Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Februari 07, 2009

AsyrAfia 15

Di sebuah makmal komputer UiTM Puncak Perdana, suasana hening. Hanya bunyi papan kekunci ditekan yang kedengaran. Para pelajar kelihatan tekun mengadap komputer masing-masing. Tiada seorang pun yang bersuara. Dia orang sibuk buat apa agaknya ya?

Afia pantas menekan papan kekunci menaip sesuatu apabila terlihat status online di bawah nama Noh di My Space.

“Haa, bila orang kata sombong marah! Tapi bila orang tegur, buat tak tahu apa kes?”

Selepas menaip ayat itu, Afia terus menekan ‘enter’ di papan kekunci. Sementara menunggu balasan daripada Noh (kalau dia balaslah), Afia melayari forum Sheila on 7 pulak.

“Afia, jom pergi beli air kat kafe,” Julia yang duduk di sebelah Afia bersuara. Bosan betullah duduk kat dalam ni. Dahlah sejuk.

“Ala…malaslah. Aku tengah sibuk ni. Kau ajaklah Adi atau Rizal,” balas Afia sambil matanya tak lepas daripada skrin komputer.

“Sibuk buat apa?” Julia menjenguk ke komputer Afia. “Main internet aja pun. Jomlah kejap. Lepas tu kau sambunglah balik.”

“Aku tak nak,” Afia kembali ke laman My Space. One new comment! Berbunga hatinya melihat perkataan itu. Mesti Noh yang balas!

“Afia, kau nak kirim tak?”

Afia tersentak apabila Julia yang tadinya menghilang ke tempat duduk Adi di belakang kembali ke mejanya. Pantas tangannya menekan mouse komputer ke forum Sheila on 7 bagi mengelak perbualannya dengan Noh diketahui.

“Tak ada apa-apalah.”

Sure? Kirim salam pun tak nak?”

Afia menjeling Julia. Julia cuma tertawa.

“Pantang jumpa komputer,” ngomel Julia sebelum dia berlalu ke kafe bersama Adi. Sebaik-baik sahaja Julia dan Adi menghilang, Afia segera membaca komen Noh di My Spacenya.

“Sayalah yang sombong sebenarnya. Hahaahah…”

“Apa cerita M.I.X. sekarang?” tanya Afia. Dah lama juga dia tidak mendengar cerita berkenaan M.I.X. Yalah, biasanya Noh yang melayan mesej dan komen peminat di My Space. Jadi, apabila Noh mendiamkan diri, tak adalah berita terkini mengenai mereka.

“M.I.X.? Saya tak ada kena-mengena dengan dia orang sekarang. Saya dah bebas…”

Tak sampai seminit, komen balasan Noh menjengah My Spacenya. Afia terkedu membaca komen Noh itu.

“Jadi, betullah Noh dah keluar M.I.X.? Ingatkan khabar angin aja,” Afia mula teringat akan khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi dalam industri muzik tempatan. Menurut khabar angin itu, Noh keluar daripada M.I.X. kerana mendapat tawaran menyertai sebuah kumpulan hip hop terkenal tanah air.

Bagi Afia, semua itu hanya sekadar gosip memandangkan Noh dan M.I.X. masih baru dalam industri. Setahun jagung pun belum sampai. Tambahan pula, album pertama mereka kan baru sahaja menjengah pasaran dan masih dalam peringkat promosi. Mustahil Noh keluar M.I.X. namun kata-kata Noh tadi mengesahkan kebenaran khabar angin itu.

“Khabar angin yang dah jadi benar!”

Afia semakin rancak menaip di papan kekunci komputer itu. Gembira betul dia dapat berbual-bual dengan Noh lagi.

“Ala…Tak bestlah kalau Noh keluar M.I.X. Noh ada bakat. Sayang kalau tak digunakan,” ujar Afia. Bukan dia mahu mengambil hati Noh namun itulah yang dirasakannya.

Secara peribadi, Afia sangat mengagumi bakat yang dimiliki oleh Noh yang dianggap antara golongan pelapis komposer muda yang mempunyai karektor dan keistimewaan tersendiri dalam setiap lagu ciptaannya. Tak mustahil namanya akan sebaris dengan Adnan Abu Hassan, Helen Yap ataupun Aidil Alfian suatu hari nanti. Tapi kini apakah bakat itu akan terkubur begitu sahaja?

“Tak apa, bukan rezeki Noh dengan M.I.X. It's ok. Life goes on ... thanks!”

So apa rancangan Noh sekarang? Hujan tu group baru Noh ke? Bila album Hujan nak menjengah pasaran?” soal Afia. Patutlah di profil My Space Noh ada nama Hujan. Rupa-rupanya dia dah buat group baru. Ingatkan projek sampingan sahaja. Satu orang bermain muzik untuk dua buah band kan seolah-olah sudah menjadi trend dalam industri muzik.

Di Indonesia misalnya, gitaris Sheila on 7 iaitu Eross juga menubuhkan sebuah band rock and roll yang diberi nama Jagostu. Namun begitu, Eross masih bersama Sheila on 7. Ahmad Dhani pula turut menubuhkan band kedua yang bernama The Rock di samping band asalnya Dewa.

“Tak terfikir pun nak jengah. Kalau market bagi Mawi ajalah. Saya just entertain orang yang appreciate muzik Hujan. Kalau dapat duit tu kira bonuslah,” jawab Noh merendah diri.

Sekarang memang zaman Mawi. Populariti Mawi dikatakan sama dengan populariti penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza. Hampir kesemua muka depan majalah di Malaysia ni dihiasi muka Mawi. Suratkhabar pun penuh dengan cerita Mawi. Semuanya Mawi hingga ada yang mengatakan balik balik dia.

Bukan sahaja media cetak, media elektronik pun turut tidak ketinggalan. Stesen TV dan radio berebut-rebut mengundang Mawi dalam rancangan mereka bagi menaikkan rating rancangan. Di sana sini, orang dok sibuk bercerita pasal Juara Akademi Fantasia musim ketiga itu. Dari soal karier hinggalah cerita peribadi.

Apa istimewanya Mawi? Orang kata dia ada aura. Aura apa? Hanya peminat mereka yang boleh menjawabnya. Bagi peminat Mawi, mereka pasti suka tapi bagi yang tak minat tu terpaksalah reda saja.

Afia tidak tergolong sebagai peminat Mawi tapi dia juga bukanlah anti Mawi. Pendek kata, suka pun tak, tak suka pun tak. Biasa-biasa aja. Tapi apabila dirasakan pihak media memberi liputan yang berlebihan mengenai Mawi, dia rasa muak. Kenapa Mawi? Kenapa tak artis lain? Dah tak ada cerita lain ke untuk lakukan majalah ataupun suratkhabar mereka? Bukan semua orang kat Malaysia ni peminat Mawi.

Ok, guys. If everybody here?” baru sahaja Afia hendak membalas komen Noh, pensyarah subjek Multimedia Production mereka, Dr. Othman ataupun lebih dikenali dengan nama Dr. O melangkah masuk ke makmal komputer itu.

Aisey … Dr O ni potong linelah. Afia menutup laman My Space. Tak apalah. Yang penting dia tahu Noh masih berkarya walaupun sudah menyertai kumpulan lain.

Sorry, Dr. O,” Adi dan Julia tergesa-gesa masuk ke kelas itu.

“Dah lama ke Dr. O masuk?” tanya Julia kepada Afia separuh berbisik.

“Baru ja.”

“Ni untuk kau,” Julia menghulurkan Milo ais bungkus kepada Afia.

“Bila masa pulak aku kirim?”

“Memanglah kau tak kirim. Sukry belanja.”

“Hah? Tak naklah.”

Buatnya dia letak apa-apa dalam air ni? Bukan boleh percaya sangat.

“Orang dah bagi tu ambil ajalah. Tak baik tolak rezeki tau.”

“Letak ajalah kat situ.”

“Aku letak sini. Kau jangan tak minum pulak.”

“Iya,” Afia mula rimas. Jangan harap aku nak minum!

Mereka menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Dr. O. Seperti yang diberitahu oleh Dr. O pada minggu lepas, hari ini mereka dikehendaki membuat suatu projek MP3 album dengan menggunakan perisian Micromedia Director.

Setiap pelajar harus memilih lima buah lagu yakni MP3 kemudian mempersembahkannya dalam bentuk multimedia yang merangkumi muzik, animasi dan kesan khas mengikut kreativiti masing-masing. Selain Micromedia Director, mereka juga bebas menggunakan perisian lain seperti Micromedia Flash, Adobe Premier dan apa-apa sahaja yang sesuai.

“Macam susah aja,” keluh Julia apabila Dr. O menerangkan mengenai projek itu. Sememangnya subjek multimedia adalah subjek yang berat bagi orang yang tidak suka bekerja dengan komputer.

“Belum apa-apa lagi, kau dah kata susah. Memang susahlah jadinya,” ujar Afia. Tidak seperti Julia, Afia gemar menghabiskan masanya di hadapan komputer. Satu hari suntuk mengadap komputer pun dia tidak kisah. Hidupnya memang sudah sebati dengan komputer. Bila matanya celik, komputernya juga turut celik. Setiap hari kalau tak duduk di hadapan komputer memang tak lengkaplah rutinnya. Kalau tak buat assignment pun, dia main game ataupun mendengar lagu.

“Yalah, bagi orang yang gila komputer macam kau senanglah,” Julia mengeluh apabila mengenangkan assignment itu. Tak sukanya.

“Kau orang buat lagu apa?” Adi dan Rizal menghampiri meja Afia dan Julia apabila mereka diberikan kebebasan membuat kerja sendiri.

Kebiasaannya Dr. O akan menerangkan apa yang perlu mereka lakukan dan memberi tunjuk ajar di hadapan kelas. Selepas itu, mereka bebas membuat kerja sendiri. Kesempatan itu diambil oleh mereka untuk merayau ke meja kawan-kawan bagi mencari ilham ataupun mencuri idea.

“Ala … Kau tak payahlah tanya Afia. Sah-sahlah dia buat lagu Sheila on 7. Macam projek e-banner hari tu,” ujar Julia.

E-banner adalah projek multimedia mereka sebelum ini yang lebih menjurus kepada iklan bagi mempromosikan sesuatu produk ataupun barangan dalam bentuk multimedia dan animasi. Kebebasan yang diberikan oleh Dr. O dimanfaatkan oleh Afia bagi membuat sesuatu yang disukainya. Barulah assignment itu dirasakan menyeronokkan. Lantaran itu, Afia telah memilih album The Best of … Jalan Terus daripada Sheila on 7 sebagai produknya untuk projek itu.

“Entahnya. Kau tak boring ke? Cuba buat artis lain pulak,” Rizal mencelah.

Afia tidak menghiraukan perbualan antara kawan-kawannya. Tatkala itu, sudah ada nama sebuah band yang berlegar-legar di kepalanya bagi menghiasi projek MP3 albumnya itu. Tanpa membuang masa, infomasi mengenai band itu segera dicari di internet.

Tiada ulasan: