Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

Budak S.M.A.R.T. 26

“Riz, apa hal kita orang dengar cerita kau dengan Laily kena tangkap kat perpustakaan semalam?” Shafik dan Iqbal meminta penjelasan Azrizal mengenai khabar angin yang sudah tersebar ke seluruh sekolah itu. Kecoh budak-budak ni bercerita pasal mereka.

“Entahnya. Heran juga aku. Macam mana kau boleh ada dengan Laily pula?” soal Iqbal pula. Sejak bila pula si Riz baik dengan Laily? Bercakap dalam kelas pun jarang-jarang.

“Kau orang rasa macam mana?” Azrizal menjawab soalan dua sahabatnya itu dengan soalan juga.

“Aku tak percayalah,” balas Shafik. Mustahil Laily nak buat macam tu. Laily tu kan baik budaknya. Lagipun dia tahu senakal-nakal Azrizal pun, Azrizal takkan buat benda yang tak senonoh macam tu. Kalau tak, mesti dah lama dia buat dengan Tya dulu. Kenapa nak buat dengan Laily yang dia tak berapa rapat tu?

“Aku pun susah nak percaya. Laily tu kan nampak macam budak baik,” Iqbal pula menyatakan pendapatnya. Dari sudut luaran memanglah Laily tu nampak baik tapi siapa yang boleh baca isi hati orang kan? Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

“Memang aku dengan Laily semalam,” Azrizal berterus-terang. “Tapi kita orang tak buat apa-apa. Kita orang cuma buat ulangkaji aja,” pantas Azrizal menyusun kata apabila melihat jelingan semacam dua sahabatnya itu. Mesti dia orang ingat khabar angin tu betul.

Shafik dan Iqbal lega mendengar penjelasan Azrizal namun mereka tetap berasa hairan macam mana Azrizal boleh bersama Laily.

“Tapi Riz, aku masih waswas ni. Macam mana kau boleh ada dengan Laily?” soal Shafik ingin tahu.

“Entahnya. Sejak bila pula kau baik dengan dia?” soal Iqbal pula.

“Sebenarnya aku dengan Laily memang dah lama baik tapi cuma kat internet aja,” jelas Azrizal.

“Aku tak faham,” Shafik meminta penjelasan lanjut.

“Aku dengan Laily memang jarang-jarang cakap kat kelas tapi sebenarnya kita orang selalu sembang kat My Space,” Azrizal membuka cerita.

Sebenarnya Azrizal sendiri tidak ingat macam mana dia dan Laily boleh berhubungan di internet. Yang dia tahu, Laily yang mula-mula add dia di My Space dan memandangkan mereka sekelas jadi tak salah sekiranya dia menerima Laily sebagai salah seorang temannya di My Space juga.

Dan memandangkan dia dan Laily mempunyai minat yang sama iaitu muzik, dia berasa selesa berbual-bual dengan Laily di internet. Ternyata gadis itu mempunyai pandangan dan pemikirannya yang tersendiri mengenai muzik. Dan secara tidak sedar hubungan mereka menjadi sangat akrab namun hanya di internet.

Pada mulanya Azrizal sendiri berasa pelik kerana Laily mempunyai dua perwatakan yang berbeza dalam dua dunia yang berbeza itu. Di dunia nyata, Laily mungkin seorang yang pendiam namun di dunia maya Laily seorang yang ceria dan gila-gila.

Sangka Azrizal, sahabat internet dan teman sekelasnya itu mungkin bukan orang yang sama namun gambar di profil My Space Laily memang sama dengan Laily teman sekelasnya itu. Betullah Laily di My Space itu jugalah teman sekelasnya. Walaupun Laily sangat ramah dengan Azrizal dalam internet tapi Laily seolah-olah tidak mengenalinya apabila mereka berjumpa di kelas.

“Ada juga orang macam tu ya,” Iqbal mengeleng kepala mendengar cerita Azrizal.

“Aku rasa dia sebenarnya okay cuma ambil masa sikit,” ujar Azrizal. Dia tahu Shafik dan Iqbal sukar mempercayai ceritanya kerana dia juga pernah berasakan seperti itu namun manusia ini kan ada berbagai-bagai topeng.

Selepas mengenali Laily di dunia nyata dengan lebih dekat, dia dapat merasakan yang Laily juga mempunyai perwatakan seperti Laily sahabat internetnya. Cuma mungkin Laily lambat mesra dengan orang terutamanya orang yang tidak dikenalinya. Tapi bila dah rapat, automatik Laily jadi ramah dan ceria orangnya.

“Kau cakap tadi kau dengan Laily buat ulangkaji kat perpustakaan kan? Jadi, selama ni yang kau dok menghilang tu pasal nilah?” tebak Iqbal. Diam-diam aja dia ya.

Azrizal mengangguk.

“Kenapa kau tak berterus-terang aja dengan kita orang?” Shafik pula mencelah.

“Aku malu.”

“Kenapa pula kau nak malu?”

“Aku takut kau orang gelakkan aku.”

Shafik dan Iqbal berpandangan. Mereka ketawa kemudian berbuat muka serius.

“Kenapa pula kita orang nak gelakkan kau?”

“Yalah. Dulu kan aku malas belajar. Sebab tu aku malu nak bagi tahu kau orang pasal benda ni. Tapi sekarang aku betul-betul nak berubah. Aku nak belajar betul-betul dan dapat result bagus dalam SPM,” luah Azrizal.

“Aku tabik sebab kau ada niat nak berubah,” Shafik menepuk bahu Azrizal. “Tapi kenapa kau tak ajak kita orang sekali?”

“Jangan-jangan kau memang ada hati dengan Laily tak? Sebab tu kau tak nak bagi tahu kita orang sebab kau takut kita orang kacau daun kan, kan?”

“Mana ada. Aku dengan Laily tu kawan ajalah. Lagipun manalah aku tahu yang kau orang nak join sekali,” balas Azrizal.

“Dah kau tak tanya.”

“Ok, ok. Lepas ni aku janji aku ajak kau orang. Tapi itu pun kalau Laily masih sudi nak ajar aku,” janji Azrizal. Entah macam mana keadaan Laily sekarang?


***


“Berani lagi dia datang sekolah ya?”

“Orang tak malu macam tulah.”

“Tapi macam tak sangka kan dia macam tu? Nampak aja baik. Buat malu nama kelas kita aja.”

“Sekarang baru kita nampak perangai sebenar dia. Pengawas pun sama ada hati nak tegur pelajar lain.”

“Kesian mak dia kan.”

“Aku rasa baik kau jauhkan diri daripada dia, Lis. Nanti kau pula yang ikut perangai dia.”

Laily terkedu mendengar kata-kata itu sebaik-baik sahaja dia tiba di kelas pagi itu. Dia tidak sanggup berdiri lebih lama di situ dan mendengar umpatan orang mengenai perihal dirinya dan Azrizal lantas dia segera meninggalkan kelas itu.

Di muka pintu, dia bertembung dengan Azrizal, Shafik dan Iqbal yang baru sahaja tiba dari kantin. Azrizal terkejut melihat Laily menangis.

“Laily…” panggilan Azrizal tidak diendahkan oleh Laily. Dia tetap melangkah. Azrizal mengejar Laily. “Laily, please… Kenapa awak nak larikan diri daripada saya? Kita sama-sama tahu kan yang kita tak buat apa-apa petang tu?”

“Hanya kita yang tahu tapi orang lain tak fikir macam tu,” balas Laily. Setelah apa yang terjadi, dia tidak tahu bagaimana dia harus berdepan dengan guru-guru dan kawan-kawannya.

Laily menyesal kerana tidak mengikut kata ibunya supaya dia tidak ke sekolah buat sementara waktu tapi dia yang degil. Baginya, dia tidak perlu takut kerana dia tidak buat salah. Tapi ternyata dia tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan tokmahan orang sekeliling apatah lagi teman baiknya sendiri.

“Lantak dia oranglah nak fikir apa pun.”

“Cakap memanglah senang. Telinga saya ni sakit tahu dengar dia orang bercerita pasal kita.”

“Tengok. Awak juga yang cakap dia orang bercerita pasal kita. Kita kan? Maknanya bukan awak sorang. Nama saya pun terbabit juga. Tapi saya tak kisah apa dia orang nak cakap sebab saya tahu saya tak salah.”

“Saya tak sekuat awak, Riz. Masalah ni bukan sahaja melibatkan kita berdua tapi juga nama baik mak saya. Saya tak nak keruhkan lagi keadaan. Lebih baik kita jangan terlalu rapat. Mungkin kita hanya sesuai berkawan di internet aja,” ujar Laily. Mungkin keakrabannya dengan Azrizal di dunia nyata adalah satu kesilapan.

“Awak dah lupa ke janji awak? Kan ke awak janji yang awak akan bersama saya tak kira susah ataupun senang? Awak janji akan berkongsi susah dan senang dengan saya. Untuk sahabat…”

Laily memandang Azrizal. Untuk sahabat? Tiba-tiba bait lirik lagu ciptaan Eross Candra itu menerjah di ingatannya.


Ku percayakan langkah bersamamu
Tak ku ragukan berbagi denganmu
Kita temukan tempat yang layak sahabatku…



“Saya yakin kita mampu hadapi semua ni bersama,” tegas Azrizal.

“Betul cakap Riz tu, Laily.”

Azrizal dan Laily berpaling ke arah suara itu. Kelihatan Shafik dan Iqbal berjalan menghampiri mereka.

“Kau orang tak bersendirian. Kau orang masih ada kita orang. Kita orang sanggup hadapi semua ni bersama kau orang.”

Laily terharu mendengar kata-kata Shafik. Betapa Azrizal bertuah kerana mempunyai dua sahabat yang setia seperti mereka. Kini dia tahu mereka bertiga tidaklah seteruk yang disangka. Walaupun ada kalanya sikap mereka agak nakal namun ternyata mereka mempunyai semangat setia kawan yang mendalam.


***


“Aku rasa pelik. Macam mana satu sekolah boleh tahu pasal hal aku dengan Laily semalam? Setahu aku, yang tahu pasal benda ni kan cuma pengetua, Cikgu Mohamad dan Cikgu Humaira,” Azrizal mula mengesyaki sesuatu. Takkan pengetua nak hebohkan pasal perkara ni? Mustahil! “Chap, Ball, macam mana kau orang boleh tahu pasal benda ni?”

“Kita orang cuma dengar khabar angin aja,” balas Shafik. Pagi tadi ketika dia dan Iqbal menapak di sekolah, bebudak kelas mereka sudah kecoh bercerita tentang Azrizal dan Laily yang ditangkap oleh pengetua kerana melakukan perkara tidak senonoh di perpustakaan petang semalam.

“Aku rasa tak mungkin pengetua ataupun Cikgu Mohamad ataupun Cikgu Humaira nak hebohkan pasal benda ni. Pengetua mestilah nak jaga nama baik sekolah ni kan?” ujar Azrizal lagi.

“Entah-entah ada orang yang sengaja nak kenakan kita tak?” ujar Laily pula. Tapi siapa? Rasanya aku tak pernah sakitkan hati sesiapa.

“Mungkin tapi untuk apa?” Azrizal dan Laily berbalas pandang. Masing-masing tiada jawapan untuk pertanyaan itu.

“Aku rasa mesti orang tu sakit hati dengan kau orang sebab tu dia sengaja reka cerita macam ni,” Shafik menyatakan pendapatnya. “Dan orang itu mesti tahu setiap gerak-geri kau orang sebab dia seolah-olah tahu yang kau orang selalu lepak kat perpustakaan waktu-waktu macam tu.”

“Riz, cuba kau fikir kau bermusuh dengan siapa sekarang?” Iqbal menyoal Azrizal. Azrizal kan banyak musuh. Jika orang lain sibuk menambah kenalan dan teman, Azrizal pula suka menambah musuh. Ada saja yang tak puas hati dengannya.

Azrizal diam sejenak. Berfikir. Selain Shamsul, siapa lagi? Cuma Shamsul aja!

“Setahu aku, musuh aku sekarang adalah Shamsul,” ujar Azrizal.

“Tapi tak mungkin Shamsul yang report kat pengetua,” Laily tidak percaya itu angkara Shamsul. Secara logiknya, Azrizal yang seharusnya melancarkan serangan balas kepada Shamsul kerana Shamsul sudah merampas Athira daripadanya.

“Kenapa pula tak mungkin? Dia kan memang dah lama dengki dengan saya,” tegas Azrizal. Dia yakin itu perbuatan Shamsul. Dah dapat Tya tu sudahlah. Apalagi yang dia nak?

“Apa tunggu lagi? Jomlah serang dia!” usul Shafik.

“Sabar dulu, Chap. Jangan terburu-buru,” Iqbal menenangkan Shafik.

“Betul cakap Ball tu. Kita tak ada bukti. Kalau bukan dia yang lakukan semua ni, kita juga yang malu nanti,” Laily pula mencelah.

“Habis sampai bila kita nak tunggu?”

“Sabar... suatu hari kebenaran itu pasti terbukti. Aku rasa buat masa ni lebih baik kita perhatikan aja dulu gerak-geri Shamsul,” cadang Iqbal.

“Bagus juga cadangan tu. Mungkin kita boleh dapat sesuatu,” Laily menyetujui cadangan Iqbal.

“Ok. Jadi, kita ikut rancangan Ball,” Azrizal juga menyetujui cadangan yang diusulkan oleh Iqbal. Kalau betul kau yang buat semua ni Shamsul, siaplah kau aku kerjakan!

Tiada ulasan: