Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 14, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 25

Seorang pelayan menghampiri mereka sebaik-baik saja mereka mengambil tempat di sebuah meja di restoran itu.

“Hani nak minum apa?”

“Tembikai.”

“Air tembikai dua,” ujarnya kepada pelayan restoran itu.

“Itu saja? Makan?”

“Buat masa ni, itu saja. Terima kasih,” Arri memandang Hani setelah pelayan restoran itu berlalu. “Dari tadi abang tengok, Hani diam aja. Ada apa-apa yang tak kena ke?”

“Abang, Hani dah buat keputusan. Tentang hubungan kita.” Arri mendengar dengan sabar.

“Hani rasa Hani tak sanggup jadi perosak rumah tangga abang.”

“Apa Hani cakap ni? Hani tak ada kena mengena dengan rumahtangga abang. Kalau abang tak jumpa Hani pun, abang tetap akan ceraikan dia.”

“Abang, abang tak kesian ke kat Kak Dila? Dia terlalu baik. Hani tak sanggup nak melukakan hati dia.”

“Baik? Kalau dia baik, dia takkan mengandung sebelum berkahwin,” Arri memperlahankan suaranya namun keras.

“Abang, itu semua bukan kehendak dia. Semua orang pernah buat salah. Tapi Hani tahu dia dah insaf dan ingin mulakan hidup baru dengan abang,” Hani masih ingat pertemuannya dengan Adilla kelmarin. Sebelum pulang, Adilla sempat berbisik ke telinganya.

“Kalau Hani ada teman lelaki, saya nasihatkan Hani jangan memberi sepenuh kepercayaan kepadanya. Selagi dia dan Hani belum ada ikatan yang sah, jangan sesekali Hani menyerahkan diri Hani kepadanya. Kerana bila dia dah ambil benda yang paling berharga daripada kita, nescaya kita dah tak ada apa nilai lagi kepadanya. Ingat pesan saya. Jaga diri.”

“Mana Hani tahu? Hani kenal dia ke?”

“Hani dapat rasakan yang dia sayangkan abang. Abang terimalah dia.”

“Macam mana abang nak terima dia sedangkan hati abang tak ada pada dia?”

“Ada. Cuma abang aja yang tak nak buka pintu hati abang tu untuk dia.”

“Kenapa abang nak buka pintu hati abang untuk dia sedangkan hati abang hanya untuk Hani?”

“Kalau Kak Dila tak mengandungkan anak luar nikah, mesti abang akan terima dia kan? Kalau Kak Dila tak mengandungkan anak luar nikah, mesti abang dan Kak Dila bahagia sekarang kan? Kalau Kak Dila tak mengandungkan anak luar nikah, mesti dia mengandungkan anak abang sekarang kan? Kalau Kak Dila tak mengandungkan anak luar nikah, mesti abang dah lupakan Hani kan?” rasa sebak mula menyelubungi dirinya.

“Hani, abang tak pernah lupakan Hani. Hani sentiasa ada dalam ingatan abang. Abang…”

“Bila Hani kata Hani dengan Dimas kawan biasa sebenarnya Hani tipu,” Hani mencelah kata-kata Arri. Dia takut dia akan tenggelam dengan kata-kata manis lelaki itu.

“Dimas teman lelaki Hani sekarang. Dia dah banyak berkorban untuk Hani. Hani tak sanggup nak lukakan hati dia lagi. Hani akan berusaha untuk menyayangi dia seperti mana dia sayangkan Hani. Hani harap abang pun macam tu. Terimalah Kak Dila apa adanya. Apa pun dia telah sah menjadi isteri abang. Anak dalam kandungan Kak Dila perlukan seorang ayah.”

“Kenapa Hani beria-ria suruh abang terima dia? Hani dah tak sayangkan abang? Hani betul-betul dah lupakan abang ke?”

Kalau betul pun aku sayangkan kau, apa yang aku boleh buat? Dah takdir kita tidak akan bersama.

“Seorang kawan Hani pernah cakap. Mungkin Tuhan temukan Hani dengan abang bukan untuk bersatu tapi untuk menyatukan abang dengan isteri abang. Kita kena terima hakikat yang antara kita memang tak ada jodoh. Maafkan Hani…” Hani bangkit hendak meninggalkan tempat itu namun ditahan oleh Arri.

“Please Hani… Jangan tinggalkan abang,” rayu Arri. Tangan Hani digenggam erat. “Cinta abang hanya untuk Hani.”

Air mata Hani mula mengalir. Apa yang mampu dibuatnya? Lelaki itu sudah menjadi milik perempuan lain.

Tiba-tiba telefon bimbit Hani berdering. Hani mencari-cari telefon bimbitnya di dalam beg. Dia kenal nada dering itu.

Mesti mama yang telefon. Tapi kenapa pula mama telefon? Mama kan tak pernah telefon aku.

“Hello…ma?” Hani mengawal suaranya agar ibunya tidak tahu yang dia menangis. “Abah kemalangan? Ok, Hani balik sekarang.”

“Kenapa Hani?” tanya Arri.

“Abah… Abah Hani kemalangan. Dia kat Hospital Besar Kuantan sekarang.”

“Abang hantar Hani balik Kuantan?”

“Tak apalah. Hani naik bas aja. Lagipun abang kan ada kerja.”

“Tak apa. Abang memang nak balik Kuantan pun. Takkan abang nak biarkan Hani susah sorang-sorang?”


***


“Kenapa Hani?” Farra terkejut melihat Hani tergesa-gesa pulang ke asrama dan mengemas beg pakaian.

“Far, aku kena balik Kuantan sekarang. Ayah aku kemalangan,” ujar Hani sambil tangannya pantas memasukkan beberapa helai baju ke dalam beg.

“Serius ke?”

“Aku tak tahu. Tadi mak aku telefon suruh aku balik.”

“Habis kau balik naik apa? Dah ada tiket ke?”

“Aku balik dengan Arri.”

“Arri?”

“Nantilah aku cerita. Aku pergi dulu,” Hani mencapai begnya dan bergegas mendapatkan Arri yang sedang menunggu di dalam kereta.

“Apa-apa nanti bagi tahu aku!” pesan Farra.

“K… ”


***


Masa kecik-kecik dulu Hani memang tak rapat dengan ayahnya. Berbual pun jarang-jarang. Bercakap pula hanya benda yang penting-penting. Kalau Hani duduk dalam kereta dengan ayahnya pun, hanya suasana bisu yang menemani perjalanan mereka. Nak cakap apa pun dia tak tahu. Kalau dia cakap nanti dikhuatiri ayahnya tak dapat fokus pada pemanduan pula. Makanya, Hani hanya diam sambil memandang pemandangan luar yang dah selalu sangat dilihatnya tiap-tiap kali pergi ataupun balik sekolah.

Kadang-kadang Hani cemburu apabila melihat kawan-kawannya yang rapat dengan ayah mereka. Bergurau senda dan bercerita mesra ibarat ayah mereka itu sahabat. Tapi kenapa dia tidak boleh jadi macam tu? Kenapa dia rasa asing walhal dengan ayahnya sendiri? Pernah sekali Hani menumpang kereta seorang kawannya pulang ke rumahnya kerana ayahnya ada kerja.

Sepanjang perjalanan dari sekolah ke rumahnya, Hani lihat temannya itu tak berhenti-henti bercerita dengan ayahnya yang dipanggil papa. Sampaikan apa yang berlaku kat sekolah hari tu pun dia cerita pada ayahnya. Alangkah bagusnya kalau dia dan ayahnya juga begitu.

“Hani, bangun. Kita dah sampai,” Arri mengejutkan Hani yang terlena. Hani membuka mata.

“Kita dah sampai. Jom.”

Hani dan Arri melangkah ke dalam hospital yang dikatakan oleh ibu Hani di dalam telefon tadi sebaik-baik saja tiba di Kuantan. Namun baru sahaja beberapa langkah, telefon bimbit Arri berbunyi.

“Hani masuk dulu. Abang jawab telefon kejap,” ujar Arri.

“Mak!” Hani mendapatkan ibunya. “Macam mana dengan abah?”

“Abah masih dalam bilik ICU,” Puan Rohana menahan esakan.

“Kak Su dengan Abang Man?”

“Dia orang bercuti kat Muar. Mak tak sanggup nak bagi tahu dia orang.”

“Tak apa. Hani ada,” Hani memeluk ibunya. Mudah-mudahan abah tak apa-apa.

“Hani, abang kena balik. Kak Dila sakit nak bersalin,” ujar Arri sebaik-baik saja menerima panggilan daripada ibu bapanya. “Nanti bila semua dah selesai, abang datang balik.”

“Abang…” Arri memandang Hani. “Terima kasih…”

“Banyakkan berdoa. Abang pergi dulu. Mak cik,” Arri meminta diri.


***


“Mak, Dila macam mana?” Arri menghampiri ibunya yang sedang menunggu di luar wad bersalin. Beberapa orang jururawat kelihatan sibuk keluar dan masuk wad itu.

“Dila kat dalam.”

“Doktor, macam mana dengan isteri saya?”

“Kami masih berusaha membantunya bersalin.”

“Boleh saya masuk?”

Doktor itu menggangguk. Arri mengikut doktor itu masuk ke wad tersebut.

“Dila…” Arri memegang tangan Adilla dan sebelah lagi mengusap rambutnya. “Abang ada kat sini.”

Arri dapat melihat betapa Adilla menahan kesakitan. Dapat dirasakan kekuatan genggaman tangan Adilla semakin kuat.

Beberapa jam kemudian, tangisan bayi mengisi ruang bilik itu.

“Anak perempuan,” ujar doktor yang menyambut kelahiran bayi tersebut.

“Alhamdulillah,” Arri mengucapkan syukur.

Tidak lama kemudian, Arri dan Adilla dibenarkan melihat bayi mereka. Arri duduk di sisi isterinya yang sedang memangku bayi mereka.

“Comel kan?” Adilla gembira menatap bayi pertamanya itu.

“Comel macam Dila. Dila, abang balik dengan Hani tadi,” ujar Arri jujur.

Kegembiraan yang dirasai oleh Adilla sebentar tadi diragut dengan berita itu. Senyumannya hambar.

Hani? Kenapa nama itu masih ada antara mereka berdua?

“Ayah dia kemalangan,” jelas Arri.

“Kesian Hani,” Adilla mula bersimpati dengan Hani.

Arri diam sejenak sebelum melanjutkan kata-katanya.

“Dila, memandangkan sekarang Dila pun dah selamat melahirkan anak, abang dah buat keputusan.”

Hati Adilla berdebar-debar.

Bukankah Arri pernah berjanji akan bersama aku sehingga anak ini lahir? Adakah Arri akan mengotakan kata-katanya? Apakah Arri akan menceraikan aku? Macam mana nasib aku selepas ini? Macam mana aku nak hidup tanpa Arri? Benarkah takdir menentukan anak aku lahir tak berayah?

“Terus-terang abang cakap, abang memang sayangkan Hani dari dulu sampai sekarang,” pengakuan Arri itu membuatkan air mata Adilla gugur.

Dia masih gagal menawan hati lelaki itu. Bayi yang dilahirkannya itu juga tidak mampu membuatkan lelaki itu menerima dirinya. Cintanya kepada lelaki itu masih tidak mampu menandingi cinta lelaki itu kepada Hani.

“Tak apalah, bang. Dila faham. Dila pun takkan paksa abang. Abang baliklah. Dila nak bersendirian.”

“Dila, dengarlah dulu. Abang belum habis cakap lagi.”

“Abang minta maaf sebab abaikan Dila selama ni. Abang sakit hati kerana berasa tertipu. Abang tak dapat terima apa yang Dila lalui dulu. Abang tak mampu. Tapi Hani telah menyedarkan abang. Memang abang terlalu pentingkan diri. Abang mengaku abang salah. Jadi, abang dah buat keputusan untuk mulakan hidup baru dengan Dila,” luah Arri. Mungkin dia harus menerima kenyataan yang jodohnya bukan dengan Hani.

“Betul ke, bang? Abang dah terima Dila?” Betapa gembiranya dia mendengar berita itu. Hani, terima kasih kerana mengembalikan Arri kepada aku.

“Tapi macam mana dengan Hani, bang?”

“Dia dah jumpa dengan orang yang betul-betul sayangkan dia.”

“Dila nak jumpa Hani, bang.”

“Boleh tapi bukan hari ni. Dila perlukan rehat.”

“Baik, bang. Dila janji Dila akan jadi isteri yang baik dan solehah,” Adilla bersandar di bahu Arri sambil memperhatikan bayi di pangkuannya.

2 ulasan:

haruhi berkata...

x sbr nk tgu smbgn dia..
still tertgu2 nape dimas hilang..hehe

Ilmar Imia berkata...

dimas tak hilang.
dia kan watak utama.
hehe