Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Januari 12, 2009

Cuma Dia

”Please pa … Kali ni aja,” rayunya.

“Papa kata tak boleh, tak boleh!” tegas si bapa.

“Tapi pa, ni melibatkan masa depan Dhiya. Dhiya berhak memilih mana yang Dhiya nak,” kali ni Dhiya nekad untuk memperjuangkan haknya. Apa nak jadi pun, jadilah! Dia sudah muak mengikut telunjuk bapanya.

Selama ini dia hanya menurut tanpa membantah walaupun hati kecilnya meronta-ronta mohon dilepaskan daripada kongkongan itu. Sejak kecil, hidupnya selalu ditentukan oleh bapanya.

Apabila disuruh memasuki sekolah berasrama penuh, dia akur walaupun dia tidak mahu. Apabila disuruh memilih khusus Pengurusan Perniagaan ketika di universiti, dia menurut walaupun minatnya bukan ke arah itu.

Dia juga tidak dibenarkan mengambil lesen kereta dengan alasan ayahnya tidak mampu membiayai bayaran kelas memandu yang hampir mencecah ribuan Ringgit padahal dia tahu ayahnya sengaja mahu menyekat pergerakannya.

Semua kehendak bapanya dituruti. Walaupun hatinya sengsara tapi dia rela asalkan bapanya berpuas hati. Dia rela mengorbankan perasaannya agar orang yang disayanginya itu bahagia. Tapi apabila melibatkan masa depannya seumur hidup, dia harus bersuara.

“Sebab melibatkan masa depan Dhiyalah, papa tak nak Dhiya tersalah pilih. Zaman sekarang, suka sahaja tak cukup tau. Sekali-sekala kita kena bersikap materialistik,” balas si bapa. Sebagai bapa, dia tahu mana yang terbaik untuk anaknya. Dia cuma mahu kehidupan dan masa depan anaknya itu terjamin.

“Papa tak faham. Bukan ini yang Dhiya nak,” luah Dhiya. Dia tahu bapanya cuma mahukan yang terbaik buat dirinya tapi adakah bapanya tahu apa yang terbaik untuknya?

Tahukah bapanya yang dia cukup tertekan apabila belajar di sekolah asrama dahulu? Adakah bapanya tahu yang dia cukup sengsara mendalami ilmu yang tidak diminatinya di universiti dahulu? Apakah itu yang dikatakan terbaik buat dirinya?


***


“Kalau kau duduk mengelamun dan termenung macam ni pun, bukannya boleh selesai masalah kau tu,” Adalia menggelengkan kepala melihat gelagat teman serumahnya itu. Dah nak masuk sebulan perangai teman serumahnya begitu. Menung sana, menung sini. Kadang-kadang bercakap sendiri macam orang tak betul.

“Aku buntu. Kepala aku ni rasa macam nak pecah bila fikirkan perkara ni,” adu si teman. Bilalah masalah aku ni nak selesai? Lama-lama boleh jadi gila dibuatnya! Tak pasal-pasal aku dok Hospital Bahagia.

“Apa yang susahnya? Kau pilihlah ajalah yang mana satu yang kau berkenan. Habis cerita,” ujar Adalia. Apalah yang susah sangat nak buat keputusan tu sampai ambil masa berminggu-minggu? Kalau suka, sambar ajalah. Kalau tak suka, tolak ajalah. Bukan susah pun.

“Kalaulah benda ni boleh semudah yang kau cakap tak adalah aku runsing sampai macam ni. Yang jadi masalahnya sekarang hati aku ni. Hati aku ni berbelah-bagi sampai aku tak tahu nak pilih yang mana satu.”

“Pasal apa pulak?”

“Entahlah. Agaknya betullah kata orang kan. Bila kita nak, tak dapat. Bila kita tak nak, berduyun-duyun datang.”

“Biasalah. Orang tengah laku tapi laku sangat pun payah jugak.”

“Itulah. Tapi kalau mak dan ayah aku tak masuk campur, mesti aku tak ada masalah nak buat keputusan. Tapi bila perkara ni melibatkan mak dan ayah aku, tu yang buat aku rasa serba salah.”

“Mak dan ayah kau cakap apa?”

“Mak aku tak kisah sangat tapi ayah aku tu. Ayah aku suruh pilih gaji yang tinggi supaya hidup aku terjamin.”

“Haa… moleklah tu. Bukan ke kau yang selalu merungut gaji kau selalu tak cukup. Kalau macam tu, kau pilih ajalah gaji yang lebih tinggi. Kau jugak yang senang nanti.”

“Kalau setakat gaji tinggi tapi hati tak bahagia buat apa?”

“Betul jugak apa yang kau cakap tu kan?” Adalia mula memikirkan akan kebenaran kata-kata temannya itu.

“Kau rasa aku ni terlalu memilih ke?”

“Taklah. Aku dulu pun macam kau jugak. Tapi tak salah kalau kau memilih pun. Ini kan soal masa depan kau.”

“Tapi kalau mak dan ayah aku tak setuju dengan pilihan aku macam mana?”

“Kau kenalah terang pada mak ayah kau sebab apa kau pilih yang itu. Mudah-mudahan dia orang faham.”

“Itulah masalahnya. Aku pun dah tak tahu macam mana nak cakap dengan ayah aku tu. Aku ingatkan bila aku tanya pendapat mak dan ayah aku, masalah ni boleh selesai tapi macam lagi teruk adalah. Lagi serabut kepala otak aku ni.”

“Dhiya, ni kan hidup kau. Soal masa depan kau. Hanya kau yang berhak menentukan pilihan kau.”

“Tapi tak berdosa ke kalau aku tolak permintaan mak ayah aku? Tak ke itu dikira melawan cakap orang tua?”

“Bukan aku suruh kau melawan. Kau cakaplah elok-elok.”

“Aku pun tak tahulah. Umur aku ni dah 25 tahun tapi hidup aku masih diatur oleh mak ayah aku. Kadang-kadang aku tension bila fikirkan benda ni. Macam aku tak boleh buat keputusan sendiri,” Dhiya mengeluh apabila mengenangkan nasib dirinya.

“Kalau mak dan ayah kau dah masuk campur, aku pun tak boleh nak tolong kau. Macam nilah, kalau kau rasa susah sangat nak buat keputusan, apa kata kau buat Solat Sunat Istikarah. Mintak petunjuk daripada-Nya,” nasihat Adalia.

“Solat Sunat Istikarah?” Dhiya terdiam sejenak. “Aku macam pernah dengar nama solat tu tapi aku tak berapa tahulah pasal solat tu,” ujar Dhiya malu-malu. Terasa ceteknya ilmu agamanya.

Betapa selama ini dia hampir lupa akan kewujudan-Nya. Bukankah Dia yang sepatutnya dijadikan tempat mengadu dan memohon petunjuk? Ini tidak. Setiap kali ditimpa masalah, dia lebih senang menceritakan dan meminta pendapat kawan-kawannya terutamanya Adalia, teman serumahnya daripada mengadu kepada Dia. Bukankah Dia yang lebih mengetahui tentang segala-galanya?

“Solat Sunat Istikarah ni dikerjakan dua rakaat satu salam dan boleh jugak dilakukan berulang kali seperti 12 rakaat dan enam salam sehingga mencapai isyaratnya. Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Solat Istikharah ni kita buat bila kita nak melakukan sesuatu perkara tapi kita tak pasti samada perbuatan atau tindakan kita tu membawa kebaikan ataupun tidak kepada diri kita. Sebab tu, kita dituntut supaya melakukan Solat Sunat Istikharah. Solat ni boleh dikerjakan pada bila-bila masa yang dibolehkan sembahyang samada pada waktu siang ataupun malam. Tapi para ulama mengatakan lebih baik mengerjakan pada waktu malam dalam keadaan tenang terutama waktu tengah malam sebelum sembahyang witir,” terang Adalia panjang lebar.

Jika dilihat dari segi pakaian, Adalia bukanlah wanita yang bertudung labuh ataupun berjubah mahupun berbaju kurung sepanjang masa. Adalia juga seperti wanita lain yang gemar berfesyen namun masih ada batasnya. Siapa sangka wanita yang bijak bergaya seperti Adalia itu juga mempunyai ilmu agama yang tinggi setanding dengan ustaz ataupun ustazah cuma Adalia tidak terlalu mempamerkan ilmunya itu melalui pakaian yang dipakainya.

Adalia juga bukanlah seorang yang memilih kawan. Tak kisahlah orang itu bertudung ataupun tidak, seksi ataupun menutup aurat, pelik ataupun bergaya semua pun dia campur. Baginya, pakaian bukanlah pengukur kepada kebaikan hati seseorang itu. Tak semestinya orang yang kelihatan serabut, selekeh dan tidak terurus itu jahat dan tak semestinya orang yang sentiasa kemas dan cantik bergaya itu baik.

Sebelum berkawan dengan Adalia, Dhiya juga tergolong dalam kategori pelajar yang sosial dan berpakaian seksi. Namun sejak berkawan rapat dengan Adalia, hati Dhiya mula terbuka untuk bertudung meskipun Adalia tidak pernah memaksa malahan Adalia tidak pernah langsung menyentuh perihal itu. Adalia menerima dirinya apa adanya. Oleh sebab itu, Dhiya tidak pernah berasa malu untuk mengakui kekurangannya berkenaan ilmu agama kepada Adalia.

Dhiya tahu Adalia tidak akan memperkecilkannya ataupun mengejeknya sungguhpun dia kurang arif tentang sesuatu perkara yang membabitkan soal agama seperti solat sunat. Sebaliknya Adalia banyak membantunya dan mengajarnya.

“Tapi kan macam mana kita nak tahu yang mana patut kita pilih?” tanya Dhiya lagi. Mungkin soalannya itu kedengaran bodoh namun dia tidak peduli asalkan persoalan di benaknya terjawab. Malu bertanya sesat jalan kan?

“Kau buatlah dulu lepas tu baru kau tahu. Tapi biasanya isyarat tu datang dari gerak hati yang dahulu sekali selepas solat ataupun selepas doa dibaca. Tapi ada orang cakap isyarat tu boleh jugak datang dalam bentuk mimpi. Cara kita tidur pulak kenalah ikut cara Nabi SAW tidur, dengan membaca Ayat Kursi, Surah Al-Ala, Surah Al-Ikhlas, An-Nas. Kalau mimpi tu baik maknanya isyaratnya baik tapi kalau mimpi tu buruk, maknanya kau tak payahlah teruskan niat tu. Tapi ada jugak yang kata isyarat datang masa kita tengah mengerjakan Solat Istikarah tu. Sebab tu kita kena kusyuk dan tertib masa sembahyang,” tambah Adalia.

“Tapi aku tak retilah. Kau ajar aku ya?”

“Ala... senang aja. Kalau kau nak, malam ni pun boleh.”

“Betul? Terima kasih, Lia. Kau dah banyak tolong aku.”

“Perkara kecik ajalah.”


***


Malam itu, selepas mengerjakan Solat Sunat Istikarah, Dhiya terus tidur dengan diiringi doa. Mudah-mudahan dia mendapat petunjuk daripada-Nya sebaik-baik sahaja terjaga dari tidur keesokan pagi.

Keesokannya, Dhiya bangun awal dengan hati yang berbunga. Segala beban di kepalanya seakan hilang. Dia sudah mampu tersenyum.

“Hai, happy nampak,” Adalia yang menjenguk ke dapur untuk bersarapan hairan melihat Dhiya bernyanyi kecil sambil menyediakan sarapan. Semalam bukan main mendung lagi muka tu. Hari ni bukan main berseri-seri bak sang suria yang memancarkan cahaya. “Kau dah dapat jawapan ke?”

“Yup!”

“So apa keputusan kau?"

“Aku akan pilih kerja yang aku suka.”

“Editor di syarikat penerbitan buku tu?”

“Yup! Kejap lagi aku nak telefon syarikat penerbitan tu untuk bagi tahu dia orang yang aku bersedia memulakan tugas Isnin ni,” ujar Dhiya penuh bersemangat. Walaupun gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan ijazah yang dimiliki namun dia tahu dia akan gembira bekerja di situ memandangkan di tempat itulah semua mimpinya berlabuh.

“Tapi permintaan ayah kau supaya kau jadi Pembantu Peribadi di syarikat perniagaan kawan ayah kau tu macam mana pulak? Rugi tau kalau kau tolak. Gajinya lumayan tu,” Adalia sengaja mahu menduga Dhiya.

“Aku tahu ayah aku suruh aku terima kerja tu sebab kerja tu lebih terjamin tapi aku tak nak kerja semata-mata sebab gaji lumayan. Kalau aku terima kerja tu pun tapi hati aku tak ikhlas, tak berkat jugak kan gaji yang aku dapat setiap bulan? Gaji beribu-ribu tapi hati tak gembira buat apa? Buat sakit jiwa aja. Cukuplah apa yang aku rasa masa belajar di asrama dan di universiti dulu. Aku dah cukup tersiksa.”

“Kau buatlah apa yang kau rasa baik untuk diri kau. Sebagai kawan, aku doakan yang terbaik untuk kau,” Adalia yakin Dhiya sudah mendapat pilihan yang dikehendakinya berkat petunjuk Yang Maha Esa. Cuma Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

“Thanks, Lia. Eh, kau makan dulu ya. Aku pergi telefon kejap,” Dhiya berlalu ke ruang tamu untuk membuat panggilan.

“Dhiya, Dhiya. Nak pilih kerja pun macam orang nak pilih calon suami,” Adalia menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Dhiya sebelum menjamah teh O yang dibancuh oleh temannya itu. Namun baru seteguk, Adalia sudah tersedak. “Air apa kau buat ni, Dhiya? Tawar aja. Kau tak taruk gula ke?!”

“Opps… Aku lupa!”

5 ulasan:

keSENGALan teserlah.. berkata...

ngeeeee...
engatkan dye nk wat plhn bkl suami...
rupe2 nyerrr....
plhn keje...
isk2..
wat suspen je penulis nieh...
hahahaa...
tertpu btol..
tp besh...
ader thrill..
hehhehee...

Nadd berkata...

bestlah citer yg ada twist nih.. mmg sy pun ingat dia nak pilih suami.. bagus2 satu kelainan yg membuatkan pembaca tersenyum... :)

nurulfzz berkata...

tipah trtipu..hehe
sy p0n igt die nk pilih suami
rupe2 nye nk pilih keje jer..
papep0n best la..:)

hannie_luv_vespa berkata...

hehhehe..
ngatkan nak pilih calon suami atau pakwe...
hehhe..
baguz r...
rasa cam byk gak blajar teknik menulis dari cni...


p/s:- nak mintak tips..camner nak bg byk idea..n cmner nk elak dari mempunyai jalan cter yg samer ngn org len..atau penulis yg kter minat?

sory if byk tny..
hope leh jwb r..
:)

Ilmar Imia berkata...

sorry, baru perasan komen ni :D

wah, idea tu bisa dtg dari mana je. Melalui pemerhatian, cerita kawan-kawan, pembacaan ataupun pengalaman hidup sendiri ditambah dengan angan2 dan fantasi sendiri...hehe

X reti nak ckp tp biasanya idea tu dtg dgn tiba2 :D