakak aku tak bagi tahu kau ke?”

“Tak pun.”

“Kau rasa kakak aku kerja apa?”

Afia menjungkit bahu. Dia tidak mahu membuat andaian sendiri. Kalau salah nanti, dia juga yang berdosa.

“Kakak aku kerja juruhebahlah,” ujar Adi.

“Serius?” Afia terpegun dengan jawapan Adi.

“Habis, kau ingat kakak aku buat kerja tak elok ke?”

Afia terdiam.

“Kadang-kadang aku pun geram dengan sikap kakak aku yang suka berahsia pasal kerja dia tu. Bukannya dia buat kerja tak elok pun. Alasan dia, tak nak orang kenal muka dia,” cerita Adi.

“Tapi kenapa kakak kau kerja malam?”

“Dah dia kendalikan rancangan tengah malam.”

“Ow…”

Sorry, Kak Asma…huhu…

“Kalau kau nak tahu, yang bagi contact Ezrie tu kakak akulah.”

“Eh, tapi kakak kau guna nama apa ek?”

“Yang tu, kau kena tanya dia sendiri. Tren dah sampai tu. Jom.”

Tiada ulasan: