Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Disember 16, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 26

Pandangannya dilempar jauh ke luar jendela. Di sebelah kanan jalan, suatu papan tanda yang tertera ‘Pahang Darul Makmur’ jelas kelihatan. Perjalanan yang mengambil masa selama empat jam itu benar-benar meresahkan hatinya. Dari tadi dia cuba menghubungi nombor itu namun masih tidak dapat disambungkan. Hatinya semakin gelisah apabila mengetahui berita itu.

“Far, Hani ke mana? Dah banyak kali aku telefon tapi tak dapat,” soalnya kepada Farra. Sudah semalaman dia cuba menghubungi Hani tapi talian itu selalu saja engaged.

Apa yang telah berlaku? Di mana Hani?

“Dia balik kampung,” jawab Farra.

Takkan Hani tak bagi tahu Dimas? Hani ni.

“Balik kampung? Kenapa? Tak ada kuliah ke?” soal Dimas lagi.

Dulu bukan main liat nak balik kampung. Sekarang tengah tengah minggu pun balik kampung. Ada sesuatu yang berlaku kat kampung dia ke?

“Ayah dia accident.”

“Ayah Hani accident? Serius ke?”

“Aku pun tak tahu. Aku dah pesan kat Hani, kalau ada apa-apa bagi tahu. Tapi dia tak telefon sejak semalam. SMS aku pun pending dari semalam,” ujar Farra. Mungkin Hani tak mahu diganggu.

Selepas mendapat berita itu, dia terus membeli tiket bas ke Kuantan. Kuliah assignment semua sudah tidak dipedulikannya. Yang penting dia mahu bersama Hani tatkala itu. Pasti Hani dalam kebimbangan sekarang.

Hani, kenapa kamu tak beritahu aku? Bikin aku bimbang aja. Bila nak sampai ni? Dimas melihat jam di tangannya.


***


“Hani, macam mana keadaan ayah Hani?” Seperti yang dijanji, Arri kembali melihat Hani dan ibunya di hospital.

“Abah masih tak sedarkan diri.”

“Doktor cakap apa?”

“Doktor kata keadaan abah parah. Susah nak jangka keadaan dia sekarang.”

“Sabarlah, Hani.”

“Kak Dila macam mana?” Hani cuba mengawal perasaan sedihnya.

“Alhamdulillah. Baby girl,” ujar Arri. Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya.

“Baguslah,” Hani tumpang gembira mendengar berita baik itu. Semoga perkahwinan Arri dan Adilla berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. “Dah bagi nama?”

“Belum.”

“Nak letak nama apa?”

“Entah. Abang pun tak fikir lagi pasal tu.”

“Apalah abang ni. Orang lain bulan pertama mengandung pun dah sibuk cari nama anak. Tambah-tambah kalau anak pertama. Seronok tak dah jadi ayah?”

Arri cuma tersenyum. Mungkin perasaan bahagianya akan lebih bermakna jika Adilla melahirkan zuriatnya sendiri. Namun, dia telah berjanji akan menjaga anak itu seperti anaknya sendiri. Tidak wajar dia menghukum anak itu atas kesalahan orang tuanya. Anak itu tidak berdosa.

“Kalau Hani nak tahu, Hani kahwinlah cepat-cepat.”

“Hani pasti akan kahwin tapi bukan dalam masa terdekat ni,” Hani mengelak dari soalan cepumas itu.

“Hani, abang dah buat keputusan nak mulakan hidup baru dengan Kak Dila dan anak itu,” ujar Arri.

“Baguslah, bang. Hani doakan abang bahagia.”

“Abang minta maaf kalau selama ini abang ada buat salah pada Hani.”

“Tak apalah, bang. Yang dah berlaku tu kita lupakan aja.”

“Kita boleh jadi kawan kan?”

“Hani tak nak abang jadi kawan Hani. Hani nak abang jadi abang Hani, boleh?”

“Mestilah boleh,” ujar Arri. Mungkin dia dan Hani sudah ditakdirkan hanya sesuai sebagai kawan. “Dah semalaman Hani kat sini. Abang hantar Hani balik rumah?”

“Tak apalah, bang. Hani nak tunggu dengan mak.”

“Janganlah macam tu. Kita balik dulu. Petang nanti abang hantar Hani kat sini balik,” Arri memujuk Hani. Pasti sejak semalam Hani dan ibunya tidak makan. “Jom abang hantar. Pergi panggil mak Hani sekali.”

Di sebalik dinding, Dimas dapat melihat Hani dan Arri.

Nampaknya sudah ada yang menemaninya di sini. Mungkin kehadiran aku di sini tak diperlukan. Untuk apa aku bergegas ke sini?


***


Telefon berwarna putih itu tidak berhenti berbunyi ketika Hani dan Puan Rohana sampai ke rumah mereka. Hani segera menjawab panggilan itu sebaik-baik sahaja pintu rumah dibuka.

“Assalamualaikum, Kak Su,” ujar Hani apabila mengetahui gerangan yang memanggil melalui nama yang tertulis di skrin telefon itu.

“Hani? Macam mana Hani boleh ada kat rumah? Tak ada kelas ke?” Suraya agak terkejut mendengar suara di hujung talian.

“Kelas Hani cancel hari ni,” bohong Hani. “Saja balik rumah. Kesian mak sorang.”
“Mak sorang? Abah mana?”

“Maksud Hani, mak sorang-sorang kat rumah sekarang. Abah outstation,” dia berbohong lagi.

“Macam mana rumah? Semua ok ke?”

“Semua ok. Kak Su janganlah risau,” Hani berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.

“Sampaikan salam Kak Su kat mak dan abah ya. Lusa Kak Su balik.”

“Kak Su cutilah lama-lama. Tak apa, Hani boleh tengokkan mak dan abah.”

“Ok. Bye!”

Talian dimatikan.

“Hani, telefon Hani tak ada bateri. Mak charge kat dalam,” Puan Rohana muncul dari dalam.

Hani mula teringat.

Alamak! Aku lupa nak bagi tahu Farra.

Hani mengaktifkan telefon bimbitnya yang sedang di charge itu. Bertalu-talu SMS masuk sebaik-baik saja telefon itu diaktifkan. Dia membaca SMS itu satu persatu. Farra. Dimas. Dimas. Dimas.

“Far… Sorry, aku tak sedar telefon aku tak ada bateri,” Hani menghubungi Farra. Takut Farra bimbang.

“Macam mana ayah kau?” soal Farra.

“Ayah aku baik tapi dia masih tak sedarkan diri.”

“Kau ada jumpa Dimas tak?”

“Dimas? Dia datang sini ke?”

“Kau tak jumpa dia ke?”

“Tak.”

“Dia kata nak tengok kau. Dia rasa tak sedap hati biar kau sorang-sorang.”

“Dia tak sampai lagi agaknya.”

“Takkanlah? Masa aku bagi tahu dia yang ayah kau masuk hospital, dia terus beli tiket pergi sana. Patutnya dah sampai. Tapi kenapa kau tak jumpa dia?”

“Tak apalah. Nanti aku cuba telefon dia. Thanks, Far.”

“K, take care.”

Dimas datang sini? Biar betul? Dia sanggup datang sini semata-mata kerana aku? Ah, kenapalah dia terlalu baik?


***


“Dimas?”

Dimas menoleh ke arah suara itu.

“Datang tengok ayah Hani?” Lelaki itu melabuhkan punggung di sisi Dimas. “Hani tak ada. Dia dah balik. Petang nanti dia datang balik.”

“Abang…”

Serentak dua pasang mata itu memandang ke arah seorang wanita yang sedang disorong menaiki kerusi roda oleh seorang wanita yang beruniform putih.

“Tak apalah, nurse. Biar saya yang bawa isteri saya. Terima kasih,” Arri mengambil alih tugas jururawat itu menyorong kerusi roda Adilla. “Ini isteri saya,” Arri memperkenalkan Adilla kepada Dimas.

Dimas tersenyum hambar. Isteri cantik begini pun masih nak cari yang lain? Lagipun bukankah dia yang meninggalkan Hani dulu? Apa yang Hani pandang pada lelaki ini?

“Saya minta diri dulu,” Arri membawa Adilla ke biliknya.

“Siapa tu, bang?” tanya Adilla.

“Itulah boyfriend Hani.”

“Owh… Hani mana?”

“Abang hantar dia balik tadi. Kesian dia. Semalaman kat hospital.”

“Dia tahu ke boyfriend tu kat sini?”

“Tak tahu pula abang.”

Dimas memerhatikan pasangan suami isteri itu hilang dari pandangan matanya. Seketika kemudian, telefon bimbitnya bernyanyi minta diangkat. Dimas melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu.

“Dim, kau kat mana?” terdengar suara lembut itu di hujung talian sebaik-baik saja panggilan itu dijawab.

“Aku kat…” Dimas berfikir sejenak. “Aku kat kolej,” bohongnya. Dia tidak mahu Hani tahu dia di situ. Petang itu juga dia akan pulang ke KL. Asal ada orang yang menemani Hani, dia sudah berpuas hati.

“Ya ke? Aku baru baca SMS kau,” ujar Hani.

Kenapa kau nak tipu? Aku tahu kau ada kat sini.

“Kamu baik-baik aja kan?”

“Aku ok,” ujar Hani.

Dim, aku perlukan kau. Aku perlukan sokongan kau. Baru sekarang aku sedar yang aku tak mampu menghadapi semua ini tanpa kau.

“Han… aku kena pergi ni. Erwin dah panggil tu,” bohong Dimas lagi lalu mematikan talian. Dia tidak sanggup mendengar suara itu kerana hatinya akan bertambah sakit apabila mengenangkan suara itu bukan lagi menjadi miliknya.


***


“Dim…”

Hani merenung telefon bimbit di tangannya. Tiba-tiba kedengaran bunyi gelas pecah di dapur. Hani segera menjenguk ke dapur.

“Mak?”

Hani mendapatkan ibunya.

“Hani, mak takut,” Puan Rohana mula menangis. Apakah gelas pecah itu petanda sesuatu yang buruk akan berlaku kepada suaminya?

“Mak, insyaAllah abah tak apa-apa.”

“Hani, mak nak pergi hospital sekarang juga.”

“Tapi mak kan tak tidur sejak semalam? Nanti mak pula yang sakit.”

“Kalau abah pergi, mak pun tak nak hidup lagi.”

“Mak, jangan cakap macam tu. Mak tak sayangkan Hani ke? Mak lupa ke Hani ni anak mak?”

“Hani….”

Puan Rohana memeluk Hani. Hani menangis dalam dakapan ibunya. Sudah lama dia tidak merasai pelukan hangat daripada seorang ibu.


***


“Kan Hani dah kata abah tak apa-apa,” Hani cuba menenangkan perasaan ibunya. Mudah-mudahan kaca yang pecah tadi hanya kecuaian ibunya.

“Ya,” Puan Rohana memandang wajah suaminya yang masih belum sedarkan diri.

“Mak, Hani pergi telefon kejap,” Hani ke luar bilik itu untuk menelefon Dimas. Namun hampa apabila panggilannya tidak berjawab.

Selepas selesai mengerjakan solat Asar di surau hospital, Dimas melihat telefon bimbitnya. Ada dua missed call daripada Hani. Dimas teragak-agak sama ada mahu menelefon Hani kembali.

“Mana Dimas ni?” Hani hampir berputus asa apabila panggilannya tidak dijawab oleh Dimas. Takkan betul dia dalam kelas?

“Hani…”

Hani tersenyum melihat pemilik suara itu.

“Hani datang sini naik apa?”

“Naik teksi.”

“Kenapa Hani tak cakap kat abang nak datang sini? Abang boleh ambil Hani kat rumah.”

“Tak apalah. Menyusahkan abang aja. Lagipun mak tu tiba-tiba aja dia kata nak datang sini, tengok abah.”

“Tadi abang jumpa Dimas.”

“Abang jumpa Dimas? Kat mana?”

“Kat sinilah.”

Memang sahlah Dimas ada di sini. Tapi kenapa dia cakap dia kat kolej?

“Pukul berapa?”

“Lepas abang hantar Hani balik tadi.”

“Dia kat mana sekarang?” soal Hani. Berita daripada Arri itu menguatkan nalurinya bahawa Dimas masih ada di Kuantan.

“Itu abang tak pastilah pula. Mungkin dia pergi rumah Hani. Hani dah cuba telefon dia?”

“Dah tapi dia tak angkat.”

“Dia tak sedar agaknya. Mungkin kejap lagi dia datanglah tu. Tak apalah. Abang nak pergi surau ni. Kalau abang jumpa dia nanti, abang bagi tahu dia Hani nak jumpa dia k?”

Hani menggangguk.

Mana kau, Dim? Kenapa kau tak cari aku?

Hani melangkah ke kantin hospital itu. Tiba-tiba tekaknya terasa dahaga. Ketika Hani hendak memesan minuman, seorang lelaki melintas di hadapannya. Hani gembira melihat lelaki itu.

“Dim…”

Lelaki itu menoleh. Dia kaget melihat Hani.

“Farra dah bagi tahu aku. Kenapa kau tak cari aku?”

“Aku fikir kamu tidak perlukan aku. Aku sengaja ke sini untuk melihat kamu. Tapi ternyata kamu sudah ada yang menemani.”

“Maksud kau, Arri? Dim, hubungan aku dengan Arri sudah berlalu,” jelas Hani.

“Tapi kenapa kamu tidak memberitahu aku tentang ayah kamu? Apa aku tidak penting buat kamu?” Dimas sedikit terkilan kerana tidak dimaklumkan musibah yang menimpa gadis itu. Dia berasa bersalah jika tiada di samping gadis itu pada saat-saat begitu. Dia tahu betapa sukarnya bagi gadis itu untuk melalui dugaan tersebut.

“Bukan macam tu. Aku cuma tak nak kau risau. Inikan masalah keluarga aku. Aku tak nak libatkan kau dalam hal ni. Lagipun benda ni terjadi dengan tiba-tiba,” ujar Hani.

Setelah apa yang aku lakukan pada kau, apakah kau masih dapat menerima aku? Dapatkah kau memaafkan aku?

“Han, masalah kamu masalah aku juga. Aku kan udah bilang biar apa pun yang terjadi jangan sesekali kamu sisihkan aku?” Dimas menegaskan janji yang pernah diucapkannya.
Biar apa pun yang terjadi, aku tetap sayangkan kamu. Aku tidak akan pernah sanggup meninggalkan kamu. Tambahan pula, waktu kamu dilanda kesusahan.

“Ayah kamu macam mana?”

“Belum tahu lagi,” jawab Hani. “Kau tak ada kelas ke hari ni?”

Aku tahu kamu sengaja ke sini untuk aku. Aku tahu kamu sayangkan aku. Hanya aku yang tak tahu nak menghargainya.

“Hani, sebenarnya aku datang ke sini semata-mata kerana kamu. Aku tak mahu kamu keseorangan menghadapi ini. Aku mahu bersama kamu biarpun susah mahupun senang. Aku sayang sama kamu, Hani,” Dimas tidak sanggup berbohong lagi. Biarlah Hani tahu betapa gilanya cintanya kepada gadis itu.

“Aku tahu, Dim. Maafkan aku kerana tidak dapat menyayangi kamu seperti mana kau menyayangi aku. Aku bersalah kerana melukakan hati kau. Aku….”

“Hani… “ Dimas memotong kata-kata Hani. “Kamu tidak perlu meminta maaf. Dan jika kamu masih belum dapat menerima aku sekarang, aku faham. Aku rela menunggu sehingga kamu benar-benar bersedia untuk menerima aku.”

Aku benar-benar menyayangi kamu, Han. Jika kamu tidak bisa menerima aku sekarang, aku rela menunggu sehingga kamu benar-benar bersedia untuk menerima aku.

“Hani!”

Sebelum sempat Hani bersuara, suatu suara menyapanya. Serentak Hani dan Dimas memandang ke arah suara itu.

“Mak, macam mana mama tahu Hani kat sini? Mak nak minum?”

“Hani, abah…”

“Kenapa dengan abah, mak? Abah dah sedar ke, mak?”

“Denyutan jantung abah lemah. Abah dimasukkan ke wad kecemasan,” terang Puan Rohana.

“Abah dimasukkan ke wad kecemasan?” Hani memandang Dimas. Dia kehilangan kata-kata.


***


Hani merapati ibunya yang sedang resah menanti di luar wad kecemasan. Hani cuba menenangkan ibunya walaupun dia sendiri sudah tidak kuat untuk menghadapi apa yang berlaku.

“Mak, Hani dah telefon Kak Su dan Abang Man. Dia orang dalam perjalanan balik Kuantan,” ujar Hani.

Hani tahu mereka tidak boleh merahsiakan perkara itu lebih lama daripada pengetahuan Suraya. Suraya juga berhak tahu tentang perkara yang menimpa Encik Mustaqim.

“Hani, mak nak pergi sembahyang kejap,” Puan Rohana meninggalkan Hani dan Dimas.
Dimas merapati Hani.

“Aku takut, Dim. Aku takut ayah aku akan meninggalkan aku. Walaupun aku dengan ayah aku tak berapa rapat tapi aku tak sanggup kehilangan dia,” Hani mula teresak-esak.
Biar macam mana regang sekalipun hubungan mereka, namun mereka tetap ayah dan anak. Pertalian itu tetap tidak akan berubah sampai bila-bila.

“Kita berdoa mudah-mudahan ayah kamu selamat,” Dimas menggenggam tangan Hani. Berharap agar gadis itu tabah menghadapi ujian Tuhan. Dia mengerti perasaan itu.

“Dim, kau tak perlu buat semua ni,” Hani berasa bersalah apabila memikirkan apa yang telah dia lakukan kepada lelaki itu. Namun lelaki itu masih mahu berada di sisinya. Menemaninya dalam keadaan yang sukar.

“Han, aku lakukan ini semua kerana aku sayangkan kamu. Biar apa pun yang terjadi, aku akan tetap selalu menyayangi kamu. Aku ingin berbagi susah senang bersama kamu,” aku Dimas.

“Terima kasih, Dim,” Hani terharu dengan keprihatinan Dimas. Ternyata lelaki itu sangat menyayanginya.

Aku berjanji akan cuba menyayangi dia seperti mana dia menyayangi aku. Takkan aku sakiti dia lagi.

Tiada ulasan: